0 com

Rupa Sebagai Senjata, Perangkap dan Pemurah Rezeki

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya 

Sudah semalaman aku terbaring diatas tilam Toto, selama mana aku tidur, aku terjaga dan masih lagi letih. Bila aku terjaga pun, apa gunanya aku tak boleh bangkit sangat. Biji mata aku melilau mengejar bilah kipas. Kipas itu tak henti dari semalam berputar. Doktor kata suhu sejuk boleh buat luka aku cepat lega. Terus menerus aku merenung luka aku, kemudian aku tenung kipas. Suatu petang, papa tiba dan menghulurkan aku kotak, saiz hendak dekat sama dengan kotak coklat JoJo. Dibalut rapi, aku membukanya dengan penuh ghairah.

“ Perlahan, nanti luka berdarah balik “ kata mama. Selesai kotak itu dilondehkan barulah aku dapat melihat sebuah telefon pintar yang dihadiahkan papa. Agak agaknya papa sengaja nak buat satu kejutan besar. Aku sebenarnya berkenan dengan tayar basikal fixie baru, tapi gamaknya dengan keadaan aku yang serba tak boleh berdiri, manakan aku mampu mendaki basikal apatah mengayuh.

Aku terus menghidupkan telefon berkenaan. Beep! Tersuluh muka aku dengan cahaya terang dari skrin telefon itu. Dipanggil telefon pintar kerana tak ada punat yang aku perlu tekan. Cuma jari aku harus meluncur pada plat kaca leper itu dan segala warna warni dan fungsi terpapar sekelip mata. Mama dan Papa tersenyum dan aku membalas senyuman itu walaupun tayar basikal fixie itu masih terngiang ngiang dalam akal aku. “ Phone tu kena charge dulu… 8 jam “

Lecehnya, telefon makin pintar, tapi bateri masih tak pintar, tak apa, Aku biar telefon tu dicaj, apa nak hirau aku ada banyak masa, lagipun cuti sekolah. Sebaik kemudian mama duduk bersebelahan aku, mengasuh aku dalam keadaan serba tak boleh berdiri itu Nak berak? Nak kencing? Aku menggeleng Nak coklat? Nak ice-cream? Aku menggeleng Nak air cond? Nak , aku berpura pura lena, meniti masa sebelum aku betul betul nak buat semua benda tu.

Luas mata aku terbuka, sampai masa, aku benar benar hendak kencing. “Baik baik” pesan Mama dan aku teresot-esot membawa diri ke bilik air. Walapun aku suruh mama tunggu di pintu bilik air, mama masuk juga ke bilik air. Tangan kiri aku digenggam mama manakala tangan kanan aku mengangkat kain pelikat agar tidak bersentuhan bahagaian anu. Sekaki demi sekaki aku tak pergi jauh.
Pon! Pon! Ah, ada kenderaan menghampiri rumah nenek. Ada orang datang! Ada orang datang! Siapa! Siapa! Aku teruja, namun mama marah. Eh! Tadi cakap nak terkencing sangat!

Mamu datang! Mamu datang! Aku berteriak. Eh! Kencing dulu! mama marah sambil  genggaman pada lengan aku makin ketat. Biar settle kencing dulu. Aku menoleh belakang. Alamak!  Daun pintu bilik air itu masih luas terbuka. Ma! Tutup pintu, nanti Mamu Nampak! Malu! Malu! Aku berteriak Isk! Sabarlah, Mamu pun tak boleh jalan laju. Tiba tiba nenek datang dan mama berkata “ menantu favourite mak dah sampai “

“ Mak menantu tu apa? ” Mama buat tak endah, dia terus meneman aku dalam bilik air, menunggu aku untuk selesai. Mak menantu tu apa? Kerap aku mendengar perkataan itu, tiap kali ada di rumah nenek, perkataan itu terpancul dari mulut mama dan nenek. Mama dan nenek gemar bergossip, dan masa itu perkataan menantu sana, menantu itu, menantu ini keluar. Hari ni aku betul betul nak tahu. Cepatlah kencing tu, slow betul. Mama buat tak endah.

Mamu! Aku memanggil saudara aku Mamu kerana di sekolah aku, Melayu berkulit gelap sikit dipanggil Mamu dan mereka tak kisah. Samalah dengan Mamu saudaraku, dia tak pernah melenting dan kisahpun. Auntie Sri pun pernah dengar aku memanggil anaknya mamu, dia benar-benar tak kisah ( dia tak faham apa itu Mamu). Mamu berbadan besar dari aku tapi umur kami sama.

Mamu berjalan perlahan , dia senasib macam aku. Berkain pelikat setapak kehadapan kemudian dia menyelak dan melihat celah anu memastikan tak ada apa-apa yang tercabut. Diikuti Auntie Sri. Auntie Sri pun berkulit gelap, papa pernah berkata nama penuh Auntie Seri adalah Jayaseri, kemudian dia menukar namanya kepada Seri Yasmin. Wah, kenapa orang tukar nama… boleh tak aku tukar nama bila aku besar nanti?
Aku masuk bilik, berbaring. Dan Mamu pun ditemani Auntie Sri berbaring disebelah aku diatas satu lagi  tilam toto berasingan. Nenek pun tiba kedalam bilik itu, dalam keadaan kelam kelibut dia menghulurkan satu tangan pada Auntie Sri dan Mamu. Nenek tidak bercakap banyak, dia tersenyum pada aku dan mama, dan dia menoleh juga pada Auntie Sri dan Mamu tapi cuma macam sekilas pandang. Kemudian nenek membawa diri keluar, kemungkinan ke dapur.

Mama kemudian bersalaman dengan Auntie Sri dan mereka duduk di satu penjuru dimana aku dan Mamu dapat melihat mereka. Eh, apa ni? Mamu menunjuk pada kepala katil dimana sekeping alat elektronik diletakkan. Aku mengangkatnya dan berkata “ Oh, papa baru beli mobile phone “ Mamu melihat dengan penuh kagum dan khusyuk. Dia bertanya kembali  “ini boleh log facebook kan?” Aku terdiam, dan kurang pasti. “ Boleh kot “. Boleh main angry birds? Aku kurang pasti. “ Entah ” Mamu berkata dia sudah menyapu bersih markah tertinggi angry birds dalam telefon bimbit Auntie Sri. “ Bukalah! Bagi Mamu pula bolot markah penuh ”

Papa kau beri apa? Mamu terdiam. Sebenarnya papa nya tak memberi hadiah sangat. Cuma seratus ringgit dideposit kedalam akaunnya. Aku bertanya bila dia boleh guna duit itu? Mamu berkata ketika dia berumur 18 tahun. Haha, aku tersenyum. Kenapa 18 tahun baru boleh tengok filem 18SG, 18SG, 18PL , kenapa 18? Aku pernah tengok filem sebegini bersama mama dan papa, tak ada masalah. Kesian Mamu, dia tidak dapat melihat duitnya sebelum umur 18.

Beep! Telefon itu bergegar terpampang ikon kecil beratur. Aku menekan pada ikon ‘F’ dan masuklah aku dalam profil facebook aku. Mamu yang hampir belaga pipi turut memerhati gerak geri atas skrin. Dia cepat memerhati dan perasan akan satu friend request. Ternyata dia lebih teruja. Masuk saja aku ke senarai itu ternampak nama Jeslina Kamaruslani. Lantas Mamu menempik Aunty Jessie! Ternyata dia malu bertempik sedemikian, dia menoleh perlahan lahan melihat Mama dan Auntie Sri, ternyata mereka sibuk berborak di penjuru bilik dan tidak endah apa yang terpancul dari mulut Mamu. Dia menoleh kembali dan mula bercakap dengan berbisik. Hish! Auntie Jessie add kamu!

“ Ya… kenapa? Dia Auntie kita… “ aku berbalas. “ Tapi, Aunty Jessie tak boleh tengok kita…” kata Mamu. Kenapa? Malulah. Aku dan Mamu tahu Aunty Jessie adalah mak cik paling muda, dan dia berkerja sebagai pramugari. Dan aku malu bila berjumpa dengan dia. Dia cantik dan kelopak matanya sentiasa berwarna warni. Pendek kata dia ada daya penarik. Mama kata itu adalah make-up



Uh! Nanti Aunty Jessie dan Uncle Danny datang mesti bagi banyak duit. Mamu terbeliak biji mata. Ya! Aunty Jessie kerja dengan MAS, Uncle Danny businessman, kalau Auntie Jessie bagi 50 ringgit – Uncle Danny bagi 50 ringgit, kita dapat rm100 seorang! Waa! Aku tersenyum lebar. Wa! Kalau seratus ringgit dalam tangan aku, tak jauh untuk aku beli tayar fixie second hand dari Malik, jiran yang tinggal sebaris dengan rumah aku.
Nenek masuk dan mematikan air con. Aku tak tahu kenapa. Dia berkata suhu dalam bilik tu sejuk dan gusar kemaluan kami beku dan terpaksa dipotong. Frostbite kata nenek. Mamu dan aku masing-masing menyelak kain pelikat memeriksa anu sendiri. Semalaman aku tidur di bilik tu dengan penghawa dingin dihidupkan, tidak pula kemaluan aku tercabut. Mamu tidak berkata apa-apa, tapi aku bersemangat hendak berdebat dengan nenek. Bukalah air con gran ma. Dia buat tak endah.

Malam itu Mamu tidur diatas tilam toto bersebelahan dan tidak jauh dari aku. Dia nyenyak tidur, aku pula berbaring dan meliar mata mengejar bilah kipas terhinggut atas siling. Aku perlu ke bilik air. Aku tahu sekarang mama sedang tidur, apakah aku patut guna telefon bimbit ini untuk menefon dia? Dia mesti terjaga dan apakah dia akan marah? Mesti dia tak marah orang yang sakit. Dalam mengelamun, aku nampak Mamu bangkit dari tidurnya. Aku berpura –pura lena, kelopak mata aku terbuka sedikit memerhati gerak geri Mamu. Dia boleh berjalan! Dia pergi ke bilik air untuk kencing tak payah Aunty Sri mendokong atau dipapahnya. Malah, Aunty Sri tidak akan berada disitu, dia berkerja.

Selesai Mamu masuk bilik air dia kembali berbaring dan lena diatas tilam toto. Tak lama kemudian aku berdiri. Walaupun terketar juga aku hendak berdiri, tapi aku boleh berdiri. Setapak aku kehadapan. Ya! Aku boleh berdiri sendiri sama juga seperti Mamu. Esok aku boleh bercerita dengan bangganya yang aku berdiri sendiri ke bilik air. Papa pun akan gembira jua sebab aku pulih dengan cepat. Dalam tandas aku membasuh tangan dan di atas sinki itu rupanya Mamu tertinggal cermin matanya. Aku dengan mengambil cermin mata itu untuk diletakkan sebelah Mamu, tidaklah dia tercari-cari bila dah cerah pagi nanti.

Sebaik aku membuka daun pintu bilik air, ada berdiri Mamu disitu. Sudahlah tinggi dan kulit gelap, aku terkejut. Benar-benar terkejut hingga aku tergelincir dalam bilik air itu. Mamu terus menerpa pada aku, dia mahu menolong aku untuk bangkit. Separuh jalan, tapak kaki aku sekali lagi tergelincir, kali ni Mamu sekali jatuh. Kami seolah bergelut tak mahu tersentuh tempat anu itu.Bayangkan badan Mamu yang dua kali lebih besar dari aku, boleh tercabut anu aku. Pada saat itu, nenek bertempik datang bergegas dalam rumah.

“ Hoi! Apa ni!? ” Aku sudah berteriak. Rasa rasanya anu sudah tercabut, luka atau apa bencana pun, mesti tak mesti yang kena bergegas jumpa doctor. Mamu ditarik oleh nenek. Dia ditampar di lengan. “ Bergaduh? Ni bila nak bersar ni! ” Dilihat titsan merah di lantai, kain pelikat aku pun  berlumur dengan tanda merah. Mama bergegas datang dan mengusung aku keluar dari bilik air. Aku dapat melihat nenek sedang memarahi Mamu, dia cuma terduduk sambil mengesat pipinya. Dia berteriak juga tapi tidak sederas aku.

Sedar aku dari tidur, Mamu sudah tak berada bersebelahan aku. Bahkan tilam totonya pun entah kemana. Air con sudah dibuka. Cuma ada mama dan nenek disitu. Aku cuba hendak melihat anu aku. Mama lantas tidak memberi aku peluang untuk menyelak seinci pun kain pelikat aku. Dia berkata jahitan pada anu aku longgar sampai darah terpancul keluar semasa aku berkelahi dengan Mamu. Aku berkata aku tak berkelahi dengan Mamu. Namun Mama berfikir sebegitu. Maka nenek pun seperti naik minyak, dia menuduh Mamu bulat bulat. Aku memang antara cucu nenek yang paling kuat melawan, lantas aku mencabar nenek untuk membuktikan apa yang dia nampak. Mamu saudara aku! Kenapa dia mahu buli aku, ya, mahupun badannya besar, tapi Mamu lembut. Mama menegah aku dari melawan cakap nenek. Dia menyuruh aku tidur. Kali ini mama nampak serius, maka aku terus tidur

Sebelum aku sempat melelapkan mata aku terdengar perbualan mama dan nenek.

“ Macam mana anak dia boleh ada disini”

“ Ni sebab abang kau si Jufri nak hantar anak dia sini, suruh mak mengasuh “ keluh nenek, dia seolah berbisik, nenek arif dalam mentafsir aku belum lena walaupun aku terbongkah terkang kang atas tilam toto.

“ Kejap lagi kalau anak dia nak berak aku geli kalau dia suruh aku cuci, tak kisahlah cucu aku pun“ keluh nenek lagi

“ Apa jenis keturunan yang abang kau Jufri pilih, banyak lagi anak dara Melayu… anak pun mak geli tengok. Mak lebih suka hati tengok menantu mak si Jeslina tu. Sedap mata memandang, kulit pun lawa, cakap bahasa melayu pun tak berterabur” tambah nenek. Aku terkejut, aku terasa hendak keluar dari bilik itu. Hendak bersama si-Mamu, dia berkeseorang waktu ini.

“ Esok nanti bila Jeslina boleh ada anak, mesti anak dia lawa… biarlah sekarang dia dengan Jenal tengah struggle dengan business dia “

“ Esok Jufri datang nak jenguk anak dia… Tak tahulah dia nak datang dengan perempuan tu atau tak. Mak memang tak senang bila Sri tu pijak lantai rumah ni “ aku mendengar begitu banyak malam itu dan terus menarik bantal menelangkup muka dan telinga aku. Malas untuk mendengarnya lagi. Apa nenek cakap tu aku tak suka dengar dan pelik diluar jangkaan.
Namun nenek dengan nada yang tenang berkata “ Tapi adik kau Jenal tu ada call, kata dia hendak datang menjenguk anak buah dia ni “, Uncle Daniel hendak datang.



Sebaik aku terjaga, keadaan dalam bilik sudah terang benderang. Aku menoleh dan nenek dan mama sudah tiada, cuma ada Mamu yang terlentang lena diatas toto. Air con ditutup dan keadaan sedikit panas. Nasiblah ada kipas kecil yang diletakkan di penjuru kepala aku, kipas itu tak bergerak. Hanya tuju kepada kepala aku. Aku perlahan berdiri dan mengubah halanya agar angin itu boleh dirasa oleh Mamu juga.

“ Mamu! Uncle Daniel dengan Aunty Jessie nak datang tengok kita nanti “ Mamu mengangguk dan aku tengok perasaan dia berbaur. Antara gemuruh dan malu. Antara segan dan silu. Kalau Aunty Jessie tengok malulah kita nanti bila dah besar nak jumpa dia. Dia mesti ketawakan kita, tengok anu kita sekarang. Aku pun berasa macam tu juga. Mamu bertanya apakah aku sudah menerima ‘request’ daripada Aunty Jessie. Sudah dan Aunty Jessie turut meninggalkan pesan “ get well soon my nephew, lots of love “. Mamu melihat aku dan berkata “ Wah! Love tu, aunty Jessie suka kau “ kemudian aku melihat foto foto yang dimuat Aunty Jessie, terlihatlah gambar dia di banyak tempat kalau bukan serata dunia. Indonesia, Jepun, Beijing, Dhaka, ada juga foto Aunty Jessie bersama kawan kawannya, yang serba cantik dan berpakaian seksi, berada di bar, bistro dan kelab-kelab malam, mereka bercium pipi dan terjelir lidah sana sini. Ada juga foto Aunty Jessie pergi ke kenduri kahwin, pinggangnya ramping jelas nampak dibalut kebaya. Gambar Aunty Jessie dan kawan-kawan sebaris depan sinki tandas pun ada, sekali lagi lidah terjelir dan mata terkejit, kulitnya gebu dan putih.
Mana Uncle Daniel? Soal Mamu, sudah banyak foto Aunty Jessie kami belek, tak adapun gambar bersama Uncle Daniel, suaminya

“ Mari makan” jerit nenek maka Mamu berdiri dengan penuh bersemangat walaupun badannya besar daripad aku. Mama mahu menolong aku, tetapi aku sudah boleh bangkit dan berjalan dengan sendiri, melihatkan Mamu boleh melakukannya tanpa pertolongan Auntie Sri. “Ha! Luka tu belum kering lagi, nanti berdarah balik, baru nak meriau! “
Di meja makan, nenek menuangkan nasi kedalam pinggan aku, kemudian dia memberikan mangkuk besar berisi nasi itu kepada mama untuk menuang nasi kedalam pinggan Mamu. Aku diberi kerusi berhampiran dengan kipas, Mamu di satu penjuru gelap dan jauh daripada lauk yang sedap-sedap. Dia cuma dihidangkan sayur dan sup yang aku pun kurang minat. Aku minat ayam goreng, tapi nenek gusar anu aku gatal kalau diberi ayam. Nenek membuat ikan goreng.

Bunyi kenderaan masuk ke perkarangan rumah, aku adjust rambut aku, dan Mamu terhenti mengunyah. Ternyata kami tak nampak kereta apa yang tiba dari meja makan tu. Kalau BMW 5-Series warna putih, bertingkap gelap dengan sport rim itu sah milik Uncle Daniel dan Aunty Jessie. Kalau anu kami tak disentuh, sudah lama kami berlari untuk mengushar siapa yang datang.

“ Assalamualaikum “ berdiri tinggi di pintu adalah Uncle Jufri, ayah Mamu. Dia datang bersalaman dengan nenek “Pergilah duduk, ambil nasi makan, mak buat lauk ikan untuk budak budak ni “ Uncle Jufri tidak bercakap banyak dengan nenek. “ Budak-budak ni okay mak? “ Jufri memecah sunyi di meja makan itu. “ Elok elok saja. Semalam, sebelum subuh, anak Jamilah tersungkur dalam bilik air “ jawab nenek.

“ Habis luka dia koyak balik, darah penuh atas lantai “ uncle Jufri mengunyah perlahan lahan mengambil sedikit lauk untuk dirinya dan sedikit untuk anaknya, Mamu. Mamu nampak duduk tidak senang, dia tahu dia akan menjadi tumpuan bualan di meja ketika itu “ Anak kau tu berkelahi dengan anak Jamilah, tengoklah badan anak awak, macam mana anak Jamilah nak lawan… lagi lagilah lepas masuk jawi, menjerit dia  semalam, nasib baik mak pisahkan budak budak ni, letak bilik lain-lain “, aku terperanjat. Aku bersuara “tapi . . . “ lengan aku dicubit oleh emak, suara aku tenggelam dan hilang, mama menunjuk isyarat untuk aku men-zip mulut aku. Sambung kunyah dan duduk diam diam.

“ Betul ke? ” uncle Jufri bertanya Mamu. Mamu mengangguk sambil memerhati nenek dengan penuh rasa bersalah. “ Kau kena ajar anak kau tu berbahasa sikit, budaya Melayu kita “ Uncle Jufri ditempelak oleh nenek. “ Kalau kau sibuk sangat, suruh isteri kau buat “ tambah nenek lagi “ Kalau dia tak mampu, mak tak tau apa tanggungjawab isteri kau boleh bawak “ berjela kata nenek ketika itu macam kilat sabung menyabung tidak henti, uncle Jufri cuma akur dan terus mengunyah. Tangan kirinya memegang bahu Mamu, semacam satu geng, Uncle Jufri memihak kepada anaknya. Kulit uncle Jufri jauh lebih cerah, dan Mamu yang gelap itu terceruk berhampiran ketiak bapanya, Mamu nampak amat sedih, tapi Uncle Jufri cuba menenangkan anaknya itu. Aku mati matian ingat Uncle Jufri hendak memarahi anaknya.

“ Emak tak makan? “ Tanya mama kepada nenek. “ Aku tunggu adik kau Jenal datang dengan Jeslina “ jawab mak “ Makan masa ni buat panas badan, aku nak tengok menantu yang boleh buat sejuk mata “ uncle Jufri terperanjat, dia tenung nenek, aku yang duduk disitu boleh dengar dia beristigfar. “Astagfirullah” bibirnya terketar. Kemudian mama mencubit lagi lengan aku, menyuruh aku makan dan menegah aku dari mendengar sangat apa yang dibualkan di meja makan itu.

Selesai makan kami berbaring di hadapan televisyen. Tidak banyak sangat program yang berguna semasa cuti sekolah ni, cuma lambakan telesiri fantasi Indonesia yang dibawa masuk berduyun duyun dengan efek teruk mereka. Banyak kenderaan yang melepasi hadapan rumah nenek, tapi tak nampak nampak pun lagi kereta BMW Uncle Daniel. Bila nenek dan mama atau Auntie Sri tidak berada disitu, aku berspekulat dengan Mamu dimana Uncle Daniel dan Aunty Jessie berada dan berapa duit ‘hadiah’ yang mahu diberikan pada kami.

Cuba kau hantar satu mesej dekat inbox Aunty Jessie. Mamu mencadangkan begitu. Aku mengaku aku malu, lagipun Aunty Jessie berkerja, dia mungkin sibuk atau ada hal. Cuba kau mesej Uncle Daniel. Maka aku membuka profilnya melalui telefon bimbit aku. Tiada lagi foto dia berdamping dengan BMW 5-series berwarna putih itu, dengan rambut pacaknya dan posse businessmannya, Uncle Daniel sentiasa nampak tampan. Papa kata, dia sentiasa berjumpa orang ramai, sebab tu dia harus sentiasa kemas dan berambut kilat.

Sampailah beberapa hari sebelum Mamu balik, Uncle Daniel tiba di rumah nenek bersama Aunty Sri bukan Aunty Jessie. Itulah pertama kali aku nampak nenek datang menyambut kedua-dua mereka di pintu rumah.Waktu itu aku sudah mampu berdiri dan berjalan, aku menjenguk. Mamu gembira dapat berjumpa mamanya. Tapi Uncle Daniel tidak gembira langsung. Nenek terus membawa Uncle Daniel ke satu penjuru rumah, dan mereka sibuk  berbincang sesuatu. Sejak dari hari tu, aku sudah tak nampak Aunty Jessie sudah, cuma aku masih berkawan dengan dia melalui Facebook.

Nenek selalu datang pada aku dikala mama tiada dan minta aku log in facebook, aku tahu dia sedang memerhati profil Aunty Jessie. Aku pernah melihatnya sendiri. Nenek, Mama mahupun Uncle Daniel tidak berkawan dengan Aunty Jessie lagi. Cuma tinggal aku saja. Sebaik nenek meminjam facebook aku, dia akan mencebik muka dan tiba tiba garang. Apa kena mengena Facebook dan mood nenek aku pun aku tak faham.



Setahun kemudian, Papa memberitahu aku bahawa Uncle Daniel muflis dan kelibat kereta BMW yang selalu aku nampak itu dilelong bank. Business uncle Daniel tidak berjalan lancar sangat.

Kenapa? Kenapa Uncle Daniel bankrap? Dia seorang businessman yang bagus. Papa dengan cara malas bercerita memberitahu Papa tidak suka dengan Aunty Jessie, dia itu terang terangan pisau cukur, tapi siapalah papa hendak berkata apa-apa, dia cuma mahu mejaga hati mertuanya. Nenek aku terbawa-bawa dengan prestij kekeluargaan. Dia mahu semuanya cantik, kalau tidak sempurna dia mahu setiap perkara itu hampir sempurna, nenek lebih suka mulut orang bercakap elok-elok pasal keluarga dan keturunannya.

Nenek ada satu mentaliti Prestij Melayu yang tipikal, harus pakai seperti emas yang besar, harus tinggal dalam rumah yang besar, harus membawa kereta yang besar, harus ada menantu yang cantik dan harus berkawan dengan orang yang berpengaruh dan semua ni harus dicapai walaupun kena berbelanja hingga papa kedana.

Papa berkata lagi Uncle Jufri tak memenuhi semua kriteria ni, nenek kau mana pernah suka dengan Uncle Jufri lagi lagilah isterinya Jeyaseri yang asalnya Hindu berkulit gelap. Nenek menjaja kisah perkahwinan Uncle Daniel dan Aunty Jessie sebagai perkahwinan ideal yang menjulang prestij kekeluargaan yang mekar bercambah di hati nenek. Papa juga berkata perkahwinan Uncle Daniel lebih besar dari parkahwinan dia dan Uncle Jufri digabungkan.

Kambing hitam dalam keluarga sudah tentulah Uncle Jufri. Papa berkata nenek demam panas ketika Uncle Jufri berkahwin, nenek tiada semasa majlis itu. Papa mendengar khabar lagi nenek bukannya benar benar sakit ketika majlis perkahwinan Uncle Jufri. Nenek cuma mencari alasan untuk berada di tempat lain. Wahualahualam.

Dan apabila Uncle Daniel ditimpa susah, hubungannya dengan isteri mula longgar. Nenek sangat rapat dengan Aunty Jessie, dan perempuan muda itu tidak tahan untuk duduk dengan lelaki susah. Duit makin mengecil untuk ‘membela’ Jeslina yang khabarnya mandi bunga sebulan dua kali dan bisnes Uncle Daniel makin tenat. Nenek jadi amat gelisah melihat Jeslina itu. Dia tak mahu kisah jajaan itu hancur lebur, banyak duit dihamburkan untuk memastikan kebahagiaan mereka dipanjangkan selama mungkin. Aunty Jessie eksploit keadaan ini, dia tahu nenek tidak mahu dia pergi meninggalkan anaknya, dia tunggu sebentar walaupun di belakang tabir, dia sudah berhubung dengan pihak yang berminat.

Young, im still young and have a long way to go – without looking back “ itulah update Facebook Aunty Jessie selepas dia minta cerai. Nenek naik berang dan menyuruh Uncle Daniel mengambil balik semula hartanya. Semua itu amat diluar jangkauan kemampuan. Teramat lambat dan ada peguam yang menanti untuk mengambil mana serpihan harta yang masih belum tanggal dari badan Uncle Daniel.



 Apabila aku masuk 12 tahun, aku bersama keluarga aku berhimpun di KLIA. Bersama nenek dan Uncle Daniel. Dia nampak berbeza kini. Tidak ranggi dan rambut tidak berkilat atau pen diselit pada poket tiap-tiap masa. Kini dia biasa-biasa sahaja. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada Uncle Jufri, Auntie Sri, Mamu dan kakaknya. Mereka akan berangkat ke Amerika Syarikat. Uncle Jufri mendapat pekerjaan tetap disana, begitu jua Auntie Sri. Mamu dan kakaknya akan bersekolah disana. Di negara orang sejuk lama-lama, kulit Mamu boleh bertukar putih. Keluarga dia meneruskan hidup disana entah sampai bila, tapi, itulah pencapaian yang boleh dibanggakan, hijrah mereka ke tempat yang lebih padan.

Kunci kereta Uncle Jufri diberikan pada Uncle Daniel “ Kau gunalah kereta tu Danial, walaupun tak selaju dan seluas BMW 5series kau pernah bawa, aku harap dia boleh bawa manfaat untuk kau… “ mereka kemudian bersalaman dan berpelukan. Uncle Jufri menitis air mata mengucapkan selamat tinggal kepada nenek. Nenek buat kali pertama memeluk Mamu, kakaknya dan Auntie Sri

Dalam perjalanan balik papa berkata: “ Hidup ini susah untuk nampak elok dimata orang dan manis dimulut orang “