Orang Lawa




Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya

Sengaja tuhan mencipta orang lawa dan berteraburlah mereka di serata dunia. Orang lawa ada yang dijatuhkan pada golongan miskin, dalam kampong dan ceruk yang tidak pernah didengar orang. Kewujudan mereka menjadi bualan orang. Lawa mereka dicemburui orang. Orang biasa dan orang kurang lawa ingin menjadi orang lawa, maka mereka akan berpusu-pusu ke pusat kecantikan dan melaburkan apa jua wang ringgit untuk menikmati transformasi kepada orang lawa.

Bukan mudah untuk memimpin tangan orang lawa. Tanyalah kaum adam yang mampu memiliki mahupun mengenali mereka. Ada saja mata liar memandang dan memerhati setiap penjuru alam. Ada saja bunyi puit-puit atau cuit-cuit nakal yang datang dari pelbagai arah. Menjadi-jadi dan menambah-nambah, hingga terpancar rasa kurang selamat.

Orang lawa sudah lama menjadi kegilaan kaum adam. Disini, orang lawa juga dipanggil segak. Namun di ibu kota sesekali ada yang ketawa kerana segak itu hanya merujuk kepada lelaki. Orang lawa menjadi kegilaan segenap lapisan masyarakat lelaki. Setiap kaum adam mahukan orang lawa sebagai pasangan hidup mereka. Kajian saintifik membuktikan genom ibu akan turun kepada anak mereka, oleh sebab tu keturunan diraja dan tengku-tengku zaman purba dulu sanggup mendaki gajah dan meredah semak belukar ke kampong-kampung terpencil untuk menyunting orang lawa. Mereka mahu anak hasil perkahwinan mereka mempunyai rupa yang lawa. Mereka tidak mahu keturunan mereka dicemari yang tidak lawa.

Di zaman moden, golongan tinggi ini akan ke temasya sambil memperagakan orang lawa yang mereka sunting. Benar, keturunan mereka jarang tercemar dengan yang tidak lawa. Kegilaan terhadap orang lawa dan jumlah mereka yang kecil membuatkan harga untuk memiliki orang lawa meningkat mendadak. Seperti prinsip asas perniagaan dimana permintaan tinggi pada produk yang bilangannya terhad mengakibatkan kenaikan harga yang drastik.

Disini, bermulalah orang lawa sendiri menetapkan harga untuk mendekati diri mereka.Orang Lawa kini seolah memiliki lesen untuk memilih dengan siapa mereka akan berkawan. Secara semulajadi, ramai yang akan berduyun-duyun beratur dan ingin berkawan dengan orang lawa. Namun, hak memilih atau menolak itu tertakluk kepada orang lawa. Mereka yang punyai bargaining power. Hendak berniat menjadi kawan kepada orang lawa seumpama uji bakat dimana kita harus menebalkan muka untuk ditolak telanjang-telanjang bulat. Yang terlepas tidak semestinya akan berkawan lama, kerana saringan seterusnya mungkin mereka juga akan tersingkir seperti najis meniggalkan jubur. Makin hari, makin banyak borang yang diisi untuk berkawan dengan orang lawa.

Maklum, segelintir orang lawa akan berkata “oh! Saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak” tetapi dalam kebuk hati ada mencuah-cuah rasa bangga kerana bahu itu memikul perhatian segenap alam. Dan perhatian ini kalau diperlekehkan, maka tuan empunya badan akan terasa tersinggung. Ah! Kuasa mempermain perasaan manusia ini seumpama memiliki kuasa tuhan. Bila orang lawa bercakap, maka banyaklah telinga yang mendengar. Tidak pernah sekali dalam sejarah ketamadunan manusia perkataan orang lawa disambut telinga pekak. Cuba lihat orang lawa menulis di facebook. Mereka meletakkan tiga titik noktah-pun ( . . . ), bakal dibalas dengan pelbagai pertanyaan dan khabaran. Bagi orang biasa, cubalah, tidak memalukan kalau kita dapat menelan realiti yang kelat.

Sering kali, ada orang lawa mempergunakan kurniaan mereka sebagai senjata. Kajian psikologi membuktikan orang lawa mampu mendapatkan sesuatu dengan lebih mudah berbanding dengan orang biasa. Jika orang lawa didakwa atas kesalahan undang-undang, mereka akan menerima hukuman yang ringan berbanding orang biasa yang melakukan kesalahan yang serupa. Orang lawa mampu mempergunakan rupa mereka untuk membuktikan mereka tidak bersalah dalam sebarang perbalahan. Jikalau mereka tidak mampu memujuk, orang lawa mampu melompat seumpama kutu dari satu kepala ke kepala lain. Orang Lawa akan meninggalkan golongan kawan yang tidak mempercayainya dan menyorokkan diri mereka dalam kumpulan kawan-kawan baru. Al-Maklum, ramai yang membuka pintu persahabatan kepada orang lawa.

Jika ada orang yang dianiaya Orang Lawa, Orang Lawa tidak perlu gusar. Manipulatif, mereka mampu mengarahkan orang lain mempertahankan diri mereka. Sehinggakan Orang Lawa tidak perlu bercakap satu patah perkataan, mereka akan dilindungi sebegitu rupa dan komprehensif hingga tiada pakej insurans yang dapat menandinginya. Pendek kata, kalau Orang Lawa ini dibuang daerah, permulaan baru sentiasa ada bagi mereka di daerah lain. Seperti perihal kewujudan janda-janda mutahir ini, siapapun tahu disebalik keliru dan kelu perasaan mereka, ada saja permulaan baru. Cuma tinggal untuk dibelek-belek saja. Itu segelintir sahaja, bukan semua.

Orang lawa bukan saja boleh melintas daerah, malah ada jua yang boleh melintasi selat dan lautan. Melarikan diri sambil diekori saman berjuta-juta ringgit. Ada jua orang lawa yang melintas daerah dan selat untuk kebaikan. Mereka melintas dan mengumpul kutipan derma untuk membiayai rumah orang-orang tua, OKU dan anak yatim. Namun, ada orang lawa yang membawa kebinasaan sepanjang jalan yang mereka lintas, sepanjang itu ada juga kaum adam yang terjebak dalam godaan, mabuk dan khayal sebelum patah hati ditinggalkan orang lawa. Lumrah manusia tertarik akan perkara yang lawa.

Namun, seperti kurniaan tuhan yang lain, orang lawa gagal mengekalkan lawa mereka selama-lamanya. Akhirnya status lawa itu ditarik balik dan mereka tidak mampu lagi mempersenjatakan kelawaan mereka untuk tujuan mempersendakan, mempercelakakan dan menganiya orang. Mereka tiada lagi lesen untuk memilih kawan seperti memilih ikan di pasar basah.

Orang lawa tidak perlu meyelak kitab Buddha untuk memahami karma. Orang Lawa menganggap ekploitasi rupa menawan mereka itu adalah kurniaan tuhan. Apa jua perkara yang mereka lakukan dengan modal lawa mereka itu bakal tidak dibalas hatta mereka sendiri tidak minta menjadi lawa.

Menyedari hakikat inilah, ada yang dikurnia kelawaan akan mempergunakan lawa mereka semahu-mahunya. Kerana mereka tahu, masa itu singkat. Hidup mereka dipermudahkan dengan modal lawa mereka. Kerana apabila ditarik balik, segalanya menjadi susah kembali. Cuma yang mempunyai ketajaman akal akan memilih orang biasa atau yang kurang lawa dan menasihati mereka untuk menjadi orang cantik.

Apa pula beza orang lawa dan orang cantik? Dari pandangan mata kasarnya tiada beza.

Setahun Selambak Cerpen. Tahun lalu, cerpen yang diterbitkan berjudul Kapsul

0 comments: