0 com

A.K.H.R



Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya

Masuk bulan ini genap 33 umur Mat Ropi’e dan berita bahawa dia bakal mengakhirkan zaman bujangnya bagai petir yang disusuri dengan guruh, sekelip mata menyusup dan mengejutkan kami sepupu sepapat. Paling tidakpun ada yang melatah mendengar berita itu. Al-maklumlah, bila Hari Raya Puasa Mat Ropi’e lah yang akan menjadi bahan ketawa. Pak Cik dan Mak Cik selalu menghulurkan dia sampul hijau. Kalau Mat Ropi’e menolak, Pak Cik dan Mak Cik akan memaksa juga dia menerima pemberian itu atas alasan ‘dia belum berkahwin’ atau ‘buat simpanan duit hantaran’. Bila ditanya siapa gerangan yang bakal dikahwininya itu, Mat Ropi'e enggan memjawab. Sebaliknya mukanya akan merah padam dan disusuli dengan gaya terhegeh-hegeh tuanya:” Adaaalaaahhhhh…..”


Mat Ropi'e bekerja selaku trainer di Hollywood Glam Gym. Selalu aku mengacau dia tidak adakah gadis yang datang meminta nombor telefon atau bermiang dengan lelaki bertubuh sasa sepertinya, Mat Ropi selamba menjawab: “Kau gila? Di Malaysia mana ada perempuan slim-slim, tengok diet kita… banyak goreng-goreng, menu kita banyak daging…mana tak gemuk” jelasnya “kalau yang datang pun dah gemuk… masuk gym nak jadi kurus”tambahnya lagi, bersemangat menerangkan karenah manusia sewaktu kerja “ Aku juga yang letih bagitau mereka gym ni untuk fitness, bukan kurus”


“ Abang Ropi, bagitau sikit pasal calon isteri Abang Ropi” aku cuba mengorek cerita dan mengubah topik. Aku harap-harap dia tak buat perangai terhegeh-hegeh tuanya. Monyok muka Mat Ropi'e, jelas dia enggan menjawab, tapi dia berkata sesuatu. “Kau boleh tolong aku?”


Mat Ropi’e rupanya menyuruh aku menemaninya berjumpa dengan Ustaz Muda, seorang yang arif tentang ilmu agama yang tidak jauh beza dengan umur kami. Untung Mat Ropi’e kami ada kenalan yang baru saja ditauliahkan ustaz dalam bidang tassawur dari UIA, dengan umur yang muda lela itu, kuranglah perasaan segan silu jika pertanyaan kami berbaur jahil. Bukan apa, kadang-kadang Ustaz tua ini akan mengungkit kisah mereka di majlis khutbah mereka kelak, itulah yang Mat Ropi’e segan hendak bertemu Ustaz lain. Demikian maklum Mat Ropi’e pada aku. Sebelum itu akulah mengatur pertemuan antara mereka berdua. Baguslah jika Abang Ropi menunujukkan komitmen untuk bertanya tentang soal kahwin, namun pertemuan Mat Ropi’e disuruh agar dirahsiakan daripada pengetahuan mak cik dan pak cik serta sepupu sepapat kami. Mat Ropi'e tidak mahu dia ditertawakan lagi. Dalam hati aku terkinja-kinja hendak memberitahu sepupu sepapat aku, namun dikawal dulu.


Pertemuan yang dijadualkan berjalan dengan lancar. Mat Ropi’e tidak pula membatalkan niatnya last minute. Mat Ropi’e kadang-kadang kuat gemuruh juga. Tapi, memang benar belaka apa yang aku nampak depan mata aku, Mat Ropi’e sudah tekad niat dan menanam hasrat untuk berkahwin. Pertembungan enam mata itu berlaku di kediaman Ustaz Muda “ Saya mahu bertanya dengan ustaz… apakah ciri-ciri pasangan yang kita patut pilih” demikian pertanyaan Mat Ropi’e dengan serius.


“ Bagus soalan itu… “ jawab Ustaz Muda sambil mengusap janggut sejempul itu. Ustaz Muda mengesot dan membetulkan kedudukannya atas sofa itu, bagai ada buah fikiran yang mungkin terjejas alirannya dalam benak kepala, dia berdehem pula “ dalam ugama kita mencari pasangan hidup yang memenuhi empat kriteria “ Mat Ropi’e menganguk-angguk, aku turut memasang telinga “seelok-eloknya kita mencari pasangan itu dinilai melalui empat sudut: agama, keturunan, harta dan rupa” sejurus itu terangkatlah kepala Mat Ropi’e“ kalau sempurna semua sudut itu barulah rumah tangga kita kukuh dan dirahmati Allah… Insyallah “


“ Tapi ada yang tak mampu memenuhi semua empat sudut itu?” Mat Ropi’e yang tekun belajar itu mengajukan soalan pertamanya “tidak mengapa… manusia tidak sempurna, pandai-pandai timbang tara antara keempat-empat itu agar seimbang… Al-maklum, kalau tiada agama, kemana arah tuju keluarga kita nanti. Kalau bukan dari keturunan baik-baik, asyik kemelut pula. Kalau tiada harta, dimana kita hendak mohon pertolongan jika amat memerlukan” terangguk-angguk Mat Ropi’e “ dan… kalau tak ada rupa, takkan kita hendak makan luar kot?” sejurus itu kami bertiga ketawa kecil.


“ Ini bertanya sakan ni sudah ada calon isteri kah?” pertanyaan itu keluar dari mulut Ustaz Muda tepat pada waktunya! Cantik sekali perkiraan Ustaz! Aku pun dah mula nak menguap dengan perbualan mereka hinggalah Ustaz mengeluarkan soalan berkenaan. Kali ni Mat Ropi'e nampak duduk tidak senang. Mengesot-gesot atas sofa dan berdehem sana sini. “ Ada kenalan, tapi bukan calon”


“ Ahh… Perkara yang baik-baik ni tidak boleh ditunda lagi, cepat uruskan!” terang Ustaz. Aku mengangguk, kalau aku diberi peluang menyampuk aku nak bersuara “betul tu!” sambil menaikkan jari telunjuk seperti perdana menteri tanah air sering lakukan sejak mutakhir ini. Namun, memontum perbualan itu takkan aku kacau. Ini perkara yang jarang sekali keluar dari mulut Mat Ropi'e, selama ini dia kuat berahsia tentang calon isterinya.


“ Dia ini memang lengkap dari apa yang diperincikan ustaz tadi” terang Mat Ropi’e “kecuali… dia sudah lima tahun tidak berpuasa” “Masyallah” Ustaz menggeleng kepala. “Saya mengenali dia ni setahun” “jadi, awak tak ajak dia berpuasa?” “Ada” “habis tu?” “Dia perpuasa tiga minggu saja… lepas tu dia tidak puasa” “ Masyallah….” Ustaz menepuk dahinya. Aku terus bersandar pada sofa. Terkebil-kebil mata Abang Ropi melihat aku dan Ustaz. Aku mendekatkan diri aku dengan Mat Ropi’e dan berbisik sesuatu pada sepupu ku itu, sejurus itu mukanya merah padam dan menangguk sakan. “Oh, saya terlupa…”


“ …dan Ustaz, saya dapat tahu dia menilik pusat dan sering ke kelab-kelab sambil minum beer…” “cukup” keterangan Mat Ropi’e terhenti mengejut separuh jalan “ Saya faham, calon awak ini kekurangan dari segi agama?” “Ehmm… kenalan Ustaz, bukan calon” “Maaf, saya terpaksa hentikan percakapan awak tadi… kita tak mahu mengaibkan atau mengumpat si-polan itu, nauzubillah”


“ Saya cadangkan eloklah awak elakkan diri dari mereka ini, tak mahu awak sendiri yang terjebak… “ kami berdua mengangguk “namun, ada hikmah dari aturan Allah s.w.t, jikalau awak punya kekuatan untuk membawa kenalan awak ke jalan yang lurus, eloklah awak lakukannya… orang yang sebegini seelok-eloknya dibawa ke rumah orang tua, orang cacat atau perumahan orang daif agar mereka lembut hati” tambah ustaz “Al-maklumlah, lampu disko itu terang benderang dan alunan muzik itu deras tiada had, tapi bila mata mereka melihat wujudnya maut, kesusahan dan penyakit nescaya lembutlah hati mereka untuk ke jalan lurus” tambah Ustaz


“Malah bacaa talqin itu sudah cukup membuat pemikiran itu lupa akan tarikh DJ DJ terhebat yang mahu turun ke kota, sebaliknya menumpu pada tarikh tuhan menarik nyawa kita yang belum tentu, subhanallah” Ustaz sekali lagi berdehem “ dan, jangan terkejut jika mereka ini sempat dikurniakan keinsafan, dan amalnya lebih afdhal berbanding kita ini - sebab itu saya halang awak bercakap tentang kekurangan agamanya, selagi si-polan bernafas, pintu taubat itu masih dibuka” aku menoleh melihat Mat Ropi'e yang terus mendengar. Tazkirah pendek yang disampaikanUstaz itu tadi begitu mendalam hingga Mat Ropi'e tidak berkata apa-apa sepanjang kami pulang ke kediamannya.


Genap seminggu selepas tazkirah berkenaan, sekali lagi Mat Ropi'e mengecek aku supaya mengatur perjumpaannya dengan Ustaz. Aku hairan apa pula kemusykilan yang ingin diajukan. Kali ini pertemuan diadakan di rumah bujang Mat Ropi’e“ Ustaz, saya ada seorang lagi kenalan yang al-kisahnya ustaz perlu tahu” kata Mat Ropi’e “saya kenal dia kerana dia bekerja hampir dengan Hollywood Glam Gym, tempat saya bekerja” Mat Ropi’e memberitahu dengan telus. “Bagus kalau sudah bekerja ditempat yang dekat… esok nanti boleh pergi kerja sekali” respon Ustaz lantas Mat Ropi’e tersengih.


“ Dia comel ustaz, rupa ala-ala Sofea Jane gitu” “Kacukan kah?” “ tak… bukan kacukan, kulitnya putih, hidungnya tinggi” “hidung tinggi?” “Emmm… bukan hidung tinggi angkuh tapi maksud saya hidungnya berkedudukan yang lawa” “Ahhh…” “Mengambil berat tentang solat dan agama, suka menegur saya apabila sampai waktu bersolat” “awak tak solat kah?” “ Eh, saya solat, cuma kadang-kadang ralit berkerja sampai lupa waktu solat” “Ahh… baguslah tegur menegur” “tapi ustaz….” Bila mulut Mat Ropi’e mengeluarkan perkataan ‘tapi’ itu lantas aku memasang telinga dengan sebaik-baiknya. Kepala aku dicondong sedikit. Pernafasan aku diperlahankan


“tapi saya tidak tahu sedikit pun tentang keluarga dia” “kenapa sampai macam tu?” “Saya Tanya pasal bapanya, dia tak membalas, Tanya pasal emaknya dia tak mahu bercerita. Saya Tanya adik beradiknya, dia buat muka sedih… saya berasa janggal tentang kenalan saya ini. Dia ni sungguh berahsia tentang asal usul dia, cerita yang keluar dari mulutnya hanyalah Pak Ciknya yang tinggal di Ulu Sedaka… Hari raya puasa dirumah pak cik dialah dia singgah. Hari raya korban disitulah dia ziarah, waktu cuti disitulah dia pergi…. “


“Apa kenalan awak ni anak yatim piatu?” “tak ustaz, saya yakin akan kewujudan orang tuanya ustaz…” “Apa dia ni anak angkat?” soal Ustaz lagi “tidak ustaz, semuanya kabur belaka” “Apa dia ni mempunyai ibu bapa yang bercerai?” “Itu saya yakin, dia ada memberitahu perkara ini dengan kawan karib dia yang akhirnya jatuh ke telinga saya – ibu bapanya bercerai” terang Abang Ropi, sejurus itu ustaz mengusap-gusap janggutnya yang sejemput itu.


“ Saya pernah terbaca gadis yang mempunyai ibu-bapa pernah bercerai, kemungkinan besar akan bercerai juga bila dia sendiri berkahwin…” bersungguh-sungguh Mat Ropi’e menerangkan keraguaannya “Ya, saya ada melakukan thesis dalam subjek perkahwinan & perceraian di universiti dahulu, gadis yang mempunyai sejarah ibu-bapa bercerai lebih hati kering menerima perceraian” terang Ustaz Muda, kali ni menggunakan ayat ‘hati kering’ agar mudah difahami kami. “Ustaz, bolehkan saya menerima kenalan saya sebagai calon isteri? “


“ Pada hemat saya, bila asal usul seseorang itu kabur, lebih baik awak elakkan mereka… kita tidak mahu sepanjang perkahwinan nanti ada kisah-kisah buruk yang membuatkan kita tak senang. Selidiki calon isteri itu agar kita tak terjerumus dalam masalah mereka, kerana apabila menjadi suami automatik awak bertanggungjawab mendengar rintihan dan aduan mereka” Ustaz menunding pada Mat Ropi’e. “ Samalah juga orang tua kita pun akan terasa beban jika mengetahui ada masalah di sebelah sana” Mat Ropi'e mengangguk. Aku kasihan dengan Mat Ropi’e, mana jua gadis yang dia jumpa, pasti ada yang serba tak kena. “Ustaz, antara dua kenalan saya yang yang ceritakan pada ustaz, yang mana patut saya nikahi” Wah! Aku terunjur di sofa rumah bujang Mat Ropi’e! “Jangan tergopoh-gapah… “ “tapi umur saya meningkat” “saya maklum, tapi apa awak berpuas hati dengan calon-calon yang awak ceritakan?” “Sebab itu saya tanyakan ustaz” “Sabar, kedua-dua calon itu pada saya tidak sesuai untuk awak… memang tiap-tiap manusia tidak sempurna, tapi saya cadangkan agar mencari yang ada keseimbangan…gunakan timbang tara. Janganlah sampai hilang terus agamanya atau kabur keturunannya” respon ustaz. Maka pertemuan itu berakhir dengan Mat Ropi’e akur bahawa masih jauh lagi menjejakkan kaki di jinjang pelamin apatah lagi menghidu renjisan air mawar.


Sejurus ustaz meninggalkan kediaman, aku menegur sepupu ku itu “Abang Ropi’e dah tak ada orang lain?” “Addddaaaaaaaaaaaa….” Aisey! Mat Ropi’e sudah buat terhegeh-hegeh orang tuanya itu sekali lagi. Aku sekali lagi disuruh mengatur pertemuan untuk kali ketiga bersama Ustaz Muda.


Kali ini pertemuan antara Ustaz Muda dan Mat Ropi’e dijadualkan berlaku di Hollywood Glam Gym. Aku sudah menyerahkan baucar Free Sessions HGG yang sering diberikan pada orang prospect client. Pandai-pandai Mat Ropi’e mengeluarkannya tanpa pengetahuan bos. Waktu perjumpaan ditetapkan pada waktu dimana gim itu lengang. Sengaja Mat Ropi’e mengatur pada waktu sebegitu atas dua sebab: privacy dan seluar track panjang.


Ketawa berdekah-dekah Sathianathan melihat Mat Ropi’e berseluar panjang di bilik persalinan. “Macam mana mau jumpa itu calon isteri… muscle kaki mau tunjuklah, baru perempuan tahu kamu kuda jantan” “Chait! &%&^%! You boleh diam ka? Saya tau muscle kaki saya banyak mantap, tapi saya kena jumpa orang kuat agama punya, mau kasi sorok ini kaki” jelas Mat Ropi’e tidak selesa ditertawa“ Banyak hipokrit ha kamu” ayat itu dilempar elok-elok terkena atas batang hidung Mat Ropi’e “You tengok seluar dia, macam itu MC Hammer” kata Sathianathan kepada Malek, juga seorang trainer di HGG. Wahahah! Kedua-dua mereka ketawa berdekah-dekah “Ini bukan MC Hammer, ini Aladdin”


Ustaz Muda berlari anak atas threadmill, kemudian Mat Ropi’e berdiri bersebelahan sambil menekan kekunci pada papan input threadmill berkenaan. “Terima kasih kerana meluangkan masa ustaz” kata Mat Ropi’e “tak ada masalah” balasnya, aku pun turut berada disitu berpura-pura mengangkat dumbbell yang paling ringan disediakan di HGG. “Ustaz, saya ingin minta pendapat ustaz tentang kenalan saya ni…. Dari setiap aspek memang dah seimbang. Ada Rupa. Berpegangan Agama, dan ibu-ayahnya serta keturunannya orang baik-baik belaka” “bagus… “ “Tapi ustaz…saya perasan dia berperangai pelik ustaz… tiap-tiap kali kami keluar bersama, saya yang terpaksa mengeluarkan duit belanja. Tidak ada satu sen pun keluar dari kocek dia” terang Mat Ropi’e yang turut berlari di threadmill bersebelahan “bila bayar tol saya tanggung… bila bayar yuran parking, saya tanggung…bila bayar bil makan, sayalah juga… cukai GST pun saya….walaupun cukai itu 40sen, dia bagi alasan tiada duit siling” tambah Mat Ropi’e lagi “Ustaz, dia ni seolah ada stail hendak mengelak keluar duit… bila hendak bayar bil, mulalah dia beri alasan hendak ke tandas atau menelefon seseorang… awal-awal saya tak beranggapan buruk, tapi dah melarat ni ustaz”


“Umm… eloklah awak mengelakkan diri dari orang sebegini, takut-takut melarat dalam perkahwinan nanti” ujar Ustaz Muda yang kini sudah berpeluh hingga meniti janggut sejemputnya itu. “ Duit ini boleh membawa perceraian, jika tidak hemah berbelanja nanti tunggang langgang keluarga kita besok nanti” tambah Ustaz Muda “memang benar, awak ni bertanggungjawab mengeluarkan duit belanja untuk menampung keluarga awak, tapi dasar perkahwinan adalah perkongsian. Sama-sama susah dan sama-sama senang, tidak adillah kalau sebelah pihak yang menuntut dan sebelah sahaja yang memberi” Mat Ropi’e mengangguk sakan. Aku tersengih. Apalah nasib Abang Ropi’e, tiap-tiap kali bersua dengan ustaz, cuma berita buruk yang dia dapat. Sepupu-sepapat aku yang lain dah naik letih mengejek Mat Ropi’e yang lanjut membujang. “Tidak boleh kah saya redah saja…” tambah Mat Ropi’e.


Gedebab! dumbbell atas telapak tangan aku gugur ke lantai yang dilapik dengan getah. Aku yakin telinga aku tidak tersilap dengar. Sepupu aku mahu main redah saja? Apa dia ingat perkawinan itu macam pelacuran? “Astagfirullah, Mat Ropi’e, awak sudahlah lanjut usia” respon Ustaz Muda “…kemudian awak nekad hendak memilih pasangan yang terang-terangan tidak sesuai untuk awak… ini sia-sia “ tambah Ustaz Muda yang kini tidak berlari lagi atas threadmill. “ Lebih baik awak ambil masa ni munasabahkan diri, mungkin dalam perjalanan tu awak bakal jumpa calon yang sesuai” lantas Ustaz Muda menepuk lengan Mat Ropi’e berkelubi dengan muscle serba tepu. Ustaz Muda kemudian meminta diri kerana hari itu urusannya banyak, Mat Ropi’e mengizinkan.


Monyok-monyok Mat Ropi’e menghadap cermin pada dinding HGG. Dia mengembang kendurkan otot itu seumpama lagak seorang ahli bina badan. “Apa kurang dengan aku? Muka masih hensem, otot ada, kerja pun ada, kereta pun ada.…Ekkkkk!!!” kemudian Mat Ropi’e memekik. Terhegeh-hegeh sungguh orang tua ni rupanya dia ternampak sehelai uban atas kepalanya “Sathianathan… kasi tolong cabut ini uban…” “Aiyo, kuda jantan sudah ada uban ka?”


Sudah sebulan Mat Ropi’e mengeluarkan kenyataan yang dia sudah bersedia untuk berkahwin, tidak nampak tanda-tanda Mat Ropi’e akan akhirnya memilih calon untuk menaiki jinjang pelamin bersama-sama. Mat Ropi'e nampak berat hati untuk meminta pertolongan aku lagi sekali. Katanya untuk kali terakhir sebelum dia munasabah diri, melakukan solat istiqarah atau mana-mana kaedah pemilihan calon isteri yang dibenarkan oleh syarak. “Tolong aku! Aku nak jumpa Ustaz Muda sekali lagi… last time!!! “ Akupun sedia menolong. Apa salahnya? Hari Raya Puasa tahun ini aku tak rela melihat Mat Ropi’e dijadikan bahan ketawa mak cik dan pak cik aku lagi. Biarlah Raya Puasa tahun ini Mat Ropi’e boleh berbangga menayangkan calonnya atau lebih afdhal lagi tunangnya. Aku mahu mereka memakai baju raya sedondon satu warna biar matching.


Biar calon isteri Mat Ropi’e mencium rapat tiap-tiap tangan Pak Cik dan Mak Cik yang sinis menghulurkan paket hijau pada Mat Ropi’e tahun-tahun lepas atas alasan ‘simpanan duit hantaran’. Biar calon isteri Mat Ropi’e duduk semeja makan lemang, ketupat, mama carey, London almond dan rendang sambil sesekali menghulurkan air basuhan tangan kepada Mak Cik dan Pak Cik yang galak mentertawakan Mat Ropi’e seperti tahun-tahun lepas. “Baiklah saya akan mengatur pertemuan Abang Ropi’e dengan Ustaz Muda…”


Pertemuan kali ini berlaku selepas solat Jumaat di masjid berdekatan kediaman kami. Ustaz Muda ditugaskan menjadi Bilal di masjid berkenaan. Sesudah jemaah bersurai, kami berdua sabar menanti di pintu masjid. Ustaz Muda tidak pernah jemu melayan jemaah yang ingin berbual pendek dengannya. Sampai giliran kami, Mat Ropi’e terlebih dahulu memberikan salam.


“Ustaz, saya sudah banyak kali jumpa ustaz tapi kali ini saya ini saya ingin meminta hemat Ustaz mengenai kenalan saya…” “ramainya girlfriend awak?” Ustaz Muda menyuntik humor pada petang Jumaat yang panas itu “Err… kenalan saja” “Baiklah, ceritakan pada saya… “ “Dia baik orangnya, keturunan pun tidak pernah melakukan perkara tidak senonoh dan hartanya pun boleh dikirakan setimpal dengan orang seperti saya… memang tak pernah kikis duit saya, malah gemar belanja saya….tapi dia sangat tidak seronok dipandang…” “maksud kamu?” “Giginya agak jongang dan badannya gempal… saya pernah lihat dia ambil buku di rak perpustakaan yang agak tinggi kedudukannya, baju yang dipakainya sedikit singkat… apabila dia menjengket hendak mencapai buku itu, terselak sedikit bajunya nampak isi perutnya menggelebeh sampai keliling pinggang seluar” “astagfirullah” “teruk bukan ustaz?” “ maskud saya awak nampak kulit perutnya” “ya ustaz…” “astagfirullah… itu bukan untuk santapan mata kita yang bukan muhrim..itu aurat namanya tu…” lalu terkebil mata Mat Ropi’e “ ternampak ustaz, saya tak boleh buat apa-apa” terang Mat Ropi’e. Ustaz kemudian membetulkan kopiyah Al-Amin putih bersih itu, mengusap misai dan janggut sejemput itu sambil menunduk melihat paten kaabah atas tikar sembahyang. “Mat Ropi’e saya hairan… tiap-tiap kali awak ceritakan tentang kenalan awak, semuanya bagai tak secocok bagi awak” ujar Ustaz Muda “Apakah saya tiada jodoh Ustaz?” balas Mat Ropi’e“Masyallah…tiada siapa yang boleh berkata begitu…rezeki, pahala semua kerja tuhan” “bagaimana ustaz?” “ Apakah awak sudah ikhtiar dan inilah empat kenalan yang terbaik awak boleh jumpa?” “ya ustaz, yang lain yang jumpa samada sudah berkahwin atau terlampau muda untuk saya atau tidak seimbang dalam semua sudut yang ustaz perincikan dulu” Ustaz Muda mengangguk-anggukkan kepala.


Akupun bersedih untuk pihak Mat Ropi’e. Sesungguhnya Allah Maha Adil, tapi mengapa dia masih belum berjumpa dengan orang yang sebaik-baiknya sampaikan dia lanjut membujang, apakah langkah Mat Ropi’e dan calonnya belum bertembung lagi? Aku lantas beristigfar. Aku tak sepatutnya bercakap sebegitu. Bak kata ustaz tadi; rezeki, pahala kerja Tuhan. Astagfirullah.


“ Dalam umur awak yang sudah lanjut, awak sudah masuk hukum wajib untuk berkahwin…relakah awak berkompromi? “tiba-tiba Ustaz Muda bernada serius “Saya tak faham?” “Maksud saya bolehkah awak menerima seorang calon yang kekurangan salah satu dari sudut yang kita pericikan?” “Oh… kompromi begitu…” peluh mula meniti dahi Mat Ropi’e. Ketiga-tiga kami yang bersila di tengah ruang solat masjid itu bagaikan menjalankan upacara akad nikah dengan aku sebagai saksi dan Mat Ropi’e selaku pengantin lelaki “ Saya tak bersedia untuk berkompromi ustaz…tapi…” perakuan Mat Ropi’e tersangkut bagaikan ada kahak liat yang tersangkut dalam saluran pernafasannya.


“ Tapi saya mahu keempat-empat menjadi isteri saya…bolehkah begitu ustaz?” dia melihat pada Ustaz dan kemudian menoleh pada aku “berapa jangka waktu antara setiap pernikahan yang saya perlu tunggu kalau saya tak boleh kahwin keempat-empat sekali? ” Mat Ropi’e terjegil melihat Ustaz menantikan satu jawapan. Ustaz secara perlahan berdiri dan beredar menuju ke satu penjuru masjid dimana ada pintu berkunci


Aku berbisik pada Mat Ropi’e disitu terletak bilik dimana parang dan pisau daging yang digunakan pada untuk sembelihan daging qurban disimpan.