Perang di Pintu Sebelah
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
Kalau aku bersama ayah sudah tentu aku sekarang sedap menjamah ais-krim haagen-danz, milkshake Selfrado atau Lecka-lecka. Oh! Untuk Lecka-lecka mereka tidak panggil ais-krim, kerana bukan krim yang aku jamah, tapi buah-buahan. Realfruits! Aku boleh merasa atas lidah aku biji benih kiwi atau strawberi dan mengigit-gigit sampai lumat kemudian aku telan. Tapi sekarang aku bersama nenek. Nek Yah aku panggil dia, dia tidak mengerti apa itu gelato,setiap kali aku sebut gelato dia buat muka pelik dan aku takut dia salah faham gelato itu gelatin lemak babi, tapi gelato bukan gelatin. Aku tak nak dia salah faham ayah menyuap aku benda yang haram. Dalam ugama, perkara haram yang menjadi sebahagian daging kita akan dijadikan bahan bakar di neraka kelak.
Ayah suka bercerita sebelum aku lelap tidur. Setiap malam ayah duduk diatas katil menhampiri aku dan melurut dahi aku dan mula bercerita, macam-macam cerita ayah dan hebat kisahnya itu menjadi inspirasi untuk aku menulis karangan di sekolah rendah. Kadang kala ayah membiarkan kisahnya tergantung dan aku tidur dalam kebingungan. Malam esok, dia sambung kembali kisahnya. Pernah suatu ketika ayah memberitahu aku tentang Nek Yah. Dia bercerita bahawa Nek Yahlah yang mengasuhnya sejak kecil. Apa itu mengasuh? Ayah berkata mengasuh itu seumpama menjaga,taking care dan ayah mengaji hingga ke University of Sheffield. Apa itu mengaji? Dan ayah tersenyum menjawab mengaji itu study.
“ Dia punya ayah sibuk kirija “ Nek Yah menghulurkan aku ais-krim yang dicedok dari kotak aluminum yang menumpang belakang motor kapcai. Dikotak itu ada kad tertera pelbagai rupa dan bentuk, aiskrim untuk dipilih. Aku tengok budak lain menunjuk-nunjuk pada kad itu dan Apek Seng akan mengeluarkan aiskrim itu dari pintu kecil atas kotak aluminum. Aiyo! Ini budak manyak lambat mau pilih, Apek Seng kemudian menghulur tangan dalam kotak aluminium menyodok dan menonyoh pada wafer. Inilah aku menjamah aiskrim yang tiada biji benih strawberi mahupun kiwi. Wafer pula keras dan rapuh sampai berterabur bila aku gigit.
“ Habis mengaji, ayah dia balik itu jam masa ekonomi tadak elok punya “ terang Nek Yam kepada Apek Seng. “Woo… itu tahun simbilan puloh lapan punya ekonomi ka? “ Ayah pulang dengan rasa hambar kerana waktu itu susah untuk dapat kerja. Tiada banyak yang dilakukan ayah sewaktu itu selain menghantar surat sana sini dari rumah Nek Yah. “ Ayah dia manyak susah hati, saya suruh dia kasi sabar, tapi ini darah muda woo… manyak angin punya! “ tambah Nek Yah. “ Lu bagitau anak lu suro dia datang sini saya kasi aiskrim tulun itu angin, suma olang susa ma itu tahun 98 ekonomi tulun, gua sendili sudah mau jual ini bisnes tau ka! “ Apek Seng mengeruh. Aku melihat budak lain cerdas bermain dengan jonkat-jongkit, aci-ligan dan gelongsor. Aku teringin bermain sekali, ada seorang budak disitu berkata “ Adam! Jom main galah panjang! “ kemudian dia berlari tenggelam dalam keramaian budak lincah lain yang asyik seronok bermain. Nek Yah mengenggam erat sebelah tangan aku sambil berborak dengan Apek Seng. Seolah tidak membenarkan aku pergi bermain.
Ibu pun kuat berborak. Dia berborak dengan Auntie Christine apabila dia mendadan rambut di salah satu Saloon di Plaza Damaz. Mereka akan duduk bersebelahan atas kerusi saloon yang besar dan berwarna hitam. Aku suka Plaza Damaz dan tiap-tiap minggu aku akan menemani ibu kesana. Tapi ibu akan memberi kelonggaran untuk aku duduk di luar saloon dan bermain dengan PSP yang aku bawa dari rumah. Aku tidak tahan dengan bau spray dan asap-asap yang keluar dari mesin mereka yang pelik dan serba bising. Sering juga auntie Christine membawa anaknya Bernard. Aku berkawan rapat dengan Bernard dan kami akan bermain multiplayer game bersama-sama kerana dia juga mempunyai sebuah PSP yang dibawa dari rumah. Sesudah jemu bermain PSP, aku akan datang semula pada ibu yang masih petah berborak dengan auntie Christine digerumuni mesin-mesin bising dan lelaki memakai kemeja ketat hingga puting mereka membonjol, geli aku melihat mereka mengurut-urut kepala ibuku. Ibu akan menghulurkan duit untuk aku membeli bangels bersalut caramel yang ada dijual beberapa tingkat bawah saloon yang bising dan berbau toksik itu. Dan aku bersama Bernard akan berlumba siapa sampai dahulu
“ Tapi ayah dia ada kurang angin itu masa dia jumpa emak dia” dan Nek Yah bercerita pasal Ibu, seorang yang suka memakai baju putih dan seluar hitam. Aku bosan kerana itu seumpama unifom sekolah aku namun bila aku bertanya ibu “sayang Adam this is what I do… you want to see ibu wear something else, wait until weekends ok?” Iyalah, bapa sudah baru saja menjejak kaki ke tanah air dari mendaki menara gading, tatkala hati terpaut pada dara yang tidak mengenal masa melintas dalam kotak hatinya. Iryani. Maha-Suci itu bijak menyusun. Ibuku berkata ayahku seorang yang romantis dan menghiburkan hatinya, Menurut ibu, ayah seorang yang mempunyai daya rekacipta yang tinggi. Ayah gemar origami dan dia akan membuat origami berbentuk setangkai bunga atau buah hati dan menyelit dalam purse atau diselit celah rambut Iryani, ibuku, apabila tiada mata yang memerhati .Ibu tahu dalam hatinya, Asan, bapaku itu membuka lembaran yang tidak syak lagi akan membuahkan ikatan perkahwinan “ Itu jam ramai orang tanya, bila Asan mau kahwin? “
“ Itu Asan mana mau ambil berat itu kahwin ma… kirija takdak, duit takdak, mana boleh mau kahwin dia kata” kata Nek Yah “ Tapi dia sayang itu Iryani “ aku menoleh pada Nek Yah kerana dia baru saja menyebut nama ibuku. Sudah dua minggu aku tinggal bersama nenek,aku rindukan ibu. “ Saya, tahun 1998, kirija cikgu punya, ajar bahasa inggelis, tadak kena buang kerja punya, arwah Hussain, laki saya kerja dengan MIDA pun tadak kena tendang. Ini Asan kasi mengaji jadi arkitek, tapi belum dapat kirija, dia sudah pening woo. Dia cakap itu kerajaan sudah korup, bikin tender projek masuk poket kroni, dia cakap tadak guna dia jadi arkitek… “
“ Haiya! Ini Asan manyak angin wooo! “ Apek Seng berkata, berdengus dia sejurus menangkap perenggan terakhir Nek Yah. “ Tapi tengok ini hari dia sudah hidup senang. Itu projek jambatan nombor2 dia dapat punya “ terang Nek Yah, kami antara dua orang manusia yang bangga dengan Asan ketika itu. Tapi aku hairan mengapa Nek Yah berbangga dengan bapaku, tapi banyak juga dia komplen tentang ayahku. Aku gembira Nek Yah dan Apek Seng sudah selesai berborak dan Nek Yah terus memimpin tangan aku menuju ke taman kominuniti. Disitu ada playground dan alat permainan yang sebahagian daripadanya rosak serta berkarat. Kalau ayah, sudah tentu dia membawa aku ke padang hijau di stadium untuk menyaksikan perlawanan Manchester United atau Chelsea yang bertandang ke Negara. Nanti ayah dengan ceria akan bersalaman pemain liga Inggeris ini dan mengambil foto bersama mereka. Aku juga tidak terkecuali. Pernah sekali aku didukung oleh Diedier Drogba dan ayahku girang mengambil foto. Foto itu ada di rumah aku di Sierramas. Bukan di rumah Nek Yah.
Rumah Nek Yah berbeza dengan rumah di Sierramas. Rumah Nek Yah tidak berbau potpourri, bau-buan di rumah Nek Yah ini mengikut keadaan, selepas goring ikan maka bau ikan gorenglah satu rumah, kemudian bau itu beransur hilang. Rumah di Sierramas itu berbau wangi dengan potpourri. Tak cukup dengan itu ibu akan meletakkan sepasu bunga segar dalam bekas kaca jernih berserta air. “ Ibu, we should let a goldfish swim inside the water” aku menggila mau melihat ikan emas berenang dalam menyelinap antara tangkai bunga. “ No, sayang goldfish isn’t supposed to be in flower bowl, they supposed to be in fishbowls “ ibu mendekati aku dan bertanya “did recently ate chocolates? “ aku menoleh-noleh kemudian dia memeluk aku, aku tahu ibu gusar comot aku melekat pada baju putih bersihnya itu.
“ Cik Yah oi! Sibuk bawa cucu, menantu mana?“ aku tak faham apa menantu itu. Bunyinya seperti hantu. Amat menakutkan terutamanya ketika aku berjauhan dari Sierramas. Namun ayah ada juga menerangkan menantu itu merujuk kepada daughter-in-laws atau son-in-laws. Ayah berkata kalau aku sudah berkahwin dan mendapat anak apa jua jantina, dan apabila dikahwinkan, si-pasangan anak itu jatuh pangkat menantu. Aku bertanya macam mana anak boleh datang/muncul/lahir? Ayah tersenyum dan mengusap kepalaku “someday you’ll know”
Menantu pada Nek Yah sudah semestinya merujuk kepada ibuku “ Oh! Cik Umairah! Iryani, dia sibuk… “
Iryani ibuku berkerja selaku seorang peguam. Sebab itulah pakaiannya itu sering dua tona. Hitam dan putih. Sekali-sekala sahaja aku boleh melihat ibu memakai pakaian berwarna selain hitam putih adalah sewaktu hari minggu. Tiap-tiap malam ibu akan berada dalam biliknya dan mejanya dipenuhi kertas dan buku. Berbeza dengan ayah dimana mejanya berselerak dengan kertas-kertasnya besar dan tertera bemacam lukisan, kertas-kertas ibu dipenuhi tulisan, tulisan, tulisan dan banyak tulisan.. Sekarang aku sudah habis makan aiskrim dan menoleh dan mendengar dari hujung telinga. Nenek bercakap pasal Ayah.
Ayah seorang idealis. Pernah sekali lewat tahun 1998, ibu-bapa Iryani, Nek Jah dan Tok Dollah makan malam dirumah yang aku tinggal sekarang, menurut Nek Yah,aku pun belum lahir lagi ketika itu dan Iryani, ibuku belum berkahwin dengan ayah. Ayah berseloroh betapa teruknya kerajaan yang memerintah dan menuduh kerajaan memerintah sebenarnya punca segala malapetaka ekonomi merudum itu. Tak tahu mengapa, tapi ayah dikatakan mempunyai kemarahan yang munasabab terhadap kerajaan ketika itu. Ayah secara halus merujuk kerajaan sebagai ‘lanun’, ‘jinggo’ dan ‘ baruah’. Pengalamannya belajar di luar negara mendedahkan dirinya kepada kebebasan bersuara, ketelusan dan kesama-rataan.
Ayah seorang yang mampu mencampur baur rasa marah dan gembiranya. Ayah ketika itu menzahirkan niatnya untuk berkahwin dengan Iryani disaksikan oleh Tok Dollah dan Nek Jah sendiri, tapi dia memohon satu tempoh agar dia boleh menyambung belajar dan mengambil lesen demi membuka sebuah firma arkitek sendiri. Nek Jah dan Tok Dollah ketika itu menyahut baik dan berharap hanya yang terbaik kerana Iryani itu anak bongsu mereka. Asan menzahirkan rasa segannya kepada Nek Yah dan Tok Hussain kerana tahun 1998 itu bukanlah sesuai sangat untuk berkenduri kendara apatah duit hantaran yang harus ditanggung kedua orang tua itu menyedari Iryani sendiri lepasan sarjana muda dalam bidang bukan calang-calang orang boleh melakukannya. “ Insyallah, Tuhan buka pintu rezeki lepas kahwin nanti “ namun ayah dikatakan lebih petah bercakap dari ibu “ Tahun 1998 tahun orang merusuh… bukan tahun orang kahwin”
Tatkala Ayah menyebut akan ‘harapan baru’ yang diimpikannya. Dia takkan membenarkan dirinya berkerja dibawah telunjuk ‘lanun’. Dalam susun alur keturunan itu harus ada anjakan yang akan mengeluarkan mereka dari takuk lama. “ Seperti keturunan kita dulu-dulu membajak tanah bertani, meneroka dan membela ternakan, hasil mereka dibeli mengikut harga kerajaan. Sekarang mak-ayah bekerja selaku government servant, gaji pencen mengikut ketetapan kerajaan, sekarang sudah tiba waktu untuk kami cari makan bukan mengikut huluran kerajaan. Tapi dengan cara betul “
Tidak ada sesiapa pada malam itu mengerti apa itu ‘harapan baru’ dan apa itu ‘cara betul’ yang diuar-uarkan Asan. Tok Hussain berkerja dengan MIDA yang terang-terangan menjadi tangan kerajaan dalam pembangunan industri tempatan. Nek Yah selaku guru sudah tidak syak lagi mencurah bakti atas gajian kementerian pelajaran. Tok Dollah walaupun memerah keringat dengan Bank Duniaputra ketika itu yang urustadbirnya lebih berdisiplin dan ala-swasta, namun, dia tidak lupa Bank Duniaputra itu diasaskan kerajaan dengan niat menyimpan modal orang Melayu dalam pelbagai bidang ekonomi. Nek Jah bekerja selaku jururawat dengan sebuah hospital swasta yang majoriti sahamnya milik kerajaan melalui cabang perniagaan yang dipanggil Khazanah seperti itulah. Dan kerajaan meletakkan syarat agar banyak tempat diberikan untuk orang macam Nek Jah bekerja.
Maka, kerana kebergantungan Nek Jah dan Tok Dollah kepada kerajaan, dia mampu jua mendidik dan menghantar Iryani ke luar negara. Kini giliran Iryani mahu juga mahu menyahut ‘harapan baru’ yang dilontarkan oleh Asan. Ibu juga terdedah kepada demokrasi-barat, kebebasan bersuara dan kesama-rataan. Mereka berdua memegang erat cita-cita akan menjadi generasi Melayu yang dipacu oleh liberalisasi dan bukan lagi golongan tongkat besi. Generasi yang tidak perlu menadah tangan pada kerajaan untuk kenaikan gaji atau tempat dalam institusi tertentu. “ Saya rasa kalau mak silap pangkah, mesti mak kena hantar ke Bario atau Lahad Datu” usik ayah kepada nenek aku.
“ Aku biasa juga pangkah yang bukan jenis kita sekarang ” kata Nek Jah kepada Umairah, rakannya itu. Aku asyik menyaksikan budak-budak lain bermain di taman komuniti itu. Mereka sungguh buas. Tahu jonkgat-jongkit rosak mereka nampaknya bermain police and theif . Budak-budak disini panggil police sentry saja, lebih ringkas “ Adam, jom main police sentry! “ budak tadi muncul lagi girang sambil menjerit sebelum berlari semula kepada sekumpulan rakannya dan tenggelam bersama mereka.
Umairah terbeliak biji matanya. Apakah undi itu rahsia? Haish! Disebut-sebut pula di taman komuniti yang petang itu dilimpahi dengan berpuluh-puluh pelawat. Bahaya! Sungguh bahaya! “Saya nak bagitau ni, tak ada apa pula bencana yang jadi… Bario pun tidak, apatah lagi Lahad Datu, anak lelaki aku tu kuat dengar cerita orang sangat…”
Nek Jah, nenek ku sebelah emak, amat terpesona dengan aura Asan. Seolah terpancar sinar harapan itu dari matanya dan bersetuju ada perlunya anjakan ini. Maklumlah, ketika itu sudah dua puluh lima tahun berkhidmat sebagai nurse. Asalnya dari hospital besar dan disitu dia sudah dapat merasa bahang bahawa jururawat itu bagaikan dianak-tirikan dalam banyak profesyen yang berkaitan perubatan dan kesihatan. Bila kerajaan menaikkan harga petrol, doktor sahaja menerima elaun minyak dan dia masih menagih harapan untuk COLA demi meringankan beban. Tok Dollah sudah tiga puluh tahun bekerja dengan Bank Duniaputra dan sudah dua kali bank itu harus diselamatkan melalui bail-out oleh kerajaan, dan Tok Dollah sedar kali ketiga Bank Duniaputra tenat tiada peluang lagi bagi institusi itu untuk diberi talian hayat. Lewat tahun 1998 adalah tahun bank-bank bergabung, dan dalam penggabungan itu ramai yang sudah dan bakal menjadi korban. Tok Dollah masih belum menjadi korban, tapi kalau sempat, dikira-kira dalam kepala otaknya untuk mengambil opsyen perletakan jawatan secara sukarela. Nek Jah dan Tok Dollah masing-masing fikir ada wajar Asan melaksanakan ‘harapan baru’. Keluar dari kekangan dan telunjuk ‘baruah’, ‘jinggo’ dan ‘lanun’ dari Putrajaya. Mencari rezeki dengan cara yang Asan berhujah: ‘cara betul’
Namun, Nek Yah menyebut pada rakannya bahawa ayah seorang man of his word, dia benar-benar berjaya memulakan sebuah firma arkitek dan dengan disiplin yang tinggi, dia mendapat projek perumahan dan perbandaran baru, dan sebahagian daripadanya adalah projek mega yang belum ditangguh kerajaan. Begitu juga dengan ibuku, Iryani dimana tiap-tiap pagi dia akan memandu kereta ke sebuah wisma, disitu mereka menyemak dan menyain dokumen undang-undang. Diberitahu bahawa firma guaman yang ibu aku berkerja adalah terbesar di Asia Tenggara yang dikepalai oleh seorang peguam bernama Zaid. Tahun itu firma ibu bekerja dihujani durian runtuh tatkala kerajaan ‘jinggo’ dari Putrajaya dikepalai seorang firaun utara menyuruh mereka menyemak banyak dokumen undang-undang.
Sesudah empat tahun ibu-ayahku berkahwin, aku beserta Nek Yah, Nek Jah, Tok Dollah dan Tok Hussain mengerjakan umrah.Ayah selalu berbisik kepada aku bahawa tak ada ibu-bapa yang lebih gembira di atas muka dunia daripada mereka yang dibawa umrah oleh anak-anak sendiri. Aku cuma menupang gembira untuk tok-nek aku. Ibu-bapaku seolah-olah tidak punyai had ketika itu, dan mereka sudah mencapai ‘harapan baru’ mereka. Aku ketika itu masih kecil lagi dan ketika itu ayah membeli rumah di Sierramas, kawasan yang Nek Yah samakan sebagai taman orang kaya pencen. Retired millionaires’ ranch. Ketika itu aku masih bersekolah tadika.
“ Bagus sebenarnya anak jantan aku dengan si-menantu berpakat “ “ Alhamdulillah”seorang anak, sebuah rumah dan dua-dua berkerja cari makan dengan cara betul. Nek Yah kemudian mengucapkan selamat tinggal pada Umairah. Sempat lagi kawan Nek Yah mengusap kepala aku sambil berkata “sayang cucu Yah ni memang comel”
Kerana Nek Yah menghidap sakit urat, Nenek tidak digalakkan memandu walaupun ayah ada membeli Nek Yah sebuah kereta yang kini tersadai di garaj rumah Nek Yah. Rajagopal dijadikan prebet sapu nenek dan aku. Rajagopal sentiasa berada dibawah pokok besar yang redup menunggu pelanggan berpotensi. Rajagopal akan menyelak akhbar tamil sambil menunggu dan dia akan bergerak apabila ada daun luruh yang jatuh pada Toyota Corona 1988nya itu untuk menguisnya. Sungguh jarang kini untuk bertemu orang mengguna model Corona itu, terutamanya zaman kini dengan kenderaan yang dipacu enjin hidbrid. Sistem GPS, Injap-masuk-boleh-laras, run-flat tyres. Pernah sekali dalam perjalanan ke rumah Nek Yah, tayar kereta ayah tertusuk paku, aku dan ayah amat terkejut akan bunyinya seolah kami terlanggar bonggol konkrit, aku tak tahu macam mana bunyinya, tapi terkejut juga aku apatah ayah yang sedang memandu. Ayah keluar dari kereta dan meraba-raba tayar itu dan mengesahkan ada paku sudah tertusuk. Sudahlah ketika itu lewat malam, entah ditengah lebuh raya negeri mana. Ayah sepatutunya bercerita tentang kisah menarik sambil menyelimut aku. Adventur seorang budak dalam alam fantasi di rumahku, di Sierramas, tapi sebaliknya, aku dan ayah bergegas balik kampong ke rumah Nek Yah. Ayah menyelak buku manual dan mendapati dalam kes kecemasan tayar itu mampu berputar walaupun tertusuk paku. Ayah ketawa padaku dan berkata “ Oh boy! It’s a runflat tyre!”
“ Cik Yah, bila ini cucu balik? Hensem betul cucu ni macam Tok Hussain!“ kasihan Nek Yah terpaksa mengulang cerita berkali-kali. Aku dihantar ayah pada satu malam yang agak lewat. Malam yang tayar kereta ayah tertusuk paku itu. Dan aku sudah dua minggu duduk di rumah Nek Yah dan aku rindu ibu. Ayah juga. Kenapa aku berada disini, bukan di Sierramas? Ke Plaza Damaz? Mana Bernard?
“ Papa mama dia mana pergi? “ Rajagopal bertanya lagi, enjin Corona 1988 itu berderum kuat tatkala Rajagopal menekan pedal, dan teknologi lama itu masih mampu mengikhtiar daya tujah untuk membawa Nek Yah yang kurus dan bongkok, aku yang halus dan Rajagopal yang buncit hingga kancing bajunya hendak terburai itu kedepan menuju destinasi. “ Aiyo Rajagopal, emak bapa dia memang kasi pening kepala la ini masa” terang Nek Yah. “Dua-dua sekarang telefon tadak mau angkat” tambah Nek Yah, Rajagopal terbeliak mata seperti mak cik Umairah tadi, mahu terbonjol keluar.
Kemudian perbualan Nek Yah sesama Rajagopal seumpama berbisik dan makin tenggelam dalam deruman enjin Corona yang lebih bising dari lajunya. Seolah ada perkara yang mereka nak rahsiakan dari pengetahuan aku
Ibu dan bapaku dalam proses peceraian. Mengapa harus Nek Yah berbisik! Ketika aku berada di international school ada terdengar kawan-kawanku yang bercakap tentang ibu dan ayah mereka going saperate ways. Berita itu diambil oleh kami seolah seperti majlis berkhatan atau saringan BCG/Rubela, semua itu datang sekali dalam seumur hidup tanpa diduga. Awal tahun, Alice berkata ibu dan ayahnya going saperate ways.Kami mengangguk dan bermain kejar-kejar, bergelak ketawa dan bergurau senda dengan Alice jam berikutnya.
Auntie Christine ibu Bernard pun sebenarnya sudah gone saperate ways. Namun, Bernard tetap bermain PSP dengan aku tanpa sebarang kelainan yang aku sedari. Seminggu selepas itu, ketika aku diajar bermain flute semasa kelas muzik, Richard berkata mommy-daddynya going saperate ways. Seminggu kemudian seorang lagi rakanku, Habur Singh, berkata mama dan papanya going saperate ways. Syed Danial yang ayahnya terkenal selaku pemilik konglomerat perniagaan akan going saperate ways. Hah! Hari ini tiba giliran aku? Aku harus ke sekolah dan memberitahu semua yang aku sudah menyertai kelab gone saperate ways! Namun, ada juga kawan-kawanku yang datang tidak memberitahu apa-apa tentang mak ayah mereka going saperate ways. Kenapa dengan mereka ini?
“ Aiyo! Kesian ini cucu Hussain, comel, kecil lagi… “ kata Rajagopal, kemudian Nek Yah menghulurkan wang sebagai upah membawa kami ke pulang. Aku hairan kenapa warga disekeliling Nek Yah ini amat terkesima apabila tahu ibu-ayah aku hendak bercerai. Apakah Nek Yah ini orang penting di negeri yang aku tumpang ini? Apakah ayah aku seorang artis di sini ketika dia sebaya umur dengan aku hingga semua mengenalinya? Kenapa semua orang kenal Tok Hussain sedangkan dia sudah lama meninggal!? Pelik betul orang sini.
Malam itu ayah pulang dan aku memeluknya dengan erat. Dia membawa aku sekilo coklat impot dan aku bergegas membuka dan mengunyahnya satu demi satu. Kemudian ayah beredar bersama Nek Yah. Mereka bercakap sesuatu di satu penjuru rumah. Nek Yah dilihat seperti menangis teresak-esak dan ayah kelihatan sugul. Nek Yah mesti marah ayah kerana telefon bimbitnya amat sukar untuk ditembusi. Aku pun mahu menghempas perasaan marah kerana sudah lama aku tak dapat mendengar suaranya.
Kemudian Nek Yah bersama ayah mendekati aku. Tidak seperti ibu, ayah tidak kisah aku dipeluk tatkala mulut berlumuran coklat. “ Adam, my boy, I want you to concentrate on your studies “ Aku awalnya tercungap-cungap tapi menangguk juga kepala melihat keseriusan air muka ayah “ Nek Yah is going to put you into school over here” mendengar itu, aku terus berteriak “ I don’t want to school over here, my school is in Sierramas! “ aku memeluk erat Ayah “ Listen, Adam” aku menoleh pada ayah “ this is the place where I was born, and it has brought out the best of me! Sure it will bring out yours! “ ayah tersenyum. “ I miss ibu”. Ayah menoleh pada Nek Yah, dan Nek Yah makin teresak berteriak. Apa yang dah terjadi ni?
Genap setahun aku bersekolah disini, kali terakhir aku mendengar cerita tentang ayah bahawa dia membelanjakan ratusan ribu untuk mendapat hak penjagaan aku. Nek Yah selalu memberitahu ayah itu seorang man of his words dan berjuang untuk nasibnya dengan sepenuh hati. Namun, nasib malangnya ayah bukan kerana malapetaka, tapi disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh dirinya sendiri. Seperti orang yang sukarela terjun telaga dan berbangga dia mampu keluar sendiri. Nek Yah meberitahu aku agar tidak mewarisi sifat komplikated seperti ayahku. Idealis dengan ‘harapan baru’nya sedangkan bukannya dunia ketika itu bukannya putus harapan. Cuma pudar dan perlu digilap kerana harapan dulu itu lebih cerah sinarnya.
Tiap-tiap malam selepas maghrib sebelum Isya’,Nek Yah akan mengajar aku mengaji Iqra. Selepas habis baca Iqra, Nek Yah selalu berpesan kepada aku, dan pesanan ini diturunkan sendiri oleh Tok Hussain, bahawa dalam dunia ini kita harus memelihara tiga perkara. Tiga perkara itu adalah alif (agama), ba (bangsa) dan ta (tanah air), dan gagal memelihara mana-mana dari tiga perkara itu, kita layak disamakan seperti sampah atau debu kayu.Astagfirullah, aku tak mahu menjadi sampah… apatah lagi debu kayu.
“ Apa cerita ini Adam… Saya nampak dia ada suka dengan ini tempat ” kata Rajagopal. Aku dan Rajagopal kini makin akrab dan kerap bertukar buah fikiran sesama kami. Aku menyuruh Rajagopal menukar kenderaannya kepada kereta hybrid yang lebih mesra alam kerana aku melihat Corona 1988 (tahun yang aku belum lahir) itu lebih banyak memuntahkan asap. Rajagopal suka dengan idea aku, dan berazam mahu mendapatkan sebuah kenderaan habib. Hybrid lah! Aku membetulkan Rajagopal
“ Okeylah… dia ada suka ini tempat “ Nek Yah berkata sambil mengusap-gusap belakang kepala aku “ Kak Yah, saya mau tanyalah, ini bukan mau singgung perasaan hati Kak Yah… apa sebab ini ibu-ayah Adam bercerai? “ Rajagopal memperhati aku melalui cermin belakang.
Nek Yah terdiam. Lama juga dia diam. Ayahku Asan tiada orang ketiga, sama juga dengan ibuku Iryani. Aku tak pernah juga melihat ayah mengangkat tangan pada ibu. Ayahku seorang arkitek yang bersemangat dan ibuku seorang peguam yang tetap pada prinsipnya. Apakah kerjaya punca mereka bercerai? Atau Bandar Bandar besar itu tempat yang tak sesuai untuk orang yang sudah berkahwin? Tidak! Tidak! Kenapa bercerai?
“ Entahlah Raja… saya susah mau fikir ikut cara mereka dan dunia mereka, mereka ni orang muda lagi advance dan sofistikated lah” terang Nek Yah, kali ini tidak berbisik berahsia kerana hal ayah-ibu sudah maklum aku ketahui ”Tapi apa yang Kak Yah tahu, sepanjang duduk sini kerja sama kerajaan… cerai itu satu benda malu tau, lagi orang tau lagi malu, muka tadak tau mana mau letak… macam taboo. Saya rasa sana serupa rutin saja kalau tak sependapat mau parting ways “ tambah Nek Yah “ Sikit benda tadak jalan, mau start new beginning… Sikit benda tadak jalan, mau start new beginning… bukan mau cari apa punca masalah “
0 comments:
Post a Comment