0 com

aku seekor kucing



Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya


Dalam sangkar aku melihat Zico, Zico pun melihat aku. Apa hendak dibuat? Aku menguap luas menayang taring aku yang lebih panjang dari Zico. Zico pasti cemburu dengan panjang dan kilatan taring aku.



“ Kau mengantuk ke? “ Zico bertanya pada aku. Ya benar, mata aku kuyu. Tapi aku lapar. Lapar sampai letih menunggu makanan. Aku dah puas tidur dari bulan terang benderang dari luar tingkap dan aku lapar. Zico menyuruh aku bertenang “ buat apa kau mengeluh, kalau Makhluk Oren beri kita kebebasan keluar dar sangkar, makanan tu ada dalam peti dengung “



“ Aku boleh saja cari makanan diluar sana… kau cakap saja, anak burung? Kau tak sedar kalau kau panjat batu batu dan tebing diluar sana, ada sarang burung kelicap, kalau nasib kau baik, telur tu dah menetas, sedap makan anak burung”



“ Sial, memang kau buat aku lapar sekali… macamana kau tahu sana ada sarang burung? Kau pernah pergi sana? “ Zico menjelir lidah



“ Sejak Makhluk Berbau Oren tu bagi aku keluar sangkar, aku pergi mengembara ke luar sana… tinggi tempat tu, tapi aku ni bukan kucing yang cepat gayat… aku steady… rabat dinding, meniti atas batas dan mendaki puncak sarang kita ni, sampai disatu tempat, wah! Macam durian runtuh! 3 biji telur burung dalam sarang ranting “



“ Kenapa kau tak sambar? Makan apa yang ada? “



“ Masalahnya muncung aku tak mampu cekau telur tu, licin… dan macamlah kau tak tahu, telur tu baru berapa hari saja keluar dari perut ibu burung… anak burung pun tak Nampak rupa, kau gila nak makan telur macam tu? Hanyir “



“ Eh! Nanti aku tunjukkan aku tempat tu? “



“ Serius kau mau tengok? Lubang rezeki mana boleh kongsi dengan ramai kucing“



“ Of courselah, aku pun nak tahu jugak, sapa lagi kau nak kongsi lubang rahsia? Kita dah separuh hayat tinggal sekali dalam sarang Makhluk Berbau Oren ni… takkan kau anggap aku macam kucing kayap kot? “



“ Ceh! Kau tu mulut capui… buka cerita macam merenjis air kencing, merata tempat kau renjis. Tempat orang pun kau mau renjis air kencing “ mata malas aku melihat Zico. “ Lagi satu, masa aku balik sarang ni, masuk saja mulut gua besar tu, Makhluk Berbau Oren cukup baran dengan aku, dia pukul kepala aku tiga kali dan perut aku dua kali… dia tak suka aku jadi adventurous ni… tapi aku malas nak jadi house cat ni, cepat obese



“ Eh! Memang fungsi kita jadi gemuk… makin gemuk makin cute “ kata Zico sambil mengeliat, badannya direngang sampai sangkar plastic tu dibolot oleh sekujur tubuh berbulu kelabunya. Celaka. Sudahlah bulu Zico kuat luruh. Habis terkena tubuh aku.



“ Kita kucing jantan, kalau obese, kau susah nak….. “



Tiba-tiba daun pintu terbuka. Makhluk Berbau Oren sudah pulang, kali ini kurang bau orennya. Zico! Cepau mengiau! Cepat! Nanti dia buka peti dengung tu bagi kita makanan! Aku mengiau bersungguh sungguh. Pipi aku dan Zico berlaga-laga berpusu melihat Makhluk Berbau Orenagar menarik perhatiannya. Supaya dia memberi aku kebebasan dari sangkar ni.



“ Cepat sebelum dia buka Peti Cahaya Bunyi! “ aku dan Zico tahu kalau Makhluk Berbau Oren itu buka Peti Cahaya Bunyi, maka Miaw kami akan tenggelam begitu sahaja. Makhluk itu tidak akan mengendah kami, dia akan duduk di tilambesar seperi yang ada dalam sangkar kami dan tidur berdengkur dan kami akan lapar buat satu kitar matahari tersorok lagi. Peluang kedua mungkin datang bila maatahari awal-awal muncul, disitu, barulah Makhluk itu akan berbau oren dengan kuat dan kami berdua berpusu-pusu mengiau dan melihat gerak geri Makhluk berkaki dua itu.



Kuat lagi Zico! Bulatkan mata kau! Pasti dia akan bersimpati dengan kita! Ini peluang kita untuk keluar jauh dari tilambesar busuk dan dapat makan! Aku berkata pada Zico. Okay! Okay! Dia turut bersemangat, malah aku tergelincir ketepi sangkar setiap kali dia mengiau untuk menarik perhatian Makhluk Berbau Oren. Berjaya! Ya! Dia menoleh pada kita! Buat-buat cute!



Bila dah keluar sangkar, kau bergesel dengan kaki dia! Makluk suka kalau kita buat macam tu! Okay! Okay! Zico menurut sahaja. Jari makhluk itu mencapai pintu sangkar plastic dan kami berpusu keluar, mengekori dan menyelit dicelahan dua kaki. Dia menuju ke peti dengung! Cepat ikut dia! Zico menyeru pada aku. Ya! Akhirnya! Makanan!



Langkah Makhluk begitu luas, dia Cuma berjalan dengan dua kaki, malah lebih besar berkali kali kali ganda dari kami, tapi dia steady saja. Kami yang kecil ini perlu keempat-empat kaki untuk bergerak. Aku cuba bayangkan kalau dia mampu meniti pada tebing dinding seperti aku lakukan suatu masa dulu, mesti hilang steady-nya.



Makhluk menghentikan langkahnya. Dia membuka peti dengung dan sejurus itu angin sejuk menampar bulu tebal putih bertompk coklat oren ini. Aku menjauhkan diri dari peti dengung tapi sempat menjenguk didalamnya. Ada daun hijau. Bola merah seperti mainan bola yang aku dan Zico selalu kejar sesama sendiri dan tin-tin seperti punca makanan kami muncul dari mulutnya.



Makhluk meneruskan langkahnya. Aku dan Zico masih mengiau dengan kuat, setiap kali makin kuat hingga Makhluk berkata “ Iya… Iya… aku tahu korang lapar… “ ya! Sudah tiba masanya. Zico duduk memandangkan gerak badannya, aku dapat menghidu dia mahu menerkam menaiki meja “ jangan! Nanti Makhluk tolak kau jatuh balik kesini! Percayalah! “



“ Tapi aku lapar ni…tak tahan! Tak tahan! “



“ Sabar! Sabar! “



Shiu! Dengan satu terjahan Zico sudah naik. Aku pun mampu naik, tapi aku sedikit gentar dengan pukulan yang Makhluk Berbau Oren beri pada kepala dan perut aku saban hari lalu. Seketika kemudian Zico dilihat tersembam dan terjatuh di lantai, dia bergelongsor sebelum keempat-empat kakinya mula merangkak dan stabil duduk seperti anjing takut tuan. “ Bukan aku dah cakap… kau Nampak macam anjing sekarang “



Cahaya dari luar tingkap makin kelam dan berganti pula dengan langit gelap. Makhluk dengan tangannya yang tidak berkuku akan memetik sesuatu pada dinding sarangnya yang tinggi bakal ada cahaya muncul dari sekian penjuru. Yay! Untuk waktu ini kami tidak terkurung bergelumbang dengan tilambesar busuk. Bebas berlari dalam sarang Makhluk yang besar dan banyak pintu gua yang kami boleh masuk keluar.



Ada pintu gua masuk ke alam kolam, disitu ada kolam kecil yang kadang kala Zico akan minum air dari sejenis tadahan. Makhluk akan mengguna kaki tidak berkuku dan air itu melimpah terus menerus dengan bunyi yang aneh. Ada pintu gua membawa ke alam kotak. Disini kotak disusun rapat dan kalau kami bertuah ada tikus untuk ditangkap dan dikorbankan. Ada pintu gua ke alam tilambesarbesar, disitu tilamnya lagi empuk dan aku sering mengambil kesempatan untuk tidur disitu, Zico pun penyibuk lena dialam kegemaran aku ini. Tapi bila ada Makhluk tidur disitu, masing masing kami akan akur tidur dalam bakul



Penat bermain dan mengelilingi rumah, aku dan Zico akan menjenguk ke luar tingkap. Dalam langit gelap itu kami nampak Aboi kucing jalanan. Dia menggelarkan dirinya jaguh di kawasan kami dan berhak mendapat habuan dan tangkapan dari kucing lain. Kalau siapa yang tidak bersetuju, dia akan menyerang.



“ Kau rasa Aboi dapat tahu ‘lubang rezeki’ tu? “ tanya Zico



“ Soalnya, beranikah Aboi naik sampai puncak Sarang Makhluk ni? “



Ketika ini Makhluk nyenyak tidur dihadapan peti Cahaya Bunyi. Makhluk tidur dengan perutnya menghadap langit berbeza dengan kami, perut kami ditutup oleh keempat-empat kaki kami dengan badan melengkung. Badan Makhluk tidak melengkung, Cuma kadang-kadang jua melengkung tapi tidak sampai kaki dan kaki tak berkuku itu bersentuh sesama sendiri.



Kami berbaring didepan peti dengung, dan setiap beberapa kala, peti itu berdengung. “ Kalaulah dia boleh terbuka secara tiba-tiba “ kata Zico melayan fantasi hidupnya “ Aku pernah mimpi peti dengung ni terbuka tiba-tiba ….“ aku mula bercerita pada Zico “ Hah! Makanan keluar kan! Ikan ada kan! Tikus! “ Zico menyampuk



“ Tidak “ lantas aku menjawab. Air keluar, macam di alam kolam, melimpah atas badan aku, terketar satu badan aku, tapi badan aku kaku tak mampu memecut menyorok dalam gua… makin banyak air mencurah, aku miaw sekuat manapun, makin banyak air datang… “ aku berkata pada Zico “ Hish, itu mimpi ngeri… aku benci air! “



“ Ala… takkan kau benci air kot? Tempat yang ada sarang burung tu sebelum kita adventure kesana, mesti lalu gua yang ada air… kalau kau takut air, esok aku kesana sorang-sorang saja “



“ Eh! Bawalah aku sekali… nak ikut, kitakan kawan dah separuh hayat “



“ Okei… aku boleh bawa engkau. Tapi engkau kena dengar arahan aku? Boleh? “



“ Okei. Okei, apa dia? “



“ Malam ni jangan tidur dalam bakul… aku pun takkan tidur dalam bakul, kalau kita tidur dalam bakul, Makhluk mesti sumbat kita dalam sangkar plastic sebaik langit cerah, kita tak boleh adventure keluar sarang Makluk daki dan rabat dinding cari sarang burung“



“ Baiklah… “ maka ketika langit gelap hendak bersilih dengan matahari baru ,kami tinggalkan bakul kami. Tepat pada satu masa bunyi kriiiing yang amat panjang dan deras menusuk telinga aku dan Zico, dan kami sudah menurut perancangan lena dibawah katilbesar Makhluk, disitu aku yakin Makhluk tak boleh cari kami. Makhluk akan keluar dari sarangnya dengan bau oren yang keras. Bergegas seperti kami berlari hendak menerkam si-bentina untuk mengawan.



Ya! Makhluk sudah keluar dari sarangnya. Kini tiba masa untuk adventure. Aku dan Zico meniti satu laluan rahsia yang ada disebalik peti dengung. Tak lama kemudian kami dah berada di luar Sarang Makhluk dan sungguh tinggi jaraknya dengan tanah hingga tak terfikir mengapa Makhluk sanggup tinggal dalam kawasan setinggi ini. “ Kita mesti ikhtiar panjat tinggi lagi kalau nak jumpa sarang burung tu “ Zico mencebik sebaik mendengarnya, nyata dia seekor kucing yang gayat.



Sebaik tiba di puncak kami terpaksa berjalan atas lantai yang panas. Zico mengeluh, aku memujuk dia agar sabar. Habuan dihujung pelangi bukannya datang bergolek seperti si-bentina miang. Ikhtiar. Sampai disatu penjuru berhampiran bucu sarang Makhluk yang besar itu ada gumpalan ranting kering. “ Cuba kau tengok dalam gumpalan tu… “



Zico menjenguk seketika sambil aku memerhati sekeliling takut takut kucing lain memerhati kami, atau burung lain memberi isyarat. Dari pengalaman aku memungguh sarang burung ini, ibu burung cukup berang dan sanggup menerkam kami di kepala mahupun muka. Zico kemudian melihat aku “Waah! Jom kita makan telur telur ni! Sekarang juga!“



“ Sabar Zico! Kau masih ingat kali terakhir aku nasihat kau suruh sabar… ?“ aku menyeru pada Zico. Zico beralah dengan aku, dia berundur dari sarang itu dan redha dengan cuma sekadar melihat dan mengambil bau. “ Kita tunggu bila anak burung dah menetas, baru sedap diratah, baru mudah hendak tokak dan bawa bekal pulang rumah “ aku menasihati Zico lagi “ Ya… betul… “ Zico sedih “ Jom, kita turun”



Zico mengekori aku menyusuri sudut dan bucu bangunan itu meniti perlahan lahan kami berdua walaupun sedikit gayat melihat betapa tingginya Sarang Makhluk. Selepas empat kali membelok kiri dan kanan, kami terserempak dengan Aboi. Aku dan Zico terhenti dan terkaku seketika. Zico jelas khuatir ‘lubang rezeki’ kami diselongkar oleh Atoi. Memang sudah hampir dengan tempat sarang burung hingga kami tidak tahu berbuat apa atau berkata apa-apa, kami khuatir dia tahu segala-galanya. Anak burung adalah makanan yang unik bagi spesis felin kecil seperti kami. Pendek kata kucing liar seperti kami. Kami asalnya dikutip tepi jalan.



“ Apa korang buat disini? “ Tanya Aboi si-kucing coklat gelap belang hitam



“ Kami meronda-ronda…” aku menjawab



“ Tempat tinggi-tinggi macam ni? “ balas Aboi.



“ Yah… kami neh jenis kucing pendaki… “



“ Apa yang menarik di tempat-tempat tinggi ni? “ kami enggan menjawab soalan Aboi itu. Tempat yang tinggi itu memang menggayatkan dan kami tak mahu berada seminit lebih lama. Namun Aboi kucing yang menganggu laluan kami. Aboi mula mengeluarkan taring dan kukunya, tidak seperti kuku kami yang tidak tajam dan sering dipotong sejak dibela oleh Makhluk, kuku Aboi seperti kuku kucing jalanan sejati, tidak sedikitpun dipotong. Jelas tiap-tiap pagi Aboi mencengkam dan menajamkan kukunya di batas pokok atau kaki sofa.



Zico menelan air liur. Sejenak kemudian dia mengelip matanya, ada pasir halus memasuki mata aku dan Zico, kami terkaku, kemudian kami melihat Aboi lari meniti tebing itu menuju ke daratan tanah yang lebih rendah. Baguslah, dia tidak menghala ke ‘lubang rezeki’, kami menoleh ke bawah dan kelihatan tiga Makhluk sedang bersorak daratan rendah. Dua dari mereka memegang alat yang dipanggil ‘lastik’



Lari! Aku menyeru Zico untuk lari. Sepantas kilat sebiji batu kelikir sipi sipi terkena tebing bangunan terpercik sekali lagi butiran pasir kedalam mata dan buluku. Lari!!! Cepat Zico!!! Zico berlari agar tidak terkena batu yang boleh meluncur dan menghentam kami bila bila masa. Cepat Lari!!!



Sampai sahaja di daratan, aku melihat dan mengilat badan aku untuk membuang butir pasir dan segala kekotoran. Zico pun berbuat demikian. Dari situ ada daratan yang lebih rendah ( Sarang Makhluk ini bertingkat-tingkat ) dan kelihatan Aboi merenung tajam dari satu sudut



“ Kenapa dengan dia tu? “



“ Biarkan dia, jom kita balik. Aku harap biar kurap tumbuh atas muka dia “



Sebalik sampai dirumah, aku mengintai dan Makhluk sudah berada di hadapan peti Cahaya Bunyi. Alamak! Kami tidak sempat untuk berpura-pura lena. Kerana itulah kami selalu buat tatkala Makhluk pulang agar dia member kami makanan. Kami perlahan bergerak di belakang kabinet dapur, disitu ada banyak bakul bakul besi, tidak sesuai dibuat tidur kerana sejuk belaka. Zico mengekori aku namun salah satu kaki belakangnya terkaut bakul besi dan disusun oleh Makhluk. Gedebang! Sah! Makhluk dapat mendengarnya.



Pintu kabinet terbuka dan gua kecil kami terang benderang. Tangan Makhluk menggapai kami dari belakang leher. Aku cukup benci kalau Makhluk mengaut kami sebegitu rupa. Zico turut dikaut dari batang leher. Kami khuatir disumbat kedalam sangkar. Kami tak mahu duduk dalam sangkar plastik dengan katilbesar busuk yang tidak pernah ditukar oleh makhluk. Bulu Zico yang kuat luruh itupun menjadi satu masalah dalam ruang yang sempit. Cepat! Miaw kuat-kual… buat-buat cute! Aku menyeru kepada Zico.



Zico berbuat demikian. Makhluk membawa kami masuk ke alam katilbesarbesar. Alam kegemaranku. Disitu dia membiarkan kami berlegar-legar namun, pintu gua ditutup. Makhluk merenung dirinya ke satu jenis tempat licin yang memantulkan rupanya kembali. Aku dan Zico suka juga bermain dihadapan permukaan licin itu, menganggap diri kami diklon, namun, sudah kami meningkat tua, kami tahu itu bukanlah klon kami.



Makhluk memegang sesuatu seperti tin yang membuatkan makanan kami muncul dan menekan sesuatu. Ada percikan air. Makhluk tidak gentar dengan percikan air yang menjadi mimpi ngeri kami. Malah makhluk berkali kali memercikkan air kepada tubuhnya. Sejurus itu bau oren menusuk hidung kecil kami. Misai Zico terkenyit. Bau Oren yang kuat.



Daun pintu gua terbuka, Zico adan aku cuba mengekorinya keluar namun dia tidak benarkan keluar dari alam katilbesarbesar. Wah! Kalau Makhluk biarkan kita sampai hari jadi gelap, kita dapat tidur atas katilbesarbesar! Terus menerus tidur! Cukup, jangan miaw miaw. Aku suka berada disini! Zico merenung aku dari lantai, aku sedang menghidu dan mencari tempat terbaik diatas katilbesarbesar. Bau Oren masih kuat dan menusuk hidung kecil aku.



Sejenak kemudian, pintu gua terbuka dan Makhluk datang dengan seorang lagi makhluk yang lebih kecil. Berambut panjang dan suaranya pelik, seperti yang aku pernah dengar apabila aku merayau di taman permainan kanak kanak. Aku ada pengalaman buruk dengan Makhluk bersuara kecil ini. Ketika menjadi kucing jalanan mereka selalu membaling batu pada aku tatkala aku melintas taman permainan. Ada sesetengah yang berbudi dan baik hati menghulurkan makanan seperti kerepek ikan atau bebola nugget kepadaku. Tapi aku kurang gemar makanan yang sudah dikunyah Makhluk, air liur Makhluk amatlah tidak menyelerakan. Apa-apapun jasa mereka akan aku ingat sampai hari akhirat. Ada pula yang mengikut caraku mengiaw sampai keliru aku siapa sebenarnya kucing dan siapa pula makhluk.



Makhluk kecil itu membelai aku dan Zico. Kami didukung olehnya, berada hampir dengan dadanya sampai dengupan dup-dap-dup-dap dari dalam Makhluk itu aku dapat dengar dengan telinga menirus aku. Aku rasa dia sayangkan kami. Dia melontar bebola merah, maka aku dan Zico akan berlumba-lumba mengejarnya. Makhluk Berbau Oren masuk kembali dengan segelas air. Dihulurkan pada Makhluk kecil. Makhluk kecil minum dan kemudian sambung membelai, mengejar dan berbual dengan bahasa spesisnya yang sepatah haram kami tidak faham.



Beberapa ketika, si-Makhluk kecil makin tidak mahu bermain dengan aku dan Zico. Kami mengiaw-giaw. Perlahan makhluk kecil merebahkan kepalanya keatas bantal diatas tilambesarbesar. Aku menoleh pada Zico, Zico melihat aku. Aku cuba menghampiri wajah si-makhluk kecil dan dapat merasa hembusan udara panas. Tiba-tiba, Makhluk Berbau Oren masuk. Dia menghampiri si-Makhluk Kecil yang sudah lena. Dia merapatkan tubuhnya dengan si-makhluk kecil sambil tangannya bagai ular melingkar ke bahagian antara dua kaki si-makhluk kecil yang lena. Aku dan Zico terus melihat perlakuan antara dua Makhluk itu.



Tiba-tiba mata si-Makhluk Kecil terbuka. Dia menepis Makhluk Berbau Oren dan berlari membuka pintu gua. Kami turut mengekori, sudah menjadi lumrah kalau Makhluk berlari kami akan kejar. Si-Makhluk Kecil tersungkur dan bergelongsor atas lantai yang licin itu sebelum Makhluk Berbau Oren meragut kakinya dan menghambatnya ke karpet dihadapan peti Cahaya Bunyi.



“ Kau mahu menjerit?!?” Peti itu dihidupkan dan bunyi miaw kami tenggelam. Si-Makhluk Kecil menendang nendang dan melayang penumbuk. Seolah anak kucing terlantar dan dipermainkan tangan Makhluk. Zico melihatnya dan aku turut melihatnya. Dia menjerit, namun Makhluk menutup mulutnya dengan kain.



Sekali lagi Makhluk Kecil meloloskan diri, berlari beberapa tapak, namun dia tergelincir jua dan kepalanya terkena buju meja. Aku dan Zico berlari mengekori. Menyangkakan Makhluk ini sedang bercakar seperti kami lakukan tatkala ada mood untuk bermain. Namun kali ini tubuh si-Makhluk Kecil tidak bergerak sedikit pun.



Makhluk Berbau Oren memusing tubuh si-makhluk kecil dan setompok darah sudah terlekat pada lantai. Makhluk Berbau Oren bergegas ke dapur mencari kain menjirus air dan memedap kain itu pada muka si-makhluk kecil. Namun makin banyak darah keluar. Aku dan Zico duduk bersebelahan menyaksikan perihal makhluk ini. Sejurus itu, Makhluk Berbau Oren bergegas ke alam tilambesarbesar dan keluar sambil memegang kotak hitam. Tinggallah Zico dan Aku dan Makhluk kecil yang tidak bergerak.



“ Malam ni kita tak tidur dalam sangkar plastik! “ riang Zico berkata.



“ Makhluk kecil ini patut bergerak… menjilat lukanya supaya cepat sembuh “ aku memberitahu Zico.



Kami melihatnya, kami berjalan berlegar mengelilingi sarang Makhluk, berkejaran dari satu alam ke alam lain. Masuk keluar dari satu gua ke gua lain. Namun, sekejur tubuh Mkhluk kecil itu masih tertiarap tanpa sebarang pergerakan. Mungkin dia lena? Dia menghidu lehernya… Urgghh… ada bau air liur Makhluk… aku tidak suka. Aku meniarap atas tubuh Makhluk Kecil, sekali sekala ada bunyi dup-dap, sekali sekala bunyinya sayup.



“ Mari sini! “ Zico menyeru pada aku.Aku meloncat ke atas kerusi kemudian ligat meloncat atas kabinet menadah muka ke luar tingkap. Kelihatan Aboi sedang membawa dua ekor anak burung dari mulutnya. Dia ingin membawa anak burung itu ke tempat yang selamat sebelum meratahnya. “ Aboi si-celaka dah tahu ‘lubang rezeki’ kita!” Zico mengeluh, aku memerhati namun sebelum sempat Aboi melintas jalan, ibu burung meluncur dari langit mencakar kepala Aboi. Namun burung kelicap itu kecil dan Aboi dengan mudah mampu mengelaknya. Namun, Aboi kelihatan tidak tenang. Aboi merendahkan badannya, cuba untuk melintas jalan yang sibuk dengan motokar. Dua ekor anak burung itu meronta-ronta.



Ibunya menjunam dari langit untuk serangan kedua. Kali ini Aboi benar-benar terkejut dan melepaskan salah seekor dari anak burung berkenaan. Tertiarap anak burung itu di atas jalan tar. Ibunya mendarat berhampiran anak burung itu sambil membuat bunyi bising, bersama burung kelicap lain yang bertenggek diatas tiang elektrik, batas bangunan dan ranting pokok berbuat bunyi menyahut-yahut. Aboi terasa gerun dan melintas dengan sepenuh hati. Ada motokar meluru dari jalan itu “ Hah! Kalau kena lanyak, memang padan muka dia! “



Motokar itu berhenti mengejut, sama jua dengan Aboi berserta anak burung yang kejap dicengkam mulut dan taringnya. Aboi pantas bergerak semula dan bersembunyi disebalik semak lalang berhampiran medan selera diseberang jalan. Hari itu, hari Aboi meratah anak burung dari ‘lubang rezeki’ yang awal ditemui aku dan kemudiannya Zico. “ Jom! Kita ambil anak burung yang terjatuh tu! Kita sama-sama ratah!“ aku menghentikannya “ Jangan! “ sambil melihat luar tingkap itu. Ibu burung beserta tiga ekor burung kelicap lain melihat anak burung yang belum berbulu dan tidak bermaya itu. Mereka gusar, mereka sedih dan mereka takut. Diatas pokok dan tiang elektrik dan tebing bangunan, banyak lagi burung kelicap memerhati sambil meratus. Seolah-olah mereka berbincang perkara yang serius.



“ Jangan Zico! ” Zico pantas meloncat turun dan menuju ke pintu gua, aku mengejarnya “ Jangan Zico! “ Zico memusingkan badannya dan memberi satu cakaran tepat pada pipiku. “ Sudah lama aku dengar cakap kau!”aku berundur dan merendahkan kepala, abdomenku dilengkungkan bersedia untuk menyerang balas Zico yang agak biadap menyerang aku. “ Aku kucing jantan jalanan! Aku ada haluan sendiri! Hari ini haluan kita berpecah! Aku tak mahu dibelai tangan Makhluk ini! Aku tak mahu tidur dalam sangkar plastik! Lebih lebih lagi dengan engkau! Pengecut!“ aku menjauhkan diri dari Zico. Badanku berundur bertapak-tapak ke belakang. Zico berpusing dan pergi.Tingallah aku dan si-makhluk kecil. Aku mengelilinginya beberapa kali dan cuba mencium menghidunya. Aku berharap misai aku dapat mengejutkannya sepertimana misai aku membuat Makhluk Berbau Oren rasa rimas tatkala matahari baru menjelma.



Kini matahari sudah tenggelam dan langit gelap mengambil alih. Tidak ada Makhluk Berbau Oren untuk memetik sius dan menjadikan sarang itu terang benderang. Aku duduk ditepi tingkap dan mengintai keluar. Bulan mengambang penuh. Cahaya itu serba sedikit melimpah pada tubuh si-Makhluk Kecil yang tidak bergerak kemana-mana. Darahnya berhenti mengalir. Kini pipiku sudah ceme dicakar Zico.



Aku berasa sungguh dahaga. Aku mencari air. Sinki dapur yang aku panjat kelihatan kering dan penuh dengan bakul besi dan kaca, terlintas jua aku hendak ke alam kolam dan minum air disana, namun, aku geli geleman kerana Makhluk Berbau Oren selalu duduk diatas Kolam itu, semasa perkara itu berlaku seluruh alam kolam berbau najis. Maka aku mengintai apa yang ada di alam tilambesarbesar. Disitu ada gelas yang ditinggalkan si-Makhluk kecil sebelum dia bercakaran dengan Makhluk Berbau Oren. Air itu jernih dan tidak dihabiskan, masih cukup banyak untuk aku seekor kucing. Aku menjengul kepalaku dan menjelir lidah mengambil hirupan air untuk membuang rasa haus. Tidak lama kemudian aku terasa lali. Lantai yang aku pijak nampak seperti melayang-layang dari kaki aku. Aku berasa seperti terjatuh dari bucu bangunan tergelincir dari tempat sarang burung.



Aku ditonyoh oleh seekor kucing. Bulunya halus dan wajahnya seperti kucing di akhir hayat. “ Siapa engkau?”



“ Lincah “



“ Engkau dari mana? Tak pernah aku kenal kucing bernama Lincah di kawasan aku? “



“ Sekarang kau bukan berada dikawasan engkau… “



Aku melihat sekeliling dan yakin berada di sarang makhluk.Gelap. Peti Dengung dan Peti Cahaya Bunyi pun ada berhampiran. Aku berkata dengan penuh keyakinan “ ini kawasan aku!? Sarang tuan aku! “



“ Tanpa tuan kau bolehkah ini berlaku? “ Lijah menunjukkan pintu Peti Dengung terbuka dan air memercik ke badan aku tanpa henti. Ini adalah mimpi ngeri menjadi benar. Air itu memercik tanpa henti dan badan aku kaku terdampar atas lantai… “ Sudah!!!!! “



“ Engkau cucuku ada tugas… tugas kau jadi saksi tuhan… “



“ Saksi? Saksi apa? “



“ Kau tahukah bila Makhluk Kecil bercakaran dengan Makhluk Besar? Itu bukan perangai makhluk sebenar-benarnya… makhluk sepatutnya ada akal yang lebih maju dari kita … apa yang kau lihat itu adalah keji, kucing macam kita jarang buat…kau saksi semua ini dan bila tamat hayat kau dibawa menghadap tuhan untuk bercerita balik semua ni… satu per satu“



“ kalau tuhan maha mengetahui, kenapa perlunya aku? Bukan tuhan boleh menjangkiti mukanya dengan kurap dalam sekelip mata atau merencana motokar melanyak Makhluk Berbau Oren itu kerana keji perbuatannya? “



“ Cucuku, kau seekor kucing… penciptaan kau adalah lebih dari kucing yang makhluk anggap “



“ Bila aku harus menceritakan semua ini pada tuhan? Sekarang? “



“ Bukan… itu urusan tuhan, Dia akan panggil kau bila dia suka“



Aku lantas terjaga. Lincah tiada lagi disisiku. Matahari baru sudah terpancar dan sarang semakin cerah. Aku perlahan-lahan keluar dan mengintai Peti Dengung takut takut dia buat gila memercikkan air padaku sampai separuh nyawa menggigil. Ah! Dia berkelakuan baik. Tidak ada mimpi buruk. Aku kasihan melihat si-makhluk kecil. Dia masih belum bergerak, mesti lenanya panjang selepas bercakaran. Aku duduk mengintainya.



Aku bosan dan membawa diri keluar dari Sarang. Kemudian aku ternampak tiga Makhluk Kecil, dua daripada memegang ‘lastik’. Aku cuba merencana satu cara untuk menarik mereka ke sarang agar mereka boleh melihat si-Makhluk Kecil yang satu lagi. Aku merendahkan kepala aku dan melintas koridor berdekatan dengan mereka. Kali pertama mereka tidak menyedari kewujudan aku. Percubaan kali kedua membuahkan hasil… mereka mula mengutip batu dan melastik kearah aku.



Aku lincah berlari di sepanjang koridor dimana batu itu tidak mampu mencapai tubuh aku. Kelihatan mereka mula mengejar, aku terus mendaki tangga. Ketiga-tiganya mula mengekori aku. Makhluk sebenarnya tidak laju mendaki tangga seperti kucing yang ligat dan tangkas berkaki empat. Aku mengintai melalui lubang tangga dan mereka mula melastik, terus aku berlari melepasi koridor itu. Mereka tidak putus semangat mengejar sambil menjerit-jerit sehingga aku menyelit masuk kedalam sarang kembali dan mengemiaw. Aku ternampak daun pintu gua itu bergerak lantas aku menyorok dalam kabinet dapur disebalik bakul bakul besi. Aku mendiamkan diri. Sejurus itu aku mendengar satu jeritan.



Untuk hari berikutnya sarang dipenuhi dengan Makhluk pelbagai rupa dan bau. Aku akan senyap senyap mengintai dari kabinet dapur. Ada Makhluk yang membawa kotak hitam kecil, pantas mengeluarkan cahaya yang lebih kuat dari peti kotak cahaya. Ada Makhluk yang memegang batang kayu dan mencakarnya pada kertas. Kini si-Makhluk Kecil sudah tiada lagi dan aku tak tahu apa yang berlaku padanya. Pada malam hari aku keluar dari sarang mencari makan dan minum di warung selera berseberangan jalan.



Bila aku pulang banyak plastik nipis berjalur hitam kuning. Jalurnya sama macam jalur pada badan Aboi si kucing jahanam itu. Aku gemar bermain dengan plastik berjalur ini. Ringan, dan mudah terbang. Pengubat kesepian selepas Makhluk dan Zico meninggalkan aku dalam sarang. Keesokannya plastik ini diganti oleh yang baru.Hari demi hari, sarang itu makin berdebu kotor dan bila matahari baru terbit aku nampak ada bulu kecil berterbangan… mesti bulu aku yang luruh selepas sekian lama tak mandi.



Peti Dengung sudah tidak berdengung lagi dan Peti Cahaya Bunyi tidak mengeluarkan apa-apa lagi. Sekali sekala aku masuk kedalam sangkar plastik dan baring diatas tilambesar busuk dan aku terasa rindu dengan Zico. Aku tak tahu dia masih berang dengan aku atau tidak. Aku rasa ini adalah malam terakhir aku berada di Sarang Makhluk sebelum keluar merantau dan mencari Makhluk yang sudi membela aku.



Bila matahari baru muncul, aku baru sedar yang aku terlajak tidur. Ada beberapa Makhluk sedang memeriksa sarang. Si-Makhluk kecil yang bercakaran dahulu turut berada disitu. Dia masih hidup, berjalan dengan perlahan membisikkan sesuatu kepada Makhluk lain yang pantas mencakar pada kertas. Kemudian dia tersungkur. Aku mahu melihat dari dekat tapi aku duduk diam dalam sangkar itu, tidak mahu menarik perhatian Makhluk-Makhluk lain.Si-Makhluk kecil menangis, berteriak teresak-esak.



Dia kemudian dipapah untuk berjalan. Membisikkan lagi sesuatu pada Makhluk lain. Sehingga dia mendekati sangkar. Dia melihat aku terperuk disitu, kalau Zico ada aku sudah memberitahunya untuk buat-buat cute. Untuk separuh hayat berikutnya aku dibela oleh si-Makhluk kecil sambil memegang janji untuk menjadi saksi tuhan kepada kekejian yang berlaku padanya. Kurniaan akal pada Makhluk oleh Tuhan belum cukup sempurna kerana Makhluk Berbau Oren masih diluar sana bebas. Ketika itu barulah aku faham kenapa aku seekor kucing.