Haji Illuminati (bahagian 1)

Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya


Malam itu angin bertiup kencang sekali, menderu menyusur pokok-pokok dilaman itu membuatkan masing-masing bergoyang bagai ada nyawa disebalik ranting dan dedaunan. Entah kenapa Doktor Haji Ramlee masih mentelaah di bilik bacaan yang sarat dengan buku. Cahaya lemah hanya ditumpukan pada meja dan Haji duduk melekung badan hingga cermin mata hendak luruh dari batang hidung. Saadiah masuk menghukurkan secawan kopi keras berserta dua keping biskut crabtree and evelyn


Doktor Haji Ramlee menoleh pada bininya; satu-satu bininya sejak 30 tahun dulu. “Kan saya dah cakap, beli biskut murah-murah cukuplah… I allergic dengan biskut mak datin ni”


Saadiah lantas tersenyum dan bertanya Doktor mengapa dia tidak masuk tidur. Saadiah rasa tidak lengkap lenanya tanpa lakinya bersebelahan melilit tangan dikeliling tubuh; kalau tidakpun berdengkur disebelahnya. Sesungguhnya, dengkuran suaminya itu menandakan semuanya selamat belaka. Tak beberapa jam lagi lakinya hendak membuka pintu klinik di pekan dan ramai pesakit yang hendak dirawat, dalam keadaan badan yang tidak cukup rehat itu, Saadiah gusar lakinya khilaf atau lalai menbuat rawatan. Maklumlah dunia kedoktoran ni penuh dengan pancaroba; dimana ada silap sedikit, saman boleh datang melayang depan pintu. Silap hari bulan boleh papa.


“ I tak pernah buat silap” jelas Doktor Haji Ramlee. Jari jemarinya bertembung untuk menolak sisa-sisa debu biskut evelyn and crabtree itu. “Sayatak pernah buat silap, sebab tu saya berkahwin dengan awak, Saya tak pernah buat silap” Doktor memandang Saadiah walaupun cermin itu tertumpu pada perut buku. Saadiah kemudian keluar dari bilik bacaan meninggalkan lakinya seorang.


Tak beberapa minit kemudian, Saadiah muncul kembali ke bilik bacaan tadi. Kali ini Doktor Haji Ramlee menoleh dan melihat wajah bininya yang benar-benar terkejut. Saadiah menghulurkan telefon bimbit kepada Doktor; ada panggilan dari Ramlah. Doktor meletakkan cermin matanya pada meja berkenaan dan mula bercakap.


“ Ya rabbi, Klinik kita kena bakar! “



5 Hari Sebelum itu…


Man Tobek amat malu untuk menghulurkan surat pada Doktor Ramlee. Dia amat segan berbaur takut; seolah dia telah melakukan perkara buruk dengan keluarga Doktor Ramlee, namun, tugasnya selaku posmen harus dilaksanakan dan kawasan itu yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Pejabat Pos Besar. Tidak ada apa-apa yang mampu diubah.


Saadiah yang datang keluar mengambil surat itu, orang tua itu tidak pernah hilang keanggunannya, walaupun usia mendadak meningkat. Man Tobek tertunduk-tunduk memberi salam pada Saadiah dan bergegas mengeluarkan surat dari bagasi khas.


“ Man, marilah masuk. Ni ada teh dengan biskut “


“ tak apalah makcik, saya ada tugas ni. Surat-surat ni nak kena hantar secepat mungkin, nanti bising pulak orang tak dapat surat depa”


“ooo… okaylah macam tu, atau nak mak cik bungkuskan biskut; kalau dah penat nanti boleh jamah sikit”


“Eh, tak payah susah-susah mak cik, saya mana boleh makan bila bertugas… bos marah”


Pon! Pon! Terkinjat Man Tobek sebaik bunyi hon kedengaran. Sebuah Kelisa kuning berjalur hitam sedang menunggu untuk memasuki kediaman Doktor Ramlee. Lantas Man Tober bergegas dari laluan itu dan meminta diri dari Saadiah.


Saadiah pula menggeleng-geleng kepala melihat perwatakan anak daranya, Juita. Kalau iyapun mau masuk kereta, perlahan-lahanlah mengambil simpang. Juita memang memandu macam palesit mengambil simpang seolah bagai nak rak dunia yang dihuni dia sorang. Kemudian hon itu dibunyikan seolah Man Tobek itu pekak badak. Saadiah hampa dengan anak daranya itu, namun tidak ditengking kerana itu bukan caranya. Cuma dilihat dari ekor mata Juita keluar kereta dan lantas masuk rumah tatkala gedegum! Bunyi pintu bilik.


Man Tobek meneruskan perjalanan. Dia menoleh melihat rumah Doktor Haji Ramlee yang besar agam itu. Tak lama dahulu masa awal-awal dia menjadi posmen, rumah itu asalnya kecil dengan anggaran dua atau tiga bilik. Kini rumah itu mempunyai bumbung beranak pinak, ada yang kecil dan ada yang besar. Tingkap rumah Doktor Haji Ramlee asalnya halus belaka, kini sudah dihiasi tingkap serba moden dari lantai ke siling. Alhamdullilah, inilah rezeki orang baik-baik. Allah s.w.t memelihara harta orang baik-baik ini bahkan menyuburkannya.


Man Tobek teramatlah terhutang budi dengan Doktor Ramlee yang merawat bapanya yang pernah sakit mata suatu ketika dahulu. Masih jelas dalam memori bahawa bapanya mengadu sakit mata dan bergegas Man Tobek menemani bapanya ke pekan untuk mencari doktor mata. Ketika itu pekan sekecil demikian tidak berharapan memiliki doktor pakar, bahkan doktor biasa-biasa yang merawat batuk, deman dan selsema pun payah hendak dicari.


Ketika itulah mereka terserempak dengan klinik mata Ramlee ( ketika itu masih belum Haji lagi ) Oh, lega, mustajabnya ilmu Doktor Ramlee sakit mata bapa Man Tobek beransur pulih. Yurannya memang mahal, tatkala bapanya mengerti itu adalah rawatan pakar yang sukar untuk diperoleh ketika itu. Bapa Man Tobek secara diam-diam bertemu dengan Doktor Ramlee dan menerangkan keadaan keewangan yang agak sempit bagi dirinya. Doktor Ramlee seorang yang memahami; dia membenarkan saja bayaran itu ditunda dan dibayar ansur-ansur mengikut kemampuan.


Bapa Man Tobek berdolak dalih kalau ditanya apakah sudah dilangsaikan bayaran rawatan dan ubatan itu, namun, bapanya sering berkata sudah beres kesemua bayaran khidmat Doktor Ramlee. Namun Man Tobek tahu ayahnya berkata begitu kerana untuk menenangkan dirinya. Kerap kali kelihatan bapanya keluar rumah tatkala pagi menjelma untuk ke pekan. Sudah tidak lain lagi untuk melangsaikan tunggakan kos rawatan.


Man Tobek pernah bertanya kepada bapanya berapa kos bersih merawat sakit matanya itu. Bapanya enggan memberitahu jumlahnya tapi berkata”lebih murah jika hendak dibandingkan dengan mahalnya ni’mat penglihatan yang pulih… kalau ayah buta sudah tentu apa satu kerja nak buat susah “


Tidak sampai setahun lepas itu bapa Man Tobek arwah. Malam tahlil itu Doktor Ramlee yang sungguh sugul bersemuka dengannya. Beliau menghalakan segala hutang bapanya yang Man Tobek sendiri tidak tahu berapa banyak. “ Hidup kita ini susah sama susah, senang sama senang” itulah kali terakhir perbualannya dengan Doktor Ramlee yang ketika itupun bukan senang sangat. Bersongkok lusuh dan pergi balik kerjapun naik teksi kerana kereta tersadai di bengkel tanpa wang hendak membaikinya.


Man Tobek terus berjalan di lorong itu dan menghantar surat-surat kedalam peti yang sepatutnya. Lorong itulah membuatkan dirinya terasa sedih sama sekali. Lima kali seminggu dia berasa sedih.



4 Hari Sebelum itu…


Sibuk semalam membuatkan Doktor Ramlee hampir terlupa untuk membuka surat surat yang dikirimkan kepadanya semalam. Setiap sampul dibuka dengan cermat dan Doktor Ramlee secara sistematiknya akan menyimpan segala surat ini agar mudah untuk dirujuk nanti. Bil-bil dan pamphlet promosi diletakkan tepi. Surat dari pesakit diletakkan di satu penjuru dan ah! Ada satu surat bersampul tebal. Dari Singapura.


______________________________________________________________________

Dr.Ramlee Mursyid


Letter of Offer


This letter is to inform you regarding our offer for the position of Head of Ophthalmologist department at Singapore General Hospital. Being the amongst the best modern medical facility in the world, we seek to give quality medication through gaining skilled, prolific, experienced and charismatic doctors from all over the world. We found that you would suitably fit this persona and open heartedly wants you become as part of our breakthrough medication team.


Included with this letter is the breakdown of pay of 96,000USD per annum, proposed starter allowances, proposed special allowances, proposed housing schemes, education opportunity for children prospectus and a lists of expatriates privileges that may aid your decision in carefully considering offer.


Respectfully, we required you to respond to this offer in the next five (5) days from today.


Thank You,


Singapore General Hospital – For Humanity and Harmony

______________________________________________________________________


Ah. Banyak benar surat yang menawarkan Doktor Ramlee jawatan pakar di luar negara, namun, bukanlah Doktor Ramlee tidak berminat, tapi umurnya yang sudah meningkat tua seringkali difikirkan bahawa dia tidak mahu pening-pening lagi dengan tanggungjawab yang lebih besar, berat dan serius magnitudnya.


Lagipun Juita sudah jadi anak gadis dan tidak lama lagi dia bakal berkahwin, biarlah dia berkahwin disini, di tanah tumpah darahnya. Maka diabaikan saja surat itu. Dilipat dan diselit semula kedalam sampul dan diletakkan atas satu penjuru meja.


Doktor Haji Ramlee mengosok-gosok songkoknya agar luruh segala debu dan bergegas keluar dari rumah untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau berdekatan. Kemudian kembali ke rutin seperti biasa, klinik matanya harus dibuka untuk menerima pesakit.



3 Hari Sebelum itu…


Doktor Ramlee gembira berada di pekan kecil itu walaupun kepakarannya diperlukan di bandar-bandar besar yang bertaraf dunia. Singapore. San Francisco. Seoul. Wah! Dunia kini bagaikan makin kecil dan orang lebih mengenali bandar berbanding negara.


Namun sakit orang di bandar—bandar besar ini bukanlah datang secara spontan, bahkan sakit itu bagai dipinta. Itu salah satu faktor mengapa dia enggan ke bandar-bandar ini, penduduknya bagai mengambil enteng aspek penjagaan kesihatan kerana dalam sedar; kemudahan yang konon-kononnya ‘terbaik di dunia’ ada disekeliling mereka. Iyalah, state of the art


“ Doktor, saya berasa berbangga kalau doktor boleh lancarkan rawatan mata kami yang berunsurkan agama” kata seorang berkupiah putih bersih berjumpa dengan Doktor Ramlee di kliniknya. Tatkala pada hari itu pula tidak ramai pesakit, maka Doktor Ramlee membenarkan hamba Allah itu menemuinya dengan khabar penting.


“ Saya tahu doktor alim-alim orangnya dan inilah peluang doktor untuk memberikan keyakinan pada orang ramai tentang berkesannya produk berteraskan agama ini, agama kita jua” tambah lelaki itu lagi, berpakaian kemas dengan sejemput janggut. Pertuturannya lemah lembut dan air mukanya bersih.


“ Alangkah Doktor tahu bahawa Cina dan India juga kerap ke klinik doktor mata ini… itu bermaksud mereka yakin akan kewibawaan doktor. Bayangkanlah bila doktor endorse ubat mata bercirikan agama, tentu Cina dan India ini lebih berkeyakinan untuk guna produk agama kita ni… dan berkemungkinan, terbuka hati mereka pada agama kita yang lurus ini “ tambah lelaki itu petah berbicara.


“ Boleh saya simpan satu sampel ubat ni?” Tanya Doktor Ramlee


“Silakan…”


“Terima kasih”


“ Assalamualaikum “


“Waalaikumussalam “ maka beredarlah lelaki sopan santun itu dari klinik Doktor Ramlee. Dia mengambil dan meneliti kotak itu, dibaca arahan lima enam kali namun timbul ingin tahu Doktor Ramlee bagaimana ubat berasaskan agama itu digunakan; tak mengapalah. Dia memberi kata dua untuk menghadiri upacara pelancaran produk pada lewat petang itu.


Man Tobek sekali lagi hadir untuk menyerahkan surat ke rumah Doktor Haji Ramlee. Seperti biasa tidak pernah putus-putus surat datang ke rumah Doktor, dari segala pelusuk dunia dan serata negeri. Saadiah yang seringkali tidak bercermin mata ketika keluar mengambil surat akan menyuruh Man Tobek membaca alamat asal surat berkenaan. Saadiah cuma ingin mengetahui mana diantara surat itu dituju kepadanya.


“ Untuk Doktor Ramlee, dari Toronto, Canada “ dihulurkan kepada Saadiah yang kemudian mengejit mata, kecil besar kecil besar mengenalpasti surat berkenaan


“ Inipun untuk Doktor Ramlee, dari Kuala Ketil “ perlahan dihulurkan kepada Saadiah yang melakukan pengecaman terhadap surat itu, dirapat dan dijauhkan dari biji matanya itu.


“ Satu lagi untuk Doktor Ramlee… dari Christchurch, New Zealand “ demikianlah karenah Saadiah. Bukan dia tidak boleh masuk rumah untuk mengambil cermin mata. Saja Man Tobek dijadikan teman berbual walaupun dia dalam waktu tugas.


“ Mak Cik dapat surat semalam, ada tawaran untuk Doktor Ramlee, dari Singapore General Hospital… Man rasa okey tak kalau Doktor pergi bertugas di sana? “ Tanya Saadiah kepada posmen pertengahan 30-an itu.


“ Isyk… sayapun tak pernah pergi sana “ terang Man Tobek, dalam hati dia benar-benar berberat hati kalau Doktor pergi berkhidmat di luar negeri. Ramai orang kampong yang miskin dan tak mampu menikmati rawatan pakar. Doktor Ramlee adalah harapan mereka sepertijua harapan untuk dirinya dalam merawat sakit mata bapanya. “ Besar jasa Doktor untuk orang dekat sini… “


“ Tapi mak cik rasakan Singapore taklah jauh tara mana pun… naik kapal terbang sejam, sampailah sini “ balas Saadiah “ dulu-dulu, memanglah dapat tawaran ke London, ke Korea dan negara-negara Arab. Semua tempat tu jauh-jauh belaka… tapi Singapore ni rasa macam dekat dengan kampong halaman… “


“ Isyk…. Doktor buat kenduri atau baca doa selamat, macam mana saya nak datang… lagipun rumah mak cik Saadiah sekarang ni cantik belaka, luas dan lawa. Dekat Singapore tu belum tentu mak cik dapat duduk rumah atas tanah “


“ ha’a juga” mak cik Saadiah mengiyakan.


Datanglah Juita, gadis remaja itu mengambil sampul surat untuk dibawa masuk. Tatkala dia terdengar perbualan antara ibunya dan posmen makan gaji itu


“ Sekarang zaman moden… rumah tak payah buat atas tanah pun tak apa…” terkelu lidah Man Tobek. Apatah lagi Saadiah.


“ Zaman sekarang, suami boleh jadi dari keturunan Mat Salleh ; isteri boleh jadi asal Afrika, tapi anak lahir di Jepun… dunia sekarang makin kecil, orang yang sentiasa bergerak nilah yang maju “ tambah Juita sambil mengipas-gipas helaian sampul sura itu kearah mukanya. Juita mengatur hidupnya supaya boleh dijadikan omongan orang. Juita membayangkan dirinya bertemu jejaka Australia dan bermastautin di Korea kemudian melahirkan anak pertama di Belanda sebelum ke London untuk melahirkan anak kedua. Tanah Malaysia ni boleh dilupuskan dalam fikiran tatkala era moden ini Juita berpegang teguh kepada identiti global citizen. Saadiah tahu anak gadisnya itu terlebih mengada-gada, hujahnya kunun-kunun individu yang bermastautin di luar negeri lebih exposed and maju fikirannya berbanding individu yang tidak berbuat demikian. Saadiah tidak berpendapat omongan anak daranya sebagai cita-cita, tapi mengada-gada.


“ Mak pujuklah ayah… kita pindah Singapore, mana-mana saja diluar Negara ni ….. tapi arab tak maulah, panas…. Tapi Dubai takper… acceptable lagi“ bukannya Saadiah tidak tahu fiil anaknya itu; kepingin ingin duduk di negara mat salleh agar dia boleh mengkhabarkan pada orang dengan hidung terpacak tinggi “I stayed in x for x years “. Juita kini bermanja dengan ibunya.


“ Emm… mak cik saya beredar dululah… “ Man Tobek meminta diri dulu menyedari dia tidak berhak menyelit dalam saat-saat akrab keluarga Doktor Ramlee.


“ Eh! Tunggulah dulu, ni mak cik ada teh sikit, silalah minum dulu “ pelawa Saadiah, namun Man Tobek membalas dengan senyuman sambil menunjukkan sampul-sampul surat yang menunggu untuk disumbat dalam peti yang dialamatkan.



2 Hari Sebelum itu…


Ramlah, misi yang bertugas menjaga kaunter depan klinik mata Doktor Ramlee diarahkan untuk menutup kaunter selepas pukul 11pagi. Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan boleh datang semula pada pukul 3 petang. Ini kerana Doktor Ramlee ingin pulang ke rumah dan menyambut kepulangan anak lelakinya, Azam.


Sudah enam bulan Azam tidak pulang ke tanah air ekoran pengajian agamanya di pantai timur tanah air. Adalah dua tiga pesakit pada hari itu yang datang tapi tidak diberikan angka giliran. Ramlah menerangkan keadaan sebenar dan mereka tidak sedikit pun menunjukkan rasa marah hatta mengetahui mengapa Doktor tidak boleh berada dalam jangka waktu itu. Doktor Ramlee membenarkan mereka duduk di ruang menunggu itu hingga memandangkan ada yang diantara mereka datang dari ceruk kampong yang jauh untuk mendapatkan rawatan.


Sebaik Doktor Ramlee ingin keluar dari ruang pejabat, ruang menunggu tiba –tiba riuh dengan pekikan.


“Ya Allah! Doktor! Apa dah jadi ni! “ kelibat seorang jejaka memapah seseorang dengan tergesa-gesa. Dibaringkan pesakit itu atas kerusi ruang menunggu. Doktor menghampirinya. Wajah pesakitnya dilihat menutup kejap matanya sambil meraung-raung. Doktor Ramlee perlahan-lahan membuka kelopak mata pesakit itu yang enggan berbuat demikian.


“Astagfirullah!” Ramlah yang berada disitu terkejut. Samalah jua dengan pesakit lain yang turut menunggu, mereka jua terkejut. Yang berdiri melangkah setapak dua ke belakang, yang memerhati menoleh ke belakang. Doktor Ramlee juga turut beristigfar.


“Tolong saya usung dia masuk bilik rawatan! “ Doktor Ramlee mengarahkan jejaka tadi dan sesiapa yang mampu untuk mengusung pesakit berkenaan.

0 comments: