0 com

Ayuh Perangi Musuh Agama

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya 



Poetter Goodman dihantar oleh agensi berita berpusat di New York ke Malayshire. Negara itu sudah empat tahun jatuh ke dalam kancah perang saudara. Poetter Goodman ditugaskan untuk mencari berita di negara semenanjung itu.  “Apa yang kau fikir, tak sama dengan apa yang kau lihat di Malayshire nanti“ ketua editor majalah mingguan berpesan pada Goodman sebelum berlepas.

Pramugari bergegas mengutip semula minuman alkohol yang dihidangkan. Memasuki ruang udara Malayshire, hidangan itu diharamkan. “ Minta maaf Encik Goodman, saya perlu ambil semula hidangan minuman ini “ tag nama pramugari itu tertera namanya - Ruby. Goodman merelakan, walaupun minumannya belum habis.

Goodman adalah wartawan antarabangsa pertama selepas semua wartawan antarabangsa ‘dihalau’ semenjak perang saudara tercetus. Sebaik berada di lapangan terbang, lagu yang berkumandang di lapangan terbang itu bertajuk “ Ayuh Perangi Musuh Agama” XYZ, pegawai yang ditugaskan sebagai escort kepada Goodman berkata: “ Inilah lagu yang diwajibkan pada pelajar pelajar di sekolah, dinyanyikan selepas lagu kebangsaan Malayshire-ku “. Goodman memerhati di luar tingkap SUV hitam, hoarding di bahu jalan berselang dengan iklan dan mesej propaganda: “ Kita tegas menentang LGBT!, “ selepas iklan mee segera, satu lagi propaganda berbunyi: “ Neraka kepada mereka yang berfikir liberalisme! “ selepas iklan sabun buku “ Progresifme dan pluralisme melanggar perintah agama “ beserta gambar seorang lelaki berserban, namanya Syaikh Rachman Fyquramaizi Ashman, mufti besar Malayshire. 

Bila Poetter Goodman sampai di lapangan terbang, tiada lagi sempadan negeri, cuma ada tiga zon. Zon putih, kuning dan merah. Zon merah dimana perang saudara berlaku. Goodman memasuki zon putih, zon yang selamat. Setiap nama jalan diganti dengan nama tokoh agama, mengigatkan rakyat tentang role model mereka dan niat pemimpin yang sentiasa menaikkan syiar agama adalah murni murni belaka.

“ Goodman, ingat ya “. XYZ mengangkat sebelah keningnya, jari terlunjuknya tegak mecanak, satu peringatan keras. Bila Poetter Goodman menulis, perkataan seperti ‘propaganda’ harus dielakkan, digantikan dengan ‘kehendak agama’, perkataan ‘ perang saudara’ kepada ‘ usaha menegakkan syiar agama ’ banyak perkataan yang pengunaannya dihadkan, sebuah paket diberikan pada Goodman dengan kamus dipenuhi pilihan perkataan yang dibenarkan. Imej Malayshire sudah empat tahun tercemar, Goodman datang untuk membersihkan. 

Hotel yang diinap Goodman berada di zon putih. Goodman dan dua pengawal peribadi menemannya ke bilik, terdapat satu notis di dinding lif “ sebarang hidangan alkohol dan hiburan diharamkan”. Goodman diberitahu pemimpin disitu dicintai kerana menegakkan undang undang agama. Goodman diberi masa 15 minit untuk memulakan tugas, sesusah bagasi diletakkan dalam bilik hotel, sebuah Hummer sedang menunggu Goodman di bahu jalan. 

Didalam perut hummer itu, Goodman diberikan ves kalis peluru, itu perkara yang wajib ketika berada di zon merah. Memasuki zon merah, apa yang dilihat Goodman tidaklah seperti apa yang disangka sangkakan. Tiada jalan berlubang dibom, Tiada rumah yang terbakar atau tiada bangunan yang roboh akibat bedilan meriam, letupan bom atau dihujani peluru. Hidup berjalan seperti biasa. “Goodman, ini perang gerila, mereka tembak kita dan lari menyelinap kedalam hutan “ kata XYZ.

Goodman melihat semua masjid dilindungi. “ Goodman, lihat kalau ada sebarang masalah, lari ke masjid yang terdekat. Disini ada pegawai kami, dikawasan masjid kami beri jaminan kami akan lindung kamu “ terang XYZ

Sampai di satu simpang, lebih kurang empat lorong lebar, konvoi kenderaan berhenti. Goodman menjejakkan kakinya di zon merah. Goodman dituruti oleh dua pegawai. Dari awal, Goodman tidak suka menarik perhatian yang tidak munasabab dan meminta untuk tidak ditemani, namun XYZ tegas Goodman harus keluar dari Malayshire tanpa satu kesan luka “ awak ada berita penting untuk satu dunia “

Goodman cermat memerhati. Seperti di Syria dan Iraq,orang ramai kelihatan letih dan tidak memperdulikan kehadirannya. Empat tahun berperang saudara, siapa tidak letih? Goodman tiba di satu simpang di pasar itu, penjual kacang goreng sedang sibuk menggaul jualannya. Goodman mencengkam kamera dan menghala kanta pada peniaga itu, satu das tembakan kedengaran. Goodman tertiarap, dia mengesot tapi beberapa kali tangan dia dipijak. Dalam kekalutan itu, ramai orang bertempiaran berlari. Ves kalis peluru itu membuatkan pergerakannya terhad. Akhirnya Goodman berdiri dan bergegas, dia menghampiri sebuah gereja. Dia tidak punya pilihan lain lagi,wartawan berkulit putih di negara tropika, dia menjadi target mudah diantara deretan bangunan yang amat asing baginya.

Goodman menerjah masuk ke gereja untuk berlindung. Pantas dia menutup kejap pintu gereja. Perlahan lahan dia memasuki ke ruang utama gereja itu. Ya, segala altar dan tempat duduk masih ada,dan ada satu perkara yang tidak kena. Ada seorang manusia yang mendirikan solat ditengah dewan gereja itu diantara deretan kerusi. Dia memerhati saja muslim itu melakukan solat, Goodman memeriksa kameranya, masih berfungsi dan tanpa berlengah mengambil foto. Banyak foto.

Selesai muslim itu bersolat, Goodman bertanya “ apakah ini masjid atau gereja? “ 

Lelaki tua berjambang itu tersenyum dan enggan menjawab, dia memerhati kad yang tertera wajah, agensi dan nama wartawan itu “apakah berita yang Encik Goodman mahu kupas di Malayshire? “ perlahan lahan lelaki tua itu duduk di salah satu kerusi gereja menghadap altar. Menyapu debu yang mungkin terlekat pada sejadah yang diguna tadi.

“ Perang saudara …“ katanya sambil menelan air liur untuk menjinakkan lelah dari situasi tadi.

Lelaki berjambang putih itu menjawab “ maafkan saya, saya tumpang gereja ini sebentar. Masjid saya yang saya selalu bersembahyang ada di hujung sana “ katanya sambil menunjukkan melalui tingkap gereja yang kecil itu, Goodman dinasihati XYZ untuk ke mana mana Masjid jikalau terpisah dengan konvoi. Namun Goodman mahu tunggu sebentar, dia ingin menemuramah lelaki berjambang itu untuk maklumat , dia mahu bercakap, dia nampak selamat. “ apakah kamu terlibat dalam perang ini ? “

“ Perang? Apakah ini tampak seperti perang? “ biji hitam lelaki tua meliar melihat pelusuk gereja itu, Goodman mendongak. Senyap, sepi, bekalan elektrik sudah lama dipotong, air menitik dari gutter bocor kedengaran seolah Goodman berada di gua batu kapur. “ Bukan saya saja yang tidak boleh beribadat, pengguna asal gereja ini terpaksa beribadat curi curi “ 

“ Curi curi ? “ “ Sejak empat tahun dulu, andai ada yang hendak berkumpul di gereja, mereka terus dianggap subversif, pemerintah histeria bila lihat ramai orangnya berkumpul disatu tempat tanpa matanya melihat dan telinganya mendengar“ kata lelaki itu sambil mengusap janggutnya.

“ Apa terjadi? Kamu yang bermain dengan api kan? Mencucuk sarang tebuan? Mencabar kedaulatan? “ tegas Goodman membaca dari buku notanya, itu yang XYZ mahu Goodman percaya. 

“ Bermain dengan api. Mencucuk sarang tebuan. Mencabar kedaulatan, Macam pernah dengar semua itu “ kata lelaki tua itu, “ Encik Goodman,  saya bersembahyang di gereja ini, tapi masjid saya sudah diambil alih atas alasan melindungi rumah tuhan dari musuh agama.  Sebenarnya, kami tak pernah ada musuh En.Goodman “

“ Kesalahan kami kerana tidak ikut acuan, kerana kami tak ikut acuan, kami musuh “  sebelum habis ayat itu, satu dentuman bom asap membuatkan penglihatan Goodman berpinau. Goodman di rempuh oleh ahli komando berbadan sasa. Dia terasa kakinya bagaikan tercabut. Berguling guling badannya atas lantai bagai adengan filem hindustan. Kamera entah kemana, buku nota tercampak, Poetter diheret keluar gereja berkenaan dengan segera. Dia kemudian dihambat masuk kedalam SUV hitam, sepantas kilat mereka beredar dari gereja itu ke zon kuning. 

Sampai zon hijau, Goodman dirujuk ke hospital besar. Ini untuk mengesahkan dia bebas dari kecederaan.  XYZ berkata pegawai keselamatan Goodman terkena tembakan tadi, dan Goodman amat bertuah “peluru itu cuma beberapa inci terlepas dada awak” kata XYZ. Dr.Priscilla , doktor yang merawat Goodman bertanya “ Kamu mesti seorang yang selalu ke gereja? tuhan telah menlindungi kamu “

“ Saya jarang ke gereja, orang negara kami jarang ke gereja sebenarnya “ terang Goodman
Tidak lama kemudian, perbualan ringan mereka menjadi mesra dan peribadi. Goodman mula dimaklumkan Priscilla tidak pernah berkahwin sejak menjadi doktor dua belas tahun dahulu. Goodman berterus terang dia bercerai sepuluh tahun dahulu. Sebelum Goodman pulang ke New York dia mahu mengajak Dr.Priscilla untuk makan malam, tanda terima kasih atas jasa doktor itu. 

Goodman menjemput Priscilla ke jamuan makan hotel yang diinapnya. Janji temu ditetapkan jam 5 petang. Sejak perang saudara, Malayshire melaksanakan undang undang agama, apa jua bentuk perniagaan ditegah selepas waktu maghrib, katanya untuk menghormati agama. Priscilla  enggan menurut rancangan Goodman dan berkata “ beri saya peluang bawa awak ke tempat yang lebih baik “

Goodman segan menaiki kenderaan Priscilla, sepatutnya dia yang membawa wanita itu. Kenderaan itu melucur laju, memasuki lebuh raya membelah bukit dan lembah. Waktu berlalu, matahari sudah tenggelam, dan belum nampak tanda jalan akan berakhir, di negara yang asing, Goodman terasa gusar dan bertanya “ kemana kita hendak pergi? “

“ Jangan risau Goodman, awak tetamu saya, saya akan bawa tempat terbaik “ jawab Dr.Priscilla. Sampai di satu simpang, kenderaan itu menyusuri sebuah terowong.Di tengah terowong itu ada pos kawalan, palang besi dan konkrit penghadang. Dr.Priscilla memberi kad pengenalannya, dan satu sampul dari klinik yang dilipat rapi pada pegawai beruniform yang lengkap bersenapang automatik dengan berbisik “ beri kepada Jendral “. 

Kurang seminit kemudian turun seorang lelaki tidak beruniform, berpakaian biasa dan menjenjuk kedalam kenderaan sambil bertanya “ apa tujuan awak masuk ke sini ? “

“ Jendral, saya mahu bawa kawan mat salleh tetamu negara kita untuk minum minum “ terang Dr.Priscilla. Lantas lelaki bersuara garau itu menjawab “ Selamat datang ke zon biru… disini tempatnya! “ dia mengangkat tanganmemberi isyarat kenderaan Dr.Priscilla boleh melepasi terowong itu. Goodman tergamam, dia baru tahu kewujudan zon biru.

Disepanjang jalan itu tiada lagi poster mempersyaitankan LBGT, progresif, pluralisme,liberalisme malah, dipenuhi dengan binaan moden, diimpahi cahaya, disaluti dengan aktiviti malam yang nilai moralnya rendah, semua ini berlatarkan lembah. Jari Dr.Priscilla lentik menunjuk pada satu arah “ percayakah Goodman, di luar sempadan lembah, berpuluh nyawa melayang setiap hari kerana berperang untuk menentang musuh agama “

Mereka singgah ke sebuah bar untuk minum bir. Disitu Goodman berjumpa dengan ramai rakan senegara dari Amerika, ada British dan warga Eropah. Doktor Priscilla menambah “ diluar lembah pemimpin dicinta kerana mempertahankan agama, disini mereka berkongsi meja bersama pedagang barat, meraikan cara barat, minum dan makan cara barat “ Doktor Priscilla bertanya “ bagaimana New York? Sudahkah bangunan pencakar langit yang diomong omong itu siap? “ 

Goodman membalas “ Sudah siap, awak patut datang melihatnya, awak tiada suami yang menghalang awak dan masih sihat, saya sendiri lebih dari gembira boleh menjemput awak di New York “ 

“ No! Sungguhpun saya tiada suami, saya ada pesakit muda yang memerlukan jagaan saya “ Dia mengalami penyakit kelamin, penyakit kelamin yang melanda golongan homoseksual. Dia masih tidak boleh meninggalkan tabiat homoseksual dan tiap tiap minggu Dr.Priscilla akan mengurus ubatnya.

“ Tapi mungkin saya boleh pujuk pesakit saya ke New York, dia akan bawa saya kemana saja dia pergi “ kata Dr.Priscilla sambil menyeluk tangan kedalam beg tangannya

“ Istimewanya pesakit ini? Siapa pesakit awak? “ Goodman menyelidik. 

“ Goodman, tak ramai yang boleh meninggalkan negara ini, cuma pemerintah dan anak anaknya “ jelas Dr.Priscilla lagi sambil meletakkan semula gincu pada bibirnya. 

“ Makin saya mengenali awak, makin tebal selimut misteri yang awak hamparkan pada saya “

Dr. Priscilla tertawa terbahak bahak “ Sudah Goodman, awak mabuk, ayuh, kita ke tempat lain pula”  

“ Hai En. Goodman, tak sangka kita berjumpa lagi ? “ pramugari Ruby menyapa. Hendak dibuatkan cerita dia turut berada di zon biru malam itu. Goodman memperkenalkan Dr.Priscilla. Pramugari Ruby memperkenalkan rakan perempuannya. Mereka berpakaian cukup cukup sahaja, malah lebih kurang fabrik menutup menutup kulit berbanding gadis gadis di New York tatkala hujung minggu tiba “ awak biasa terdengar nama Syaikh Rachman Fyquramaizi Ashman? “

“ Itulah anak perempuannya “ sekali lagi Goodman menoleh melihat dua perempuan itu berpegangan tangan, mendaki tangga, kedua mereka sekali sekala mengusap pinggang masing masing. 

Dia teringat kata editornya “ Apa yang kau fikir, tidak sama dengan apa yang kau lihat nanti “

Goodman termenung seketika. Apa yang harus ditulisnya bila dia pulang ke New York nanti ? Ya, dia ke situ untuk menulis tentang usaha paling murni menentang musuh agama, tapi siapa musuh ?