0 com

Kematian Sasterawan dan Sastera


Selamat Tahun baru 2012!

Jika dikhabarkan, berita ni tak seberapa baru. Saudara Azizi Haji Abdullah sudah pulang ke Rahmatullah pada Ogos tahun lalu. Siapakah gerangan ini sampai peninggalan dia tak ada meninggalkan apa-apa berita, dan apa signifikannya terhadap dunia mahupun tanah air? Tidak mengapa, saya takkan demonize anda semua ni cetek, ortodoks atau singkat akal. Memang anda tidak sesekali bersalah jika tidak mengenali tokoh sastera ni, lagipun di dunia ini ada 7 billion penduduk, mana mungkin kita ada masa nak meratapi kematian setiap orang.


Beberapa bulan sebelum pemergian Azizi Haji Abdullah saya ada pergi mencari buku hasil tangan beliau. Berjudul ‘ Daerah Beta’, merata pustaka buku di Sungai Petani saya jenguk. Setiap pustaka terkemuka di Sungai Petani ni saya singgah dan bertanya dan bertanya buat beberapa kali memastikan buku itu benar benar tiada, kalau tiadapun, bilakah masanya akan ada, bila stok baru hendak sampai? Apakah mereka tahu mana mana kedai buku lain yang ada buku ini dalam tangan?

Sedihnya tidak ada satupun pustaka yang menyimpan bukunya, malah staf staf mereka menggaru kepala lagi- siapa tu ‘Azizi Haji Abdullah’? Dia sememangnya seorang penulis tapi apa malap popularitinya berbanding Ahadiat Akasha? ( saya pun kurang pasti ejaan namanya ) dan penulis lain yang nama penanya serba kontemporari dan berbunga bunga.

Allahyarham Azizi Haji Abdullah memang tidak gemerlapan seperti novelis lain, tapi sejak saya terbaca novel ‘kawin-kawin’ hampir sepuluh tahun dahulu, saya kagum dengan keunikan cara beliau menulis, penampilan kisah yang sinis tanpa mengguris dan susun ayat yang beralas tapi berbisa membuatkan saya terfikir bahawa sastera Melayu ni taklah seklasik yang selalu kita gambarkan.

Sesudah meronda satu Sungai Petani dan selesai menjenguk semua pustaka termasyur di pekan ini, saya berhenti mencari. Dari kebarangkalian ‘ada’, harapan saya lenyap menjadi ‘tiada’ .Gamaknya saya harus ke Kuala Lumpur dan menjejak kaki ke pejabat besar Dewan Bahasa Pustaka dimana buku itu dicetak dan dijual. Alangkah sedihnya Saudara Azizi Haji Abdullah jika mengetahui tiada kedai buku di kampong tanah lahirnya ini gagal menjual buku nukilannya? Sungai Petani, Bandar terbesar paling hampir dengan Kampung Bukit Meryam,  Kota Kuala Muda ( tempat lahir beliau), tidak ada satupun menjual buku ‘daerah beta’– namun, inilah hakikatnya,di Malaysia ini amat susah untuk mendapat judul tertentu bahasa Melayu walaupun Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Saya tak mahu menunding jari pada sesiapa, realitinya pustaka buku sekarang ini ghairah mencari keuntungan. Pustaka buku tidak layak lagi dipanggil dengan nama itu, lebih baik saja dipanggil ‘kedai buku’. Bila saya perhatikan, buku yang mereka simpan kebanyakannya buku ulang kaji pelajaran. Bersepah buku buku ini, ditindan sehingga setinggi semeter kerana buku inilah yang menjana keuntungan.

Para pelajar ingin mendapat keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan, kerana tempat tempat ke universiti amat terhad, dan yuran ke institusi swasta amatlah mahal dan saban hari saban meningkat. Keputusan cemerlang mingkin boleh menjamin tempat ke universiti tapi apa pula cerita dengan biasiswa? Maka keputusan mestilah ekstra cemerlang dan buku-buku inilah dicari dahulu apabila masyarakat kita menjenguk ke kedai buku. Selain alat tulis serba lengkap untuk peperiksaan.

Penerbit makin galak menjual buku ulangkaji mereka,dengan cetakan terkini tiap tiap tahun dan persaingan makin hangat dengan penerbit berlumba lumba menunjuk bukti penulis buku ulangkaji mereka datang dari latarbelakang yang hebat ( contoh; bekas penulis kertas peperiksaan ) sebagai  pemangkin kredibiliti

Dengan berlakunya trend ini, apakah nilai buku sastera Melayu yang lebih bersifat intellectual macam ‘daerah beta’ tulisan Azizi Haji Abdullah berada? Bila saya bertanya di kedai kedai buku, mereka cuma menunding pada sebuah rak berdebu penjuru ruang dalaman kedai itu, di ceruk dimana saya perlu berjalan lebih dan keadaan yang kurang cahaya, disitu bukunya dibalut plastic tapi berdebu. Ada yang nasib lagi malang, tidak berbalut dan bintik bintik kuning mula naik di penjuru tiap tiap muka surat. Hanya sebuah buku bagi setiap tajuk;mahu beli sila ambil, kalau tak mahu sila tinggalkan.

Hendak memupuk minat kepada sastera pun amatlah susah. Mereka hanya dilempar dengan novel novel yang mereka sendiri tidak gemar baca. Malah jawapan pada kertas peperiksaan berkenaan dengan komponen sastera adalah ‘archtypical’, analisis itu sudah dilakukan orang lain, mereka hanya perlu merumuskan. Dari segi prioroti pun , tidak berbaloi membaca novel melayu yang sampai beratus mukasurat, kertas Bahasa Melayu Cuma layak mendapatkan pelajar dengan sebuah ‘A’. Ada pelbagai lagi kertas yang mampu memberikan ‘A’ yang boleh memberikan maximum efficiency kepada waktu pembelajaran mereka. Otak pula diperam dengan fahaman ‘mari berlumba siapa dapat banyak A’ , maka, subjek Bahasa Melayu merupakan subjek yang efficiency paling rendah kalau hendak menghayati setiap baris ayat dalam novel itu. Apatah lagi hendak difikirkan aplikasi komsas dalam hidup seharian yang serba kompetitif, makin rendahlah sastera dalam prioriti.

Kerana itulah buku ulangkaji pelajaran amat laku seperti cakoi panas. Buku ini adalah rumusan, mempercepatkan proses untuk tamat belajar dan merangkul sebanyak mungkin ‘A’s’ yang ditawarkan. Guru pula tak endah kalau mereka melihat anak muridnya menunjukkan minat luar biasa terhadap sastera. Bagi guru tidak ada signifikan kalau anak muridnya tiba tiba mengeluarkan nama seperti Abdullah Hussein? Shahnon Ahmad? Faisal Tehrani? Othman Che Chin? Yang pentingnya syllabus perlu dihabiskan mengikut ketetapan masa. Bercakap pasal potensi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Google kan ada?

Di Internet, karya sastera Melayu tidak mendapat sambutan yang hangat. Cuma review oleh blog blog yang dibuat secara ringkas dan kasual. Tiada database yang berpusat seperti Wikipedia untuk Sastera Malaysia. Dan semua ini adalah peristiwa peristiwa yang akan menghala kepada kematian Sastera dengan gaya yang senyap, seperti permergian Saudara Azizi Haji Abdullah, tanpa sebarang berita. Dan tiada siapa akan meratapi pemergian sebegini.