0 com

Kak Maimunah Penjual Nasi Lemak dan Kilang Otomotif

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya 

Sejak kilang pemasangan otomotif Rozni beroperasi pada tahun 2000, Kak Maimunah mula berniaga nasi lemak tidak jauh dari situ. Kak Maimunah berniaga di bahu jalan besar 4 lorong bertar; dua lorong masuk dan dua lorong keluar. Sehelai tarpan biru dan meja lipat, dua kerusi plastik, satu untuk tuan empunya badan dan satu lagi untuk bekas nasi lemak. 

Dari jarak tiga padang bola itu kilang itu berdiri megah meliputi berekar-ekar tanah yang dahulunya dipenuhi ladang kelapa sawit. Seolah tembusut gergasi berwarna kelabu memantul cahaya matahari tengahari, silaunya pedih belaka. Megah corong menusuk langit melepaskan asap jernih ke ruang udara. Kak Maimunah akan memerhati satu per satu treler melintasi gerai kecilnya. Treler yang keluar pula dipenuhi dengan kenderaan pasang siap pelbagai rupa dan warna - dibawa ke segenap pelusuk negara untuk dijual.

Ramai pelanggan tatap gerai Kak Maimunah adalah jurutera pengimpal kereta atau kerani wanita yang di kilang otomotif K.Rozni, mereka berpusu-pusu ke gerainya seawal embun belum kering dari hujung rumput. Tatkala hari gaji, jurutera pengimpal dan kerani kerani akan membungkus nasi lemak beserta lauk yang mewah - ayam masak merah, daging masak kicap, atau kerang masak kunyit. Masuk minggu terakhir sebelum gaji, mereka masih datang membeli nasi lemak bogel. Hanya telur rebus, ikan bilis dan timun. Namun Kak Maimunah menjual aneka lauk tak kira minggu gaji atau minggu bukan gaji memenuhi pelbagai citarasa dan bajet mereka. 

“ Kak Munah, malam jumaat ni saya hendak buat tahlil dan solat hajat, boleh sediakan hildangan untuk 50 orang? “ Selain pelanggan tetap, Kak Maimunah menerima tempahan katering dari pekerja dan pegawai kilang otomotif.
“ Solat hajat untuk apanya? “ soal Kak Maimunah sambil mengerat dan menyusun daun pisang diatas meja
“ Anak saya ni Kak Munah, nak periksa, hajat dia dapat keputusan cemerlang “ kata Halida, kerani di kilang otomotif itu. 

Setiap hari gerai Kak Maimunah disingah wanita yang datang bersama anak perempuannya. Pada mulanya Kak Maimunah menganggap wanita itu seperti beratus wanita yang masuk keluar dari kilang itu - kerani atau pegawai atau jurutera wanita di kilang otomotif K.Rozni.“ Kak Maimunah perasan tak siapa tu? “ sapa seorang kerani, Halida. Rupanya itu Kak Rusilah isteri kepada Tan Sri K.Rozni, dia datang untuk menghantar anak dia ke pejabat Tan Sri K.Rozni.

“ Dia membeli nasi lemak untuk Tan Sri agaknya? “ tanya Kak Maimunah pada Halida. 
“ Mesti nasi lemak ni kegemaran Tan Sri kan? “ Halida menyapa, Kak Maimunah tersenyum. Bagai tidak percaya pula, kedai kecilnya menjadi pilihan usahawan berjuta-juta ringgit itu.

Menjelang monsun september jualan nasi lemak makin melonjak, cuaca sejuk membuat pekerja di kilang otomotif lapar. Untuk memenuhi kehendak, Kak Maimunah meletakkan lebih meja lipat dan kerusi plastik. Dia juga meletakkan sebuah peti televisyen. Di bulan September juga Datuk Medet, selaku ketua pemerintah akan membentang belanjawan. Kak Maimunah akan memperderaskan suara menghadap kotak televisyen untuk menatap wajah Datuk Medet yang beraksi secara langsung dari dewan parlimen di ibu kota.

“ Tahun ini, kita akan merancakkan industri otomotif, cukai otomotif jepun, jerman, dan amerika akan dinaikkan sekali ganda! “, kenyataan itu disahut dengan dentuman atas meja kayu yang melengkung mengelilingi dewan parlimen seperti balapan stadium. Sokong! Sokong! pekik penyokong. Tidak kurang yang berada di gerai Kak Maimunah mengangguk-angguk setuju. 

Datuk Medet, seorang genius ekonomi telah melahir pelbagai ide untuk menaik taraf ekonomi anak watan. Dia merencanakan ide ekonomi berkat-ke-bawah atau trickle down economy. Objektif ide ini memperkayakan usahawan dengan pemberian kontrak perniagaan dan perlindungan sekaligus kekayaan ini akan turun ke bawah. Kak Maimunah salah seorang yang setia menunggu habuan dari polisi ini.

Pada 2002, Kak Maimunah menjual nasi lemaknya pada harga RM1. Jurutera pengimpal dan kerani pejabat dari kilang otomotif tetap datang dan membeli nasi lemaknya. Kak Rusilah dan Kak Maimunah kini bagaikan adik beradik, dimana kalau mereka bersua, riuh satu gerai. Dia seorang yang gemar berbual, dia menunjukkan tas tangannya. Dia berkongsi pengalaman pulang dari New York. Dia berkata hanya seratus buah tas tangan itu dibuat, dan perasaan Kak Rusilah amatlah gembira kerana menjadi salah seorang yang sempat memiliki tas tangan, nilainya mencecah puluhan ribu. Jahitannya kemas dan kulitnya lembut. Kak Maimunah kagum dengan pencapaian Kak Rusilah, dan menganggap nikmat yang dikecapi tulen hasil dari gigih perusahaan otomotif. Dari tas itu Kak Rusilah mengeluarkan RM1 untuk membayar nasi lemak Kak Maimunah.

Tidak lama kemudian, Kak Maimunah mendapat notis dari majlis perbandaran. Kak Maimunah diarahkan untuk mengubah gerai dari bahu jalan menuju ke kilang otomotif itu. Jalanraya itu hendak dilebarkan, kerana kilang itu akan menjana lebih banyak bilangan kenderaan, maka jalanraya itu wajib diperlebarkan. Maka, Kak Maimunah merasakan tanggungjawabnya untuk memberi ruang tanpa berlengah lagi. Dia yakin rezekinya bergantung pada kerancakan aktiviti kilang itu. Berkat pembesaran kilang itu makin ramai jurutera dan kerani yang akan membeli nasi lemak dan kuih muihnya. Bak kata Datuk Seri Medet, trickle down   

Dengan pelebaran jalan itu ada sebaris kedai dua tingkat yang baharu naik. Terlintas dalam kepala Kak Maimunah, jikalau dia berniaga dalam gerai sebegitu, mungkin lebih baik kutipannya. Dia terus memohon pinjaman perniagaan.   

Selesai kapasiti kilang otomotif dipertingkatkan, tahun 2006, nasi lemak Kak Maimunah dipertingkatkan ke RM1.50. Untuk memenuhi citarasa, Mak Maimunah turut menawarkan hidangan ala-carte makan tengah hari. Jurutera pengimpal dan kerani sering memuji menu Kak Maimunah yang enak, tidak kurang juga yang berkata lauk di kantin kilang otomotif itu tawar tawar belaka, membuatkan gerai Kak Maimunah alternatif terbaik

Tan Sri K.Rozni sekeluarga baharu pulang dari Korea. Kak Rusilah… kini Datin Sri Rusilah menunjuk gambar dari percutian ke semenanjung yang sibuk berperang ketika kita enak mengecapi kemerdekaan dahulu. Kak Rusilah membuka folder ‘vacay’ dan dalam itu ada pelbagai gambar “ Kak Munah tengok ni. Kami semua makan pagi sup sayur untuk sarapan… tak sedap pun … tawar…. mahal pula tu “

“ Berapa semangkuk sup sayur itu? “ tanya Kak Maimunah
“ Dalam 5 ringgit semangkuk“ jawab Datin Rusilah
“ Oooh… “ terangkat kening Kak Maimunah

Datin Rusilah membeli nasi lemak untuk diri dan suaminya. Ruslindah anak perempuannya kini gemar memakan roti gandum. Datin Rusilah menambah anaknya tidak sedap perut bila makan bahan yang berat seperti, nasi. Dia kini sudah beralih pada pasta. Kak Maimunah menangguk, tersenyum sambil berkata “ budak budak sekarang “   

Halida pun kini jarang singgah ke gerainya. Namun satu pagi, ketika tiada orang di gerai itu, Kak Maimunah ada keberanian untuk bertanya apa sebabnya kerani itu jarang singgah “ Kak Munah oi, anak saya sudah tahun terakhir di sekolah menengah “ dia mengeluh “ tahun depan dia masuk universiti, saya nak kena jimat Kak Munah, balik rumah kami masak nasi untuk tengahari dan makan malam, kalau ada lebihan, kami makan nasi untuk sarapan juga - jarang makan luar “

Tahun 2007 tahun ekonomi lembap. Pakar motivasi yang dijemput oleh Tan Sri K.Rozni untuk memberi kata kata perangsang. “ Kunci untuk hidup gembira adalah dengan mengecilkan nafsu kita “, kata pakar motivasi itu “ Masalah keewangan kita berpunca dari nafsu kita yang besar “ 
Kak Maimunah sedar gaji makin kecil, tiapa siapa dalam kilang otomotif berani mengeluh sedemikian, masing masing berpegang erat pada falsafah agama yang berbunyi: rezeki di tangan tuhan. Ramai kerani yang datang ke gerai Kak Maimunah untuk meminta kerja part time. Tidak kisah, basuh pinggan, bancuh air, menanak nasi atau memotong daun pisang, namun Kak Maimunah tidak mampu menolong.

Dari gerainya, kilang otomotif itu tampak makin gah besar. Hasil penambahan blok kilang baharu, jarak gerai dan kilang kini cuma satu padang bola. Namun, makin besar kilang itu, makin kurang pelanggan. Bila kurang pelanggan, aliran tunai kurang memuaskan, maka, usaha untuk mendapat pinjaman keewangan dari bank makin sukar.  

Pada 2008, berita mengejutkan apabila Tan Sri K.Rozni meninggal dunia meninggalkan empayar bisnes itu kepada anak anaknya. Kak Maimunah merasakan kilang otomotif bukan milik anak watan lagi. Ramai jurutera jepun, jerman, dan amerika sering masuk keluar. Sesekali mereka ada juga ke gerai bahu jalannya untuk merasa nasi lemak. Terbongkok mereka memilih lauk bawah atap zink. Berpeluh juga mat salleh hendak menghabiskan sepinggan nasi lemak, kalau habis pun sambal ditinggalkan di tepi. Selepas itu mereka tidak muncul lagi. Jurutera muda anak watan pun tiada. Halida pun sudah tiada. Ada omong omong yang bercerita  bahawa seribu pekerja sudah ditamatkan khidmat mereka, Halida mungkin salah satu daripada mereka? Tidak mungkin…

Tahun 2013, era teknologi menjangkau pemikiran Kak Maimunah. Anak muda waktu ini berbuat apa jua dengan telefon bimbit mereka. Ada kala mereka mengambil gambar nasi lemak mereka. Ada kala mereka berlaga pipi untuk ber-selfie. Suatu hari ada anak muda ini menunjukkan apps yang berharga 0.99 dollar yang mengukur kalori makanan. 

Makin tinggi nilai kalori, makin mengemukkan, hatta, makin tidak sihat untuk badan. Dia memujuk kawannya agar memilih makan yang lebih sihat selain dari nasi lemak Kak Maimunah. “ dimana kita mahu cari makanan sihat? “ dan  satu lagi apps yang mencadangkan restoran berhampiran yang menghidangkan makanan kalori rendah. “ Mari kita makan disini… apps telah mencadangkan kita makan di Truly Fruity.

Terlintas dalam fikiran Kak Maimunah untuk menceburi francais. Bagaimana menjadi pengusaha francais? Mungkin francais lebih menarik generasi Y. Bila ditanya berapa nilai wang hendak dibayar pada tuan punya francais, nilainya mencecah setengah juta! Setengah juta!? Kemana wang itu pergi. Ke Amerika Syarikat, dimana pejabat syarikat Truly Fruity itu berpusat.  “ Jadi, Ruslindah itu memberi duit kita  pada warga asing? “, “ tak mungkin! “ Kak Maimunah cuba beranggapan baik dengan keluarga K.Rozni “ mungkin duit simpanannya, hasil titik peluhnya “ 

Kali ini majlis perbandaran mahu mengambil tanah tempat Kak Maimunah berniaga untuk membina kilang baharu khas untuk pengeluaran kenderaan hibrid. Menyedari hakikat ini, Kak Maimunah bertekad untuk berjumpa Datin Rusilah. Atas dasar hubungan baik mereka, Kak Maimunah ingin menyata kesempitan yang dialaminya - dia ingin meminta rancangan melebarkan jalan itu ditunda buat seketika sementara dia mendapatkan pinjaman bank.

Datin Rusilah tiba di gerai suatu pagi seminggu selepas Kak Maimunah mendapat notis mengosongkan tanah. Datin sekeluarga baru pulang dari Itali. Dia baharu melawat kota atas air, Venice. Cantik kota berkenaan. Sebagai tanda persahabatan, Datin Rusilah membawa ole ole untuk Kak Maimunah. Sehelai selendang dari Itali, buatannya kemas dan coraknya teliti, nilainya mungkin seminggu kutipan perniagaan. Kak Maimunah terkesima namun memberanikan diri bersuara “ Datin Rusilah, saya dengar tempat berniaga saya ni akan diambil untuk dibuat jalan… “

Datin Rusilah menzahirkan rasa sedihnya. Dia berjanji untuk slow talk dengan anak-anaknya dan mengalakkan Kak Maimunah mencuba nasib untuk menjadi katerer untuk kantin kilang otomotif baharu itu. Bagi Kak Maiminah dia terlepas peluang untuk beroperasi dari kedai sendiri, namun, yakin rezekinya dengan kilang otomotif. Harapannya untuk berniaga setahun dua lagi, mengumpul modal untuk memula restoran sendiri. Pembidaan untuk kontrak kantin dimenangi oleh Ruslinda, anak kepada Datuk K.Rozni sendiri. Terkejut juga Kak Maimunah, dia berbisik “ adakah ini perniagaan anak beranak? “

Sebulan kemudian gerai itu dirobohkan untuk memberi ruang pada pelebaran jalan. Jurutera dan pegawai baharu yang masuk tidak tahu menahu tentang kewujudan gerai nasi lemak Kak Maimunah disitu. Kak Maimunah mendapat surat bahawa pinjamannya masih ditolak, alasannya: aliran tunai tidak sihat. Kak Maimunah yakin selepas ini tiada pinjaman yang boleh dibuat langsung. Dia tiada aliran tunai! Kak Maimunah belum boleh bersara, seorang peniaga tidak boleh bersara! Anak nya yang baru kahwin pun masih termengah mengah mahu berjalan.

Kak Maimunah berfikir balik apa yang tidak sempurna dengan teori berkat-ke-bawah Datuk Seri Medet? Tricke down tidak menjadi? Dia di bawah ini tidak merasa apa apa. Anaknya yang berjaya dari universiti, mengenggam segulung ijazah , fotonya digantung di dinding untuk tatapan pengunjung rumah tapi dibebani oleh hutang pada pemerintah.

13 tahun, Mak Maimunah menjadi penjual nasi lemak. Esok pilihanraya, anaknya menegur Kak Maimunah “ Mak, esok bila emak memilih, pilihlah yang telah berjasa dengan kita. Di pejabat tadi rakan rakan berbual kalau yang sudah lama berkhidmat ini tidak berkuasa lagi… buruk padahnya “


“kami khuatir hilang punca rezeki “