1 com

fulkrum


Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya

Burung


Bunyi bilah gunting bertembung sama sendiri mengisi segenap ruang bilik itu. Murali si pengunting rambut itu dari tadi berdiam dan sekali sekala bertutur dengan rakannya dalam dialek tamil yang tidak difahami Senin. Senin duduk dan tak mengambil kisah pun, di kedai Muralilah dia beroleh ketenangan. Biarkan apa yang dipertuturkan Murali sepatah haram dia tidak faham dan radio yang mendendangkan lagu tamil itupun tidak mampu diterjemahkan oleh telinga Senin.


“ Abang, sideburn mau potong ka? “ Tanya Murali


“ Abang? “ Murali mula memandang cermin, meneliti refleksi wajah Senin. Jelas matanya terbuka, cuma fikirannya melayang ke mana.


“ Abang “ Murali menyentap ringan bahu Senin.


Susah untuk Senin membuat keputusan. Namun dia tekad untuk ke Majlis Perbandaran. Disana dia akan membuat laporan, tentang kebiadaban rukun tetangga, atau lebih tepat lagi burung peliharaan jiran yang memberikan tekanan baginya. Setiap pagi dia terpaksa berhadapan di koridor Condo Sri Wangi dan disitulah segala-galanya bermula.


“ Bodoh! Bodoh! “ demikianlah bunyi burung itu. Sangkar yang digantung pada ruang ampaian menghadap koridor itu dipisahkan oleh lubang yang menjurus terus ke tingkat bawah. Ramai penyamun amatur terjatuh dalam lohong ketika mahu memasuki unit rumah di Condo berkenaan. Senin beranggap kalau tiada lubang itu, Senin hendak mencekup sangkar itu – mengoncang sangkar irtu sampai naik ting tong burung didalamnya.


“ Bahlul! Bahlul! “ Ah, sekali lagi ayat itu menusuk telinga Senin. Kali ini beberapa lot dari lif yang digunakan warga Condo. Lantas Senin berjalan lebih pantas. Apakah rambut yang sudah digunting Murali itu masih boleh dicam burung-burung ini? Tidak… Burung-burung itu dilatih oleh tuannya untuk memaki Senin. Agaknya mereka tidak gemar pada Senin. Kini sudah dua tahun Senin beralah dengan karenah burung burung itu, dia ingin melaporkan pada Majlis Perbandaran.


Laporan sudah dibuat dan Senin berharap segalanya berjalan dengan baik. Moga-moga burung itu dirampas oleh Pihak Perbandaran dan diletakkan di zoo agar dapat dilihat oleh cilik atau pelawat antarabangsa yang tidak penah melihat burung bertutur. Burung-burung tidak mempunyai tempat di Condo Sri Wangi. Condo itu adalah tempat berteduh untuk si-pemakan gaji dan si-pegawai urustadbir yang masih mendaki tangga senarai jawatan perkhidmatan awam. Condo Sri Wangi menjadi talian hayat pada mangsa disembelih membabi buta oleh kos saraan diri yang tinggi di ibu kota


Hah! Siapa yang memandai bermastautin di ibu kota? Padan muka hampa. Berani buat, berani tanggung. Senin sendiri duduk di rumah bujang tidak punyai masa untuk mengatur makan minum dirinya, gajinya asyik ditangguh oleh bos besar, tapi ada beberapa species penghuni ini boleh juga luangkan masa, tenaga, wang ringgit dan kemahiran berguru Bahasa Malaysia untuk burung sangkar mereka.


“ Bodoh! Bodoh! Bahlul! Bahlul! “ seolah burung itu menghina Senin tiap kali dia berjalan ke koridor dan turun dari lif. Lantas keluar pemilik burung itu sambil membetulkan kain pelikat Mangga Mas yang longgar memeluk pinggul. “ Waaa… pandai bercakap burung ni… bagus! Bagus! “ jelas lelaki sekitar 30an itu. Kurus kedekiang, rambut hitam berminyak tapi gigi berkelarah seperti disimbah bancuhan kopi timbang.


“ Siapa yang bodoh tu? Siapa yang bahlul tu? “ pemilik burung itu deras bertutur dengan burung itu walaupun Senin terang terang berdiri menunggu lif yang masih tersangkut 10 aras teratas dari aras dia berada. “ Siapa yang bodoh tu? Pergi mengacum sana sini… terlupa tinggi langit dengan tanah… Siapa yang bodoh tu agaknya? “ jelas lelaki itu sambil mengisi bijian makanan dalam bekas makanan khas yang disediakan dalam sangkar itu.


Maka, Senin melakukan perkara yang difikirkannya betul. Dia beranggapan semua ini bakal berakhir dengan cara baik. Kalau di United Kingdom, binatang peliharaan sebegini harus mempunyai lesen sebelum boleh dipelihara orang perseorangan. Lesen itu harus diperbaharui setiap tahun, itupun, dengan syarat burung itu diperiksa atau screening oleh pakar veterinar dan bebas dari penyakit bawaan burung. Jikalau gagal, burung itu boleh dirampas dan dilupuskan begitu saja.


“ Ini Malaysialah woi, jangan sembang taik boleh tak? “ jelas Sarji. “ Ini Malaysialah, mana ada lesen, mana ada veterinar, mana ada screening… kau nak bela kucing, anjing, penyu, unta, babi, saka, apa lancau, kau belalah! “


Sudah Sarji terlentang atas sofa itu sambil pusat membuyut dan hujung gigi kapaknya mengetip bucu remote control. “ Kau sedar tak, orang yang kau jumpa untuk buat laporan tu siapa? Dia anak saudara orang no.2 Majlis Perbandaran… Siapa yang nak ambil tindakan dekat adik beradik sendiri…”


Senin yang mahu menjamah mee magee tersentap mendengar kenyataan adiknya. Patutlah tiada tindakan sejak sebulan dia membuat laporan dengan Majlis Perbandaran. Patutlah burung burung itu masih rancak mencarut tatkala dia berada di koridor itu namun apabila adiknya sendiri melalui lif itu tidak hingar pula burung dalam sangkar itu.


“ Kalau no.2 tak mau layan, aku pergi jumpa no.1.” terang Senin


“ Memang betul… Burung tu memang betul panggil kau Bodoh! Kau memang bodoh pun. Kau tahu tak No.1 tu mana ada masa nak jumpa orang macam kau ni… No.1 hari hari mesyuarat. Kau kepingin nak jumpa dia jugak? Hah! Tunggu pilihanraya… dia tabur janji manis manis macam kau ni nak jadi madu bini dia “ jawab Sarji, dia mendekati Senin dan menyentap cawan dari atas meja. Disatu bucu ada meja ada kotak berisi berpapan-papan jenis ubat-ubatan. Disitu dia mengutip 4 jenis ubat untuk mengawal penyakit darah tingggi dan lemah jantung.


Pagi seterusnya, Senin mundar mandir melalui koridor itu. Burung-burung itu nampaknya mempelajari cacian baru dari tuannya: “ bacul “ dan “ haram “ Senin cuma beristigfar dan bersabar, kalau dia baran seperti adiknya, sudah tentu ada ketul batu besar yang dicampak pada sangkar burung itu. Sejak dia menegur tuan burung, disitulah bermulanya karenah burung itu mencacinya tiap kali dia melalui koridor Condo Sri Wangi itu. “ bodoh! Bodoh! Bahlul! Bahlul! “ Sampai bila?



Bos Besar


Kopi didalam cawan itu hampir kering menjadi serbuk. Ketika itulah bos besar muncul dibalik daun pintu. Senin bergegas menghulurkan semua dokumen dan urusan surat menyurat kepada Datuk Hurais, lelaki tua dalam lingkungan 60an berjalan dengan penuh keyakinan ke bilik persendiriannya. Senin mengekori bos besar dari belakang dan cuma berpaling untuk menutup pintu yang lagi satu. Lihat saja ruang bilik Datuk Hurais. Semua pingat dan trofi meraikan kejayaan beliau selaku tokoh koprat dalam pelbagai bentuk, warna dan saiz. Muncul rasa kagum yang seni terhadap bos besarnya atas kemampuan menggondol begitu banyak pingat.


Melihatkan semua ini, Senin tekad ingin belajar ilmu perniagaan dengan orang tua itu, meliar mata memerhati pingat dan trofi itu menjadi testamen kepada kebolehannya. Datuk Hurais bersandar pada kerusi besar. Diserong badan kekiri dan kekanan mencari posisi sesuai sambil matanya menelek-nelek helaian surat rasmi.


“Kalau staf lain, mereka dah bawa diri keluar dari bilik saya… awak ni suka pula tercegat disini “ Tanya Datuk Hurais


“ Ah… bos, saya suka berada disini,takkan bos tak tahu saya dah bertahun kerja disini… saya gemar tengok gambar gambar bos dengan orang orang besar “ maka menoleh kepala Datuk Hurais melihat foto dia berjabat mesra dengan seorang menteri kabinet dan satu lagi foto dia berdiri sebaris dengan menteri kabinet yang lain. Datuk Hurais kembali melihat wajah Senin yang masih terlopong mulutnya. Datuk Hurais tersengih sedikit.Berdehem kuat dia sebelum kembali meneliti surat surat berkenaan.


“ Kau fotostat surat surat ni dan pergi jumpa dengan orang berikut, dia hendak melihat alatan yang kita edarkan “


“Baik Datuk “ bergegas Senin beredar dari situ selepas menghirup aura inspirasi dari bilik peribadi Datuk Hurais yang disegani itu. Dia pergi pula menjalankan kerja yang dititahkan Datuk, deras menyusuri jalan kota raya dengan kenderaan syarikat. Datuk Hurais menjadi pengedar mesin pertanian, namun sejak adanya pembangunan yang pesat, bukan ada banyak tanah hendak diusahakan kini. Oleh sebab itulah, perjalanan perniagaan itu tidak selincah waktu Senin mula mula kerja dahulu.


“ Abang, inilah mesin pembajak Q8000K yang diimpot dari jepun, berkemampuan membajak tanah sebanyak 150 meter persegi dalam masa seminit, boleh membajak walaupun dalam keadaan tanah berlumpur atau liat “ jelas Senin menjelaskan ciri barang jualan itu, penerangan itu diakhiri dengan Senin menepuk tayar mesin pembajak itu.Barang jualan sebegitu bukan sekadar boleh melepas cakap, kadang kala Senin harus melakukan pelbagai demonstrasi. Selepas berpuas dengan demonstrasi, ada pula yang tidak berpuas dengan harga.Hari yang cukup panjang bagi Senin.


Senin menyelak kocek seluar dan membawa keluar telefon bimbit. Skrin LCD hitam putih itu menunjukkan ada beberapa missed call. Siapa lagi kalau tak lain Ayu, tunang Senin. Senin mengambil masa merenung kearah ufuk langit mencari apa urusan Ayu menelefonnya berkali-kali. Ah! Lupa lagi!bahawa dia telah berjanji untuk makan malam bersamanya. Segera Senin menelefon Ayu untuk menerangkan keadaan sebenar. Nasib baik Ayu memahaminya.


Kuala Lumpur memang tak pernah tidur. Lihat saja di jalanraya dalam pukul 8:30 malam masih ada muka mundar mandir yang pulang dari pejabat. Ayu tidak mahu melepaskan peluang untuk bermakan malam dengan Senin, peneman seperti Senin amat diperlukan apatah lagi Ayu si gadis kampong berstatus yatim piatu. Digerai Pak Arshad lah Ayu setia menunggu si-peneman.


“ Tak elok engkau tunggu si-Senin dekat stesen LRT atau lorong-lorong tu, kau tak pernah dengar berita makin ramai kena samun, rompak, rogol. Engkau tu dara lagi… lawa pulak tu, jangan sia-siakan nyawa tu “ berleter Cik Yam, bini Pak Arshad yang turut membantu lakinya berniaga disitu. Ayu terasa dirinya seperti mempunyai ibu tatkala dihentam dengan leteran sebegitu ,hakikatnya dia anak yatim piatu.


“ Mak Cik pernah tengok orang kena samun depan mata ni…. Bukan satu dua kali, lima kali! “ Cik Yam melayangkan lengannya sambil merenggangkan kelima-lima jarinya itu. Selepas itu dia menggelengkan kepala keresahan.


“ Hari hari Cik menyelak surat khabar, Menteri dalam negeri kata keselamatan negara makin mantap, jenayah makin berkurang…berapa? Berapa Per-sen? “ Cik Yam mula nyanyuk, dia menoleh dan memekik kedalam ruangan kedai “ Berapa per-sen Paknya?!! “


“ 15 per-sen! “ balas Pak Arshad dari tempat menggoreng Ayam Berempah yang tidak jauh dari meja Ayu sedang duduk menunggu Senin. “ Hah! 15 per-sen kepala kote dia. Kalau menteri keamanan dalam negeri boleh diundang duduk di gerai ni, dia boleh nampak segala malapetaka jenayah yang menjadi-jadi. Siaran Langsung!!! “ teriak Mak Yam, Ayu terkik-kuk-kik-kuk ketawa mendengar rintihan itu.


“ Engkau boleh ketawa Ayu. Kita ni tiap-tiap jam terdedah dengan bahaya, walhal menteri keamanan dalam negeri kita boleh cuti dengan anak bini di eropah… sama…sama..er..” sekali lagi nyanyuk melanda Cik Yam “…ama..rika, mana mereka tau apa jadi disini. Cukup haribulan dia announce keselamatan Negara kita lebih mantap 15 per-sen, 2000 polis tambahan, beratus-ratus bit polis di Kuala Lumpur, berpuluh-puluh unit balai bergerak… satu pun tadak ubah!? “ naik tegang urat urat leher Cik Rozyah. Nasib baik malam yang gelap boleh menyembunyikan percikan air liurnya dari mata kasar pelanggan gerainya itu.


“ Opocot!!!… kepala kote…lima belas per-sen, limabelas per-sen!!! Hoi Atoi! Kenapa kau buat mak cik macamni ” Atoi si pelanggan tetap disitu menyentap bahu Cik Rozyah. “ Ewah-ewah pandai betul mak cik berpidato, mesti mak cik wakil peringkat daerah kan? Paling koman pun wakil kampong?” “ Celaka “ Cik Yam menampar tangan Atoi. Lelaki muda itu manja-manja mengelak dan terus berdekah ketawa dengan karenah Mak Yam. Resah hidup Mak Yam.


Sedang melayan telatah Atoi, Senin pun tiba disitu “ Assalamualaikum, minta maaf, lewat… “ Senin melonggarkan ikatan helmetnya, lega dirasa kulit kepala sebaik bahang sesak lalu lintas itu yang mencengkam sepanjang perjalanan terbebas dibawa angin sebaik helmet dilonggarkan.


“ Waalaikumussalam…Eh! You potong rambut… Sejak bila lagi? “ Ayu menegur rambut Senin yang sudah pendek. “ Hah! Baru dua hari lepas… “Senin meraba side burn, terasa ada rambut nipis sebelum tangan itu merayap ke kumis misai dipenuhi bulu yang lebih tebal.


Pak Arshad bergegas dari dapur dengan bungkusan dua Nasi Lemak Ayam Berempah untuk dijamah oleh pasangan muda itu. Melihat kehadiran Pak Arshad, Senin terus menyeluk poket seluarnya serentak Ayu juga membuka kocek wangnya meneliti helaian wang kertas. “ Eh, kan Ayu cakap Ayu mahu belanja makan malam ni? “


Buka sahaja pintu lif Condo Sri Wangi, keadaan sepanjang koridor itu senyap. Perlahan-lahan Senin mengatur langkah menyusuri laluan sempit itu untuk ke unitnya. Gusarnya menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Tiap langkah semakin menghampiri unitnya menjadi rahmat. Kalau sampai ke grill besi unitnya itu, adalah satu anugerah besar untuknya. Ayu sampai naik hairan dengan telatah tunangnya.


“ Bodoh! Bodoh! “ kedengaran bunyi burung itu berkata, kemudian “ Bahlul! Bahlul! “ Ah, dalam waktu senja ni dikira Senin burung dalam sangar tu sudah tidur. Namun, masih berdecit lagi mereka meratus dalam sangkar yang terceruk bawah ruang ampaian rumah itu. “ Bodoh! Bahlul! Bodoh! Bahlul! “ bersahut-sahutan burung itu berkata. Seolah-olah melawan siapa yang mahu bercakap deras.


“ Kenapa jahat sangat burung-burung tu? “ Tanya Ayu.


“ Bukan burung tu yang jahat… Tuan dia yang tak tahu nak ajar perkataan elok yang boleh disebut “ balas Senin. Menggaul nasi yang dibungkus tadi.


“ Pernah benda ni jadi pada orang lain? “ Soal Ayu lagi.


“ Masalahnya orang lain berjalan di corridor tu, burung tu tak maki apa-apa pun, kecuali I saja… Bila I lalu disitu dia keluar ayat ayat kesat tu “ balas Senin. Terangkat kening Ayu, diikuti dengan tawaan. “ You betul ke ni burung-burung tu maki u sorang saja… maksudnya, kalau I berjalan di koridor tu, burung-burung tu duduk senyap? “Senin hanya mengangguk. Ayu kurang yakin dengan dakwaan itu membawa dirinya berjalan di corridor berkenaan. Benar, sebaik dia melalui situ burung itu sedikitpun tidak bersiul hanya mengepak-ngepak sayap.


“ Kalau pemilik dia degil, kenapa you tak tulis surat pada yang berkenaan? “ Ayu mencadangkan sesuatu. Ayu siap menawarkan kepakarannya dalam urusan menulis surat rasmi itu, al-maklumlah dia seorang secretariat di sebuah syarikat swasta yang beroperasi di Kuala Lumpur. “ Yang Berkenaan? “ Masalahnya, yang berkenaan mempunyai tali darah dengan pembela burung berkenaan.


“Oh …. “ Ayu akur. Di Negara tanah tumpah darahnya itu, begitulah cara benda berjalan.



Pak Ngah


Sarji menemui ajalnya. Dia diserang sakit jantung pagi tadi sebelum subuh. Senin selaku abang mahu mengurus jenazah adiknya itu, namun dia tidak cukup tangan. Rakan di pejabat hanya boleh datang seawall-awalnya waktu makan tengahari. Atoi punyai kerjanya. Pak Arshad dan Mak Yam perlu mengurus restoran mereka. Berdirilah Senin di ruang tamu melihat sekujur tubuh. Ayu berdiri tidak jauh dan beberapa ahli paramedic yang tiba tidak mampu berbuat apa-apa hanya mengesahkan adiknya sudah arwah. Satu nyawa warga kota melayang begitu sahaja.


Kelindan lori ambulans yang tiba dijerkah oleh Senin mengapa dia tidak boleh tiba dengan lebih awal lagi? Mana tidaknya, laluan menuju ke Condo Sri Wangi sempit belaka. Tambahan waktu puncak selepas subuh orang bergelut ke pejabat masing-masing. Pihak Pentadbir dan Pengurus Kota bukan tidak tahu. Mereka sudah mempelajari ilmu urban planning dari universiti terkemuka di Eropah; Condo Sri Wangi dan daerah sewaktu dengannya sudah sesak, walaupun jalanraya 6 laluan dibahagi dua haluan menyusur membelah kawasan itu, tetapi akibat terlampau banyak kelulusan pembinaan condo dan flat baharu diagihkan tanpa kawalan meliputi sepanjang laluan, masakan terpaksalah menampuang aliran pengguna yang tinggi, melampaui had kendalian jalanraya 6 lalauan itu. Ambulans yang menyahut panggilan cemas pun tidak berkemampuan sampai tepat pada waktunya. Demikianlah murahnya harga nyawa penduduk Condo Sri Wangi.


Maut ajal ditangan tuhan. Kalau begitu tak mengapa, Pentadbir boleh cuci tanan. Bukan salah merekapun membabi-buta meluluskan pembinaan condo dan flat bertingkat-tingkat kepada kroni mereka sehingga bengkak jalanraya disitu dan ambulans sampai lewat.Senin berkira-kira manakah tanah perkuburan yang mahu menerima jenazah adiknya? Berapakah sewaan ambulans? Dimana hendak sembahyang jenazah? Siapakah yang bakal menghadiri solat jenazah itu, sudahlah dia tak punyai jiran yang sebulu. Malah burung peliharaan mereka pun tidak sebulu dengan Senin.


Ketika itulah, Senin menerima panggilan dari Pak Ngah. Dia tinggal di Sabak Bernam dan menawarkan kemudahan kepada Senin, jikalau dia mahu, untuk menguruskan dan pengkebumian adiknya dilakukan disana. Walaupun jauh ke utara sedikit, tapi, disana semuanya sudah ada. Pak Ngah kenal dengan orang kampungnya, Pak Ngah kenal dengan qariah masjid kawasannya, Pak Ngah sebulu dengan orangnya.


Tanpa berlengah lagi Senin bersetuju. Perjalan mengambil masa sejam dengan gerabak van membawa Senin dan arwah adiknya menyusur pantas. Barisan pokok kelapa sawit dan lembah yang menghiasi menenangkan hati Senin yang sayup. Dia tertanya dirinya mengapa tidak dia keluar dari kelompok orang muda yang bertungkus lumus separuh nyawa di ibu kota, sebaliknya tinggal di wilayah yang sedang dilihat mata kepalanya sendiri.


Padi selaut, renjong pokok nyior mengikut alunan angin; Senin fikir itulah tempat terbaik untuk adiknya dikebumikan.Sepanjang hidup adiknya di ibukota hanya mendampingi siksa. Serangan jantungmya berulang-ulang dan kerja sering tidak tetap saling bersilih ganti.


Jenazah adiknya dibawa turun oleh Senin bersama seorang berkulit hitam, seorang berhidung penyet dan seorang bermata sepet. Empat orang kesemuanya mengusung arwah Sarji. Pak Ngah dan beberapa orang kampong berkopiah bersongkok mula perlahan-lahan berselawat.Surah Yasin sudah dipegang. Pintu rumah Pak Ngah terbuka luas dan terbentang tilam untuk arwah. Alhamdulillah, jenazah mendapat bacaan yasin dan urusan jenazah yang cukup sempurna. Yang tidak tercapai kemampuan Senin jika dia masih berada di Kuala Lumpur.


“ Pak Ngah buat semua ni sebab arwah tu darah daging kita juga…” kata Pak Ngah sambil menyinting seluarnya membiarkan lumpur yang terpercik hingga bawah lutut itu kering. Lumpur juga tidak melepaskan peluang melata hingga ke lengan Pak Ngah. Namun apa Pak Ngah kisah sangat, dia sudah berbelas tahun bertani, dia mengusahakan tanaman cili secara besar besaran. Diseli dengan tanam-tanaman lain yang diusahakan secara kecil-kecilan.


Dia memang darah petani. Bersalaman saja dengan Pak Ngah, kulit tangannya yang kasar itu menjadi testimoni dia berhempas pulas bertani selama berbelas tahun. Berbanding dengan tangan Datuk Hurais yang gempal, montok dan umpama belon air.


“ Pak Ngah, kami pulang dulu ya…” kata si hidung penyet. Manakala si-kulit gelap sibuk membetulkan dynamo lampu suluh basikalnya. Bermata sepet itu mengelap peluh dan lurah batang hidungnya. Baru Senin perasan mereka itu sekumpulan hamba Allah yang sibuk mengusung, menyembahyangkan dan mengebumikan arwah adiknya. Murtaz dari Bangladesh, Amin dari Myanmar dan Ajoko dari Jawa Tengah. Mereka berkerja dengan Pak Ngah mengusahakan lading cili. “ Ya Allah permudahkan urusan kehidupan mereka juga “ bisik hati Senin. Lantas bersalaman dengan setiap seorang mereka, kemudian mereka beredar menyusuri pendalaman kampong dengan matahari makin meyisip ke ufuk barat.


“ Mereka tinggal di hulu kampong… Pak Ngah gajikan mereka untuk jaga kebun cili ni…” terang Pak Ngah. “ Mereka ni kuat berkerja, kuat bersembahyang… orang kampong pun selesa dengan mereka, walaupun di sesetengah tempat mereka ni dianggap masalah – sebut saja Bangladesh, ada yang dah berdecit “ terang Pak Ngah “ Ya, di KL mereka ni bikin kacau bilau “ tambah Senin. “ Bukan mereka yang jadi punca kacau bilau… kita sendiri yang menjadi punca masalah di KL tu…” pernyataan Pak Ngah membuatkan Senin terdiam sementara mencari maksud tersirat kata-kata orang tua itu.


“ Engkau pakailah kain pelikat ni… baju pun tak banyak, ni pun yang paling elok “ Pak Ngah menghulurkan pakaian kepada anak muda itu yang duduk termenggung. T-Shirt bertulis REVNOX, nescaya Senin tahu itu baju kemeja berkolar percuma yang diperoleh Pak Ngah, tapi apakah itu REVNOX?


“ Eh, engkau berniaga mesin bertani, engkau tak tahu ka apa tu REVNOX? “ duga Pak Ngah. Senin menggeleng-gelengkan kepalanya. “ REVNOX… itulah baja cili yang diguna untuk kebun Pak Ngah“ terang Pak Ngah, setelah Senin menyerup badannya dalam baju itu Pak Ngah berkata “ Hah… eloklah dengan badan kau tu Senin, Pak Ngah ni dah tua… tulang rusuk pun boleh nampak terbonjol, tak sesuai dengan baju besar-besar ni… kau ambil sajalah“


Senin tersenyum dan memperlihatkan dirinya melalui cermin usang di rumah Pak Ngah. Dia dengan segan ingin menolak. “ Bukan murah Pak Ngah nak ‘beli’ baju tu… Harga baja cili naik RM10 sekilo… Pak Ngah pakai 300 kilo sebulan, habuannya baju yang kau pakai… dipanggilnya free gift ” Pak Ngah tersengih dan kemudian beredar untuk mengasingkan cili di bangsal belakang rumah.


Senin tidak menyangka orang tua macam Pak Ngah boleh mengeluh. Apa-apapun dia sendiri juga mengeluh tentang kesempitan kehidupan. Makin ramai berbuat begitu. Agama pernah mengajar kita agar jangan mengeluh tentang kesusahan yang kita alami. Tapi dimanakah tempatnya untuk mengeluh apabila kesempitan ini diada-adakan oleh pemerintah yang opresif? Mereka tidak menyediakan kaunter aduan kerana sibuk menjana transformasi.


Duduklah Pak Ngah berseorang di bangsal belakang rumah. Mengasingkan cili mengikut saiz. Ditanya Senin mengapakah cili-cili ini diasingkan? “ Ini untuk rumah anak yatim…ini untuk ditanam semula… ini untuk dijual “, bakul terakhir yang paling kecil. Dengan begitu kecil bilangan cili itu, bagaimana Pak Ngah mahu menyara kehidupannya? Mengapa banyak cili yang harus dibuang?


Apakah Pak Ngah bergurau? Senin tahu Pak Ngah seorang yang sangat serius orangnya. Dia seorang jurutera sebelum kemelesetan ekonomi 98 memaksa dirinya mengusahakan tanah yang ada di Sabak Bernam. Pak Ngan enggan menjawab, dia serius mengasingkan cili-cili itu. Namun ada perkara yang lebih aneh yang terpancul dari mulut Pak Ngah malam itu;


Minta maaf kalau Pak Ngah bercakap pasal hal ni walaupun kubur arwah Sarji masih merah “ mulanya. Kemudian Pak Ngah mengutarakan niatnya untuk membeli relungan tanah yang diwariskan oleh adiknya. Katanya ingin mengembangkan tanaman cilinya.” Engkau ni dah masuk umur diwajibkan berkahwin, jadi, eloklah kalau kau guna duit tu untuk berkahwin. Berkahwin di Kuala Lumpur banyak pakai duit “ jelas Pak Ngah, tangannya laju mencampak cili antara ketiga-tiga bakul dihadapannya. “ Pak Ngah harap kau boleh guna relung tanah bahagian kau yang masih banyak untuk buat tanaman cili juga… Pak Ngah boleh ajar, Pak Ngahtahu teknik dia, Pak Ngah mampu cari buruh yng berkemahiran… cuma ikut keberanian kau saja Senin “


“ Pak Ngah umur sudah senja, engkau saja yang akan ada anak dan bini nanti… perjalanan kau masih jauh “



Hari-hari bahagia


Ayu terloncat gembira apabila ikatan pertunangkan mereka yang menjangkau 5 tahun itu akan diganti dengan ikatan suci perkahwinan. Senin kini pada dasarnya mempunyai hala tuju hidup yang makin teratur. Perkahwinan itu bakal diadakan secara sederhana sahaja. Tiada hantaran yang mahal-mahal dan tiada pula sesi videografi yang menelan belanja beribu-ribu untuk mengumpan puji-pujian di Youtube. Hanya pernikahan bercirikan Islam tanpa renjis merenjis atau pelamin sebesar alam.


Suatu hari, Senin mendapat panggilan dari nombor yang tidak dikenalinya. Terkejut apabila dirinya dipanggil untuk memberi keterangan akan satu kes rasuah melibatkan jutaan ringgit. Ayu seperti biasa, membenarkan Senin mengalih tumpuan dari perkahwinan mereka setelah menghidu perkara ini agak serius baginya. Senin mengetip bibir. Tanah berelung-relung yang dijual pada Pak Ngah tidak melibatkan nilai jutaan ringgit.


Namun, ia lebih bersangkut dengan majikannya; Datuk Hurais. Berjam-jam Senin disoal hinggalah dia tahu bahawa Datuk Hurais itu rupanya pengimport cili dari China yang murah harganya. Ada saudara maranya dari golongan atasan sudah memberinya permit untuk membeli Cili dengan kuantit yang banyak memasuki tanah air. Ketika itu, Senin bagai mengimbau kembali foto di bilik Datuk Hurais berjabat dengan menteri-menteri kabinet. Pingat dan anugerah ketokohan dan kepimpinan. Menjual dan mengaut keuntungan melampau dengan menjual cili impot, dia selama ini berselindung dengan aktiviti jualan mesin pertanian dengan Senin menjadi jurujual. Senin beristigfar.


Dia menghantar pegawai dari Komisi Pencegah Rasuah hingga ke lif. Sebaik dua orang pegawai itu hilang dari pandangannya, dia teringat akan Pak Ngah dan cili yang bertimbun tidak laku yang hendak dilupus dan disedekah kepada rumah anak yatim. Semua itu bukan gurauan. Kroni tamak seperti Datuk Hurais yang dalam diam menyembelih petani cili seperti Pak Ngah dan setara dengannya. Seseorang yang terpuji dan disegani oleh Senin suatu ketika.Senin beristigfar.


“ Bodoh! Bodoh! Bahlul! Bahlul! “ burung burung itu bising lagi. Kali ini Senin tidak ada rasa marah. Burung itu tidak semata-mata mengikut perintah tuannya untuk memaki hamun apabila kelibatnya berada di koridor Condo Sri Wangi. Senin akui ada kebenaran pada burung itu.


“ Bos mau potong sideburn? “ Murali bertanya. “ Bos? “ Murali menoleh melihat Senin. Matanya luas terbuka, dia tidak lena, cuma fikirannya jauh melayang mengigati pesanan Pak Ngah anatara beranikah dia untuk berubah. Dia tahu Datuk Hurais takkan jatuh dalam masa terdekat. Komisi Pencegah Rasuah takkan ada taring untuk merekau orang setingginya. Senin terasa hina bersetongkol dengan orang sebegitu, namun kalau dia hanya mampu tukar kerjaya semata-mata, dia bakal jadi seperti Pak Ngah yang keluar mulut singa masuk mulut buaya.


Mungkin ada seperkara lagi yang dia patut ubah.