Serbuk Kuning
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
Misteri serbuk kuning menimbulkan kegusaran dikalangan penduduk setempat. Untuk rekod, serbuk kuning yang dimaksudkan berwarna kuning terang seumpama serbuk kari atau kunyit. Dan akan tercalit pada bahu kiri individu tertentu yang kemudian akan mengalami sakit mental dan sejurusnya menemui ajal. Misteri serbuk kuning sudah menemui mangsa keenam dalam seminggu. Kegusaran masyarakat setempat membuatkan mereka terperuk dalam rumah sendiri, memerhati bahu mereka setiap masa.
Dari mana datangnya serbuk ini? Menurut mangsa keempat yang sempat diselidik dan soal siasat, dia tidak tahu menahu bila bahunya tersentuh dengan sebarang tumbuhan. Tidak pula teringat bahunya tercalit pada sebarang objek mahupun memikul sebarang benda. Tidak jua bahunya disentap seseorang. Hari mangsa serbuk kuning itu bermula dengan solat subuh, kemudian mangsa dikatakan memakai sehelai kemeja yang dicuci bersih diseterika kemas isterinya. Mangsa kemudiannya menungang motor dan menuju ke pejabat. Sebaik tiba di pejabat, mangsa ditegur bosnya akan pakaian yang berlumuran dengan serbuk kuning di sisi bahunya. Setelah mengetahui akan lumuran itu, mangsa manyapu-yapu bahunya untuk mengeluarkan serbuk dari fabrik kain namun, seolah-olah serbuk kuning itu terperangkap dalam fabrik kemejanya.
Inspektor Logneswaran bertanya: “ saudara ada menghidu serbuk kuning itu selepas menyapu dengan tapak tangan? “, ketika itulah mangsa dikatakan mula muntah-muntah darah sebelum soalan itu terjawab. Siasatan terbantut seketika setelah mangsa ditahan dalam hospital. Kemudian ditutup setelah mangsa ditahan didalam institut mental sebelum disahkan meninggal. Inspektor Logneswaran meneliti modus operandi ‘penjenayah’ yang menggunakan serbuk kuning ini. Pada awalnya serbuk itu disyaki menjadi mark/penanda. Namun, tiada luka tembakan atau tikaman. Inspektor Logneswaran meneliti kemungkinan serbuk ini merupakan bahan kimia merbahaya.
Mangsa kelima dilaporkan. Sepantas kilat Inspektor mendapatkan kenyataan mereka. Memburu segala maklumat. Mangsa kelima hendak ke pasar membeli ikan. Dimaklumkan hari itu hujan sereyat-sereyat, maka dia menggunakan payung. Selesai membeli ikan, sewaktu memasukkan barangan kedalam but kereta. Ketika itu dia ternampak bahunya yang bertompok dengan kepingan serbuk kuning.
Tumpuan media terhadap mangsa ke-5 sungguh banyak hingga menimbulkan rasa musykil mangsa itu. “Inspektor, beritahulah apa yang akan terjadi pada saya? Kenapa ramai orang memandang saya dengan pelik? “. Inspektor beredar dari bilik siasatan. Malam itu, hospital di hulu daerah memaklumkan kemasukan mangsa ke hospital akibat muntah darah. Pagi kemudian, ajal menemuinya.
Ketika mangsa kelima inilah, panik menakluk perasaan warga setempat. Spekulasi meliar seperti pokok semalu ditanah terbiar. Mereka enggan keluar rumah lagi. Mereka senantiasa melihat bahu mereka, terutama bahu kiri. Semua warga ketika waktu itu seumpama tumbuh mata ketiga di bahu mereka. Kelima-lima kes mempunyai persamaan, namun sehingga kini Inspektor tidak dapat mengenalpasti puncanya. Penduduk makin panik dan gelisah mahukan penjelasan tentang fenomena serbuk kuning.
Inspektor Logeswaran mula buntu. Inspektor tinggi lampai ini benci berada dalam keadaan keliru. Doktor Eau juga turut bersetuju. Doktor yang ditugaskan untuk meneliti kematian yang berkait dengan serbuk kuning ini benci berada dalam situasi sebegitu rupa. Dalam laporannya dia tegas menjelaskan kehadiran serbuk kuning itu tidak mempunyai kaitan dengan dunia perubatan. Namun, ketegasan Doktor Eau dipatahkan oleh pihak atasan yang terus menekan Doktor Eau untuk mencari punca dan sebab melalui perspektif perubatan moden. Doktor Eau cuba menangkal subjek ini dari segala sudut yang ada. Setiap inci buku perubatan yang berkaitan dengan penyakit maut diselak Doktor Eau. Namun, setelah mangsa kelima, kematian mereka hanya diklasifikasikan sebagai ‘kematian mengejut’ (sudden death).
Bomoh terkenal disitu; Pak Mi mempunyai pendapat yang tersendiri. Pendapat yang mengejutkan. Namun ada pengajaran dari pendapatnya itu. Bukan untuk ditertawakan namun untuk direnung-renungkan. Menurut Pak Mi yang menurut kepada jin ‘peliharaannya’ yang menurut kepada malaikat yang ditugaskan mencatit dosa yang amat berat tanggungjawabnya sejak akhir-akhir zaman ini. Perbuatan dosa begitu berleluasa hingga umat manusia ini tidak memerlukan malaikat untuk mencatit dosa lagi. Seharusnya pencatit pahala sudah memadai untuk segenap umat manusia kerana perbuatan baik yang sekecil zarah yang dijanjikan tuhan pun sukar untuk dicari. Yang kaya bongkak. Yang miskin malas. Yang cerdik angkuh. Yang bodoh sombong. Yang tinggal dibandar jahil ugama, menghamba pada wang ringgit. Yang di kampong taksub dengan ugama, mengejar akhirat. Macam-macam ada.
Pernyataan Pak Mi tidak diterima pakai dengan begitu meluas. Ulasan Ustaz Farith Firdaus Al-Habshee lebih mudah dihadam dek akal fikiran. Berbanding mendengar suara dari jin peliharaan, Ustaz Farith Firdaus Al-Habshee menyingkap semula Burung Ababil yang menjatuhkan batu dari nereka keatas bala tentera bergajah Abrahah yang ingin menakluk kota suci Mekah. Namun Ustaz tidak merujuk kepada mangsa serbuk kuning itu selaku musuh agama, kafir, musyrik atau sebagainya. Ustaz sedar mutakhir ini, profesionnya selaku orang kuat ugama harus lebih menunjukkan keterbukaan, mendorong dan menyokong berbanding menghukum, mengutuk dan menkondem. Menutut Alisan, anak murid Ustaz, Ustaz Farith Firdaus Al-Habshee mengeluarkan kenyataan itu ketika khutbah Jumaat. Menurut Alisan lagi dia tahu Uztaznya gembira kerana dengan kemunculan fenomena serbuk kuning itu, jemaah tidak terlena lagi ketika mendengar khutbah. Kini mereka melakukan dua perkara saja: melihat kelibat Uztaz diatas mimbar dan menoleh untuk melihat bahu mereka. Diakhir khutbah Ustaz menyelitkan satu ayat: “Semua penyakit pasti ada penawarnya, kecuali mati”
Bagaimana untuk mengetahui penawar jikalau penyakitnya tidak diketahui? Tekanan kini kembali ke Doktor Eau. Dia membuat permintaan untuk menggunakan makmal perubatan di ibu kota, disana fasiliti dan rujukan virologinya lebih konprehensif, lengkap dan moden.Namun, permintaan itu ditolak setelah orang atasan memikirkan permintaan Doktor Eau ‘melampau’. Seolah-olah mahu menggunakan kilang pembuatan kereta semata-mata untuk membungkus belacan. Sedangkan belacan itu mampu dibungkus menggunakan jari-jemari tangan dibawah pondok bawah pokok ceri tepi batas sawah atau celahan dusun.
Inspektor Logneswaran kini disorokkan dari media yang terburu-buru mengekorinya. Kemana saja Inspektor Logneswaran pergi, dia akan diserbu soalan dari pemberita yang kadang-kala berpakaian seluar jeans dan t-shirt saja. Kaedah penyamaran yang dia sendiri kadang-kala terjerat. Pihak atasan menyorokkan Inspektor untuk mengelakkan sebarang spekulasi liar yang mampu mengancam ketenteraman awam. Puan Mala juga turut diserbu. Isteri kepada Inspektor Logneswaran itu tidak dapat membeli sayur dengan tenteram kerana ada saja manusia yang ingin menebuk dan mengintai apa yang Puan Mala tahu tentang siasatan suaminya terhadap serbuk kuning. Mereka mengandaikan tiap-tiap malam, tatkala sebelum Inspektor memejamkan matanya; Puan Mala yang melentangkan kepala pada bahu Inspektor itu dapat membaca buah fikiran suaminya. Puan Mala bijak mengelak mereka yang disifatkan busy body itu. Puan Mala bingkas menjawab pada wartawan yang tidak pernah putus asa mahu mengorek maklumat dengan kata-kata berikut: You think I got hypnosis power is it?
Deepak, anak kepada Inspektor Logneswaran turut dipujuk untuk becakap. Manalah tahu kalau Deepak yang sedang leka bermain trak plastik dan hot wheels itu ada terlepas dengar akan perkara yang diperkatakan oleh ayahnya tentang fenomena serbuk kuning itu. Kasihan Deepak, dia baru darjah 4.
Dalam situasi panik, ada yang keluar berselindung di blok-blok bangunan hospital kerajaan untuk menunjukkan sesuatu yang tidak ternilai kepada warga yang ketika itu panik. “ Pst…” “Pstt…” “ Saudari… mari tengok ni, saja ada jual sesuatu” “Apa itu?” “Cincin” “Cincin apa?” “Cincin Tangkis Bala Serbuk Kuning atau shortformnya CTBSK “ “Berapa harga ni?” “Sekejap lagi kita bincang harga. Saya sepatutnya jual pada doktor ni, dia nak beli harga RM10,000”. Bukan semua boleh mengambil kesempatan dari panik fenomena serbuk kuning. Hari itu bukan rezeki Ah Tian. Sejak selepas SPM lagi Ah-Tian menceburi diri dalam perniagaan DVD, perkakasan komputer cetak rompak. Jualan sedemikian lebih mudah dan cepat, dan inilah kali pertama dia mencuba menjual cincin yang dipercayai boleh menolak bala Serbuk Kuning. Ah Tian tahu pasti ada yang bakal membeli batu berkenaan dalam situasi panik sedemikian. Walaupun sukar, habuannya bukan calang-calang. RM5000! Ini membuatkan Ah-Tian tidak mudah berputus asa. Jikalau ada yang kes mati lagi, sudah tentu cincin itu bakal menemui tuan barunya lepas pantas. Kakak tadi cuma memerhati cincin itu dan beredar segera.
Kakak tadi datang ke hospital kerajaan untuk imunisasi atau injection anak kecilnya. Kak Teh nama yang dipanggil memang tidak mempunyai duit sebegitu banyak. RM5000 untuk cincin? Suaminya pun haram tak pernah beli cincin untuknya (kecuali cincin tunang). Kak Teh Marsilla lebih rela terkena bala serbuk kuning daripada berbelanja duit yang begitu banyak untuk mengelakkan bala. Kak Teh Marsilla dahulu menjadi anak murid kelas tadarus bersama Ustazah Sayyidah (ibunda kepada Ustaz Farith Firdaus Al-Habshee yang mahsyur itu) dan berpegang teguh kepada nasihatnya yang kita seharusnya mengutamakan kebersihan. Masih teringat bait ustazah itu: “ Bukannya susah untuk menjaga kebersihan. Agama Allah turun diatas negeri Arab yang tandus dan kekurangan air, namun, boleh juga mereka beristinjak dan membersihkan diri dari hadas-hadas yang termaktub dalam agama”
Kebersihan kunci kesihatan.
Ah Tian lantas beredar dari hospital kerajaan. Dia mendapat panggilan dari penjual bahawa DVD cetak rompak makin rancak jualan dan Ah-Tian harus ke ‘gudang’ untuk mengambil stok baru DVD. Situasi panik tidak menghalang segelintir warga disitu untuk berkunjung ke kedai DVD untuk membeli sekeping dua filem kesukaan mereka. Malah ada yang berkunjung disitu tidak menahu tentang fenomena serbuk kuning berkenaan. Cuma mereka ada mendengar akan kisah kematian misteri. Apa-apapun, stok DVD cetak rompak itu harus dijual secepat mungkin. Ah-Tian bergegas ke Kondominium Sri Mewah yang dijadikan gudang mereka. Disitu Ah-Tian bertembung dengan Son Sheng yang sibuk menjamah selera. Son Sheng mengajak Ah-Tian menjamah sekali Chi Kut Teh yang ditapau dari restoran berhampiran. Namun Ah-Tian menolak ajakan atas alasan dia perlu bergegas menambah stok. Son Sheng bertanya apakah ada pembeli CTBSK? Belum ada. Ketika itu berita menular dengan pantas bahawa Serbuk Kuning meragut mangsa ke-7.
Lambat sedikit, Pak Mi bomoh terkenal itu turut menjual tangkal azimat untuk menangkis bala Serbuk Kuning yang belum ada logik huraiannya. Seolah-olah mempelajari ilmu berniaga, Pak Mi menjual tangkalnya dengan harga yang mampu dimiliki. RM250 seutas. Penggunanya hanya perlu mengikatnya sekeliling pinggang. Kain berwarna kuning itu dan mereka bakal melindung tuannya. Menyemarakkan jualan lagi, Pak Mi hanya menjual 20 utas sahaja. Limited edition. Alasan Pak Mi ‘jin belaannya’ tak mampu menganggung ramai orang. Tiap-tiap utas kain sudah dijampi, diasap dan dihambur dengan ramuan rahsia yang memungkinkan hubungan antara alam roh dan alam realiti. Waullahualam.
Inspektor Logneswaran mengambil keputusan untuk bersara. Dia menyerahkan surat saraannya tadi sementara kes serbuk kuning itu belum selesai. Inspektor Logneswaran bukan berputus asa, tapi dia sudah berkali-kali menegaskan tiada unsur jenayah dalam fenomena Serbuk Kuning ini. Pihak atasan tidak yakin bahawa ini tiada unsur jenayah.Mulai minggu itu, Inspektor menerima pencen. Puan Mala dan Deepak tidak diusik lagi, dan ketenteraman jiwa kembali menjadi hak mutlak mereka.
Namun warga setempat masih biul dan mahukan jawapan konkrit dari mulut pihak berkaitan.Ramai sudah meninggalkan kawasan untuk mengelak bala berkenaan. Selebihnya seperti Kak Teh Marsilla tidak hirau. Kerja adalah prioriti kehidupan. Kalau dia tidak berkerja siapa yang akan menyuap mulut-mulut anaknya. Siapa nak membiayai bayaran injection anaknya? Siapa yang membayar sewa rumah dan siapa pula yang akan membayar hutang ansuran kereta? Majikannya tidak membayar gaji kepada mereka yang cuti sakit. Bos tahu akan fenomena serbuk kuning itu, namun mentaliti warga koprat itu dipenuhi dengan satu perkara: perah.
Kak Teh Marsilla diperah hingga seboleh-bolehnya. Majikan menetapkan mana-mana pekerja yang ada niat berhenti kerja perlu memberi notis tiga bulan lebih awal. Manalah manusia biasa seperti Kak Teh Marsilla boleh membaca kedatangan malapetaka seperti serbuk kuning itu? Apa mukjizat itu boleh dikurniakan pada orang biasa seperti Kak Teh? Oleh sebab itu Kak Teh Marsilla lebih rela terkena sakit berbanding berhenti kerja. Sebaik berhenti kerja siapa yang hendak mengurniakan semula kerja sebegitu mudah? Susah tau hendak dapat kerja dalam zaman serba gawat ekonomi ini. Insurans kesihatannya tidak menanggung jika Kak Teh masuk hospital akibat ancaman serbuk kuning itu. Kerana serbuk kuning belum disahkan tersenarai sebagai penyakit klinikal. Syarat itu telah tercetak dengan begitu kecil dibelakang borang insurans (kecil seumpama semut liar). Penjual insurans tersenyum lebar bila Kak Teh Marsilla menurunkan tandatangan dan menghulurkan bayaran premium.
Ah-Tian tidak perlu risau tentang insurans, KWSP atau gaji. Dia membawa CTBSK, nescaya, dia ‘kebal’ dari bala serbuk kuning. Bosnya cukup prihatin memberikan elaun kalau benar Ah-Tian menjadi mangsa korban serbuk kuning. Ah-Tian juga pernah kantoi masuk lokap tatkala ditahan pihak berkuasa ketika mengedar filem cetak rompak. Bosnya meneruskan bayaran gaji sepanjang penahanan Ah-Tian, sungguh baik hati bosnya itu. Kalau Kak Teh tahu, pasti Kak Teh juga mahu mengedar DVD cetak rompak kerana fleksibiliti dan elaun yang menarik disediakan.
Ustazah Sayyidah pernah memberitahu warga masyarakat disitu akan kepentingan mencari rezeki halal. Jangan jadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mencuri dan berjudi. Semua disitu mengangguk-angguk. Ustazah Sayyidah kemudian akan pulang ke banglo anaknya selepas mengerjakan solat Isya’ berjemaah. Sejurus selepas itu Ustaz Farith pula pulang, makan malam ustaz pada malam itu dihidang atas meja kayu jati 6mx1.2m diimpot khas dari Itali. Mereka mengutip yuran untuk kuliyah mereka dan pendapatan itu tidak dikenakan cukai. Berani pegawai hasil mahu kutip cukai? Silap haribulan, kulit leher boleh tersiat.
Tika kesusahan jangan salahkan tuhan kerana jalan yang kita pilih itu khilaf. Inspektor Logneswaran memilih untuk bersara, akibatnya dia perlu hidup dengan duit pencen. Dengan kemahiran menyiasat dan mengumpul maklumat, Inspektor pencen ini menceburi bidang yang makin mendapat permintaan hangat. Inspektor pencen itu kini menjadi private investigator. Dengan contact yang meluas, Inspektor Logneswaran kini menerima permintaan untuk merisik suami yang disyaki bermain kayu tiga. Merisik ahli syarikat yang mencuri stok barangan dan pelbagai-bagai lagi.
Selepas mangsa kelapan, tiada lagi mangsa serbuk kuning. Walaupun tiada penjelasan logik, tapi perasaan panik dikalangan warga setempat beransur nipis dan lenyap. Kematian lapan mangsa masih diklasifikasikan sebagai sudden death. Namun, fenomena bala itu takkan dapat dipadam dari ingatan, terutamanya Doktor Eau yang menghabiskan tiga tahun profesyen perubatannya demi merungkai misteri serbuk kuning dan akhirnya mendapat arahan dari pihak atasan untuk menghentikannya. Tahun ke-10 selepas insiden serbuk kuning, Ah-Tian sudah menjadi taukeh DVD dan berusaha untuk mencetak rompak filem Hollywood menggunakan Blu-ray pula. Pak Mi bomoh setempat menukar karier menjadi pendakwah pula, Alhamdulillah, dia kini bersahabat baik dengan Ustaz Farith Firdaus Al-Habshee dan menganjurkan muzakarah berkaitan kemusykilan ugama.
Anak-anak Kak Teh Marsilla sudah masuk ke universiti awam. Suaminya berjaya mendapat gelaran Datuk. Tidak sia-sia bertungkus lumus siang malam, Kak Teh Marsilla pun mendapat gelaran Datin. Kini Kak Teh Marsilla tidak risau sangat tentang cuti sakit atau perlindungan insurans, dia mampu menanggung perbelanjaannya dengan kekayaan yang dirangkul hasil tulang empat kerat dia dan suaminya.
Namun, Kak Teh Marsilla mengesyaki suaminya didatangi orang ketiga. Seorang perempuan perampas dan kini suaminya dalam ambang terjebak dalam intaian nafsu dara yang masih hangat, muda dan tegang uratnya. Kak Teh tidak mahu suaminya menjadi patung yang boleh diarah sana sini. Silap-silap dirinya akan tersembam sekali dianiyai. Maka khidmat private investigator Inspektor Logneswaran diperlukan.Inspektor pencen itu sebenarnya sudah mahu pencen dari bidang PI. Kepalanya sudah dikerumuni uban yang menyukarkan intipan pada waktu malam, namun, atas pujukan Datin Teh, Inspektor Logneswaran memberi peluang kedua untuk terus beraksi bagi kali terakhir.
Inspektor menelefon dua orang pembantunya, Subra dan Richie. Mereka berjanji untuk bertemu di restoran 24-jam sebelum menuju ke perkarangan hotel mewah di pinggir kota. Setengah jam bertenggek di luar perkarangan hotel berpura menghisap rokok dan menjamah burger yang dijual anak muda, kelibat Datuk dikesan. Subra bergegas mengambil teropong dan melihat Datuk memasuki lobi hotel. Tiada kelibat wanita.
Datuk melonggarkan kotnya. Jelas melalui teropong itu ternampak kesan berhampiran kolar Datuk. Dizum untuk melihat apakah itu. Ternyata, tompok berwarna kuning pada bahu Datuk. Kuning seperti serbuk kari.
Which shoulder? Which shoulder?
Right… Its right. Bagi Inspektor Logneswaran, kesedaran dirinya ketika itu bagaikan déjà-vu.
0 comments:
Post a Comment