0 com

Tiga Serangkai

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya

“Tham! Pi beli teloq!!!!” jerit ibu dari dapur, liat Thamrin bangun dan mengenggam segungum kunci. Dalam pukul 5 petang itu, alangkah baiknya kalau Thamrin boleh bergelimpang depan TV sebelum malam melabuhkan tirai agar dia boleh keluar dengan member-member. Namun, ibu sibuk menumis ramuan didapur. Kriau! Kriau bunyi tumisan petanda ayah akan pulang makan malam. Thamrin menghidupkan enjin kereta, perlahan memasukkan gear dan berderum meninggalkan perkerangan rumah untuk membeli telur.


Thamrin menyelak kocek tengah kereta yang sedang dipandu. Penuh dengan syiling 1sen dan 5sen, dia menguis-guis mencari kepingan syiling yang bernilai lebih tinggi: Dia mencari syiling 50sen. Dia menguis sambil sebelah tangan memegang stereng. Matanya liar menoleh antara jalanraya dan kocek tengah kereta. Sampai di satu selekoh, Thamrin yang leka mengorek kuis duit syiling tidak sempat membrek terlanggar buntut kereta dihadapannya.


Thamrin tidak apa-apa, cuma dentuman kecil yang member-membernya umpamakan sebagai ‘cium’. Perkara pertama yang melintasi runagan fikirannya wajah bapanya. Hari itu bapanya mengambil keputusan untuk carpool bersama teman sepejabat. Hatta, tertampanglah Mercedes E class itu depan mata untuk dilenjan. Gatal tangan melenjan Mercedes walaupun ada sebuah kancil yang seringkali digunakan untuk ke pasar basah. Dari kerusi drebar itu, Thamrin yakin kerosakan itu ringan memandangkan airbag tidak terkeluar. Sebelum Thamrin melonggarkan tali pinggang datang pula hentakan kali kedua dari belakang. Kali ini barulah airbag terpancul keluar sepantas kilat, sepintas lalu. Bagaikan nyawa tercicir, Thamrin terkejut besar. Sebaik sedar dari terkejut, Thamrin menyedari motokar Mercedes E-Class itu sudah berada dalam keadaan terperuk antara dua kenderaan.Bukan lagi cium-cium ringan, tapi sudah sandwiched.


Depan atau belakang dulu? Thamrin terkejut kerana bukaan mengejut airbag. Dia perlahan membuka pintu, mengunjur kaki dan berpijak pada bumi. Cermin berselerakan atas jalan tar. Sudah tentu but enjin dan but belakang sudah dihentam, tapi mana satu untuk diperhati, Thamrin masih celaru.


Thamrin menoleh kebelakang. Ada wanita sedang menunjuk-nunjuk pada bonet belakang kereta Mercedes bapanya yang sudah kemik. Ya rabbi, ekzos itu sudah luruh menongkat bumi dan bengkok, dari keadaan itu memang layak dijual kedai besi atau dibuat meriam ganti buluh untuk malam raya. Sepertiga dari belakang kereta itu sudah terusik, ada yang cat terkupil selari dengan calar balar, lampu brek sudah berterabur atas tar. Dan wanita itu masih menunjuk-nunjuk sambil melurut dahi sendiri. “ Oh! Minta maaf! Minta maaf!” Dia seolah terburu-buru, berspaghetti kosong ,tidak mememakai coli dan berambut kusut


Melihatkan jam, Thamrin tidak punyai alasan untuk tidak panik. Di rumah, emak sedang sibuk menyedia makanan untuk ayah. Kalau dia pulang dengan kereta Mercedes yang sudah sakit mata untuk ditatap itu, wajib dia bakal mendapat tengkingan terhebat dalam hidup dewasanya. Kali terakhir dia ditengking adalah bila melarikan menyorok di rumah seorang rakan di hulu daerah sehari sebelum upacara berkhatan. Kemudian seorang wanita dalam pertengahan 40an muncul menjengking ‘apa ni! Saya nak awak settle masalah ni sekarang juga! “


Irmawati harus ke Bandar untuk mengambil anaknya dari sekolah. Katanya anak itu menghadiri aktiviti kokurikulum hingga petang, kini urusannya tersangkut akibat but Proton Saganya dihentam oleh seorang budak belasan tahun, dilihat misai baru nak tumbuh, jerawat baru nak naik dan rambut basah-basah air ala rockers bunkface. Naik pula kereta Mercedes E-class


Sudah tentu Irmawati naik berang, anak hartawan mana entah syok melenjan Mercedes bapanya sebelum menghentam but proton saganya itu. Bayaran ansuran belum masuk setahun, sudah kemik bontot. Sial! Irma terus menerus menengking budak itu: “Kau jangan ingat aku nak lepas kau… kau bayar dekat sini jugak “


Cuak juga budak mata kuyu naik Mercedes E-class bapanya itu. Dari pintu Mercedes ternga-nga itu tersepal kain airbag yang menggelebeh keluar dari stereng, terpacul keluar juga muzik rock masih deras, Irma menduga tidak hairanlah bawa kereta macam palesit,mungkin budak berpewatakan khayal macam inilah menjadi kegilaan zaman kini.


Irmawati meneliti kerosakan Proton Saganya dan semborono membuat anggaran nilai kerosakan itu. Mahu tidak mahu, dia ingin mendapatkan duit dari budak itu.Irmawati galak mahu menghidu wang ringgit. Dia tidak mahu insurans campurtangan kerana dia dalam kesempitan keewangan. Hanya tuhan yang tahu dalam kocek wang yang dikapit celah ketiak itu hanya berisi belasan ringgit untuk dibuat sara diri.Dia tahu walaupun bontot kenderaan itu sedikit robek, asalkan dia boleh pandu berniaga dan hantar pergi-balik anak bersekolah sudah memadai. Pendek kata dia duit yang mahu dituntut dari budak itu untuk dibuat beli barang dapur. Masalah bil air, elektrik dan yuran sekolah boleh ditangguh dulu, biar dikais-kais dulu mana yang ada.


“ Mana mak bapak kau? Aku nak cakap dengan mak bapak kau! “ Irmawati menengking lagi pada budak itu yang kini basah dengan peluh jantannya. Batang hidungnya sudah digerumuni butir air dan rongga mulut itu dipenuhi air-liur basi kerana tidak terkata apa. Menggaru-garu batang lehernya.


Orang ramai sudah berkerumun dan ada yang memperlahankan kereta. Irma memerhati seorang gadis yang memujuk-mujuk meminta maaf. Irmawati yakin itu tuan punya kenderaan yang menghentam belakang Mercedes. Irma sendiri sedar akan gegaran kali kedua yang dialaminya. Goncang dunia bagai nak rak, dadis itu cuma berspagetthi kosong dan seluar pendek hot pants tidak bercoli. Mujurlah ada cardigan tidak berbutang serba sedikit menutup bahagian yang perlu.


“ Minta maaf dik…” tak putus-putus gadis itu meminta maaf. Irmawati menduga pasti siksa gadis itu mahu perah duit mengetuk, kalibret sana dan kalibret sini kereta Mercedes E-CLASS keluaran terbaru itu. Apa yang penting, Irma mahu tuntutannya dipenuhi. Pandangannya terkunci pada budak kurus kedekiang rambut tak terurus itu.


Budak itu perlahan bergegas ke Mercedes. Budak itu buat pertama kali bersuara: “Kakak, saya kalau boleh tak mahu hal ini babitkan mak bapa saya”, Irma menyilang tangannya. Ah! Apa kejadah dia beritahu itu? Membabitkan siapa pun, Irma cuma tuntut duitnya secepat mungkin. Lagi-lagilah dengan budak ber T-shirt lusuh dan skinny jeans itu, Irma kalau boleh pantang mahu tunggu dua-tiga hari lagi. Silap-silap, budak itu boleh saja lari, melancong, melencong, mengelak panggilan dan segala macam tok nenek alasan anak orang kaya itu boleh bagi. Mahu dikunci budak itu disatu tiang sampai dia membayar duit.


Budak itu bergegas dan mencari satu ceruk belukar di simpang dalam keadaan agak bising dengan orang ramai yang berkerumun. Irma menempik, dia mula memekik pada budak itu jikalau dia nekad mahu berlari meninggalkan Mercedes E-CLASS tersadai bersama proton saga yang berbontot robek. “ Kakak, budak tu nak pergi mana? “ sebaik mendengar, Irma memerhati pula gadis yang tidak bercoli itu, sekali sekali dia menolak cardigan untuk melitup benjol dari diratapi mata jahat disitu. Oh! Melayu rupanya budak ini.


Dari pandangan Irmawati, budak tadi tidak lari kemana. Dia kaku di bahu jalan sebelum mencangkung seperti mahu berak di sebalik landskap ringan yang ditanam majlis perbandaran sepanjang tanah rezab. Budak itu mencangkung sambil telefon bimbit dikejapkan pada telinga. Irma baru sedar budak itu tak ada niat untuk lari, Cuma keadaan jalan itu yang riuh dan bising menyukarkan dia menelefon orang tertentu. Irmawati menatap muka jam. Pasti anaknya sedang menunggu di sekolah. Irma mencekak pinggang dan tapak kasut itu berkali-kali dihempap pada jalan tar yang hitam belegam.


“ Kak… mahu kitaorang tarik tak kereta kak? Kitaorang caj murah-murah” tetiba seorang lelaki bersinglet, botak dan kurus dengan beberapa garis jahitan pada kulit kepala mendekati Irma dan gadis itu. “ Kitaorang bawa mana saja kak suroh kitaorang pergi…”, Irma lantas menolak perkhidmatan yang ditawarkan, membuatkan kojek itu mengeluarkan sesuatu dari poket belakang: “kak…ni bisnes kad saya, apa-apa hal, call saya”, kemudian kojek itu berdesit melihat gadis berspaggethi dan hot pants tanpa segan-segan melepas capui mulut “Hai solid betul budak ni”


Berbeza dengan Irma yang sudah pertengahan 40an dan layak pangkat mak-cik, yang berspagetthi itu memang jauh lebih mengiurkan. Dengan hot pants itu dua ketul daging bontotnya terpampang macam daging batang pinang yang baru dibuang kulit. Kaki memanjang putih melepak lagi-lagilah berlatarkan jalan tar yang hitam legam. Dari umurnya, masih belum mencecah 30 lagi agaknya. Nasib buruk untuk gadis ini, munkin dia berpakaian ala-kadar kerana urusannya hari itu tidak perlu keluar kereta, namun terkeluar juga dia.


“ Nama saya Gurshiyyah, kereta akak teruk kah?” Irma menunjukkan kerosakan keretanya. Kalau kereta Gursiyyah tidak muncul tadi, sudah tentu kerosakan kereta Irma Cuma calar kecil saja yang boleh ditacap dengan cat. Mungkin ada hikmahnya, Gursiyyah itu menghentam Mercedes dihadapannya sekaligus calar kecil itu terus kemik. Irma boleh menuntut ganti yang rugi yang lebih tinggi. Dan Irmawati bersedia membuat kecoh besar kalau tuntutan tidak dipenuhi.


“ Mak Cik… dan kak” kata budak yang sudah selesai menelefon disebalik semak bahu jalan. “Saya sudah pinjam kereta kakak saya dan hendak ke Bandar, saya harap kakak dan mak cik tak mengapa tinggal disini sebentar, sambil saya mempercepatkan urusan kita, tujuan saya ke Bandar untuk mengambil duit dan mengatur pengangkut”


Ewah ewah! Pandai budak ini bercakap, Irmawati lantas berkata: “Saya tak percaya awak! I’ll follow you! “. Budak itu menarik nafas panjang sebelum mencadang “Apa kata mak cik ubah dulu Proton mak cik, sebab bila lori angkut datang, saya pun ada sekali nak berurus, terus saya bayar ganti rugi” jawab budak muda. Irma membantah “Oih! Ingat aku percaya sangat ke sebab you naik Mercedes? Tak kira aku ikut juga you sampai mesin ATM!” bulat mata gadis bernama Gursiyyah yang tak habis menolak melitup cardigannya.


“ Berapa bahagian saya untuk Mercedes ni? “ gadis itu menyampuk dikala tekanan yang memuncak, dia pun mahu melolos diri secepat mungkin. Lantas budak itu menyuruh Irma dan gadis turut serta dalam urusannya di Bandar. Kereta mereka dijaga oleh salah seorang anak buah budak itu.


Dalam kereta, Gurshiyyah menelefon ‘Mickey’, itulah nama yang dicatit dalam buku telefon. ‘Mickey’ itu kaya, berpengaruh dan berjawatan tinggi dan Gurshiyyah sudah lama mengenalinya sebelum Gurshiyyah berkahwin lagi. Namun ‘Mickey’ berkata dia tidak punyai wang dalam akaun bank melainkan Gurshiyyah datang sendiri ke kediaman kondonya. Lumrah orang kaya menyimpan duit banyak-banyak dalam poket.


“ Dik, akak nak berhenti dekat Kondo Seri Alam” kata Gurshiyyah kepada pemandu, mak cik yang lantang tidak percaya dengan adik itu duduk bersebelahan, seolah memerhati gerak panduan adik itu, dan memastikan dia benar-benar menuju ke Bandar. Mak cik turut menoleh:” You nak buat apa di Kondo Seri Alam?”


Gurshiyyah naik muncung mulut. Dia menyedari perlakuan mak cik itu seumpama seorang bos. Menengking sana menengking sini, kini dia menyiasat pula. Lantas Gurshiyyah tanpa berselindung berkata: “ I nak ambil duit” . Mak Cik menjawab “Eh, bukan kita sama-sama nak pergi ATM? “


Sial! Mentang-mentang mak cik itu tidak perlu membayar ganti rugi kepada sesiapa kerana keretanya yang paling depan dalam kemalangan tiga serangkai, maka naik tanjak dia mengawal tindak tanduk semua orang. Kena pula mak cik paling senior maka automatik dirinya diletakkan selaku bos/manager/director/presiden. Gurshiyyah menjawab “Sekarang bukan ATM saja boleh keluar duit… “ keadaan dalam kereta itu senyap sebentar.


Sebaik sampai di Kondo Seri Alam, Gurshiyyah berjalan keluar dan mak cik sempat memesan agar Gurshiyyah memakai sesuatu yang menutup benjol di dadanya dan kulit betisnya yang berpetakan sesalur darah. Mak cik berasa perkara itu tidak sopan dan mungkin boleh mengakibatkan kemalangan kali kedua. Lagi-lagilah yang memandu itu seorang budak berdarah muda. Dalam diam, Gurshiyyah menempelak: Wudever.


Di Lot 3B9-F, loceng penthouse ‘Mickey’ dibunyikan. Datuk keluar, baru saja lepas mandi. Dia perlu menghadiri perjumpaan parti SUMO dimana dia menjadi ahli majlis tertinggi. “Bagitau I siapa yang langgar you! I nak panggil anak buah I belasah diaorang ni sampai lembik”


You tak payah susah-susah, I yang silap, I yang langgar diaorang” jawab Gurshiyyah lantas memasuki kondo Datuk ‘Mickey’ seolah-olah hak miliknya juga, “ I pressure ni, I need your help “, lantas Gurshiyyah dipeluk dari belakang sambil Datuk bermisai lebat itu berbisik “ You ni nampak gorgeous lah bila under pressure


No… please understand” Gurshiyyah dengan geli geleman menolak-nolak genggaman erat Datuk Mickey. Namun cengkaman lengan Datuk Mickey seumpama cengkaman ular anaconda.


“ Aha! I understand…Kalau bukan gorgeous….fabulous? “ nakal-nakal Datuk Mickey menguji kesabaran gadis simpanannya itu.


Di seberang jalan, Thamrin dan Irmawati masing-masing bermuka monyok dalam kereta. Kereta itu dipunyai oleh kakak Thamrin yang tinggal berdekatan dengan kawasan kemalangan. Kakak Thamrin memang boleh diajak berpakat. Sejak dahulu lagi mereka berpakat, malah kejadian Thamrin lari rumah sehari sebelum berkhatan itu adalah hasil akal Thamrin dan kakaknya. Radio didalam kereta itu tidak dihidupkan, cuma nafas dan bunyi kenderaan keluar masuk dari Kondo Seri Alam yang terdengar . Thamrin menyesal tidak membawa kancil yang selalu digunakan untuk ke pasar. Sudah tentu ongkosnya lebih murah. Apa gunanya kini, nasi sudah menjadi bubur. Kini dia lebih risau tentang harga memperbaiki Mercedes bapanya itu. Sudah pasti ribuan ringgit.


“ Mak cik kerja apa? “ perlahan Thamrin bersuara, memecah hening sunyi yang menyakitkan telinga. Namun sugul muka Irmawati melarat hingga mak cik 40an itu tidak terkata apa. “Saya berniaga satay di Taman Baiduri…. awak ni kerja apa?” namun, merekah juga rongga mulut Irnawati untuk bercerita hal ehwal dirinya.


“ Saya masih belajar… saya sekarang ni cuti, tiga bulan” jawab Thamrin. “ Cuti-cuti ni tak pergi kerja ka? “ Tanya Irmawati. Thamrin menggeleng kepala. “ Eloklah, orang-orang muda sekarang… tak mahu kerja” Irmawati sinis. “ Saya belajar lagi, kerja apa saya nak buat?” “ Saya ni tak mampu belajar, tapi boleh saja buat kerja… “


Sebelum perbualan itu berlarutan, Gurshiyyah memasuki kenderaan. Masih tidak bercoli, berspaghetti putih dan hot pants. Irmawati menoleh dan keadaan menjadi kelam kelibut: “Eh, whats the matter with you? I minta you pakai sopan-sopan sikit, tak faham bahasa ke? “


Bulat mata Gurshiyyah, belum sempat dia menutup pintu belakang, sudah diserang dan ditengking. “Auntie, ini bukan rumah saya, rumah sister saya”


“ Ha… kalau sister awak, kenapa tak pinjam saja seluar, baju sister awak tu, cover mana yang terdedah” jawab Irnawati yang kini separuh histeria.


Sister saya XXL, manalah muat saya nak pakai baju dia “ muncung Gurshiyyah, matanya tertumpu pada jari-jemarinya sambil mengupil keluar tahi kuku. “ Eh, Auntie, saya tengok budak yang drive kereta ni sikit pun tak ghairah tengok saya pakai macam ni, kenapa auntie yang melebih-leb….”


“Diamm!!!” satu pekikan tajam dilepaskan Thamrin, dia melihat muka mak-cik 40an itu dan meleret pula pada gadis yang tercangak duduk di kerusi belakang. “Ini kereta saya!” tambah Thamrin. Maka kedua-dua wanita itu masih terdiam sebelum Thamrin menukar gear dan berderum beredar dari perkarangan Kondo Seri Alam. Sempat Irmawati mengeluar suara kecil: “eloklah, esok awak yang tanggung dosa”. Thamrin menangkap ayat itu namun dia buat bodoh. Gurshiyyah mencebik muka.


Keadaan dalam kereta itu terus senyap. Sampai satu masa, ketiga-tiga telefon bimbit berdering. Dan hendak dibuat cerita, berdering serentak. Thamrin menerima panggilan dari ibunya, sudah tentu emaknya berang dengan kelewatan Thamrin yang ditugaskan untuk membeli telur. Melihat nombor ibunya tertera pada skrin, dia mengambil keputusan untuk tidak menjawab telefon, kerana Thamrin sendiri tidak mampu mereka-cipta satu penipuan. Bagi Gurshiyyah, suaminya seorang kelasi kapal dagang sedang menelefonnya. Suaminya kini mungkin berada di selat Gibraltar atau Cape Hope, namun, pada kebiasaannya suaminya akan menelefon 2hari sekali untuk bertanya khabar dan melafazkan rindu. Alahai, siksanya batin menjadi isteri kelasi yang beribu-ribu kilometer dari pandangan, Gurshiyyah tidak menjawab, dia juga tidak mampu mereka-cipta sebuah kisah yang meyakinkan, lagilah dalam saat genting. Irmawati juga tidak menjawab telefon bimbit. Bukan anaknya yang menelefon, tetapi dia sebenarnya berhutang dengan sebuah Chettiar di bandar. Tujuan asalnya ke bandar adalah untuk melangsaikan hutang, namun untuk menghindar malu kisahnya berhutang; Irmawati diam sahaja.


Dari hening sepi, kini keadaan dalam kereta menjadi ceria dipenuhi dengan irama muzik dari telefon bimbit masing-masing. Irama R&B alunan telefon Gurshiyyah, muzik indie oleh telefon Thamrin dan tidak kurang lagu rancak Hindustan dari telefon Irmawati, kacukan irama dan lagu membuat suasana tegang dalam kereta tadi lenyap disusuli dengan perasaan ingin meloncat, menggedik dan menari. Keadaan ini berterusan untuk beberapa minit seterusnya, hinggalah kereta itu berhenti di sebuah bank.


“ Mari ikut saya mak cik…” Thamrin berkata, lantas Irmawati turun turun kereta. Gurshiyyah tinggal didalam kereta “Cepat sikit mak cik” kata Thamrin sambil lincah mendaki anak tangga. “Sabarlah, saya orang tua” jawab Irmawati. Sedang mereka beratur, Irmawati bertanyakan: “ Eh, awak minta ganti berapa dengan budak perempuan tu? “ merujuk kepada Gurshiyyah yang harus membayar tanggung kerosakan Mercedes.


“ Nantilah mak cik, saya uruskan dulu kereta tu… sekarang Mercedes itu dekat rumah kakak saya, tersadai sana dulu” jawab Thamrin sambil menyilang lengan melihat barisan beratur yang berjurai panjang.


“ Berapa awak mau minta dari dia?”


“ Bukan urusan mak cik… selepas selesai dengan mak cik, baru saya nak berurus dengan budak perempuan tu…”


“ Ceh, bertuah jadi anak orang kaya… dah langgar, mahu pula hendak bayar,cuci tangan dan berambus… “ tambah Irnawati, “Eh! Mak cik, kalau saya nak cuci tangan biar insurans saja buat benda ni…” “ Iyelah, insurans apa ke benda, awak bachul, tak nak mak ayah awak tahu… bukan harta awak pun” “ Harta bapa saya harta saya juga… apa penyakit mak cik tak habis-habis rujuk saya anak orang kaya?” Thamrin mengalih pandangannya pada Irmawati “Eh, saya tak ada masalah kalau awak anak orang kaya, lagi cepat saya tuntut ganti rugi saya” balas Irmawati,“Mak cik cukup bertuah hari ni sebab dalam kesusahan kita bertiga, mak ciklah yang tak serius sebab paling depan” “Eh budak! Pandai ek bercakap? Ayah awak ahli politik ka? Banyak urusan saya tergantung hari ni, gerai satay saya malam ni awak nak tolong kipas? Jolok daging? Kacau kuah? Kesusahan siapa yang paling berat hari ni?” Thamrin menyilang lengan dan malas malas mendengar leteran Irmawati. Barisan bagaikan tidak luak.


Tiba sahaja giliran Thamrin dan Irmawati, mesin ATM mengeluarkan bunyi yang panjang. Tercengang mereka berdua sebelum ayat berikutnya tertera pada skrin LCD: OUT OF SERVICE.


“ Mak Cik, saya beri dahulu wang yang saya ada, dan mak cik boleh terus berniaga satay malam ni tanpa gangguan” jelas Thamrin “…yang selebihnya saya bagi esok pagi” lantas ayat itu dibalas pantas oleh Irmawati “ I don’t care! “, kesemua makhluk bernyawa dalam bank tertumpu pada Irmawati dan Thamrin “ I don’t care! Its either you go to other ATM atau you mintak dekat perempuan seksi dalam kereta awak tu! I don’t care, I want it settle by today!”


Jaga bank berbangsa Benggali itu sudah meletakkan jari pada cota. Hanya belum dibawa keluar dari sarung lagi, “Eh! Awak tahu tak perempuan tadi pergi Kondo Seri Alam minta duit dari sugardaddy, pergilah tuntut duit bayar gantirugi saya dengan ketuk Mercedes orang tua awak tu!” tempik Irmawati. “Auntie, this is none of your business, I akan claim dengan dia bila dah selesai dengan auntie….” “O…Of course its my business, you hit the back of my Proton Saga! “ saat itu peluh jantan Thamrin mengalir tanpa disedari. Bercampur pula dengan peluh panik semasa kemalangan tadi, bau badannya hapak dan tengit. Semua mata masih memerhati kelibat mereka berdua, Perhatian yang lebih itu membuatkan Thamrin berasa segan.


Irnawati sudah berjanji dengan dirinya untuk berbuat kecoh kalau tuntutannya tidak dipenuhi, sebelum sempat dia menyambung herdik Thamrin, ada suara memanggil namanya: “Puan Irmawati…”


Botak seperti Mahatma Ghandi, ada juga orang yang berjalan dalam pekan cuma menyarung kain atas badan dan berselipar jepun. Daif dari zahirnya, tapi itulah Chettiar Murganesan, dia merapatkan tapak tangan seperti memberi salam dan menggeleng kepala kekiri dan kekanan dengan fleksibiliti lehernya. Irmawati tersenyum, Thamrin meneliti Chettiar Murganesan.


Ada satu buku buruk yang diapit celah ketiaknya, berbulu di penjuru dan naik kuning setiap bucu, seperti sebuah kitab turun temurun yang diwariskan kepada anak cucu. “ Puan Irmawati, you ada sikit lagi mau bayar…saya pun belum masuk collection hari ini dalam account, Puan bayar sekarang tak payah interest, lagi cepat, lagi bagus” Thamrin mendengar setiap bait ayat Chettiar dengan jelas. Irmawati tersentap seketika, merah menyala mukanya.


Lantas Thamrin bersuara: “Auntie nak saya yang berurus dengan Chettiar atau perempuan seksi dalam kereta itu mengurus? Mana cara sekalipun, duit tetap masuk poket Chettiar… “ fikir-fikir balik, Irmawati tersepit. Dia lantas menyuruh Thamrin masuk kedalam kereta membiarkan dirinya berurus dengan Chettiar.


Duduklah termenung Thamrin dan Gurshiyyah dalam kereta. Memerhati gelagat Chettiar dan Irmawati dari cermin kereta menebusi dinding kaca premis bank. Gurshiyyah menghulurkan sampul berwarna coklat. Thamrin menyelak sampul itu dan mengira wang didalamnya. Kemudian dia menghulurkan semula sampul itu kepada Gurshiyyah: “tak cukup ni”


“ Kenapa tak cukup? ” Tanya Gurshiyyah “banyak mana lagi awak nak guna?” namun Thamrin mengusap-usap dagunya sebelum berkata “saya call dulu pomen, nanti dia quote harga…” “No…no..no, I tak percaya pomen you, sure you boleh pakat dengan dia fix harga tinggi-tinggi…no..no” terang Gurshiyyah menunding-nunding sesekali menolak overcoat menutup dadanya. “ Habis tu, awak nak panggil pomen awak, baru awak percaya?” balas Thamrin keningnya mencacak. “Hey! I cukup baik hati hulur duit, tapi you boleh cakap tak cukup… alright then, kita lodge report


Kuk! Kuk! Tetiba pintu diketuk-ketuk. Lantas Thamrin mematikan kunci automatik untuk membenarkan Irnawati masuk kenderaan. Dari air muka,dia kelihatan makin masam dan marah. “Whats the matter with you budak oi! I nak masuk kereta you kunci? “ tengking Irmawati menjurus kepada Thamrin “Sorry auntie, saya tengah mengira duit tadi” terang Thamrin berderum kereta meninggalkan perkarangan bank “Oh! Duit, kakak yang langgar you dah bayar ganti rugi dah?” “I tak bayar lagi” “kenapa?” “Budak ni claim tinggi-tinggi sangat” “habis tu?” “Kita lodge report dulu…” “Bukan nak ke ATM?” “Bukan… kita pergi balai dulu” “Habis tu, ganti rugi I?” “Lepas pergi balai” “You bukan dah janji nak pergi ATM dulu?” “ATM out-of-service, then kakak ni nak settle cara lodge report” “Eh! I want my money nowyou pay my money and I shall remove the car, im out of the trouble!” “I nak lodge report” “No! I’m out of this!” No, auntie, kereta you paling depan, you kena bagi testimoni, then baru kita cakap pasal claim


Keadaan makin tegang, dalam kereta itu, tiga mereka saling jerit menjerit. Pekik-memekik. “Boy! Mentang-mentang perempuan ni braless, sexy, pakai hot pants, you ikut cakap dia nak pergi lodge report pula… pervert!” “Eh! Mak cik jaga tutur mak cik, saya dengar mak cik hutang dengan Chettiar. Kaki hutang ni mak cik ni? Tak malu” “Aku buat berniaga cari rezeki halal,bukan macam perempuan ni… ringan-ringan dengan Datuk, tapi Mercedes kemik tak mampu bayar” “Hey! Mak cik… kenapa mak cik takut sangat nak lodge report? Budak ni pun penakut nak bagitahu orang tua dia… sama-sama pengecut” “Eh! Keluar dari kereta sekarang! Ingat duit you besar sangat” “You turunkan I sini juga” “Eloklah, bagi mat pit buat lauk dengan kau! Datuk kau sedap merasa, sekarang bagi mat pit gentel-gentel badan engkau” “Eau! Apa ni” “Bacul! Laki kau tahu kau tigershow dengan Datuk? Kondo Seri Alam beb! Memilih punya betina!” “Shut up!”Kekasaran berlaku, adegan tampar menampar berlaku dalam ruang kenderaan yang serba sempit itu antara ketiga-tiga mereka kemudian kereta itu terlangar pembahagi jalan, meredah belukar, menjunam dari cerun kecil, merempuh dinding pembahagi batu-bata sebelum tersadai atas padang sekolah.


Woi! Panggil Aidil! Panggil Aidil! Pekik sekumpulan budak disitu, mereka sibuk menjalani latihan kawat badan beruniform menjadi saksi apabila kereta itu muncul dan terjelepok atas padang kawat mereka yang bertanah lembik. Aidil mana lagi kalau bukan Aidil PBSM.


Aidil sangat komited dengan PBSM dan ini adalah peluang pertama dalam hidupnya memberi bantuan kecemasan. Kereta itu sudah separuh remuk dan menyerupai gumpalan tin kemik. Terkejut besar Aidil yang sedang diperhatikan tersepit dalam gumpalan itu adalah ibunya sendiri. Bersama dua orang lagi yang tidak dikenali.


Suami Gurshiyyah menerima panggilan daripada adiknya dan mengambil penerbangan pertama ke Malaysia dari Toulouse. Manakala ibu-bapa Thamrin dikhabarkan juga dengan kemalangan yang menimpa anaknya itu lantas melawat hospital. Kini mereka bertiga terlantar dalam hospital yang sama.Dalam wad yang sama. Sama-sama dalam koma. Melayang mereka diantara alam hidup dan mati, belum tentu kisah yang mereka tempuhi itu menjadi rahsia atau sempat dicerita.