0 com

Undi 10,5,1

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya

Hadirin sekalian! Dan juga para penonton! Anda mempunyai lebih kurang 45minit untuk mengundi para finalis kita untuk malam ini! Jika anda tidak mengundi, maka peluang bintang kegemaran anda untuk menjadi juara akan mati begitu sahaja! Taip UNDI 1 disertakan dengan nama bintang pilihan anda. Untuk mengundi lima kali taip UNDI 5 dan jikalau anda benar-benar suka akan salah satu finalis kita, maka, taip UNDI 10! Mudah kan?

Dalam satu majlis yang penuh galmor diadakan di Dewan Hotel Majesto, hadirin dijemput untuk makan nasi kenduri sambil didendangkan dengan alunan muzik daripada grup hotel. Mereka ini ditempah khas dari hotel dan amat berbakat dalam memainkan muzik Melayu bertemakan perkahwinan. Sebelum itu hadirin dijumput untuk menyaksikan upacara akad nikah yang berlangsung dengan penuh riuh sekali. Katanya tok kadi lebih gagap berbanding calon pengantin yang bakal mengikat tali pernikahan. Mana tidaknya gagap dan tersedak, yang duduk bertindih peha dengan penantin perempuan semua berpakaian kebaya ketat berbelah luas. Payu dara mereka semacam mahu terbonjol meloncat membelah jaring day curtain yang dipaut sekeliling bahu. Dalam baju kurung pun peha mereka membunjut tiada terlepas oleh mata kasar bagi setiap lelaki normal. Tergugatlah konsentrasi tok kadi tadi. Al maklum, tema perkahwinan ditetapkan pihak pengantin adalah tradisional kontemporari, maka bercambahlah kebaya moden dicouple dengan spek lalat DoucheBanana dan tas tangan LoisVeriton berlambak sampai rambang mata. Kalangan hadirin lelaki bukan datang dengan tangan kosong, Datuk persyarikatan besar datang sambil digenggam dalam tangan mereka telefon communicator untuk menerima e-mel dan mesej. Ada pula telefon bimbit lain dalam poket, dikhaskan untuk bercakap dan menelefon drebar dikala mereka sudah mahu berangkat. Bukan setakat tanggungjawab drebar untuk menghidupkan enjin motokar, tapi ditugaskan drebar untuk menghidupkan penghawa dingin agar sejuk belaka ruang dalam kenderaan nanti.

Sarbina tidak kurangnya berkebaya sendat yang diselaputi kain jarang ala day curtain. Dia bersama beberapa sahabat karib galak ketawa bertukar cerita. Sesudah temasya merenjis-renjis tamat, ada kugiran khas naik ke pentas dan bernyanyi sambil diperhatikan raja sehari. Sarbina senyum dan menguit lengan rakannya Farhanah: “ Eh, kalau dapat nyanyi atas pentas ni, seronok juga “

Maka lip lap lip lap cahaya kamera, tatkala pengantin lelaki menyuap sepotong kek kahwin kepada pengantin perempuan. Sedang Sarbina riak ketawa hu ha hu ha, digenggam tangan ibunya yang tak diduga sedang berlegar untuk bersalaman dengan pelawat: “ Mommy … mommy, nanti Sabby dah besar nak kahwin dalam dewan besar macam ni boleh tak? Ada chandelier, ada band, ada photographer, ala… semua ni standart kan mak? “

Ibunya diketahui umum sebagai datin mutiara kerana hobinya mengumpul dan bercerita tentang koleksi mutiara impot itu mengia-iakan kata anaknya itu. Sarbina menoleh semula kepada rakan-rakannya sekeliling meja bulat itu dan tersenyum. Sarbina tahu, ibunya yang bergelar datin mempunyai citarasa yang tinggi. Sarbina sedar dia takkan dihampakan oleh maknya dengan majlis perkahwinan bawah khemah yang hanya membuatkan pengunjung berpeluh celah kang-kang dan ketiak. Sekurang-kurangnya dewan hotel, jika kurang dari itu, maka tercalarlah reputasi Datin Mutiara, gagal menjaga kelas.


Yes, I shall look into that sayang…. Like what we see now, a lot more can be improved! “ balas emaknya yang datang atas jemputan. Lagi sekali Sarbina tersenyum dan menoleh pada kawan-kawannya.


“ Saya menjemput sesiapa yang ingin mendendangkan lagu kepada raja sehari kita … Dipersila naik ke atas pentas “ tetiba kugiran hotel membuat pengumuman. Sarbina terangkat sedikit kerana dia memang mampu bernyanyi. Tapi hari itu mood dia agak rendah ke sederhana sahaja. Dia tidak tahu mengapa kerana selama ini dia bernyanyi lancar sahaja. Sarbina menjeling pada Farhanah. Al-kisahnya Farhanah adalah adik bongsu kepada pengantin pada hari itu, lantas berdiri Farhanah dan memekik “ Sarbina! Sarbina! “


Oh! Tidak diduga umpan jelingan itu ditangkap cepat oleh Farhanah. Pantas dan efisyen. Dia berjaya untuk meletakkan dirinya dalam keadaan yang diperlukan oleh kawan-kawan semeja bulat itu. Mereka mencucuk-cucuk pinggang Sarbina untuk naik ke pentas dan mendendangkan satu lagu. Yeah! Kebaya ketat itu menjadi semakin sendat apabila ditusuk jari nakal sahabat. Masa itulah Sarbina berlakon dan manja-manja menolak pelawaan sehingga naik merah mukanya. Merah kerana suka. Bukan malu. Maka, dalam keadaan sebegitu diperlukan, mood yang rendah dan sedarhana itu meningkat tinggi dan bersemangat.

Kena pula Farhanah mengampu dan menarik tangan Sarbina maka mereka berdua terkedek-kedek menuju ke pentas yang kini tertumpu sahaja karenah mereka berdua. Seorang tersipu-sipu, seorang lagi memang gembira apabila menarik kawannya untuk naik ke pentas. Disusuli dengan satu tepukan apabila kaki Sarbina menjejak anak tangga pertama ke pentas. Tepukan menjadi lebih gemuruh apabila Sarbina memegang mikrofon. Dendangan lagu pertama bermula dan berakhir tanpa sebarang malapetaka.


Sedap atau tidak dendangan lagu tadi tidak dihiraukan. Sarbina tahu, dia boleh tunggu hingga keesokan paginya.


Keesokan paginya Sarbina tahu dendangan lagunya dalam kenduri penuh glamor itu lemak berkrim disukai ramai. Bila dilogin akaun facebooknya pelbagai komen yang masuk menjuah-juah memuji dan menabik persembahannya. Tak kurang dari sedozen komen yang memberitahu bahawa persembahannya itu unggul. Ada pula Farhanah menasukkan video nyanyian itu kedalam facebook, maka, makin merah menyala muka Sarbina. Lima belas kali dia memainkan video persembahannya dan berkira dalam otak bahawa dia mahu menokok tambah geleng liuk piuk badan jika berpeluang untuk bernyanyi lagi.


Oh! Ada satu komen yang baharu saja masuk. Bunyinya: “ You can be a star Sabby! Gud Luck! XOXO


Neno adalah anak Pak Karim. Pak Karim bekerja mengambil upah memungut dan mengupas buah kelapa. Dalam waktu biasa dimana tempahan untuk buah kelapa tidak sebegitu banyak, Pak Karim bakal mengambil upah menyapu perkarangan Sekolah Pondok Tariqat. Disitu Pak Karim melihat telatah dan kelakuan anak-anak kampong dari sejenak daerah menghafaz dan mentelaah kitab suci ugama, disebelah pagi mereka menperhambakan diri meneliti kitab, petangnya riadah mereka sekadar takraw di perkarangan pondok dan minum petang mereka adalah biskut kering dicelup teh tawar. Namun Pak Karim tak punyai anak lelaki, maka, Pak Karim cuba membentuk kelakuan anak daranya seperti apa yang dilihat di sekolah tariqat berkenaan. Tegas, Pak Karim pantang saja melihat Neno menjejak kaki ke luar rumah tanpa memakai tudung kepala. Neno ada kecenderungan untuk bernyanyi. Dia suka mendengar radio tatkala Pak Karim tiada di rumah. Apatah lagi Neno akan gembira sakan apabila bapanya ke bandar untuk menghantar tempahan disana, maka lebih lanjut sedikit Neno akan berdekatan dengan radio TELEFUNKEL dan meneliti lirik dan lagu. Apabila anak perempuan Pak Karim ini bernyanyi, merdu tak tumpah seperti Sheila Majid. Lalakan yang dikeluarkan Neno bukan bak burung gagak,itu sakit telinga. Tapi seumpama siulan burung yang menyeri di waktu pagi. Namun pada satu hari apabila Pak Karim pulang untuk sembahyang Zohor, dilihat Neno mengilai sambil mencatit lirik lagu, maka dijerkah Neno dan dicampak pen yang digunakan sambil mengoyak kertas itu. Jerkah Pak Karim: “ Kau nak jadi anak syaitan kah!?”


Neno yang terduduk menangis tak mampu melihat muka bapanya. Angin bapanya makin memuncak. Disentap muka Neno agar Pak Karim boleh melihat anak daranya yang sudah mula jinak dengan unsur hiburan itu. “ Kau nak jadi jalang jual suara kah? Apa kau tak ada agama? “


Teresak-esak juga Neno pada malam itu. Namun, dia takkan dapat dipisahkan dengan lagu. Neno akan mengambil peluang waktu petang untuk ke rumah Hasanah, rakan sepersekolahan setika dahulu. Di kediaman atap limbung itu, Neno terasa bagaikan syurga kerana kemudahan radio itu umpama angin yang kita bernafas. Sentiasa ada dan sentiasa terbuka.


“ Hari ini ada carta 20 terbaik, sila-sila lah dengar…. Buat macam rumah sendiri “ Memangpun hari itu Neno terasa bahagia, lebih bahagia dari berkurung dalam rumahnya itu yang penuh kekangan. Jangan risau bapanya bertolak ke stadium negeri untuk menyaksikan perlawanan akhir bolasepak yang bermula selepas isyak. Bapanya bertolak sejak Zohor lagi. Sepanjang carta 20 itu, Neno tidak berganjak keluar dari bilik, menghirup setitik air atau mengunyah sezarah makanan. Duduk Neno diatas kerusi itu menenung pada radio seumpama not lagu itu boleh dilihat mata kasar.


“ Makanlah karipap ni, mak aku buatkan “ Hasanah menjamu sepiring karipap. Neno Cuma melihat sahaja karipap berkenaan tanpa menyentuh satu pun. Neno pelik kerana Hasanah membawa masuk makanan dalam bilik. Masakan di kediaman Neno, itu menjadi kesalahan besar yang akan dihukum dengan penampar atau leteran. Ada juga ajaran Pak Karim itu yang baik dan bagus belaka.


Kenduri di kawasan kampong disambut secara bergotong royong. Menjadi tradisi ada orang kampung mengupah sekumpulan pemain gendang dan nafiri. Namun, apa gunanya irama tanpa lagu, diberitahu tentang keperluan tuan pengelola akan seorang gadis yang mampu bernyanyi. Tuan pengelola tak tahu menahu tetang Neno. Namun Hasanah memberitahu tentang bakat terpendam Neno dan minatnya terhadap muzik. Namun Hasanah dalam sedar bersubahat nekad jua memberitahu tuan pengelola agar mengambil dan menghantar Neno menggunakan motokar agar lebih segera pergi dan pulangnya. Segala pakaian dan andaman diuruskan oleh Hasanah. Neno hanya perlu keluar dari rumahnya sahaja dengan apa jua alasan. Hasanah tidak mengambil satu sen pun dari upah berkenaan.


Neno berjaya juga menyelinap keluar dari rumah. Sampai sahaja di temasya berkenaan, tuan pengelola yang bertungkus lumus memerhati perjalanan majlis memberikan Neno satu teguran: Pastikan dendangan lagu itu sedap didengar. Sejurus itu, irama lagu seperti yang dikeluarkan radio TELEFUNKEL itu keluar dari mulut Neno. Dia tidak pernah belajar akan teknik vokal dan pernafasan. Apatah lagi pitching dan harmony. Namun, dia bernyanyi hanya dengan meniru naik turun suara artis. Demikianlah Neno. Orang tua pengantin sibuk menyua tangan bersalaman dengan orang kampong. Tuan pengelola pula mengarah dimana untuk meletakkan lauk pauk kenduri manakala orang kampong pulun kedarah nasi kenduri.


Sebaik selesai, Neno didekati tuan pengelola yang tak langsung memuji atau mengkritik persembahan tadi. Dia cuma mengeluarkan sejumlah wang dan membayar pada Neno yang masih bercelak tebal dan berbulu mata palsu. Neno kemudian ke rumah Hasanah dimana celak tadi disapu bersih, gincu disagat dan bulu mata palsu ditanggal. Semua dilakukan agar Neno kembali ke bentuk asalnya. Ke bentuk dimana biji mata Pak Karim akan dikelabui bahawa Neno itu bagaikan seorang graduan sekolah pondok.


Pak Karim yang membelek surat khabar sedar akan kepulangan anak daranya itu. Namun hidung tuanya itu kurang tajam untuk menghidu bau wangian seorang pendendang lagu yang sejati. Apatah lagi menghidu minat dan bakat luarbiasa Neno. Dengan wang upahan itu, Neno sempat membeli sebuah kaset. Oleh sebab keadaan tidak mengizinkan, Neno cuma dapat mengeluarkan kertas lirik dari kaset berkenaan, dan dalam senyap-senyap, merdu suara itu perlahan menyusup keluar. Keesokan harinya apabila Neno ke sekolah, guru sesama guru ada berbisik tentang pelajar sekolah yang berkelakuan liar. Terdengar bisikan ‘GRO, kupu-kupu malam’, tapi Neno tidak tahu siapa yang dimaksudkan dengan GRO. Sampai di satu blok sekolah Neno ditarik ke bilik kaunseling oleh seorang ustazah. Neno kenal sangat Ustazah Sitah. Dia seorang yang berkulit gebu putih, dan apabila dia naik baran, seluruh wajah naik merah menyala. Tertunduk Neno segan berbaur malu. Bahawa hari itu GRO dan kupu-kupu malam itu merupakan madah untuk dirinya.


You know I cannot a day went on just like that during my 21st birthday…. “ demikian kata Sarbina. “ You know we experience those things once in a lifetime, I just never ever gonna miss it ” Diberitahu rakan-rakannya bahawa sejak pagi lagi ada program yang dirancang sehinggalah matahari terbenam.



Even, tonight, I’ll be off to makan somewhere with family “. Bertuah Sarbina, belum buka tirai tarikh hari jadinya.


Tomorrow night you datang tau…. Ala… seorang RM30 jer…. “ demikian kata Sarbina sambil menunggu respons dari rakan diseberang talian. Malam hari lahirnya itu, sebuah ballroom sudah disewa untuk dianjurkan temasya hari lahir Sarbina. Ini semua menjadi realiti dengan tajaan ibu Sarbina sendiri; datin mutiara.


“ Eh, u tunggu sekejap… ada orang call I dekat line number dua “ maka Sarbina yang selungguk atas katil itu menekan punat pada telefon bimbitnya itu untuk bercakap dengan pemanggil bertindih itu.


“ Owwwwhhhhhh…… !!! “, terkejut orang gaji yang diupah dari Ambun, Indonesia itu mendengar Sarbina meng-oh-ah-oh-ah. Dia secara kebetulan berada dalam bilik itu untuk mengambil pakaian kotor Sarbina untuk dicuci. Memang kebiasaan Sarbina berceloteh dalam telefon disertakan dengan berjuta bunyi oh ahnya. Namun, pada hari itu, bunyinya agak meluat dan mengilai panjangnya. Tak mengapalah, mungkin hari itu hari lahirnya, buatlah apa yang Sarbina suka.


Thank You!!!! Oh!!! I love you soo much!!! Muakh! Muakh! “ rupanya ada ucapan hari lahir lagi. Memang Sarbina makin gembira kerana hampir semua rakannya bagai tidak lupa akan kepentingan hari jadi ke-21 nya. Baginya, umur 21 itu menjadi simbol kepada kebebasan sejati yang tidak dikompaun oleh sebagai geriji besi. 21 bermaskud dia tidak bergantung kepada sesiapa. Kebergantungan itu hanya kepada elaun yang diberikan oleh datin mutiara. Itu bukan kebergantungan. Istilah kebergantungan itu seumpama lemah bunyinya. Istilah yang ideal adalah advantage namanya.


Did you know malam esok ada tema for the stuff that you gonna wear? “ bagaikan satu tabiat, sudahlah disuruh bayar, ditetap pula tema pemakaian. Namun, Sarbina ada logiknya mahu mengarah sebegitu rupa: “ I want to look pretty in the photos, you all have to wear like that “


“ Eh! I bayar Bobo tau untuk ambil gambar kitaorang nanti, you all kenalah strut the best dress “ kemudian Sarbina yang masih selungguk atas katil itu terdiam bagai mendengar soalan dari rakan diseberang talian: “ Of course babe! The photos are going to be nice! It will be like in the magazines gitu….” Demikianlah imej yang bermain dalam tempurung kepala Sarbina. Sudah tiada majalah yang mahu membuat coverage tentang temasya sekali-dalam-seumur hidupnya itu; disuruh pula jurufoto bebas datang untuk mendapatkan foto seperti yang dimuatkan dalam majalah. Pandai pula dia bermain perasaan: " private pictures, the photos are between us saja "


Perkhabaran tentang wakil rakyat turun padang sering kedengaran; terutama bila tarikh pilihanraya makin hampir. Pak Karim mendapat tempahan untuk mengupas 500 biji kelapa untuk kenduri.Awal pagi lagi ibu melurut kaki Neno agar dia dapat bangun dari tidur. Neno mengusap-gusap kelopak matanya. Pagi belum nampak lagi cahaya matahari. Silap-silap bening azan subuh belum berkumandang, Neno sudah berada di luar rumah mengupas kelapa. Terdengar bunyi air telaga yang dicedok bapanya. Sekali sekala ternampak dua atau tiga orang dalam telekung, perlahan berjalan semua menuju ke surau: “ Neno, tak pergi surau ka? “

Neno menoleh dan cuma tersenyum sahaja. Sejuk angin pagi diluar ditemani cahaya lampu kalimantang yang menyambar sakit mata. “ Kesian anak dara Pak Karim, tak boleh sembahyang “


Neno menunggang motor kapcai Hunda Cup untuk mengambil saudara lelakinya yang tinggal di kampung bersebelahan. Demi mempercepatkan proses mengupas kelapa, Pak Karim membuat panggilan telefon memesan agar Neno singgah di Tukang Besi Ah Seng untuk membeli sabit pengupas kelapa kerana yang sedia ada sudah tumpul dan rapuh berkarat tak mahu makan asah.


Selesai sudah mengupas buah kelapa yang tidak diketahui berapa ratus bilangannya, yang diketahuinya adalah sedikit rasa letih.Namun, tugas masih belum lagi selesai.


Neno akan berada di belakang ruang rumah, dengan lemah gemalai tangannya menerjah mata pisau itu memotong kemas daun saderi. Apabila ada mak cik disitu yang masuk kembali dalam rumah untuk mengambil ramuan, maka adalah nada suara beralun. Tahulah, itu Neno, senyap itu kosong belaka mengundang suara sebagai peneman. Boboi dan Fifi, dua beradik yang tak reti duduk diam melastik anak ayam dan membonceng kapcai akan datang mendekati Neno, berpura-pura ada urusan dengan ibu saudara sedangkan cuping telinga cilik mencuri dengar alunan suara lunak Neno.


“ Fifi.. Boboi… buat apa disini? “ Merah muka kedua-dua budak anak Haji Hassan itu, mereka selalu melihat persembahan artis di televisyen dan mendengar alunan lagu di radio, namun, Neno didepan mata mereka seperti tiada tolok tandingan. Disoal apa nawaitu mereka terkinja sedangkan Neno sibuk memotong sayuran untuk kenduri kendara, Boboi mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula menekan punat tit tat tit tat. Dia bukan pun hantar mesej pada sesiapa, cuma bermain game kerana sudah dua minggu handset itu tidak ditop up.


Neno Cuma tersenyum dan terus memotong sayur sambil memerhati kuali penuh dengan air menggelegak. Selesai memotong ubi dan sayur, Neno tanpa tangguh lagi pulang ke rumah. Hari pun makin hampir melabuhkan tirai. Pak Kasim yang tegas itu amat pantang kalau Neno pulang ke rumah selepas maghrib tanpa sebab munasabab. Maka menerjahkan motor itu melalui denai tidak bertar kampong ke rumah sendiri. Sebaik sampai sahaja, dilihat ada ramai orang mengerumuni rumahnya. Neno binggung. Siapakah yang bertandang ke rumah membawa begitu ramai kawan sekali. Tidak diketahuikah mereka tiang empat rumah yang seusia dengan neneknya itu bukan mampu menampung sebegitu ramai manusia.


Tidak diduga rupanya wakil rakyat sedang melakukan lawatan ke rumahnya yang serba daif itu. Neno hairan apakah yang mampu dijamu kepada orang besar kerajaan dari ibu wilayah ini. Neno cuma tahu radio TELEFUNKEL itu yang mampu menghiburkan hatinya. Tidak tahu pula wakil rakyat apa yang membuat dirinya membaur dengan rasa syok.


Tidak lama lepas itu, persoalan Neno terjawab; “ Adik… adik umur berapa? “ suara garau dan mendalam wakil rakyat itu membuatkan Neno tersentak. Dia tersipu-sipu malu bercakap dengan orang besar wilayah. Takut terkeluar kata-kata kesat atau yang menguris perasaan. Namun Pak Kari memerhati tajam anaknya yang makin membuang masa.


“ Emm… umur saya dua puluh…. Tu…tuan “ demikian kata Neno. Wakil rakyat itu kemudian menoleh pada pembantu peribadinya yang memegang sebuah fail berwarna kelabu. Wakil rakyat berbisik sesuatu. Pembantu itu kemudian mengeleng-geleng kepala. Wakil rakyat kemudian menoleh kepada Pak Karim seumpama urusannya dengan Neno sudah tamat.


Tiba-tiba Neno ternaik suara, dia mahu membetulkan pernyataannya tadi. Wakil rakyat sedia memasang telinga. Semua orang tahu telinga wakil rakyat senantiasa terbuka tatkala pilihanraya hampir. Digebang pasal pokok padi kena penyakit bena pun wakil rakyat dengar dalam waktu sebegini.


“ Sebenarnya umur saya 21 … “ kata Neno. Kemudian terpancar satu cahaya harapan dari muka wakil rakyat berkenaan, sampaikan pembantu peribadi bagaikan gear automatik mengeluarkan kepingan kertas untuk diisi. Bukannya borang untuk bantuan pelajar termiskin atau pakej bantuan ke institusi pengajian tinggi. Cuma borang untuk mendaftar sebagai pengundi rasmi di kawasan berkenaan. Senyuman kedua-dua pengunjung rumah Neno pada lewat petang itu memang melampau lampau. Pak Karim cuma ikut tersenyum.


Bagi Neno, dia baru sedar bahawa hari itu adalah hari lahirnya yang ke 21. Tapi matahari tidak lama lagi akan terbenam. Demikianlah hari jadi ke-21 Neno. Sehari suntuk dia tidak menyambutnya. Hari itu seumpama hari hari biasa saja. Dia cuma mampu bergembira kerana atas limpah kurnia tuhan dia masih bernyawa meniti usia.


“ Uncle Pat, kenapa dia orang macam ni dekat Sarbina “ malam itu Sarbina mengacum kepada pak cik saudaranya. Merah berair matanya kerana gagal ke peringkat seterusnya dalam ujibakat Akademi Artis . Namun Uncle Pat pada mulanya tidak mengambil berat akan keluhan hati Sarbina. Dia cuma mampu berkata: “ Its okay, next time cuba lagi “


“ Tapi Uncle Pat kenal juri…. “ benar belaka. Uncle Pat adalah kenalan kepada salah seorang juri Akademi Artis. Bukan sebarangan juri yang duduk di belakang tabir. Uncle Pat sudah bertahun kenal dengan juri kerana dia turut bekerja sebagai sebagai coordinator di program Akademi Artis. Bukan calang-calang kenalan yang bersalaman ketika bertemu, dan bertanya khabar ketika bersua. Sesungguhnya hubungan mereka lebih mendalam dari itu; kena pula Uncle Pat ini dikenali sebagai lelaki jambu.


“ Uncle Pat! Do something! “ teriak Sarbina


“ Sabarlah Sabby “ kemudian Uncle Syed datang memegang bahu Sarbina.


“ Uncle… uncle Syed sure can do something for me!? “ teriak Sarbina teresak-esak kepada Uncle Syed yang sudah dalam lewat 50-an itu.


If I could, I dah lama done something for my lovely nephew sorang ni “ tambah Uncle Syed menenangkan anak saudaranya. Tetiba Uncle Syed mengeluarkan blackberrynya dari dalam poket seluar. Dia mendapat tahu ada notis kemasukan e-mel dari pejabat berlabel urgent. Rupanya, e-mel itu adalah dari syarikat penyiaran televisyen swasta berbayar. Dimaklumkan bahawa syarikat mimuman ringan miliknya SYED COLADRINX sudah dinaiktaraf menjadi premium sponsor partner untuk rancangan Akademi Artis. Syarikat yang mempunyai status premium partners ini boleh menyunting bakat dari Akademi Artis selepas 3 bulan mereka mengeluarkan album. Dan pelbagai lagi undisclosed previledges yang tidak dinyatakan secara terangan dalam dokumen hitam putih.


Datin Habibah juga cuba menenangkan anak saudaranya: “ Maybe Sabby boleh try next year kalau tak study di UK “


“ Sabby tak nak! Nak masuk uji bakat this year juga “ kata Sarbina sambil menumbuk manja kusyen kerusi.


“ Auntie Bibah, are you just going to sit there and watch me being kicked out? “ teriak Sabby. Setahu Uncle Pat dan Uncle Syed, Auntie Habibah adalah pegawai tinggi syarikat audit yang menguruskan perkiraan undi dalam program Akademi Artis itu. Syarikat audit akan mengutip dan mengira undi mengikut peratusan dan tugas Auntie Habibah adalah untuk menjaga integriti dan transparensi undian SMS rancangan Akademi Artis. Namun, sekali sekala Datin Habibah terpaksa melupakan prinsip dirinya apabila mendapat arahan atasan yang tidak boleh disanggah.


Ketika tahun ke-5 program Akademi Artis, difahamkan anak seorang menteri kabinet bernama Raffi sudah menjadi antara 12 finalis. Namun undiannya makin menjunam dan prestasinya tak pernah konsisten membuatkan sesiapa sahaja yang belajar asas statistik di universiti tahu Raffi bakal tersingkir. Atas arahan Rahul Nair, pemilik syarikat televisyen swasta berbayar yang mahu menjaga hubungan dengan menteri kabinet yang berkemungkinan satu hari menjadi perdana menteri, statistik undi Raffi sudah diubah. Musim itu Raffi berjaya menjadi pemenang tempat ketiga sekaligus mendapatkan kontrak album dan kontrak berlakon sebanyak sedozen filem. Dahsyat tu. Namun apabila ditanya, tuduhan itu disanggah secara professional oleh Datin Habibah dengan berkata: " mengapa anda perlu berprejudis dengan orang berpangkat besar seumpama kami makan gaji buta "


Peristiwa yang dialami Neno adalah sesuatu yang tidak pernah dialami anak dara lain. Dia berjaya melayakkan diri menjadi 12 finalis Akademi Artis. Itu berkat Hasanah yang menyeludupnya ke bandar, dan memaksanya menghadiri uji bakat. Pertama kali Neno dipuji oleh pegawai ujibakat berkenaan. Suatu pujian yang agak dahsyat sehinggakan dia mahu Neno ke Kuala Lumpur dengan segera kerana ‘orang sana memang mencari suara yang dipunyai Neno’

Hasanah kemudian bercakap dengan Epit, adik bongsu Pak Karim yang sudah biasa dengan selok belok orang Kuala Lumpur. Ini untuk memastikan tiada ketegangan yang bakal berlaku antara Pak Karim dan Neno. Pada mulanya Pak Karim agak terkejut dengan langkah berani Neno yang memandai pergi ke uji bakat tanpa pengetahuannya. Ada juga rasa berang, namun kerana umurnya sudah meningkat naik, Pak Karim berazam untuk menurunkan anginnya itu. Tidak pula dia menerjah pada anak daranya itu.


Epit sudah enam tahun belajar dan mencari kerja di Kuala Lumpur dan memberi jaminan bahawa anak abangnya itu takkan diapa-apakan. Tidak mengapa, kalau anaknya itu tergila sangat mahu bernyanyi, Pak Karim benarkan sahaja. Namun, Neno dibuat untuk bersumpah agar berkahwin dengan seorang lelaki warak sekolah pondok tariqat kerana bagi Pak Karim hidup mereka penuh dengan keserdahanaan dan sifat tawaduk. Lebih berkat kalau seorang mursyidul tariqat. Pak Karim membuat Neno dikunci kerana sememangnya seorang lepasan sekolah pondok tariqat itu akan menafikan apa-apa niat Neno untuk bernyanyi lagi. Itupun kalau dia menjadi artis sepenuh masa. Neno masih perlu bersaing dengan 11 lagi peserta.
Pak Karim memberi amaran keras bahawa semua ini “bukan kahwin paksa”, jangan sesekali mahu buat muka monyok muncung. Jikalau Neno pulang tangan kosong, dia harus juga berkahwin.


Neno akur dan mengikat perjanjian demi mengejar impiannya yang belum tahu kepala ekornya. Esok paginya Neno melipat bajunya dan terus bertolak ke Kuala Lumpur bersama Epit. Tidak sepatah ayat yang dikeluarkan oleh Pak Karim semenjak itu.


Ya! Tuan-tuan dan puan-puan…. Tinggal 15 minit lagi sebelum talian undi ditutup! Sudahkah anda mengundi peserta kegemaran anda? Undi segera nanti menyesal!


Sarbina tahu Farhanah akan mengundinya. Dia tahu sangat akan penyertaan dirinya dalam Akademi Artis musim ke-8 itu. Sekurang kurangnya sekali UNDI10. Samalah juga dengan kawan meja bulatnya itu, mereka sekurang-kurangnya UNDI5 untuk tiap seorang. Menjadikan jumlah kasar sesama rakannya 35 undi dalam tangan!


Datin mutiara ibunya yang memberikan sokongan tanpa henti itu bakal memberikan sekurang-kurangnya 100UNDI. Belum habis lagi, Sarbina difahamkan datin mutiara sudah memulakan Sarbina Akademi Artis8 fanclub dan mengumpulkan mereka di satu kedai mamak berskrin besar. Disana mereka sedang menyaksikan secara langsung detik detik akhir Sarbina perjuangannya dalam AA8.


Sarbina yakin Uncle Pat yang berkerja sebagai coordinator itu mesti sibuk menaip pada telefon bimbitnya. Sekurang-kurangnya UNDI10? Datin Habibah pula bagaimana? Paling kurang mesti diberikan 50UNDI… Kalau dibawah tahap itu, dimanakah maruah seorang datin? Apatah lagi Uncle Syed yang produknya terpampang setiap kali iklan Akademi Artis 8 keluar. SYED COLADRINX. Kalau kurang dari 100UNDI, mungkin dia tak layak menjadi managing director syarikat.


Sarbina tersenyum girang kerana aura kemenangan itu sudah dapat dirasai.


Neno diatas pentas agak suram namun sekali sekala dia menepuk tangan sahaja menunggu countdown timer di belakang dirinya menghampiri waktu penamat. Neno risau, kerana siapa yang akan mempunyai ikhtiar yang mampu mengundinya sampai 10 sekaligus? Dua orang budak licik tu, Boboi dan Fifi, mereka ada handset, namun, tak pernah ada kredit, dan apakan daya mereka mahu mengundi walaupun dalam hati Neno tahu dua budak itu sering mendekati dirinya ketika mendendangkan lagu.


Ayahnya? Mungkin besar tidak mengundi. Dia sendiri bencikan hiburan seumpama ini. Radio itu sudah menjadi satu kesalahan tahap ekstrim baginya, apatah lagi menggelek badan di depan lensa kamera sambil bernyanyi. Dia lebih suka melihat Neno ke sekolah pondok tariqat.
Hasanah? Insyallah dia akan mengundi sekadar termampu. 5UNDI? 3UNDI? 1UNDI? Neno terhutang budi dengan Hasanah kerana dialah yang member sokongan padu dalam perjalanannya menempuhi segala ini.



Turut jua berterima kasih dengan pak ciknya Epit yang bertungkus lumus bercakap dengan bapanya yang kepala angin itu. Tak tahu pula berapa undi yang Epit akan beri. Dia hanya seorang clerk di sebuah bank di ibu kota. Namun Neno tahu Epit akan mengundinya.

Ya! Tuan-tuan dan puan-puan…. Talian undi sudah ditutup! Dalam beberapa saat lagi, coordinator program akan memberikan saya sampul yang mengandungi nama juara program Akademi Artis musim ke-8 ini. Ingat! Hanya satu juara sahaja yang akan diisytihar pada malam ini!


Neno dan Sarbina masing-masing berpegangan tangan sambil melihat ke lantai pentas. Lampu limpah tertumpu pada mereka. Hos rancangan kemudian menerima sebiah sampul berwarna merah dan berdiri diantara mereka dua.


Perlahan-lahan hos membuka sampul dan membaca catitan atas kad itu. Tidak menjadi masalah untuk hos membaca kerana diatas kad itu tertera nama juara program realiti yang berlangsung selama 13 minggu berturut-turut itu.

Dan juara untuk Akademi Artis musim ke-8 adalah…. Berikan tepukan gemuruh kepada………..