0 com

Hashtag Keturunan dan Cerita Dongeng, Gimik dan Mitos Yang Datang Bersamanya




Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya.


Mr. Potter Goodman melonggarkan butang kolarnya. Cuaca panas dan lengan bajunya sudah basah dengan peluh. Dia mengeluarkan sehelai sarung tangan peten kotak kotak dari kocek kanan seluar slack kelabu.

Mrs.Potter, di United Kingdom ketika melipat dan memberi sarung tangan itu padanya menzahirkan rasa terkejut suaminya, si-wartawan akhbar Guardian itu menerima tugasan untuk ke Malaysia. Untuk membuat liputan dan tulisan tentang Hari Raya  Aidilfitri di negara yang terletak jauh di Timur.

Takkan di Malaysia tak ada wartawan atau koresponden? tanya Mrs.Potter

Editor akhbar mahukan Hari Raya dari kaca mata orang Inggeris macam saya. Kerana panggilan tugasan, Mrs.Potter redha dan menyarankan agar Potter banyak minum air agar kesihatannya terjamin.

Potter menyeluk dalam beg galas untuk mencapai botol air. Mr.Potter terhenti seketika dan menoleh ke kanan - bolehkah saya minum air?

Silakan encik Potter, anda boleh minum air itu. Kata Hakikat Malim. Hari ini kami tidak berpuasa. Hari ini kami ditegah berpuasa.

Barulah Mr.Potter meneguk air membasah tekak.

Ah kita sudah tiba di destinasi pertama. Kata Hakikat Malim, memberi isyarat dan memberhentikan kenderaan itu di laman sebuah kediaman. Sebaik keluar dari kenderaan, Mr.Potter mengenyit matanya. Cahaya matahari tajam menyulitkan penglihatannya.

Belum melangkah masuk ke ruangan rumah sudah terdengar gelak katawa dan jeritan kanak kanak. Aura perayaan itu membuatkan Mr.Potter yakin dia sedang meliputi satu kisah yang menarik bagi pembaca akhbar di  United Kingdom tentang perayaan Aidilfitri ini. Satu perayaan yang asing baginya.

Terkebil kebil mata keluarga Halimusang melihat kelibat Mr. Potter di pintu mereka. Seorang mat salleh dengan kulit dan rambut serba putih datang bertandang beraya ke rumah.

Salam! Hakikat Malim memberi salam dan memperkenalkan Mr.Potter dan tujuannya berada disitu. Haili Halimusang memperkenalkan adik-adiknya. Bermula dengan Huda, Hafilda dan Hilda. Haili kemudian terus mempelawanya terus ke meja makan bersama Hakikat Malim. Dituang air laici dan dipotong ketupat berserta rendang daging batang pinang. Hakikat Malim memberi nasihat awal awal lagi agar tidak memakan banyak ketupat kerana juadah itu boleh mengakibatkan rasa mengantuk - Mr.Potter bakal singgah ke beberapa rumah lagi untuk membuat liputan.

Haili Halimusang, kakak sulong dalam keluarga Halimusang menerangkan setiap makanan dan kuih muih yang tersedia. Mr.Potter dengan mencuba satu per satu, dalam kuantiti kecil. Setiap yang dicubanya, Haili yang berbulu mata palsu dan bercelak seperti mata kucing itu senyap dan menunggu komen. Mr.Potter terasa seperti juri makanan, dia kemudian bergegas ke ruang televisyen dimana setiap ahli keluarga sedang sibuk berkumpul. Mr.Potter perlahan lahan merebahkan batang tubuh tinggi lampainya dan duduk bersimpuh dikalangan keluarga Halimusang.    

Mr.Potter menyeluk kedalam bag dan mengambil kamera. Bermula mengambil foto cucu cucu Halimusang yang girang berlari dalam baju kurung dan baju melayu baharu mereka.


Mr.Potter diperkenalkan dengan tiga pasang kembar seiras. Disitu Haili Halimusang mula membuka kisah tentang keluarga Halimusang.

Haili berkata bahawa Halimusang terkenal dengan kesuburan orang perempuan mereka. Haili menyatakan keturunan Halimusang berkait dengan Puteri Gunung Ledang. Berbilang Raja Raja dan pahlawan dahulukala mencari orang perempuan dari keturunan Halimusang untuk mendapatkan zuriat.

Mr.Potter mencatit maklumat itu atas buka nota kecilnya. Jeritan kanak kanak dalam bilik itu menyukarkan perbualan itu serba sedikit.

“ Agong negara ini, ketika dia masih putera di sebuah negeri Timur pernah mahu melamar seorang gadis. Bersungguh sungguh dia mahu melamar. Walaupun dengan kekayaan dan kemasyurannya, gadis itu menolak “ tambah Hilda

“ Katanya gadis itu dari keturunan Halimusang. Tapi yang jauh, yang kami kurang kenal... tapi ya, dia dari keturunan Halimusang “

Huda Halimusang kemudian menambah, difahamkan bahawa tumbuhan popular untuk menambah kehangatan berumahtangga ; kacip fatimah itu dibawa sendiri oleh keturunan Halimusang ke semenanjung Malaya. Difahamkan ‘penjaga’ semenanjung Malaya berterima kasih dengan pembawaan tumbuhan ajaib itu, sebagai timbal balas ‘penjaga’ mengurniakan otot yang punyai cengkaman luarbiasa walaupun sudah melampaui umur 50an pada warga perempuan dari keturunan Halimusang.  

Atas sebab yang demikian juga, Raja-raja dan putera Raja bukan sahaja menggilai perempuan keturunan Halimusang untuk kesuburan mereka tetapi kesedapan dan kelazatan hidup berkahwin yang mereka bakal tempuhi dalam tempoh yang panjang.

Siapa penjaga itu? Tanya Mr. Potter Goodman.
Tidak banyak diketahui tentang ‘penjaga’ itu. Perkara berkurun kurun lama berlaku sebelum orang pandai menulis. Pendek kata, makhluk mistik yang amat berkuasa.  Tapi penjaga itu mengurniakan setiap anak dara keluarga Halimusang untuk 'mengacip' dengan kekejapan luar biasa.

Hafilda dan Hilda tersenyum dengan kenyataan itu, tersipu sipu mengiya iya tetapi memberitahu Mr.Potter bahawa maklumat ini dibuat seperti rahsia besar. Mereka berkata Mr.Potter orang teristimewa untuk mengetahui rahsia kesuburan dan kemampuan semulajadi keturunan Halimusang untuk ‘mengacip’

“ Satu lagi rahsia keturunan kami, gadis keturunan Halimusang cenderung berkahwin dengan lelaki berpengaruh dan kaya. Hidup mereka senang selain menduduk tangga teratas sosial “

Suami Hilda, seorang usahawan susu kambing dan, tolong rahsiakan perkara ini Mr.Potter, suami saya merupakan penerima gelaran Datuk termuda di Malaysia.
Suami Huda, al kisah nya sudah mendapat tawaran pekerjaan walaupun belum tamat pengajian di luar negara. Dia kini pegawai kerajaan tertinggi di negeri kelahirannya dengan gaji melampaui pegawai yang lain yang malah lebih lama berkerja. Kisah itu diakhiri dengan “Tolong rahsiakan ya, Mr. Potter “

Hafilda, adik yang paling muda pula belum berkahwin tetapi dia kini dalam dilema untuk memilih antara seorang usahawan berjaya yang mencapai kutipan sejuta ringgit dalam akaunnya sebelum umur 25, yang katanya mempunyai lesen selam skuba laut terbuka dan lesen juru helikopter ringan yang juga bakal mendapat gelaran datuk pada usia yang lebih muda. Lebih muda dari apa yang dikecapi abang iparnya.

Hafilda pun dikatakan diintai seorang jejaka yang berdarah keturunan raja yang emaknya bersungguh sungguh mahukan Hafilda menjadi isterinya. Mungkin emaknya tahu betapa suburnya kaum Halimusang ini. Selain kemampuan mereka untuk ‘mengacip’. Kisah itu diakhiri dengan “Tolong rahsiakan ya, Mr.Potter “

Mr.Potter mahu mengambil gambar seluruh ahli keluarga Halimusang termasuk tiga pasang kembar seiras yang menarik perhatiannya. Sebagai seorang warganegara negara yang maju, dia faham keluarga Halimusang akan melahirkan lebih ramai kembar.

Mr. Potter mengeluarkan telefon bimbitnya. Hilda mendekati wartawan Inggeris itu dan bertanya: Mr.Potter ada instagram?Mr.Potter mengangguk, dan menambah “saya memang mahu letak gambar keluarga anda ke Instagram saya”

Hilda memberi syarat kepada Mr.Potter sebelum gambar itu dimuat naik dalam Instagram.

Mr. Potter perlu gunakan hashtag #Halimusangclan

Itu hashtag yang kami guna sepanjang hari raya ini. Setiap foto dimuatnaik yang  mempamerkan wajah kami wajib ada hashtag itu. Agar orang orang tahu keturunan Halimusang, dan cerita disebaliknya. Mr. Potter ketawa sambil mengangguk. Dia akur dengan permintaan itu. Jika itu yang dikehendaki tuan punya gambar.

Hakikat Malim memberitahu keluarga Halimusang bahawa Mr.Potter perlu beransur. Mr.Potter mengucapkan terima kasih pada keluarga Halimusang.

Ingat ya Mr. Potter - #Halimusangclan harus disertakan pada foto itu tegur Hilda

Sebaik masuk kedalam kenderaan, Mr.Potter mengeluarkan buku nota kecil dan mula menulis cadangan tajuk untuk liputannya hari ini. Sebelum menghidupkan enjin, Hakikat Malim mencuri pandang dan ternampak tajuknya. Jelas menunjukkan Mr.Potter kurang jelas tentang Hari Raya. Atau Mr.Potter keliru? Atau Mr.Potter dikelirukan?
    
Hakikat Malim bertanya pada: Mr.Potter sudah sedia untuk melawat keluarga seterusnya?

Mr.Potter menarik nafas panjang.
0 com

Dulang Girl

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya 


Dulang checked, barangan hantaran checked, sewa dewan checked, urusan pejabat agama checked. Majlis tunang dan nikah berlaku pada hari yang sama. Mawar menggambarkan dirinya dikekelilingi teman rapat. Tujuh anak gadis dulang kesemuanya. Tersedar dari lamunan bahawa dia masih teragak agak untuk menjemput gadis ke tujuh, Juita. 

“ Kenapa tak panggil orang lain ganti si-Juita? “ tanya Jebat

You gila ke apa?” jawab Mawar dan Jebat terdiam. Pasangan yang belum naik pelamin itu sudah bertelagah.

You ingat ni perkara kecil. Juita kot? “

Juita dan Mawar bertadika, bersekolah rendah dan beruniversiti bersama. Kecuali sepanjang sekolah menengah dan beberapa tahun selepas mendapat ijazah mereka berengang. Mereka pergi ke konsert pertama bersama-sama. Masing-masing menemani ketika dating di zaman cinta monyet. Petik sahaja lagu nyanyian Mariah Carey, Beyonce atau Jennifer Lopez, kedua-dua boleh bernyanyi pada not yang sama tinggi dan rendah. Tak kira masa, ketika memandu, dalam bilik mandi ataupun kebuk kecil karaoke, artis kegemaran mereka serupa bahkan artis yang mereka meluat pun sama.

“ Kami siap buat tabung simpanan untuk tengok konsert Beyonce “ jelas Mawar. Apakan daya,  tabung itu terpaksa dipecahkan ketika masuk ke universiti. 

5minit berlalu.

10 minit berlalu. 

Masing masing tidak berkata sepatah apa. Jebat ingin menghidupkan radio melalui punat kawalan stereng, Mawar memicit butang radio itu, mematikan semula. Tegas dia mahu keadaan dalam kenderaan itu senyap!

Mawar teringat betapa Juita benci bulan Disember. Datang bulan Disember, musim pernikahan. Mawar dan Juita meyaksikan satu demi satu rakan rakannya memasuki alam perkahwinan. Perasaannya terguris, tertekan dan stress dan tiada siapa dia dapat mengadu domba selain pada Mawar. Kini giliran Mawar pula, dan Mawar mencongak congak apakah tindakannya itu betul menjemput Juita menjadi gadis dulang.

You assume saja Juita akan jadi macam tu” kata Jebat cuba memecah suasana senyap dan kebuntuan. 

You tahu apa? Disember lepas Juita telefon I pukul 3 pagi berteriak, sebulan dia berkurung dalam bilik“ keluhan Mawar. 

Datang Januari ada sahaja jantan yang datang ingin mendekati Juita. Semua ada azam baharu. Semua memberi harapan palsu semata-mata. Juita sedikit tidak bernasib baik soal pasangan hidup ini. 

Juita perlu dijemput juga. Bukan sebagai gadis dulang? Tapi…dimana dia akan duduk ketika majlis pernikahan itu? Selepas perkahwinan ini, pasti Mawar dan Juita kurang berjumpa dengannya. Dengan siapa dia akan mengadu domba? Apa jaminan ikatan persahabatan mereka masih akan sama. Jantan mana yang Juita rebah dalam keadaannya vulnerable

Mawar melihat semula senarai dulang boys. Semuanya rakan Jebat yang hanya dua tiga kerat sahaja dia kenal.

“ Ini yang pakai cermin mata tebal ni? “ tanya Mawar, “ Oh, Boyan… dia playboy, awek keliling pinggang, tapi itu dulu la... dia single sekarang ni... “

“ Ini yang jambang tebal ni? “ tanya Mawar “ Oh, Janggut, kami panggil dia belum ada pekerjaan tetap, haritu interview dia cakap munggggkin ada chance dapat kerja “

“ Ini yang tinggi lampai, kurus “ tanya Mawar “ Oh, Galah, dia kaki mabuk , tapi dia sekarang dah ikut program detoks "

“ Kenapa kawan kau semua haprak belaka? “ 

Saat itu Mawar buntu. Jebat memegang erat kedua dua bahu Mawar dan berkata “ cuba you dahulukan apa yang didahulukan… ini ha… “ Jebat mencucuk cucuk tengah bidang dadanya “ I ni… bakal somi you

Sebulan sebelum majlis, Mawar bergegas mengagihkan kain dan butir majlis kepada setiap gadis dulang. Dengan berat hati, Mawar singgah ke kediaman Juita, dalam kereta itu dia memeriksa beg kertas, memastikan Juita mendapat kertas butiran yang sepatutnya dia dapat. Ada kelainan pada kertas butiran untuk Juita. Mawar rasa itu ikhtiar terakhir dia untuk menjaga hati kawan akrabnya itu.

“ Cantiknya kain ni. I excited nak tengok you kahwin. I pun excited jadi dulang girl you

Berat hati, Mawar mengangguk bersetuju “ Ya, I memang nak jadikan you first dulang girl, you bolehkan? “ ditarik keluar kain itu dari beg, diurai lipatan dan diperhati fabrik itu secara teliti. 

First dulang girl? cadangan diluahkan bagai tersekat sekat di anak tekak. Gadis dulang pertama ini selalunya yang akan berkahwin dalam waktu terdekat. Gadis dulang yang dipilih untuk menimba pengalaman pengalaman dan aura pengantin sebelum gilirannya. Adakah ini satu penganugerahan atau penghinaan? Niat baik. Teringat hashtag yang gemar dikongsi rakan rakan di media sosial #positivevibes #positivepeople 

“ Dia sendiri mengaku dia excited? Bukan itu tandanya bagus? “ duga Jebat. Mawar menggeleng kepala, melihat Jebat dengan sinis. “ You kenal I tiga tahun you tak ingat nombor telefon I, apatah nak baca isyarat badan Juita kawan se-dekad I”  

Mawar mahu menjaga harmoni jiwa Juita. Dia menulis pada kertas butiran gadis gadis dulang yang lain melarang mereka bercakap bab-bab perkahwinan mereka. Apa tema warna majlis mereka? Siapa mak andam mereka? Dimana dewan temasya perkahwinan mereka? Apa bakal somi mereka sibuk ke gym untuk membentuk abdomen yang lazat? 

Sekali bermula perbualan itu merebak bagai api? Apa reaksi Juita bila topik sebegitu dibuka? Mawar merasakan Juita berbuat sedemikian tulen untuk menyedapkan hatinya. 

Mawar menyelak senarai jemputan. Siapa yang bakal hadir? Dengan siapa mereka hadir? Satu nama menarik perhatian dia.

' Pak Tam Shahidan '

Dia punyai seorang anak teruna yang baharu pulang dari Amerika. Dia bakal berkerja dibawah syarikat perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh bapanya. Belum punyai calon, dan sudah sampai umur ideal untuk berkahwin. 

“ Siapa nama anaknya ni? Yang baru balik dari Amerika? “ tanya Mawar pada ibunya

“ Jal dan Juita. Dia nampak sesuai, kita kenenkan dengan Juita “

“ Jebat dan Juita. Bunyi sesuai juga “ Jebat menyampuk

Dengan penuh kegelian, Mawar menoleh dan mengambil senaskhah akhbar berdekatan dan memukul lengan Jebat. 

Jal dan Juita. opsyen belum tamat disitu. Mawar merancang temasya pertunangan itu akan menjadi papan luncur bagi permulaan baharu bukan sahaja untuk dirinya, malah Juita rakan karibnya itu. Tiga minggu sebelum majlis, Mawar sendiri menelefon Pak Tam Shahidan. Memastikan dia dapat hadir ke majlis. Kemudian ditanya apakah Jal berada di tanah air? Apakah Jal dapat hadir sekali? kerana kalau Jal hadir, Jal dan Juita akan diletakkan di meja ‘singles’. 

Respons Pak Tam Shahidan positif belaka.

Hari pernikahan tiba. Pasangan raja sehari Jebat dan Mawar memasuki dewan, diiringi dengan dulang boys dan girls. dimulai dengan Juita. Sekali sekala Mawar menoleh dan melihat kawan akrabnya itu. Juita senyum semula, dari rias wajahnya Juita nyata bergembira juga.

“ Puan Mawar, toleh sini, senyum sikit “ kata abang photographer.

Mawar menoleh ke arah kamera. Tetamu pun turut mengeluarkan kamera telefon bimbit masing masing, entah ke mana gambar itu pergi Mawar pun tak kisah. Mawar mengintai sekali lagi. Matanya liar mencari Pak Tam Shahidan yang kulit berkedut di usia petengahan 50an, janggut beruban sejemput, dan anak teruna yang dijanjikan hadir, Jal. 

Aduh! Bulu mata palsu itu sedikit menganggu penglihatan ditambah pula dengan silauan kamera. Makin hampir dengan pelamin. Tahniah. Makin ramai berkerumun mungucapkan tahniah. Mana Pak Tam Shahidan?. Tahniah. Mana Jal? Tahniah. Tahniah. 

“ Terima kasih “ balas Mawar. Tiada majlis bersanding, dari makan beradab mereka terus berjalan dari meja ke meja. 

Berterima kasih kepada setiap tetamu. Tetamu pula tidak henti henti mencurahkan ucapan tahniah dan berbahagia sampai ke jannah padanya. Sampai di satu meja, barulah Mawar ternampak kelibat Pak Tam Shahidan yang terus berdiri dan berjabat tangan dengan Jebat. “ Tahniah! “.

“ Saya sudah hadir ke majlis Mawar dan Jebat “ Pak Tam Shahidan mengeluarkan dari kotnya dan menghulurkan sekeping kad jemputan kepada Mawar “…. diharap Mawar dan Jebat boleh hadir ke majlis saya” Mawar terkejut. Diintai intai meja singles tidak berapa jauh dari situ. Jelas, Juita dan Jal kelihatan berbual mesra. 

“ Jal single lagi. Ini Majlis Pak Tam. Penganugerahan Datuk oleh Sultan negeri Darul Tawadduk “ Dalam korset yang memulas tubuh genitnya, Mawar kini mampu menarik nafas lega. Mujur tiada surat khabar disitu untuk dia hempuk lengan Pak Tamnya. Melawak pula orang tua ni.

Sedang Jebat berbual pendek dengan Pak Tam. Mawar menoleh pada Juita. Kawan karibnya itu melambai tangan, jari jemarinya masih segar diinai, benarlah, dia ikhlas bergembira sekali. Mawar lega, Juita hari itu tidak beracah-acah gembira kerananya. Dari jauh mata Juita bersinar sinar. Jal pula seorang jejaka segak dan berkerampilan yang baharu pulang dari perantauan turut menoleh. Sekali pandang, mereka benar secocok dan boleh menjadi pasangan yang sangat serasi.

“ Abang photographer, boleh ambil gambar kawan saya dengan boyfriend dia? “ demikian permintaan  Mawar. Abang photographer pun tercungap cungap bergegas mendekati meja singles

“ Cik… pengantin mahu saya ambil gambar Cik. Boleh saya ambil gambar cik dengan boyfirend? “

“ Wekk. Saya baru kenal dia “ tersipu sipu malu Juita sambil menunjukkan riak wajah terkejut pada Mawar. 

“ Jal lelaki kelakar. Bila dia di Amerika dulu dia pernah ke konsert Jennifer Lopez, Mariah Carey dan yang paling vass…. Beyonce gitu “ Juita berkongsi ceritanya setiap kali sesi lunchdate hujung minggu selepas majlis perkahwinan. Kemudian Mawar dan Jebat berbulan madu ke Eropah, dan berkat rezeki ilahi, Mawar mengandung anak pertama mereka.

Sejak dari itu, Mawar sibuk mempersiapkan diri untuk menyambut anak pertama. Tiada lagi lunchdate dengan Juita. Tapi Mawar gembira Juita dan Jal getting along.  

Setahun kemudian, Mawar selamat bersalin. Mawar kemudian harus berjumpa dengan doktor secara berkala kerana luka pembedahan c-section itu mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Worth every cut “ demikian bisik Mawar pada bayinya. 

Tiba gilirannya untuk berjumpa dengan doktor. Jebat mengambil alih tugas menjaga bayi mereka. 

Mawar kemudian bertembung dengan Pak Tam Shahidan.

“ Pak Ta…. eh…Datuk …“ terkejut Mawar. 

Pak Tam Shahidan mengenakan kemeja petak ala-koboi yang sedikit sendat. “ Eh… tak payah Datuk datuk sangat, kita keluarga“ kata Pak Tam mengalihkan kaca mata ray ban aviator dari mukanya. Sejemput janggut sudah dicukur rata. 

“ Pak Tam buat apa disini ? “

“ Oh… ada masalah kulit sikit… gatal gatal… alergik “ jelasnya. Pak Tam tersenyum tapi seumpama sukar untuk menaikkan bibirnya. Wajahnya kelihatan keras, seolah ada getah yang dicucuk dikeliling kelopak mata, bibir dan pipinya. 

Mawar syak Pak Tam berada disitu untuk mendapatkan suntikan BOTOX. Sejak mendapat gelaran Datuk, Pak Tam Shahidan mungkin rancak melakukan perubahan imej agar tampak lebih muda, segar dan energetik. Kemungkinan dia ke gym juga untuk memuatkan badan dalam pakaian bodyfit itu. Orang bisnes sering berkata first impression leaves a lasting impression gitu.

Di majlis bercukur anak pertama, segenap keluarga berada di kediaman orang tua Mawar. Mak Cik dan Pak Cik turut hadir mengerah tenaga untuk menjayakan majlis. Hampir kedemuanya hadir kecuali Pak Tam Shahidan. 

“ Ibu, Mawar pernah terserempak dengan Pak Tam Shahidan “ 

“ Makin bergaya Pak Tam kau sejak dapat Datuk “ ibunya 

“ Makin gatal juga orang tua tu… beli kereta sport sekarang ni “ kata Mak Long Timah, kakak sulung kepada Pak Tam Shahidan.

“ Lelaki kalau dah banyak duit sikit, mulalah cari peluang buka cawangan “ tambahnya 

“ Bukan gatal masalahnya. Si-perempuan pisau cukur mana yang sanggup meluru cari lelaki tua? banyak lagi lelaki diluar sana! “ balas ibunya.

“ Berani tak berani sangat, saya dengar cerita dia mahu perempuan pergi luar negara. Bila ditanya dia kata nak ke Hollywood. Urusan bisnes katanya. Puas aku tegur adik Shahidan tu jangan buat malu keluarga“ tambah Mak Long Timah. 

Mawar mengetip bibir, gusar dan dipaksa rasa bersalah bertanya; “ Bila Pak Tam Shahidan hendak ke Hollywood? “

“ Minggu depan “

Mawar teringat satu mesej yang dia selalu endahkan. Kali ini, mesej itu benar benar menanam perasaan runsing itu dalam lubuk hatinya.  


Peluang Tearhir anda untuk memenangi tiket konsert Beyonce. Live di Hollywood, Amerika Syarikat! Minggu Hadapan! Jawab soalan berikut dan hantar ke 33388.