Kapsul



Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup, mati, dahulu mahupun kini

Hos: Terima kasih kerana sudi datang untuk sesi temu ramah, prof

Prof : Terima kasih

Hos: Prof, saya amat kagum boleh duduk disini bersama prof dalam pertemuan empat mata ini.

Prof: Ya, saya pun amat menghargai jasa orang disini yang sanggup menjemput saya kesini sudah sekian lama saya menceburi bidang saya. Tak lupa, jasa peribadi ( *Prof menunding ibu jari pada hos ) saudara untuk mengagumi segala kerja saya.

Hos: Prof… saya sudah sekian lama membaca tentang hasil kerja prof, sudah 40tahun prof menceburi bidang surgeri dan kimia. Apakah mendorong prof untuk tekun dan konsisten dalam bidang ini?

Prof: Saudara sebut tadi membaca hasil kerja saya? Siapa yang berjasa menerbit hasil kerja saya?

Hos: Erm… silap saya… lebih kepada bawaan mulut bahawa prof adalah orang atau figure yang amat berjaya dalam bidang bio-kimia. Prof pada umur 28 telah membongkar satu penemuan yang para saintis menganggapkannya suatu keajaiban. Suatu yang mustahil tetapi berlaku juga. Prof menemui sejenis ubat yang diberi nama KAPSUL:-D.

Prof: Ya. Tidak sangka itu turut dicatit dalam sejarah bahawa saya adalah orang yang menemui satu formula kimia yang membolehkan orang yang murung atau tidak mampu tersenyum untuk senyum kembali. Tidak kira apa sebab yang membuatkan seseorang manusia itu tidak mampu tersenyum. Mungkin psikologi, mungkin penyakit atau mungkin fizikal. Tapi, setelah mengambil KAPSUL :-D, mereka akan mampu tersenyum.

Hos: Adakah kapsul ini seperti pil kuda, ecstacy dan pil khayal?

Prof: Tidak sama sekali. Saudara kena melihat penciptaan pil ini dari sudut yang positif. Cuba bayangkan seseorang itu terkena penyakit strok dan mulutnya sudah herot dan tidak mampu tersenyum seperti biasa, maka, kemurungan yang dilalui itu akan membuatkan pesakit strok itu hilang semangat mahu hidup. Setiap ahli keluarga pun akan rasa jelik melihat muka yang murung, maka, apakah satu pengertian besar kalau pesakit strok itu mampu tersenyum. Walaupun mengalami strok yang sudah membengkokkan mulut

Hos: Apakah ubat ini bermain dengan saraf dan boleh merosakkan saraf para penggunanya?

Prof: Tidak sama sekali. Para saintis agak terkejut apabila kapsul ini mula dikeluarkan kerana ubat ini langsung tidak kena mengena dengan saraf mahupun otak. Dari kajian bertahun-tahun yang saya lakukan, ubat ini berjaya memberi kejutan ke arah otot sekeliling pipi, dagu dan gusi ( *prof meraba dagu, pipi dan bibirnya ) untuk tersenyum.

Hos: Apakah gila namanya jika pengguna pil ini tersenyum sendirian.

Prof: Oh, bukan begitu. Setiap kali seseorang individu makan kapsul ini, maka dia boleh memilih bila dia mahu tersenyum. Ingat, saudara, sindrom gila itu lebih kepada ketawa. Semyum tidak pula membawa kemudaratan, malah, jikalau kita mampu tersenyum sepanjang mana yang mungkin itu adalah rahsia awet muda. Persepsi senyum seorang diri itu adalah gila silap sama sekali. Saudara boleh rujuk mereka yang berkata sedimikian itu gila. (*prof tersenyum seketika )

Hos : Oh. Namun jikalau pengguna kapsul ini tidak mahu senyum, apakah respons mimik muka?

Prof: Mereka takkan menunjukkan mimik muka sebik, sugul mahupun murung. Seolah mimik muka sebegitu tidak pernah wujud dalam kamus hidup mereka. Pendek kata, samada mereka ceria tersenyum ataupun berwajah neutral.

Hos: Apakah pengenalan ubat ini berlawanan dengan kuasa tuhan?

Prof: Saya tidak berpendapat sebegitu, saya lebih berpegang kepada idea yang mengatakan senyum itu adalah sedekah, sedia maklum, pernyataan tadi sudah termaktub dalam agama.

Hos: Prof akan menjalankan hukuman mati tidak lama lagi atas kesalahan melakukan jenayah yang berunsur penganiayaan, apa komen prof?

Prof: Saya redha dengan penilaian dan penghakiman orang diseliling saya. Dan saya akan hadapi hukuman berkenaan dalam masa dua minggu lagi.

Hos : mengapa prof sanggup melakukan satu penganiayaan yang sungguh kejam?

Prof: Kejam? Saya rasa saudara sendiri akan takut mahu duduk dan menemuramah saya dalam pertemuan empat mata ini. Adakah saudara nampak saya sebagai orang yang mampu menghempuk kerusi kayu ini pada muka saudara sampai pecah? Adakah saya mampu menusuk pen ini dalam kerongkong saudara sampai saudara berlumuran darah? Saya berumur 58 tahun kini. Saudara kena faham. Pernyataan kejam itu bukan sesuai untuk saya.

Hos: Namun, prof adalah penjenayah, sudah ditahan dan akan menjalankan hukuman…

Prof: Saudara rasa orang yang bersalah itu selama ini sengaja memilih untuk menjadi jahat? Saya rasa saudara silap besar melabel mereka sebegitu rupa. Apa orang yang senyap itu lemah dan lembik? Apa orang yang tidak berkawan ramai dipulau oleh masyarakat? Sesungguhkan fikiran saudara cetek belaka.

Hos: Saya mohon untuk menarik balik pernyataan saya tadi. Saya minta maaf.

Prof: teruskan

Hos: Berbalik kepada jenayah yang prof lakukan genap sepuluh tahun dahulu, difahamkan prof telah menemui dan menyebarkan VIRUS :-C, atau dalam bahasa saintifiknya ‘colonus dashus-C’yang amat mudah berjangkit dan membuat penghidapnya tak mampu tersenyum sama sekali. Mengapa prof tergamak melakukan satu penciptaan yang begitu merosakkan?

Prof: Saya fikir orang tersenyum ini menjadi terlalu mabuk dalam senyuman mereka.

Hos: Maksud prof?

Prof: Sebelum saya berlepas ke luar negara untuk menimba ilmu bio-kimia 40 tahun lalu, saya berada di lapangan terbang dan disekeliling saya, saya ternampak individu seumpama saya yang akan melanjutkan pelajaran. Mereka semua digerumuni rakan yang tergelak, tersenyum dan berpelukan. Saya berasa hairan kerana tidak pula dihantar sebegitu rupa, maka saya sisihkan gerak hati itu untuk terus ke luar negara dan menimba ilmu supaya bila saya pulang, saya akan digerumuni oleh ramai orang yang ikhlas tersenyum, tergelak dan ketawa bersama saya…

Hos: teruskan

Prof: namun, bila saya pulang untuk cuti panjang, saya terperangkap dalam satu keadaan dimana saya bagai disisih. Semua yang turun kapal terbang disambut bahagia dengan gelak ketawa, tangisan gembira dan hadiah pelbagai bentuk.Saya bagai angin yang menyusup diantara ratusan manusia yang menanti dan dinanti disitu. Namun, saya memberitahu diri saya bahawa saya akan mendapat layanan sebegitu rupa suatu hari nanti. Maka, saya terus berkerja keras…Semua rakan yang menuntut diluar negara kembali sini dengan album foto homecoming mereka. Namun, bila saya jejak tanah air sendiri, tidak pernah ada deretan rakan, mahupun seorang yang akan bertanya khabar. Manakan mampu saya berbuat album sebegitu rupa.

Hos: hmm…

Prof: Saya memberitahu diri saya bahawa mungkin jasa akan membuatkan saya diingati dan dikelilingi orang. Saya berazam tidak mahu menyisihkan diri dari sesiapa mahupun disisihkan, jadi, saya akan menghulurkan pertolongan dimana yang saya mampu, menolak dimana saya mahu. Saya cuba melibatkan diri dalam apa jua keramaian yang dijemput. Namun saya ada juga menebal muka ke keramaian yang tidak dijemput cuma untuk mencari kenalan baru, namun strategi saya itu tidaklah seberapa menjadi kerana mereka yang saya kenal nampak tidak mahu ‘melekat’ pada saya. Mereka cuma cuma berborak sejam-dua dan kemudian lupa akan saya esok hari. Kemudian terdengar bisik-bisik dibawa angin bahawa saya sekeras-kerasnya tidak dijemput ke keramaian tertentu. Apa wujud kebencian kerana saya menjadi mesra?

Hos: Adakah prof ini gila status atau gila mahu disanjung? Salah satu?

Prof: Sudah 20 tahun saya buat penyelidikan bio-kimia. Saya bukan mahukan satu patung besi dibuat dengan nama saya tertera dengan besarnya di kakinya. Bukanlah saya mahu sebatang jalan di ibu kota diberikan sempena nama saya. Saya cuma mahu menjalani hidup seperti manusia biasa juga. Saya mahu orang bertanya khabar dengan saya secara bersemuka. Saya mahu orang menjemput saya dalam majlis keramaian mereka, dimana saya boleh mencurah ilmu saya dalam perbualan mereka daripada berborak kosong. Saya mencipta KAPSUL:-D, itupun saya tidak namakan formula itu atas nama saya kerana bukan publisiti yang saya mahukan. 100tahun lagi majoriti orang takkan tahu siapa pencipta KAPSUL:-D kerana tiada nama saya di formulanya seperti Bernoulli, Phytogoras, atau Pasteur. Rata-rata pengguna berpuas hati, tapi, apa yang mereka lakukan lepas dapat menikmati rasa tersenyum melebar? Mereka pergi buat gathering di restoran ternama dan mahal belaka dan mula mengambil foto dan poskan dalam facebook seumpama mereka malu mengaku mereka mempunyai babak sedih dalam hidup mereka.

Hos: Bagaimana prof tahu mereka tak ada babak sedih dalam hidup mereka?

Prof: Saya tidak katakan mereka TIDAK mempunyai babak sedih, saya cuma lihat mereka ini amat malu mahu mengaku mereka ada kesedihan dalam hidup mereka. Mereka mula bisik-bisik dalam kemabukan mereka tersenyum bahawa orang yang sunyi dan muram ini tidak ada kehidupan. No life. Menjadi satu darjat baharu bagi yang mampu tersenyum dan tidak mampu senyum. Mereka mabuk dalam senyuman sehinggakan mereka menyisih mereka yang tidak mampu tersenyum.

Hos: Maksud prof, prof kini menyebelahi orang yang tidak mampu tersenyum pula? Bukankah prof mahu sangat orang tersenyum melalui formula KAPSUL:-D

Prof: Niat saya membuat KAPSUL:-D adalah untuk membuat orang yang muram tidak disisih atau dipandang rendah oleh masyarakat. Kajian psikologi pun telah membuktikan senyum itu kunci untuk menjalinkan talian persahabatan dan melembutkan hati orang untuk mendekati kita. Namun, persahabatan kini tidak semudah secangkir senyuman. Saya mendengar anak muda yang tidak didekati semata-mata tidak mempunyai kenderaan. Orang perempuan suri-rumah tidak didekati kerana lengan mereka tak ada emas bergantang-gantang sampai ke siku. Kontraktor murah senyuman takkan dapat kontrak kalau tidak kenal ‘orang dalam’. Senyum bukan sesuatu yang signifikan dunia sekarang ni. Selama ni mereka makan pil itu cuma untuk dimabukkan sahaja.

Hos: Adakah sebab prof membuat VIRUS:-C atau colonus dashus-C adalah untuk dendam? Kalau benar, siapakah dendam prof sebenarnya?

Prof: Perlukah saya sebut sekali lagi. 20tahun lamanya. Kalau saudara ada anak, maka anak itu sudah mampu memberi sekurang-kurangnya hadiah untuk saudara dan membuat saudara tersenyum. Saya berjasa melalui penciptaan KAPSUL:-D selama 20 tahun. Selama 20tahun itulah saya memberi senyuman kepada orang. Namun, saya bagai ditimpa musibah. Reunion saya tidak dijemput, keramaian saya dilupakan, kalau diajakpun sekadar pemetik butang kamera sahaja, sedangkan orang lain yang masuk gambar. Ikhlas, saya terasa saya tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Saya bukanlah minta patung besi rupa saya dibina atau sebatang jalan di kotaraya dinamakan sempena saya mahupun kapsul saya. Maka, pada umur 48, saya membuat keputusan mematikan penyelidikan KAPSUL:-D dan secara diam-diam saya membuat VIRUS:-C supaya orang yang selama ni asyik gembira dan melihat orang yang muram sebagai darjat mereka yang lebih hina merasakan akibatnya menjadi muram pada diri sendiri.

Hos: Maka, VIRUS:-C cuma membawa kemudaratan sahaja. Bolehkah dikata sebegitu?

Prof: Saya sendiri sedang hampir menemui VIRUS :-X ataupun colonus dashus-X supaya saya boleh mendiamkan manusia yang kenal rapat dengan saya. Ada segolongan mereka yang sanggup mengeluarkan anasir buruk agar orang yang baru mahu berkawan dengan saya menjauhi dan membatalkan niat untuk berkawan dengan saya. Tapi saya tidak berkesempatan. Selepas sepuluh tahun keluar masuk mahkamah, barulah mereka memutuskan hukuman mati untuk saya.

Hos: Akibat penularan VIRUS:-C, maka artis sudah tidak dapat berkerja dan mengusahakan industri mereka. Pelawak sudah tidak boleh bergiat dalam bidang mereka. Salesman apatah lagi badut di sarkis harus meletakkan jawatan mereka. Ramai yang tidak sama sekali berkait dengan hidup prof terkena bencana virus ini. Peguam tertinggi memberikan prof peluang untuk melepaskan diri dari tali gantung kalau prof bersetuju mahu mencari penawar VIRUS:-C untuk kebaikan sejagat. Apakah prof mahu menerima tawaran hakim tertinggi ini?

Prof: Sehingga saat terakhir hukuman pun saya tidak akan menerima tawaran itu. Manusia alpa. Manusia malu mengaku mereka sunyi. Sunyi itu jijik. No life kunun-kununnya. Manusia memilih kawan mengikut status, gaya hidup,keturunan, apa mereka boleh tawar, besar-kecil rumah mereka. Sekarang, kita boleh lihat semua bermuka cebik, dan berasa peritnya gembira-gembira mereka hidup dalam status tinggi, mereka tercebik masam muka, sugul dan tahu betapa mahalnya harga senyum itu. Saya menerima hukuman yang ditetapkan. Biar manusia diklasifikan dalam satu riak muka.

Hos: Setelah mendengar penjelasan prof, nampaknya prof membuat keputusan mengikut emosi. Bukan mengikut lunas rasional.

Prof: Saudara, saya tidak kisah kalau saudara berpendapat sebegitu. Saya gemar mengulangi ayat ‘jasa’. Kalau saudara tidak diletakkan tempat sepatutnya oleh orang sekeliling, barulah saudara sendiri tahu betapa lancarnya dan tidak teragak-agak saya membuat keputusan itu sepuluh tahun lalu.

0 comments: