Haji Illuminati (bahagian 2)
Man Tobek berada di warong berdekat Pejabat Pos Besar. Perlahan-lahan menjamah nasi lemak sebelum dia boleh meneruskan kerja kemudian harinya. Beberapa rakan-rakan disitu sedang khusyuk berborak bagai ada perkara yang teramat penting. Bunyinya agak serius.
“ Man… apa kau buat makan sorang-sorang dekat cerok warong tu, marilah join kami “ kata Sharip yang mengepalai gerombolan posmen yang menjamu selera di warong berkenaan. Memandangkan Man sudah selesai menjamah makanan, dia menurut ajakan Sharip.
Diatas meja Sharip ada helaian kertas bertulis dan bergambar.
“Nah, kau baca ni… sekarang ni ada ajaran sesat terbongkar yang sudah lama wujud…” terang Sharip dengan gaya ahli politikus.
“ Mana kau dapat ni?” soal Man Tobek
“ Internet”
“ Ilu…. Ilun….Ihlu..mati…”
“Iluminati la… “ sentap Sharip “ ini gerakan bawah tanah, senyap-senyap nak hancurkan agama kita dan mendominasi dunia. Ramai pengikut illuminati ni terdiri dari golongan berpengaruh. Arkiteklah. Ahli politiklah. Doktorlah. Ahli perniagaanlah. Artislah. Seolah-oleh mereka ni berpakat nak ambil alih dunia – mereka ada dekat serata dunia, silap-silap dekat Malaysia pun ada! Dekat pekan kita pun boleh jadi! ”
“Isk! Takkan sampai macam tu sekali “
“ Nah! Kalau kau tak percaya… ambik ni, baca. Aku jumpa ikut internet jugak… “ Sharip menghulurkan sekeping artikel lagi yang dicetak.
“ Setiap ahli illuminati ni suka gunakan symbol-simbol tertentu yang secara halus menunjukkan mereka ahli pergerakan bawah tanah ni… antaranya symbol tiga segi, biji mata, burung hantu dan macam-macam lagilah…” jelas Sharip
“Eh… macam lambang parti pembangkang dekat Negara kita saja… Umpama parti yang benderanya berlatar warna biru lembut tu? Yang pemimpin dia dituduh meliwat tu? Yang sibuk menjual idea ‘Ketuanan Rakyat’ kepada kita tu… Takkan begitu? “ terang Man Tobek
“Entah-entah dia pun ejen illuminati tak? Sharip kata orang berpengaruh saja menyertai gerakan ni secara halus-halus…“ jelas seorang lagi
“ Eh, aku perasan klinik mata dekat hujung simpang tu ada lambang serupa dengan apa yang artikel internet ni tunjuk… tak silap aku… klinik doktor Ramlee kan? “ Sharip membuka topic baru.
“ Klinik mata Doktor Ramlee… sungguhlah! Ada lambang biji mata… sebiji mata saja, bukan sepasang! Ini menyerupai dajjal! Sah! Illuminati…“
“ Ishk… takkan Haji Ramlee nak join Illuminati kot, dia niat mulia nak tolong orang kita rawat orang-orang sakit “ sanggah Man Tobek.
“ Kita kena curiga jugak Man oi… dulu Jepun masuk Tanah Melayu berniaga barang-barang dengan harga murah, kita anggap dia nak tolong kita… dua tiga tahun lepas tu dia jajah Tanah kita “ tambah Sharip “Hish… aku tak tau macam mana mak cik aku boleh kerja jadi misi dekat sana”. Bermulalah racun yang perlahan-lahan dilepaskan menggunakan kata-kata; diserap pula oleh hati dan minda yang tidak berdosa melalui telinga.
Pulangnya ke kediaman sudah disambut Saadiah yang berwajah manis itu. Doktor Ramlee tidak terlupa juga akan kepulangan anak lelakinya Azam dari pantai timur
“Assalamualaikum ayah…” anak muda itu menerpa dan mencium tangan bapanya.
“ Waalaikumussalam, macam mana sekolah agama disana?”
“ elok saja… tak ada masalah “
“ Bila Azam habis cuti? “
“ Sebentar” Azam bergegas kedalam biliknya dan mengambil sebuah kalender kecil berukuran 5cm x 5cm “ehmm… seminggu lagi ayah”
Tidak seperti kalender lain yang memaparkan foto pemangan panorama di pantai atau bukit bukau dan kawasan tanah tinggi, yang ini lain sedikit. Kalender yang digunakan Azam memaparkan foto yang menunjukkan nama Allah yang terbentuk dari awan di langit atau nama Allah yang terbentuk dari permukaan kulit pokok. Doktor Ramlee mengambil kalender itu dan menelitinya, seolah-olah kagum dengan foto berkenaan.
“ Ayah, Azam ada lagi kalender ni… ambillah dan letaklah di klinik ayah “ jelas Azam.
“ Simpannlah Azam… ayah sudah ada kalender dekat klinik tu “
“ Ini kalender lain ayah… ni ada menunjukkan kekuasaan tuhan terhadapa alam… dalam pelbagai rupa bentuk “ bersungguh-sungguh Azam menerangkannya. Namun Doktor Ramlee cuma tersenyum nipis dan mengajak anak lelakinya duduk sekali di ruang tamu itu.
“ Apa yang ayah nak cakap ni mungkin tidak digemari orang ramai… tapi sebab Azam anak ayah, maka ayah rasa lebih afdhal untuk berkongsi buah fikiran ni “ Doktor Ramlee mengesot kekiri kekanan diatas kerusi sofa untuk mendapatkan kedudukan ideal. Kemudian dia membetulkan cermin mata yang mula mengesot ke hujung batang hidung itu.
“ Mat salleh melihat kekuasaan tuhan dengan cara lain, mereka telah menyaksikan pelakuran dingin, mereka sudah menyaksikan pembelahan nuklear, mereka sudah menyaksikan pembelahan DNA. Mereka melihat kekuasaan Allah mengikut dimensi baru.Ayah hairan kenapa dari mata kita masih melihat gerombolan awan sebagai tanda kekuasaan tuhan… “
“ Ayah jangan cakap begitu! “ tiba-tiba Azam bersuara tinggi. Doktor Ramlee menoleh pada anak lelakinya. Azam terdiam dan tertunduk. Dia tidak tahu apa yang dia telah lakukan; di satu masa terasa dia melakukan perkara betul, di satu sudut hati dia terasa menguris hati bapanya.
Doktor Ramlee mengambil surat khabar dan membacanya “ Kalau Azam berkata kuasa tuhan tidak boleh diukur guna akal fikiran, sudah tentu ayah terdiam dan buat saja apa yang Azam mahukan”. Saadiah datang membawa dua cawan dan minuman teh. Namun Azam sudah beredar masuk ke biliknya. Gedegum! Bunyi hentakan pintu.
“ Kenapa dengan anak kita tu” Tanya Saadiah
“Biarlah dia… anak muda, darah panas” jawab Doktor Ramlee “ Juitanya mana? Anak sulung perempuan kita tu?”
“ Juita cakap nak tidur rumah kawan dia. Saya benarkan saja, katanya esok dia balik “
Sehari Sebelumnya
Sebaik sampai di klinik pada pagi itu, Ramlah ternampak sepucuk surat yang ada diatas lantai. Ada orang telah menyelitnya, mungkin malam semalam. Surat itu ditujukan untuk Doktor Ramlee, maka Ramlah mengambilnya untuk disimpan sebelum Doktor tiba nanti.
Ah, panjang umur doktor, dia tiba dengan kereta Volvo 740GLE nya. Bising bunyi enjin boleh menangkap perhatian sesiapa saja, paten kereta itu pula berkotak seperti kereta kebal zaman perang dunia. Doktor Ramlee ada juga memerhati Volvo terkini yang lebih efisyen pembakarannya dan sporty rekannya seperti model S80 atau V70, tapi dia cuma menyimpan saja niat itu. Sebaliknya Doktor sering berbelanja untuk mencantikkan ruang kliniknya itu agar pesakitnya tenang dan selesa.
“ Doktor, ada surat untuk doktor “ Ramlah terus menyerahkan sampul yang dikutipnya sebaik sahaja Doktor Ramlee masuk ke ruang klinik. Doktor kemudian membawa masuk surat itu ke bilik rawatannya untuk dibaca.
_____________________________________________________________________
Assalamualaikum,
Kepada Doktor Haji Ramlee Mursyid,
Kami dari Angkatan Ummah Prihatin ingin menegur berikutan papan tanda diatas premis Doktor yang teramat menyinggung perasaan dan sensitiviti umat Islam
Lambang sebiji mata yang ditampilkan ini amat menyerupai lambang pergerakan ‘freemason’ dan ‘illuminati’. Sedia maklum, pergerakan ini adalah pergerakan bawah tanah yang menentang Islam dengan matlamat untuk menguasai dunia dari pelbagai cabang/aspek kehidupan.
Diharapkan Doktor juga prihatin dengan perkembangan terkini ini dan wajib membuat perubahan agar tidak dipandang serong atau terpesong dari saranan agama kita.
Wassalam,
Angkatan Ummah Prihatin
______________________________________________________________________
Terbeliak mata Doktor Ramlee membaca surat berkenaan. Sudah berbelas tahun dia membuka klinik dan menggunakan logo yang sama untuk sekian lama, tiba-tiba hari ini ada sebuah angkatan yang konon-kononnya mewakili suara majoriti memberitahu bahawa masyarakat di luar sudah terguris perasaan dengan papan tanda kliniknya. Doktor Ramlee menggeleng kepalanya; tapi seperti biasa, surat itu tidak dibuang dalam tong sampah, tapi dilipat dan diselitkan semula kedalam sampulnya. Disimpan untuk rujukan masa depan.
“ Doktor, pesakit semalam tu macam mana? yang datang sini sampai kawannya kena papah tu? “ kata Ramlah sambil menghulurkan Doktor Ramlee senarai pesakit yang bakal membuat rawatan hari itu.
“ Oh, dia tu guna ubat yang tak betul… maklumlah, sekarang ada banyak ubat di pasaran yang tak ada ujian klinikal”
“ Ubat apa ya doktor? “
“ Adalah ubat tertentu, sayapun tak berani nak ulas panjang-panjang sebab ubat ni bersangkut paut dengan terapi agama, baru-baru ni pelancarannya dekat sini saya hadirkan diri… tak ada silap salahnya kaedah rawatan berunsurkan homeopathy ni, cuma bukan semua orang sesuai dengannya… kadang kala orang yang uruskan rawatan ni tak berpengalaman… ” tambah Doktor Ramlee lagi sambil menyusun kertas dan fail di atas mejanya. Ramlah mengangguk.
“ Teruk ka sakit patient semalam tu? “ Tanya Ramlah lagi
“ Nasib baik datangnya kesini awal… saya suruh dia berhenti gunakan terapi tu, saya rasa tak sesuai untuk dia”
“ Kak Ramlah, ada panggilan untuk doktor… “ kata misi dari bilik sebelah. Doktor Ramlee mendengar dan mengangkat ganggang telefon diatas mejanya itu. Sejurus kemudian, Doktor mengarahkan Ramlah menutup sebentar klinik dan memberitah pesakit yang datang untuk tunggu sebentar, tanpa bercakap lebih lagi Doktor Ramlee berkata “ saya kena panggil pergi pejabat agama “
Man Tobek sekali lagi singgah di warong, setapak demi setapak langkahnya seumpama bernari.
“Hai Encik Man posmen kita senyum sampai telinga hari ni, dah nak kahwin ka?” Tanya tauke warong disitu. Senyum Man Tobek makin galak sampai nampak gigi kapak.
Sudah semestinya dia lebih bersemangat menjalankan tugas kerasa keesokan harinya dia bercuti. Sama juga seperti geng posmen bujang yang lain mereka akan berkumpul dan berbincang kemana mereka mau pergi untuk meraikan cuti mereka. Mungkin di air terjun atau bermain futsal.
“ Eh, kemana kita esok? Makan seafood nak?” Man Tobek mendekati Sharip yang ditemani beberapa geng posmen yang lain.
“ Macam mana? Okey tak?” Tanya Man Tobek lagi, namun bagai tidak mendapat sambutan cadangan, jikalau sambutan dingin tidak mengapa lagi.
“ Kami sibuklah esok” lantas jawab salah seorang posmen itu
“Hai kalau siang aku tahulah korang sibuk tidur, inikan malam… sibuk lagikah? “
Man Tobek hairan. Selalunya rakan-rakannya itu tidak berkelakuan sedemikian.
“ Bodoh! Buat malu saja “ ketika itu Juita sudah berdengkol atas sofa sambil menutup mukanya dengan bantal kecil, dia teresak-esak berteriak. Saadiah pun berada disitu, membelai-belai menenangkan anak perempuannya itu.
“ Mak jangan belai dia lagi… memang nak kena rejam dia ni! Buat malu aku! “ Azam menolak tangan Saadiah dan cuba menampar kakaknya itu. “ Jangan! Kau pukul dia tak selesai satu masalah pun”
“ Tak selesai masalah? Memang tak selesai masalah! Dia ni masalah kita! Mau kena rejam ni! Bagi saya rejam dia mak….! “ Azam menjerit, riuh keadaan dalam rumah itu “Astagfirullah.. kau bercakap pasal kakak kau sendiri! Kau sedarkah kau cakap pasal kakak kau sendiri! “
“ Ini suruhan tuhan! Orang berkhalwat kena rejam sampai mampos! “maka makin galak teriak Juita dibawah bantal kecil yang mengelubungi mukanya.
“ Sudahlah Azam, yang engkau bising-bising buat apa? Nanti jiran dengar… “
“ Mak tarik balik kelisa dia, blackberry dia… bagi rasa susah sikit… ini semua main peranan maksiat “ tambah Azam lagi.
“ Sudah lah tu… kakak kau tu dah jadi macam tu, aku harap kau tegur dia jangan pulak esok-esok kau jadi macam tu… “ Doktor Ramlee bagaikan sebulu dengan Saadiah bahawa tiada banyak yang boleh dilakukan semenjak berita tangkap basah Juita dirujuk ke pejabat agama baru pagi tadi. Masalah sudah terjadi dia tak boleh membuat masalah lagi.
“ Subhanallah! Bapa boleh ambil ringan… ? “
“ Ini bukan ambil ringan. Azam sekarang umur 16, hari-hari bangun tak payah fikir nak suap anak isteri. Hari-hari bergaul dengan kawan-kawan sekolah pondok yang tak bagi masalah, semua sealiran dengan fikiran Azam. Bila Azam dah tua macam ayah baru Azam tahu, bukan senang kita nak berurusan dengan orang. Bukan senang nak pertahankan fahaman kita walaupun fahaman kita tu betul-betul belaka “ kata Doktor Ramlee.
“ Habis tu kenapa ayah hantar Azam ke sekolah pondok sampai pantai timur tu? Bila ayah sendiri tak percaya dengan hukum-hakam dan syarat tuhan!? “
“ Dengar sini Azam… maklum, ayah Doktor mata, tapi bila pesakit datang, ada perempuan… apakah jatuh dosa bila ayah tengok dalam mata pesakit perempuan? Soal dosa pahala adalah ditangan tuhan, tapi ayah memasang niat betul; untuk merawat dengan ikhlas ”
“ Baiklah… “ keluarlah anak lelakinya dari rumah pada petang itu.
“ Abang.. kemana anak kita pergi? “
“ Kalau benar dia mendalami ilmu agama disana, dia tentu tak ikut perasaan amarah dia tu… “
“ Ayah maafkan Juita” tiba-tiba Juita memegang tangan bapanya. “Juita, ayah ingatkan kamu yang akan keluar rumah…rupanya Azam “Doktor Ramlee kemudian beredar ke klinik. Sudah tentu ada ramai yang mahu mendapatkan rawatannya disana.
Hari Kejadian
Pagi itu Saadiah mengejutkan suaminya lebih awal dari biasa. Tatkala kelibat Azam masih tidak kelihatan, namun Juita selamat berada di rumah. Saadiah teramatlah kecewa dan menganggap ni satu kelemahannya dirinya dalam mendidik anak-anak. Doktor Ramlee bangun dan menuju ke bilik bacaan sebelum menunggu masuknya waktu subuh. Mentelaah sebentar dia pada pagi itu. Diluar tingkap kabus masih menyelebungi segenap penjuru alam.
“ Abang tolong ambil cuti hari ni… kita cari Azam “ terang Saadiah yang risau memanjang. Doktor Ramlee masih khusyuk membaca buku. Sebaik selepas subuh. Doktor bersiap siaga awal dengan pakaian untuk ke kliniknya.
“ Abang awal ke klinik ni, Ramlah tahukah abang nak kesana awal?”Tanya Saadiah yang masih diselebungi gundah gulana. Doktor Ramlee tersenyum dan cuma mengangguk kecil
Doktor Haji Ramlee amat akrab dengan DSP Balasubramaniam, polis yang berpangkat tinggi di pekan Doktor berkhidmat. Dalam tidak diketahui Saadiah, Doktor Haji Ramlee ada bertemu DSP untuk bertanyakan pergerakan anaknya. DSP menyuruh Doktor bertenang: “Dia tak pergi jauh… jangan risau, dia masih dalam daerah ni lagi” demikian jawabnya.
Pagi itu, Doktor Ramlee pergi ke klinik begitu awal. Pada kebiasaannya Ramlah yang akan membuka pintu pagar besi klinik itu, kali ini Doktor berseorangan membuka. Dia masuk ke bilik peribadinya dan mula menyelak rekod pesakit. Kemudian beberapa jurnal perubatan yang dicetaknya. Senyap sejuk keadaan dalam keliniknya itu, sepi sepanjang kaunter dan ruang menunggu. Keadaan diluar masih gelap kerana awan mendung meliputi pekan itu pada pagi berkenaan - menandakan hari bakal hujan.
Pam! Bunyi seperti batang mop jatuh kedengaran; Doktor Ramlee menjangka itu adalah Ramlah yang datang untuk memulakan tugas. Namun terdengar bisikan antara dua manusia. Suara garau lelaki. Doktor Ramlee mengesyaki kliniknya sudah diceroboh.
Perlahan lahan Doktor Ramlee memerhati mengikut bukaan pintu yang halus. Tidak, dia tidak dapat mengecam dua penceroboh itu walaupun sahih mereka sedang mengerjakan sesuatu dalam klinik itu. Doktor Ramlee beredar ke pintu hadapan melalui kaunter sebelum telefon bimbit dalam koceknya berbunyi.
Dua penceroboh itu berjaya melarikan diri sejurus mendengar bunyi berkenaan.
Panggilan itu rupanya daripada Ramlah; dia ingin meminta cuti sakit. Ada lori berdekatan klinik Doktor Ramlee yang sedang menurunkan daging ayam mentah lantas Doktor bertanya pada drebarnya ada nampak orang keluar dari premis kliniknya. Kelindan itu nampak kelibat seseorang, berapa orang? Seorang sahaja menurutnya
Hari berkenaan klinik dibuka seperti biasa. Sebelum waktu rehat tengahari datang lagi seorang pesakit yang datang mengigil-gigil, kesakitan pada matanya tidak dapat ditahan lagi. Misi yang menggantikan Ramlah memberikan giliran terdahulu untuk pesakit ini, seperti biasa keadaan di ruang menunggu seperti riuh seketika dengan kehadiran pesakit sebegini.
“ berapa hari sudah puan ada sakit mata ni? “
“ Tiga hari lepas… sejak guna ubat yang baru tu… “
“ Kenapa puan tak terus berhenti semenjak tahu ubat tu buat mata puan lagi sakit “
“ Saya terus pergi pusat rawatan mereka, mereka kata ini side effect biasa “
“ Isk.. puan kena tahu rawatan ni bukan sesuai untuk semua orang…”
“ Saya pun tak tahu… saya nampak kelibat Doktor disana, saya rasakan ubat ni bagus belaka bila Doktor sendiri dipelawa “ terang wanita itu tersenyum sedikit.
“ Beritahu orang-orang lain jangan pakai ubat ni… saya pun hari tu pergi tanpa soal selidik… ubat ni bukan ada ujian klinikal pun, walaupun orang yang menguruskan ubat ni imam dan warak belaka, kalau ada apa-apa yang kena mengena dengan kesihatan kita, jangan kita membuta percaya saja, boleh memudaratkan kita dalam jangka masa tertentu…” sejurus itu tercebik wajah wanita berkenaan. Bagai ada yang tidak betul dalam pernyataan Doktor Haji Ramlee tadi.
Malam berlabuh dan ketika Doktor duduk di bilik bacaan untuk menghilangkan rasa lenguh sehari suntuknya, dia mendapat panggilan dari Ramlah mengabarkan kliniknya terbakar. Kini Klinik Mata Doktor Ramlee sudah marak dijilat api dan angin yang agak kencang pada malam itu tidak sedikitpun membaikkan keadaan. Saadiah terpaku bagai tidak percaya dan Doktor Ramlee berpeluh sakan bahang kebakaran klinik dapat dirasai walaupun dia berada agak jauh dari kawasan kebakaran. Pasukan Bomba sudah lama sampai tapi tak ada apa yang mereka dapat lakukan selain mengelakkan api dari merebak ke premis bersebelahan Klinik Mata Haji Ramlee.
DSP Balasubramaniam berada disitu dan menasihati Doktor membuat laporan rasmi kepada polis. Pagi keesokannya siasatan dimulakan dengan Doktor sendiri disoal siasat;
“ Doktor ada memecat sesiapa baru-baru ini? “
“ Tidak… “
“ Ada orang yang tidak dikenali melawat premis Doktor sebelum ini? “
“ Tidak perasan pula… “
“ Ada Doktor bertengkar dengan sesiapa? “
“ Tidak “
“ Saya dimaklumkan anak doktor Azam melarikan diri dari rumah? “
“ Ya betul… “
“ Ada orang menghantar surat kepada Doktor yang berbunyi luar biasa? “
“ Ada… tapi saya simpan dalam klinik. Sudah tentu dah terbakar sekali… “
“ Doktor boleh ceritakan isi surat itu? “
“ Mereka anggap saya selaku doktor mata… dengan papan tanda tu mempunyai lambang mata, mereka beranggapan saya ahli immuminati, sejenis pergerakan bawah tanah… “
“ Apakah Doktor seorang ahli pergerakan ini?”
Petang itu sesudai selesai soal siasat, doktor memasuki bilik bacaan. Dia duduk dengan wajah sugul dan berfikir dengan dalam. Dia mencapai pada satu sudut meja dimana banyak kepingan surat diletakkan. Dicari sampul kuning. Dibuka dan diteliti kandungannya. Setelah itu dia menurunkan tandatangan pada beberapa kertas berkenaan. Surat itu difaks kepada satu nombor di Singapura.
“ Kita mulakan hidup baru disana… tak ada apa-apa disini… sudah busuk nama kita disini “ bermula dari situ Doktor Haji Ramlee hilang begitu sahaja. Man Tobek melihat rumah banglo itu usang dimamah semak dan belukar dan Ramlah tua dimamah usia. Saadiah terus bergelumbang dengan risau kerana Azam tidak menunjukkan dirinya lagi. Buah mulut orang di pekan itu bising seketika menmanggil Doktor itu sebagai ‘Haji Illuminati’ dan pemergiannya ke Singapura mengukuhkan hujah bahawa ejen itu pulang ke ‘markasnya’. DSP Balasubramaniam menutup kertas siasatan dan mengelaskan kes kebakaran klinik itu sebagai khianat.
0 comments:
Post a Comment