Rupa Sebagai Senjata, Perangkap dan Pemurah Rezeki
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
Sudah semalaman aku
terbaring diatas tilam Toto, selama mana aku tidur, aku terjaga dan masih lagi
letih. Bila aku terjaga pun, apa gunanya aku tak boleh bangkit sangat. Biji
mata aku melilau mengejar bilah kipas. Kipas itu tak henti dari semalam
berputar. Doktor kata suhu sejuk boleh buat luka aku cepat lega. Terus menerus
aku merenung luka aku, kemudian aku tenung kipas. Suatu petang, papa tiba dan
menghulurkan aku kotak, saiz hendak dekat sama dengan kotak coklat JoJo.
Dibalut rapi, aku membukanya dengan penuh ghairah.
“ Perlahan, nanti luka
berdarah balik “ kata mama. Selesai kotak itu dilondehkan barulah aku dapat
melihat sebuah telefon pintar yang dihadiahkan papa. Agak agaknya papa sengaja
nak buat satu kejutan besar. Aku sebenarnya berkenan dengan tayar basikal fixie baru, tapi gamaknya dengan keadaan
aku yang serba tak boleh berdiri, manakan aku mampu mendaki basikal apatah
mengayuh.
Aku terus menghidupkan
telefon berkenaan. Beep! Tersuluh muka aku dengan cahaya terang dari skrin
telefon itu. Dipanggil telefon pintar kerana tak ada punat yang aku perlu
tekan. Cuma jari aku harus meluncur pada plat kaca leper itu dan segala warna
warni dan fungsi terpapar sekelip mata. Mama dan Papa tersenyum dan aku membalas
senyuman itu walaupun tayar basikal fixie
itu masih terngiang ngiang dalam akal aku. “ Phone tu kena charge
dulu… 8 jam “
Lecehnya, telefon makin
pintar, tapi bateri masih tak pintar, tak apa, Aku biar telefon tu dicaj, apa
nak hirau aku ada banyak masa, lagipun cuti sekolah. Sebaik kemudian mama duduk
bersebelahan aku, mengasuh aku dalam keadaan serba tak boleh berdiri itu Nak
berak? Nak kencing? Aku menggeleng Nak coklat? Nak ice-cream? Aku menggeleng Nak air
cond? Nak , aku berpura pura lena, meniti masa sebelum aku betul betul nak
buat semua benda tu.
Luas mata aku terbuka, sampai
masa, aku benar benar hendak kencing. “Baik baik” pesan Mama dan aku
teresot-esot membawa diri ke bilik air. Walapun aku suruh mama tunggu di pintu
bilik air, mama masuk juga ke bilik air. Tangan kiri aku digenggam mama
manakala tangan kanan aku mengangkat kain pelikat agar tidak bersentuhan
bahagaian anu. Sekaki demi sekaki aku tak pergi jauh.
Pon! Pon! Ah, ada kenderaan menghampiri
rumah nenek. Ada orang datang! Ada orang datang! Siapa! Siapa! Aku teruja,
namun mama marah. Eh! Tadi cakap nak terkencing sangat!
Mamu datang! Mamu datang!
Aku berteriak. Eh! Kencing dulu! mama marah sambil genggaman pada lengan aku makin ketat. Biar settle kencing dulu. Aku menoleh
belakang. Alamak! Daun pintu bilik air
itu masih luas terbuka. Ma! Tutup pintu, nanti Mamu Nampak! Malu! Malu! Aku
berteriak Isk! Sabarlah, Mamu pun tak boleh jalan laju. Tiba tiba nenek datang
dan mama berkata “ menantu favourite
mak dah sampai “
“ Mak menantu tu apa? ” Mama
buat tak endah, dia terus meneman aku dalam bilik air, menunggu aku untuk
selesai. Mak menantu tu apa? Kerap aku mendengar perkataan itu, tiap kali ada
di rumah nenek, perkataan itu terpancul dari mulut mama dan nenek. Mama dan
nenek gemar bergossip, dan masa itu
perkataan menantu sana, menantu itu, menantu ini keluar. Hari ni aku betul
betul nak tahu. Cepatlah kencing tu, slow
betul. Mama buat tak endah.
Mamu! Aku memanggil saudara
aku Mamu kerana di sekolah aku, Melayu berkulit gelap sikit dipanggil Mamu dan
mereka tak kisah. Samalah dengan Mamu saudaraku, dia tak pernah melenting dan
kisahpun. Auntie Sri pun pernah dengar aku memanggil anaknya mamu, dia
benar-benar tak kisah ( dia tak faham apa itu Mamu). Mamu berbadan besar dari
aku tapi umur kami sama.
Mamu berjalan perlahan , dia
senasib macam aku. Berkain pelikat setapak kehadapan kemudian dia menyelak dan
melihat celah anu memastikan tak ada apa-apa yang tercabut. Diikuti Auntie Sri.
Auntie Sri pun berkulit gelap, papa pernah berkata nama penuh Auntie Seri
adalah Jayaseri, kemudian dia menukar namanya kepada Seri Yasmin. Wah, kenapa
orang tukar nama… boleh tak aku tukar nama bila aku besar nanti?
Aku masuk bilik, berbaring.
Dan Mamu pun ditemani Auntie Sri berbaring disebelah aku diatas satu lagi tilam toto berasingan. Nenek pun tiba kedalam
bilik itu, dalam keadaan kelam kelibut dia menghulurkan satu tangan pada Auntie
Sri dan Mamu. Nenek tidak bercakap banyak, dia tersenyum pada aku dan mama, dan
dia menoleh juga pada Auntie Sri dan Mamu tapi cuma macam sekilas pandang. Kemudian
nenek membawa diri keluar, kemungkinan ke dapur.
Mama kemudian bersalaman
dengan Auntie Sri dan mereka duduk di satu penjuru dimana aku dan Mamu dapat
melihat mereka. Eh, apa ni? Mamu menunjuk pada kepala katil dimana sekeping
alat elektronik diletakkan. Aku mengangkatnya dan berkata “ Oh, papa baru beli mobile phone “ Mamu melihat dengan penuh
kagum dan khusyuk. Dia bertanya kembali “ini
boleh log facebook kan?” Aku terdiam, dan kurang pasti. “ Boleh kot “. Boleh
main angry birds? Aku kurang pasti. “
Entah ” Mamu berkata dia sudah menyapu bersih markah tertinggi angry birds dalam telefon bimbit Auntie
Sri. “ Bukalah! Bagi Mamu pula bolot markah penuh ”
Papa kau beri apa? Mamu terdiam. Sebenarnya papa nya tak memberi hadiah sangat. Cuma seratus ringgit dideposit
kedalam akaunnya. Aku bertanya bila dia boleh guna duit itu? Mamu berkata
ketika dia berumur 18 tahun. Haha, aku tersenyum. Kenapa 18 tahun baru boleh
tengok filem 18SG, 18SG, 18PL , kenapa 18? Aku pernah tengok filem sebegini
bersama mama dan papa, tak ada masalah. Kesian Mamu, dia tidak dapat melihat
duitnya sebelum umur 18.
Beep! Telefon itu bergegar
terpampang ikon kecil beratur. Aku menekan pada ikon ‘F’ dan masuklah aku dalam
profil facebook aku. Mamu yang hampir
belaga pipi turut memerhati gerak geri atas skrin. Dia cepat memerhati dan
perasan akan satu friend request.
Ternyata dia lebih teruja. Masuk saja aku ke senarai itu ternampak nama Jeslina
Kamaruslani. Lantas Mamu menempik Aunty Jessie!
Ternyata dia malu bertempik sedemikian, dia menoleh perlahan lahan melihat Mama
dan Auntie Sri, ternyata mereka sibuk berborak di penjuru bilik dan tidak endah
apa yang terpancul dari mulut Mamu. Dia menoleh kembali dan mula bercakap
dengan berbisik. Hish! Auntie Jessie add kamu!
“ Ya… kenapa? Dia Auntie
kita… “ aku berbalas. “ Tapi, Aunty
Jessie tak boleh tengok kita…” kata Mamu. Kenapa? Malulah. Aku dan Mamu
tahu Aunty Jessie adalah mak cik
paling muda, dan dia berkerja sebagai pramugari. Dan aku malu bila berjumpa
dengan dia. Dia cantik dan kelopak matanya sentiasa berwarna warni. Pendek kata
dia ada daya penarik. Mama kata itu adalah make-up
Uh! Nanti Aunty Jessie dan Uncle Danny datang mesti bagi banyak duit. Mamu terbeliak biji
mata. Ya! Aunty Jessie kerja dengan
MAS, Uncle Danny businessman, kalau Auntie Jessie bagi 50 ringgit – Uncle Danny bagi 50 ringgit, kita dapat
rm100 seorang! Waa! Aku tersenyum lebar. Wa! Kalau seratus ringgit dalam tangan
aku, tak jauh untuk aku beli tayar fixie
second hand dari Malik, jiran yang tinggal sebaris dengan rumah aku.
Nenek masuk dan mematikan air con. Aku tak tahu kenapa. Dia
berkata suhu dalam bilik tu sejuk dan gusar kemaluan kami beku dan terpaksa
dipotong. Frostbite kata nenek. Mamu
dan aku masing-masing menyelak kain pelikat memeriksa anu sendiri. Semalaman
aku tidur di bilik tu dengan penghawa dingin dihidupkan, tidak pula kemaluan
aku tercabut. Mamu tidak berkata apa-apa, tapi aku bersemangat hendak berdebat
dengan nenek. Bukalah air con gran ma.
Dia buat tak endah.
Malam itu Mamu tidur diatas
tilam toto bersebelahan dan tidak jauh dari aku. Dia nyenyak tidur, aku pula
berbaring dan meliar mata mengejar bilah kipas terhinggut atas siling. Aku
perlu ke bilik air. Aku tahu sekarang mama sedang tidur, apakah aku patut guna
telefon bimbit ini untuk menefon dia? Dia mesti terjaga dan apakah dia akan
marah? Mesti dia tak marah orang yang sakit. Dalam mengelamun, aku nampak Mamu
bangkit dari tidurnya. Aku berpura –pura lena, kelopak mata aku terbuka sedikit
memerhati gerak geri Mamu. Dia boleh berjalan! Dia pergi ke bilik air untuk
kencing tak payah Aunty Sri mendokong atau dipapahnya. Malah, Aunty Sri tidak akan
berada disitu, dia berkerja.
Selesai Mamu masuk bilik air
dia kembali berbaring dan lena diatas tilam toto. Tak lama kemudian aku
berdiri. Walaupun terketar juga aku hendak berdiri, tapi aku boleh berdiri.
Setapak aku kehadapan. Ya! Aku boleh berdiri sendiri sama juga seperti Mamu.
Esok aku boleh bercerita dengan bangganya yang aku berdiri sendiri ke bilik
air. Papa pun akan gembira jua sebab aku pulih dengan cepat. Dalam tandas aku membasuh
tangan dan di atas sinki itu rupanya Mamu tertinggal cermin matanya. Aku dengan
mengambil cermin mata itu untuk diletakkan sebelah Mamu, tidaklah dia
tercari-cari bila dah cerah pagi nanti.
Sebaik aku membuka daun
pintu bilik air, ada berdiri Mamu disitu. Sudahlah tinggi dan kulit gelap, aku
terkejut. Benar-benar terkejut hingga aku tergelincir dalam bilik air itu. Mamu
terus menerpa pada aku, dia mahu menolong aku untuk bangkit. Separuh jalan,
tapak kaki aku sekali lagi tergelincir, kali ni Mamu sekali jatuh. Kami seolah
bergelut tak mahu tersentuh tempat anu itu.Bayangkan badan Mamu yang dua kali
lebih besar dari aku, boleh tercabut anu aku. Pada saat itu, nenek bertempik
datang bergegas dalam rumah.
“ Hoi! Apa ni!? ” Aku sudah
berteriak. Rasa rasanya anu sudah tercabut, luka atau apa bencana pun, mesti
tak mesti yang kena bergegas jumpa doctor. Mamu ditarik oleh nenek. Dia
ditampar di lengan. “ Bergaduh? Ni bila nak bersar ni! ” Dilihat titsan merah
di lantai, kain pelikat aku pun berlumur
dengan tanda merah. Mama bergegas datang dan mengusung aku keluar dari bilik
air. Aku dapat melihat nenek sedang memarahi Mamu, dia cuma terduduk sambil
mengesat pipinya. Dia berteriak juga tapi tidak sederas aku.
Sedar aku dari tidur, Mamu
sudah tak berada bersebelahan aku. Bahkan tilam totonya pun entah kemana. Air con sudah dibuka. Cuma ada mama dan
nenek disitu. Aku cuba hendak melihat anu aku. Mama lantas tidak memberi aku
peluang untuk menyelak seinci pun kain pelikat aku. Dia berkata jahitan pada
anu aku longgar sampai darah terpancul keluar semasa aku berkelahi dengan Mamu.
Aku berkata aku tak berkelahi dengan Mamu. Namun Mama berfikir sebegitu. Maka
nenek pun seperti naik minyak, dia menuduh Mamu bulat bulat. Aku memang antara
cucu nenek yang paling kuat melawan, lantas aku mencabar nenek untuk
membuktikan apa yang dia nampak. Mamu saudara aku! Kenapa dia mahu buli aku, ya,
mahupun badannya besar, tapi Mamu lembut. Mama menegah aku dari melawan cakap
nenek. Dia menyuruh aku tidur. Kali ini mama nampak serius, maka aku terus
tidur
Sebelum aku sempat
melelapkan mata aku terdengar perbualan mama dan nenek.
“ Macam mana anak dia boleh
ada disini”
“ Ni sebab abang kau si
Jufri nak hantar anak dia sini, suruh mak mengasuh “ keluh nenek, dia seolah
berbisik, nenek arif dalam mentafsir aku belum lena walaupun aku terbongkah
terkang kang atas tilam toto.
“ Kejap lagi kalau anak dia nak
berak aku geli kalau dia suruh aku cuci, tak kisahlah cucu aku pun“ keluh nenek
lagi
“ Apa jenis keturunan yang abang kau Jufri pilih,
banyak lagi anak dara Melayu… anak pun mak geli tengok. Mak lebih suka hati
tengok menantu mak si Jeslina tu. Sedap mata memandang, kulit pun lawa, cakap
bahasa melayu pun tak berterabur” tambah nenek. Aku terkejut, aku terasa hendak
keluar dari bilik itu. Hendak bersama si-Mamu, dia berkeseorang waktu ini.
“ Esok nanti bila Jeslina
boleh ada anak, mesti anak dia lawa… biarlah sekarang dia dengan Jenal tengah struggle dengan business dia “
“ Esok Jufri datang nak jenguk
anak dia… Tak tahulah dia nak datang dengan perempuan tu atau tak. Mak memang
tak senang bila Sri tu pijak lantai rumah ni “ aku mendengar begitu banyak
malam itu dan terus menarik bantal menelangkup muka dan telinga aku. Malas
untuk mendengarnya lagi. Apa nenek cakap tu aku tak suka dengar dan pelik
diluar jangkaan.
Namun nenek dengan nada yang
tenang berkata “ Tapi adik kau Jenal tu ada call,
kata dia hendak datang menjenguk anak buah dia ni “, Uncle Daniel hendak datang.
Sebaik aku terjaga, keadaan
dalam bilik sudah terang benderang. Aku menoleh dan nenek dan mama sudah tiada,
cuma ada Mamu yang terlentang lena diatas toto. Air con ditutup dan keadaan sedikit panas. Nasiblah ada kipas kecil
yang diletakkan di penjuru kepala aku, kipas itu tak bergerak. Hanya tuju
kepada kepala aku. Aku perlahan berdiri dan mengubah halanya agar angin itu
boleh dirasa oleh Mamu juga.
“ Mamu! Uncle Daniel dengan Aunty
Jessie nak datang tengok kita nanti “ Mamu mengangguk dan aku tengok
perasaan dia berbaur. Antara gemuruh dan malu. Antara segan dan silu. Kalau Aunty
Jessie tengok malulah kita nanti bila dah besar nak jumpa dia. Dia mesti
ketawakan kita, tengok anu kita sekarang. Aku pun berasa macam tu juga. Mamu
bertanya apakah aku sudah menerima ‘request’
daripada Aunty Jessie. Sudah dan Aunty Jessie turut meninggalkan pesan “ get well soon my nephew, lots of love “.
Mamu melihat aku dan berkata “ Wah! Love tu,
aunty Jessie suka kau “ kemudian aku melihat foto foto yang dimuat Aunty Jessie, terlihatlah gambar dia di banyak
tempat kalau bukan serata dunia. Indonesia, Jepun, Beijing, Dhaka, ada juga
foto Aunty Jessie bersama kawan
kawannya, yang serba cantik dan berpakaian seksi, berada di bar, bistro dan kelab-kelab malam,
mereka bercium pipi dan terjelir lidah sana sini. Ada juga foto Aunty Jessie pergi ke kenduri kahwin,
pinggangnya ramping jelas nampak dibalut kebaya. Gambar Aunty Jessie dan kawan-kawan sebaris depan sinki tandas pun ada,
sekali lagi lidah terjelir dan mata terkejit, kulitnya gebu dan putih.
Mana Uncle Daniel? Soal Mamu, sudah banyak foto Aunty Jessie kami belek, tak adapun gambar bersama Uncle Daniel, suaminya
“ Mari makan” jerit nenek
maka Mamu berdiri dengan penuh bersemangat walaupun badannya besar daripad aku.
Mama mahu menolong aku, tetapi aku sudah boleh bangkit dan berjalan dengan
sendiri, melihatkan Mamu boleh melakukannya tanpa pertolongan Auntie Sri. “Ha!
Luka tu belum kering lagi, nanti berdarah balik, baru nak meriau! “
Di meja makan, nenek
menuangkan nasi kedalam pinggan aku, kemudian dia memberikan mangkuk besar berisi
nasi itu kepada mama untuk menuang nasi kedalam pinggan Mamu. Aku diberi kerusi
berhampiran dengan kipas, Mamu di satu penjuru gelap dan jauh daripada lauk
yang sedap-sedap. Dia cuma dihidangkan sayur dan sup yang aku pun kurang minat.
Aku minat ayam goreng, tapi nenek gusar anu aku gatal kalau diberi ayam. Nenek
membuat ikan goreng.
Bunyi kenderaan masuk ke
perkarangan rumah, aku adjust rambut
aku, dan Mamu terhenti mengunyah. Ternyata kami tak nampak kereta apa yang tiba
dari meja makan tu. Kalau BMW 5-Series warna putih, bertingkap gelap dengan sport rim itu sah milik Uncle Daniel dan Aunty Jessie. Kalau anu kami tak disentuh, sudah lama kami berlari
untuk mengushar siapa yang datang.
“ Assalamualaikum “ berdiri
tinggi di pintu adalah Uncle Jufri, ayah Mamu. Dia datang bersalaman dengan
nenek “Pergilah duduk, ambil nasi makan, mak buat lauk ikan untuk budak budak
ni “ Uncle Jufri tidak bercakap banyak dengan nenek. “ Budak-budak ni okay mak?
“ Jufri memecah sunyi di meja makan itu. “ Elok elok saja. Semalam, sebelum
subuh, anak Jamilah tersungkur dalam bilik air “ jawab nenek.
“ Habis luka dia koyak
balik, darah penuh atas lantai “ uncle Jufri mengunyah perlahan lahan mengambil
sedikit lauk untuk dirinya dan sedikit untuk anaknya, Mamu. Mamu nampak duduk
tidak senang, dia tahu dia akan menjadi tumpuan bualan di meja ketika itu “
Anak kau tu berkelahi dengan anak Jamilah, tengoklah badan anak awak, macam
mana anak Jamilah nak lawan… lagi lagilah lepas masuk jawi, menjerit dia semalam, nasib baik mak pisahkan budak budak
ni, letak bilik lain-lain “, aku terperanjat. Aku bersuara “tapi . . . “ lengan
aku dicubit oleh emak, suara aku tenggelam dan hilang, mama menunjuk isyarat
untuk aku men-zip mulut aku. Sambung kunyah dan duduk diam diam.
“ Betul ke? ” uncle Jufri
bertanya Mamu. Mamu mengangguk sambil memerhati nenek dengan penuh rasa
bersalah. “ Kau kena ajar anak kau tu berbahasa sikit, budaya Melayu kita “ Uncle
Jufri ditempelak oleh nenek. “ Kalau kau sibuk sangat, suruh isteri kau buat “
tambah nenek lagi “ Kalau dia tak mampu, mak tak tau apa tanggungjawab isteri
kau boleh bawak “ berjela kata nenek ketika itu macam kilat sabung menyabung
tidak henti, uncle Jufri cuma akur dan terus mengunyah. Tangan kirinya memegang
bahu Mamu, semacam satu geng, Uncle Jufri memihak kepada anaknya. Kulit uncle
Jufri jauh lebih cerah, dan Mamu yang gelap itu terceruk berhampiran ketiak
bapanya, Mamu nampak amat sedih, tapi Uncle Jufri cuba menenangkan anaknya itu.
Aku mati matian ingat Uncle Jufri hendak memarahi anaknya.
“ Emak tak makan? “ Tanya
mama kepada nenek. “ Aku tunggu adik kau Jenal datang dengan Jeslina “ jawab
mak “ Makan masa ni buat panas badan, aku nak tengok menantu yang boleh buat
sejuk mata “ uncle Jufri terperanjat, dia tenung nenek, aku yang duduk disitu
boleh dengar dia beristigfar. “Astagfirullah” bibirnya terketar. Kemudian mama
mencubit lagi lengan aku, menyuruh aku makan dan menegah aku dari mendengar
sangat apa yang dibualkan di meja makan itu.
Selesai makan kami berbaring
di hadapan televisyen. Tidak banyak sangat program yang berguna semasa cuti
sekolah ni, cuma lambakan telesiri fantasi Indonesia yang dibawa masuk berduyun
duyun dengan efek teruk mereka. Banyak kenderaan yang melepasi hadapan rumah
nenek, tapi tak nampak nampak pun lagi kereta BMW Uncle Daniel. Bila nenek dan mama atau Auntie Sri tidak berada
disitu, aku berspekulat dengan Mamu dimana Uncle Daniel dan Aunty Jessie berada
dan berapa duit ‘hadiah’ yang mahu diberikan pada kami.
Cuba kau hantar satu mesej
dekat inbox Aunty Jessie. Mamu mencadangkan begitu. Aku mengaku aku malu,
lagipun Aunty Jessie berkerja, dia
mungkin sibuk atau ada hal. Cuba kau mesej Uncle
Daniel. Maka aku membuka profilnya melalui telefon bimbit aku. Tiada lagi
foto dia berdamping dengan BMW 5-series berwarna putih itu, dengan rambut
pacaknya dan posse businessmannya, Uncle Daniel sentiasa nampak tampan.
Papa kata, dia sentiasa berjumpa orang ramai, sebab tu dia harus sentiasa kemas
dan berambut kilat.
Sampailah beberapa hari
sebelum Mamu balik, Uncle Daniel tiba
di rumah nenek bersama Aunty Sri bukan Aunty Jessie. Itulah pertama kali aku
nampak nenek datang menyambut kedua-dua mereka di pintu rumah.Waktu itu aku
sudah mampu berdiri dan berjalan, aku menjenguk. Mamu gembira dapat berjumpa
mamanya. Tapi Uncle Daniel tidak
gembira langsung. Nenek terus membawa Uncle Daniel ke satu penjuru rumah, dan
mereka sibuk berbincang sesuatu. Sejak
dari hari tu, aku sudah tak nampak Aunty
Jessie sudah, cuma aku masih berkawan dengan dia melalui Facebook.
Nenek selalu datang pada aku
dikala mama tiada dan minta aku log in
facebook, aku tahu dia sedang memerhati profil Aunty Jessie. Aku pernah melihatnya sendiri. Nenek, Mama mahupun
Uncle Daniel tidak berkawan dengan Aunty Jessie lagi. Cuma tinggal aku saja. Sebaik
nenek meminjam facebook aku, dia akan mencebik muka dan tiba tiba garang. Apa
kena mengena Facebook dan mood nenek aku pun aku tak faham.
Setahun
kemudian, Papa memberitahu aku bahawa Uncle Daniel muflis dan kelibat kereta
BMW yang selalu aku nampak itu dilelong bank.
Business uncle Daniel tidak berjalan
lancar sangat.
Kenapa?
Kenapa Uncle Daniel bankrap? Dia seorang businessman yang bagus. Papa dengan
cara malas bercerita memberitahu Papa tidak suka dengan Aunty Jessie, dia itu terang terangan pisau cukur, tapi siapalah
papa hendak berkata apa-apa, dia cuma mahu mejaga hati mertuanya. Nenek aku
terbawa-bawa dengan prestij kekeluargaan. Dia mahu semuanya cantik, kalau tidak
sempurna dia mahu setiap perkara itu hampir sempurna, nenek lebih suka mulut
orang bercakap elok-elok pasal keluarga dan keturunannya.
Nenek
ada satu mentaliti Prestij Melayu yang tipikal, harus pakai seperti emas yang
besar, harus tinggal dalam rumah yang besar, harus membawa kereta yang besar,
harus ada menantu yang cantik dan harus berkawan dengan orang yang berpengaruh
dan semua ni harus dicapai walaupun kena berbelanja hingga papa kedana.
Papa
berkata lagi Uncle Jufri tak memenuhi semua kriteria ni, nenek kau mana pernah
suka dengan Uncle Jufri lagi lagilah isterinya Jeyaseri yang asalnya Hindu
berkulit gelap. Nenek menjaja kisah perkahwinan Uncle Daniel dan Aunty Jessie
sebagai perkahwinan ideal yang menjulang prestij kekeluargaan yang mekar
bercambah di hati nenek. Papa juga berkata perkahwinan Uncle Daniel lebih besar
dari parkahwinan dia dan Uncle Jufri digabungkan.
Kambing
hitam dalam keluarga sudah tentulah Uncle Jufri. Papa berkata nenek demam panas
ketika Uncle Jufri berkahwin, nenek tiada semasa majlis itu. Papa mendengar
khabar lagi nenek bukannya benar benar sakit ketika majlis perkahwinan Uncle
Jufri. Nenek cuma mencari alasan untuk berada di tempat lain. Wahualahualam.
Dan
apabila Uncle Daniel ditimpa susah, hubungannya
dengan isteri mula longgar. Nenek sangat rapat dengan Aunty Jessie, dan
perempuan muda itu tidak tahan untuk duduk dengan lelaki susah. Duit makin
mengecil untuk ‘membela’ Jeslina yang khabarnya mandi bunga sebulan dua kali
dan bisnes Uncle Daniel makin tenat. Nenek jadi amat gelisah melihat Jeslina
itu. Dia tak mahu kisah jajaan itu hancur lebur, banyak duit dihamburkan untuk
memastikan kebahagiaan mereka dipanjangkan selama mungkin. Aunty Jessie eksploit keadaan ini, dia tahu nenek tidak mahu dia
pergi meninggalkan anaknya, dia tunggu sebentar walaupun di belakang tabir, dia
sudah berhubung dengan pihak yang berminat.
“ Young, im still young and have a long way to
go – without looking back “ itulah update
Facebook Aunty Jessie selepas dia minta cerai. Nenek naik berang dan menyuruh Uncle Daniel mengambil balik semula
hartanya. Semua itu amat diluar jangkauan kemampuan. Teramat lambat dan ada
peguam yang menanti untuk mengambil mana serpihan harta yang masih belum
tanggal dari badan Uncle Daniel.
Apabila aku masuk 12 tahun, aku bersama
keluarga aku berhimpun di KLIA. Bersama nenek dan Uncle Daniel. Dia nampak berbeza kini. Tidak ranggi dan rambut
tidak berkilat atau pen diselit pada poket tiap-tiap masa. Kini dia biasa-biasa
sahaja. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada Uncle Jufri, Auntie Sri, Mamu
dan kakaknya. Mereka akan berangkat ke Amerika Syarikat. Uncle Jufri mendapat
pekerjaan tetap disana, begitu jua Auntie Sri. Mamu dan kakaknya akan
bersekolah disana. Di negara orang sejuk lama-lama, kulit Mamu boleh bertukar
putih. Keluarga dia meneruskan hidup disana entah sampai bila, tapi, itulah
pencapaian yang boleh dibanggakan, hijrah mereka ke tempat yang lebih padan.
Kunci
kereta Uncle Jufri diberikan pada Uncle Daniel “ Kau gunalah kereta tu Danial,
walaupun tak selaju dan seluas BMW 5series kau pernah bawa, aku harap dia boleh
bawa manfaat untuk kau… “ mereka kemudian bersalaman dan berpelukan. Uncle
Jufri menitis air mata mengucapkan selamat tinggal kepada nenek. Nenek buat
kali pertama memeluk Mamu, kakaknya dan Auntie Sri
Dalam
perjalanan balik papa berkata: “ Hidup ini susah untuk nampak elok dimata orang
dan manis dimulut orang “
0 comments:
Post a Comment