Bicara Ibu dengan Anak
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
“ Mak mahu beli shades lah… “ demikian kata mak tatkala mata aku sibuk menunggu lampu isyarat bertukar ke hijau. Terangkat kening aku.kerana apa yang mak baru saja luahkan. Tapi traffic light yang mempunyai countdown timer itu menunjukkan tinggal 88saat lagi. Jenuh nak menunggu.
“ Mak mahu beli shades yang kembung tu… yang very huge tu “, tatkala baru kening aku terangkat tertarik sekali dengan dahi berkerut. Terselak juga nampak gigi taring aku. Shades yang dimaksudkan mak tu tak lain tak bukan spek lalat
“ Baru matching dengan tudung mama“, kata mak lagi. Aku mengalih melihatnya. Terlihat senyuman mak yang menunggu respons. Aku senyap. Aku diam tak kata sepatah apa pun. Tapi membalas senyuman mak, dan beralih melihat kedepan.
Aku cuma standby kaki pada pedal klac dan tangan mengenggam batang gear. Agar tidak terhegeh-hegeh bila kereta mau digerak sejurus lampu isyarat menunjukkan lampu hijau. Silap-silap kena hon. Aku ditugaskan untuk menghantar mak ke satu parti pyrex di Taman Tun. Kelmarin sudah aku bawa mak singgah ke kedai tekstil kain Burhanuddin Aryana. Demikianlah tugas aku tatkala mula cuti semester membuka tirai. Bertabur tugas aku sebagai drebar. Drebar untuk emak aku sendiri.
“ Mak nak beli shades yang both sides yang macam nak bercantum di tengah “, aku mengangguk sahaja. Tanda aku faham. Bukan setuju. Kerana pilihan mak itu acap kali bertepatan dan kena pada tempatnya. Tapi kali ni macam ada yang tak kena.
“ Abang setuju tak? “ tanya mak melihat aku mendungu senyap. Oh, aku tersentak sikit. Memang mak nak pendapat aku. Angguk saja tak guna. Mak mahu aku berkata sesuatu, komen, kritik, pendapat pendek kata mak mau aku bersuara.
Mundar mandir aku nak jawab. Apakah perlu cermin mata yang besar macam mata lalat itu? Mak baharu saja minggu lepas membuat keputusan untuk memakai tudung, itu, aku terima dengan baik dan penuh syukur. Tapi sekarang mak mahu pakai tudung dan cermin mata gelap yang kembung. Yang menutup segala kening, mata, sebahagian bawah dahi dan sebahagian atas pipi? Kenapa mak aku tidak pakai purdah arab sahaja? Yang menutup penuh segala pipi, dahi,dagu, kening dan hidung. Yang ada jaring untuk menjenguk kemana kaki hendak pijak di tanah agar tak tersungur atau tersilap pijak.
“ Amboi, macam tak setuju saja “ balas mak. Ah! Mengapa mak berpendapat sebegitu? Kacau. Kacau.
Namun, aku control riak muka. Tidak ada meluat, tidak ada terkejut. Cuma berfikir dalam.
Dulu mak cukup angin kalau dia bertanya sesuatu tapi aku diam tak berdenyut. Namun, mungkin kerana umur aku dah meningkat, maka, mak sedikit pun tak marah. Apa gunanya aku mempunyai mak yang tersengih gembira, tapi cuma terlihat sebaris giginya tersenyum, namun matanya dilitupi sagugus cermin mata gelap yang macam mata lalat itu? Terkebil juga mata aku bila berfikir macam tu.
“ Bukan mak nak pakai selalu… cuma masa driving saja, silau matahari “, balas mak sambil menekan sesuatu pada telefon bimbitnya. Aku pula baru melepasi traffic light 88saat tadi dan perlu merempuh 4 lagi simpang sebelum sampai di Parti Pyrex Auntie Fuzziah Johannsen di Taman Tun.
Auntie Fuzziah pengelola parti pyrex ini memang seorang yang lantang memberi pendapat, kalau tidak ditanya pun, diberi juga pendapat. Tak syak, mak akan bertanya jua pada Auntie Fuzziah. Al-maklum, dialah penjual pyrex top-ten di seluruh pelusuk tanah air. Produk kegemarannya pasti akan diendorsenya mati-matian. Aku sememangnya tidak boleh berdiam: “ Tak perlu kot, mak… “
Namun kalau mak ambil nasihat dari Auntie Fuzziah Johannsen yang sering membaca hasil esei feminis barat, mungkin dia berkata apakah ada peraturan yang menetapkan wanita tak boleh cabut bulu kening? Kenapa tak boleh poligami? Kenapa tak boleh yoga? Tak boleh itu ini. Dulu wanita tak boleh mengaji ilmu tinggi-tinggi, dahulu wanita tak boleh undi, dahulu wanita tak boleh memandu. Memandu!? Auntie Fuzziah cukup angin dengan negara zaman kini yang masih meletakkan kekangan terhadap wanita memandu kereta. Memandu!? Lagi anginlah kalau wanita boleh memandu, tapi tidak bebas untuk memakai cermin mata dalam apa jua bentuk dan paten idaman hati. Namun, aku tak meletakkan kekangan kepada sesiapa, aku cuma beri pendapat selaku anak kepada mak. Itu sahaja.
“ Nanti abang balik kolej nanti, mak sure banyak driving “ kata mak membahasakan aku sebagai abang selaku anak sulung dalam rumah.
“ Mak pakai yang kecil dan cukup syarat nak elak silau cukuplah “, aku menyuarakan pendapat. Sebab itu adalah perbicaraan antara aku dan mak, aku memberitahu apa yang tersemat dalam fikiran aku: “ Saya tahu mak, memang nampak bergaya dan stailo bila pakai tudung dan spek lalat ni, tapi pakai shades yang sekadar menjalankan function cukuplah, ustaz pun pernah ajar kita bersederhana… “
Mampus kalau Datin Rushidah dengar apa yang aku lepaskan tadi. Sudah tentu dia akan menembak alasan aku dengan betapa ceteknya mentaliti aku. Apakah salah membeli spek lalat yang bukan saja mengurangkan silau, tapi juga meningkatkan gaya dan keterampilan? Apakah seseorang umat Islam mampu membeli kenderaan Mercedes, tapi ditegah melakukan demikian kerana Mercedes itu simbolik dengan citarasa mewah? Sepatutnya kita cuma membeli sebuah kancil 600cc kerana kenderaan itu sudah cukup untuk melaksanakan tugas untuk bergerak dari poin-A ke poin-B?
Ah! Lantang sungguh Datin Rushidah ni. Aku kerap juga duduk satu sofa bersembang dengannya ketika lawatan sekeluarga. Lantang orangnya. Bukan aku anti dengan perempuan yang sering bersuara dan outspoken ini. Pejuang kemerdekaan kita pun terdiri dari golongan wanita yang lantang bersuara, kalau ditegah bersuara pun mereka kerap mengutus surat tanda mereka tidak bisu di hati.Aku pun kalau boleh mahu mencari bakal kekasih yang lantang menyuarakan buah fikiran macam Datin Rushidah ni.
Datin Rushidah pun bukan calang-calang orang. Kenderaan yang membawanya dari poin-A ke poin-B adalah sebuah Mercedes CLS warna emas pudar yang dihadiahkan suaminya. Selalu juga aku berselisih dengannya di pekan tak kira tengah rembang atau hampir maghrib, dia akan memakai spek lalat dan tudung kepala, memecut laju. Aku melambai tangan padanya, haram dia tak balas lambaian aku. Mungkin kerana dia kusyuk memerhati jalanraya ketika memandu, atau kerana spek lalatnya sudah mengikis jarak penglihatannya. Hanya tuhan saja yang tau.
Bagi mak, apa kurangnya. Bila aku pulang ke kolej, BMW 630i yang aku gilap tiap-tiap pagi di garaj itu bakal mengaum dan meluncur kesana kemari untuk aktiviti harian mak. Namun, seeloknya, aku tak mahulah melihat mak memandu kenderaan itu dalam keadaan hidung terpacak 60darjah ke langit, mulut muncung dan spek lalat yang menjangkau dahi itu. Biarlah orang lain mahu berkelakuan sebegitu rupa, aku sebagai anak berpendapat emak lebih elok tidak memakai spek lalat. Away from the crowd
“ Tak perlu memacak hidung bila driving mak… silap-silap tombol signaling pun mak tak nampak “, tambah aku.
“ Alah, mak naturally ada hidung mencacak kan? “ mak melawak selepas mendengar pendapat aku; “mak makin berserilah dengan shades tu “
“ Eh,kalau muka basah dengan air wudhu’ pun sudah cukup tambah seri tau “, aku menyakat mak. Berani aku menyakat sebegitu kerana ini adalah bicara mak dan aku. Berdesing telinga Auntie Snazzi Muluk kalau dia dengar tu.
“ Disposable is normal “ demikian kata Auntie Snazzi Muluk kepada mak. Dia berpendapat apa jua fesyen yang menjadi kegilaan kini akan bersilih ganti.
“ You know, dulu I pernah ada hairstyle like Lady-D gitu “ kata Auntie Snazzi sambil memintal rambutnya di hujung jari kelingking. Maka, pemakaian spek lalat itu adalah sebahagian daripada natural flow dunia fesyen. Datangnya disambut, perginya tidak berbunyi.
“ You know in fashion, you never ever want to be a follower “ tambah Auntie Snazzi pertengahan 40-an membelit lidah waktu menyebut ayat ‘never ever’ itu. Semacam ada batang buluh miang dalam mulutnya.
Aku ada setuju juga dengan idea disposability yang diperkatakan Auntie Snazzi. Idea Pakai-buang sesuatu trend. Dari bebob ke disco ke hip-hop ke shuffle. Tanyalah Auntie Snazzi sendiri. Dia seorang yang fashion conscious sekali. Anak daranya pula ditingkatkan keupayaan menjadi fashion knowledgable kerana dia memasukkan anaknya ke bidang rekaan fesyen di sebuah kolej.
Darah muda. Dulu aku lihat anak dara Auntie Snazzi kerap berpakaian warna terang menerang bersama seluar baggy dan kasut luar biasa besar, zaman itu katanya zaman hip-hop. Lepas tu dia gemar pula bercelak, gelap keliling kelopak mata sampai aku tak cam mana satu anak mata dan putih mata anaknya, katanya zaman gotik. Sekarang dia gemar pula pakai t-shirt lusuh dengan grafik serba serbi merentang dada, katanya indie ala KAMI lakonan Liyana Jasmay. Wah. Inilah disposable. Dari semasa ke semasa bertukar ganti.
“ Ramai orang dah pakai macam tu, macam dah jadi trend “, demikian tambah mak. Sememangnya dah jadi trend, bisik hatiku. Aku terus memandu melepasi satu lagi traffic light. Kali ini tak ada countdown timer.
Bukannya aku jadi jelik, aku pun sendiri pernah terloncat mendengar lagu backstreet boys. Dulu pun aku angguk kepala dengar lagu too phat. Lambat atau cepat; ya atau tidak mengikut trend pakai spek lalat tu, mak boleh dikecualikan untuk memilih. Biarlah fesyen, trend, fenomena, kegilaan ( apa jua mereka panggil ) jadi natural flow, tidak perlu dilihat macam tsunami yang mewajibkan kita berganjak kerana kehadirannya. Sampai masa, spek lalat ni pergi jua.
Sudah sampai di Taman Tun, dan para mak cik sedang menunggu dalam rumah banglo 8-kamar Auntie Fuzziah untuk melansungkan parti pyrex mereka. Datin Rushidah berdiri di pintu, Auntie Snazzi turut berada melambai pada mak aku. Itulah bicara pendek dengan mak. Nescaya, kalau para mak cik parti pyrex itu tahu topik bicara aku dan mak seterusnya menerpa aku dan menyoal 10 alasan mengapa spek lalat itu tidak patut dipakai mak aku, haram satu alasan aku takkan boleh kemuka.
Tidak salah disisi undang-undang sivil mahupun syariah. Aku juga tak menantagoniskan orang pakai spek lalat ni. Namun, aku berasa lebih baik mata emak tak diselangi dengan spek mengelembung macam mata lalat itu.
“ Mak, sepasang mata mak dah cukup cantik dah mak, tak perlu kot “ demikian aku berkata. Mak senyum, dan melihat kehadapan dengan pipi merah padam. Berfikir sesuatu agaknya. Auntie Fuzziah berkerut dahi menjemput di pintu kereta sambil memakai spek lalat kerana cahaya matahari terik memancar.
0 comments:
Post a Comment