0 com

Hashtag Keturunan dan Cerita Dongeng, Gimik dan Mitos Yang Datang Bersamanya




Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya.


Mr. Potter Goodman melonggarkan butang kolarnya. Cuaca panas dan lengan bajunya sudah basah dengan peluh. Dia mengeluarkan sehelai sarung tangan peten kotak kotak dari kocek kanan seluar slack kelabu.

Mrs.Potter, di United Kingdom ketika melipat dan memberi sarung tangan itu padanya menzahirkan rasa terkejut suaminya, si-wartawan akhbar Guardian itu menerima tugasan untuk ke Malaysia. Untuk membuat liputan dan tulisan tentang Hari Raya  Aidilfitri di negara yang terletak jauh di Timur.

Takkan di Malaysia tak ada wartawan atau koresponden? tanya Mrs.Potter

Editor akhbar mahukan Hari Raya dari kaca mata orang Inggeris macam saya. Kerana panggilan tugasan, Mrs.Potter redha dan menyarankan agar Potter banyak minum air agar kesihatannya terjamin.

Potter menyeluk dalam beg galas untuk mencapai botol air. Mr.Potter terhenti seketika dan menoleh ke kanan - bolehkah saya minum air?

Silakan encik Potter, anda boleh minum air itu. Kata Hakikat Malim. Hari ini kami tidak berpuasa. Hari ini kami ditegah berpuasa.

Barulah Mr.Potter meneguk air membasah tekak.

Ah kita sudah tiba di destinasi pertama. Kata Hakikat Malim, memberi isyarat dan memberhentikan kenderaan itu di laman sebuah kediaman. Sebaik keluar dari kenderaan, Mr.Potter mengenyit matanya. Cahaya matahari tajam menyulitkan penglihatannya.

Belum melangkah masuk ke ruangan rumah sudah terdengar gelak katawa dan jeritan kanak kanak. Aura perayaan itu membuatkan Mr.Potter yakin dia sedang meliputi satu kisah yang menarik bagi pembaca akhbar di  United Kingdom tentang perayaan Aidilfitri ini. Satu perayaan yang asing baginya.

Terkebil kebil mata keluarga Halimusang melihat kelibat Mr. Potter di pintu mereka. Seorang mat salleh dengan kulit dan rambut serba putih datang bertandang beraya ke rumah.

Salam! Hakikat Malim memberi salam dan memperkenalkan Mr.Potter dan tujuannya berada disitu. Haili Halimusang memperkenalkan adik-adiknya. Bermula dengan Huda, Hafilda dan Hilda. Haili kemudian terus mempelawanya terus ke meja makan bersama Hakikat Malim. Dituang air laici dan dipotong ketupat berserta rendang daging batang pinang. Hakikat Malim memberi nasihat awal awal lagi agar tidak memakan banyak ketupat kerana juadah itu boleh mengakibatkan rasa mengantuk - Mr.Potter bakal singgah ke beberapa rumah lagi untuk membuat liputan.

Haili Halimusang, kakak sulong dalam keluarga Halimusang menerangkan setiap makanan dan kuih muih yang tersedia. Mr.Potter dengan mencuba satu per satu, dalam kuantiti kecil. Setiap yang dicubanya, Haili yang berbulu mata palsu dan bercelak seperti mata kucing itu senyap dan menunggu komen. Mr.Potter terasa seperti juri makanan, dia kemudian bergegas ke ruang televisyen dimana setiap ahli keluarga sedang sibuk berkumpul. Mr.Potter perlahan lahan merebahkan batang tubuh tinggi lampainya dan duduk bersimpuh dikalangan keluarga Halimusang.    

Mr.Potter menyeluk kedalam bag dan mengambil kamera. Bermula mengambil foto cucu cucu Halimusang yang girang berlari dalam baju kurung dan baju melayu baharu mereka.


Mr.Potter diperkenalkan dengan tiga pasang kembar seiras. Disitu Haili Halimusang mula membuka kisah tentang keluarga Halimusang.

Haili berkata bahawa Halimusang terkenal dengan kesuburan orang perempuan mereka. Haili menyatakan keturunan Halimusang berkait dengan Puteri Gunung Ledang. Berbilang Raja Raja dan pahlawan dahulukala mencari orang perempuan dari keturunan Halimusang untuk mendapatkan zuriat.

Mr.Potter mencatit maklumat itu atas buka nota kecilnya. Jeritan kanak kanak dalam bilik itu menyukarkan perbualan itu serba sedikit.

“ Agong negara ini, ketika dia masih putera di sebuah negeri Timur pernah mahu melamar seorang gadis. Bersungguh sungguh dia mahu melamar. Walaupun dengan kekayaan dan kemasyurannya, gadis itu menolak “ tambah Hilda

“ Katanya gadis itu dari keturunan Halimusang. Tapi yang jauh, yang kami kurang kenal... tapi ya, dia dari keturunan Halimusang “

Huda Halimusang kemudian menambah, difahamkan bahawa tumbuhan popular untuk menambah kehangatan berumahtangga ; kacip fatimah itu dibawa sendiri oleh keturunan Halimusang ke semenanjung Malaya. Difahamkan ‘penjaga’ semenanjung Malaya berterima kasih dengan pembawaan tumbuhan ajaib itu, sebagai timbal balas ‘penjaga’ mengurniakan otot yang punyai cengkaman luarbiasa walaupun sudah melampaui umur 50an pada warga perempuan dari keturunan Halimusang.  

Atas sebab yang demikian juga, Raja-raja dan putera Raja bukan sahaja menggilai perempuan keturunan Halimusang untuk kesuburan mereka tetapi kesedapan dan kelazatan hidup berkahwin yang mereka bakal tempuhi dalam tempoh yang panjang.

Siapa penjaga itu? Tanya Mr. Potter Goodman.
Tidak banyak diketahui tentang ‘penjaga’ itu. Perkara berkurun kurun lama berlaku sebelum orang pandai menulis. Pendek kata, makhluk mistik yang amat berkuasa.  Tapi penjaga itu mengurniakan setiap anak dara keluarga Halimusang untuk 'mengacip' dengan kekejapan luar biasa.

Hafilda dan Hilda tersenyum dengan kenyataan itu, tersipu sipu mengiya iya tetapi memberitahu Mr.Potter bahawa maklumat ini dibuat seperti rahsia besar. Mereka berkata Mr.Potter orang teristimewa untuk mengetahui rahsia kesuburan dan kemampuan semulajadi keturunan Halimusang untuk ‘mengacip’

“ Satu lagi rahsia keturunan kami, gadis keturunan Halimusang cenderung berkahwin dengan lelaki berpengaruh dan kaya. Hidup mereka senang selain menduduk tangga teratas sosial “

Suami Hilda, seorang usahawan susu kambing dan, tolong rahsiakan perkara ini Mr.Potter, suami saya merupakan penerima gelaran Datuk termuda di Malaysia.
Suami Huda, al kisah nya sudah mendapat tawaran pekerjaan walaupun belum tamat pengajian di luar negara. Dia kini pegawai kerajaan tertinggi di negeri kelahirannya dengan gaji melampaui pegawai yang lain yang malah lebih lama berkerja. Kisah itu diakhiri dengan “Tolong rahsiakan ya, Mr. Potter “

Hafilda, adik yang paling muda pula belum berkahwin tetapi dia kini dalam dilema untuk memilih antara seorang usahawan berjaya yang mencapai kutipan sejuta ringgit dalam akaunnya sebelum umur 25, yang katanya mempunyai lesen selam skuba laut terbuka dan lesen juru helikopter ringan yang juga bakal mendapat gelaran datuk pada usia yang lebih muda. Lebih muda dari apa yang dikecapi abang iparnya.

Hafilda pun dikatakan diintai seorang jejaka yang berdarah keturunan raja yang emaknya bersungguh sungguh mahukan Hafilda menjadi isterinya. Mungkin emaknya tahu betapa suburnya kaum Halimusang ini. Selain kemampuan mereka untuk ‘mengacip’. Kisah itu diakhiri dengan “Tolong rahsiakan ya, Mr.Potter “

Mr.Potter mahu mengambil gambar seluruh ahli keluarga Halimusang termasuk tiga pasang kembar seiras yang menarik perhatiannya. Sebagai seorang warganegara negara yang maju, dia faham keluarga Halimusang akan melahirkan lebih ramai kembar.

Mr. Potter mengeluarkan telefon bimbitnya. Hilda mendekati wartawan Inggeris itu dan bertanya: Mr.Potter ada instagram?Mr.Potter mengangguk, dan menambah “saya memang mahu letak gambar keluarga anda ke Instagram saya”

Hilda memberi syarat kepada Mr.Potter sebelum gambar itu dimuat naik dalam Instagram.

Mr. Potter perlu gunakan hashtag #Halimusangclan

Itu hashtag yang kami guna sepanjang hari raya ini. Setiap foto dimuatnaik yang  mempamerkan wajah kami wajib ada hashtag itu. Agar orang orang tahu keturunan Halimusang, dan cerita disebaliknya. Mr. Potter ketawa sambil mengangguk. Dia akur dengan permintaan itu. Jika itu yang dikehendaki tuan punya gambar.

Hakikat Malim memberitahu keluarga Halimusang bahawa Mr.Potter perlu beransur. Mr.Potter mengucapkan terima kasih pada keluarga Halimusang.

Ingat ya Mr. Potter - #Halimusangclan harus disertakan pada foto itu tegur Hilda

Sebaik masuk kedalam kenderaan, Mr.Potter mengeluarkan buku nota kecil dan mula menulis cadangan tajuk untuk liputannya hari ini. Sebelum menghidupkan enjin, Hakikat Malim mencuri pandang dan ternampak tajuknya. Jelas menunjukkan Mr.Potter kurang jelas tentang Hari Raya. Atau Mr.Potter keliru? Atau Mr.Potter dikelirukan?
    
Hakikat Malim bertanya pada: Mr.Potter sudah sedia untuk melawat keluarga seterusnya?

Mr.Potter menarik nafas panjang.