Diaspora
Belum masuk subuh lagi, Huzaimir ari posisi maut yang mampu melayarkan fikiran itu ke alam tidur, namun dia sering jua menemui kegagalan untuk terlelap. Maka diperiksa skrin telefon kut kut Illi ada melayarkan SMS, namun hambar, harapan Huzaimir terkulai apabila tiada mesej diterima. Tak mengapa, Illi mengambil serius tentang hari pertama tahun terakhir persekolahannya. Azan subuh masih belum kedengaran, bahkan, alunan mengaji yang sering dimainkan melalui sistem PA surau belum dimainkan. Malam itu malam yang memeritkan bagi Huzaimir.
“ You pilih tempat duduk dalam kelas, pilih yang paling depan tau… berkat ilmu” pesan Huzaimir kepada Illi yang membetulkan tudung baju kurungnya. “I nak duduk sebelah you boleh?” Huzaimir tersenyum. Berat hati Illi hendak meninggalkan Beberapa kaki dari situ, pengawas di pintu pagar sekolah sudah memerhati jam di pergelangan tangan mejeling pada Illi yang masih dalam kabin motokar. Apabila Huzaimir melontar satu renungan, barulah pengawas lelaki itu tersipu malu lantas menyusun langkah sepanjang sempadan kompaun sekolah. Meronda seolah seorang tentera menjaga sempadan.
“ I bawa handphone, bila lunch nanti I SMS you” kata Illi menggalas beg, membuka pintu motokar. “I rasa 15minit lagi, I dah rindu dekat you” kata itu membuat air muka Illi menjadi merah padam. Illi sempat menoleh dan menutup pintu motokar dan melambai-lambai. Kemudian Illi lenyap dalam keramaian pelajar yang bergegas untuk beratur sejurus mendengar loceng berbunyi. Pengawas tadi beredar dari pintu pagar sekolah. Huzaimir tersenyum.
Di sekolah, gosip liar melata bawaan mulut orang yang Illi berkapel dengan orang lebih tua dari umurnya. Ada satu stigma yang berlegar dalam sesetengah fikiran orang bahawa pelajar sekolah menengah kalau berkapel dengan orang yang lebih tua terutamanya yang sudah tidak bersekolah, maka mereka itu mestinya bebas. Bebas Liar atau bebas bertanggungjawab itu terpulang kepada pendapat individu. Illi tidak mengambil tahu tentang gossip berkenaan, tapi ada juga yang datang menhinggap di telinganya “ Apa Huzaimir itu taste Illi… ? “
Loceng berbunyi tanda waktu pulang. Illi membawa seorang rakannya Humaidah. Rumah mereka tidak jauh mana pun, maka Huzaimir dengan sukarela menghantar balik kedua-dua rakan karib itu. Humaida bukan seorang kaki repot, tapi selaku kawan Illi selama bertahun-tahun dia sangat mengenali Illi. Dari pengamatannya Huzaimir amat secocok dengan kawannya. Bagi Humaida, Huzaimir tiada cacat celanya. Walaupun kulit Huzaimir sedikit gelap, tapi Huzaimir seorang lelaki yang memahami. Pendek kata, Humaida ini pro-Huzaimir. Maka Humaida melepaskan segalanya segala percakapan di belakang tabir itu: “bukan semua orang suka you”
“ Ramai orang jealous kitaorang berkapel?” Tanya Illi yang duduk di kerusi penumpang sebelah Huzaimir. “Tak, ramai yang tak suka you berkapel dengan Huzaimir” Huzaimir yang berkaca mata gelap cuma tersenyum nipis. Illi kelihatan sedikit cemas. Illi menganggap mesti ada sebab-sebabnya hingga dibenci. Dia tidak mampu melihat perbuatannya menjadi mangsa benci. Bagi Huzaimir, dia sudah muak mendengarnya kerana dia tahu betapa banyak baik yang dibuat, mesti ada saja orang benci. “ Dia cakap you takda taste”
Huzaimir tersengih lagi sambil mengengam erat stereng ketika mengambil selekoh. Dia berfikir apalah taste budak-budak sekolah? Taste itu subjektif. Kalau tidak sudah tentu perempuan berbadan gempal berlambak mendara sampai ke kubur. Taste itu tidak tetap. Kalau tidak sudah tentu semua lelaki akan berambut pacak atau berambut serabut seperti kepala mop supaya perempuan menyukai mereka. Siapa yang menetapkan taste? Apakah ada badan berkanun yang menetapkan taste? “ I kesian dengan you Illi, I tak faham kenapa semua orang naik meluat tengok you dengan Huzaimir” jelas Humaida mencebik.
“ Ramai kata you patut kapel dengan Nawel” tersentak Huzaimir. Nawel?
Malam itu Huzaimir bersama rakan-rakannya bermain futsal. Mereka bermain disebuah lapangan futsal milik kenalan Huzaimir sendiri. Jangan ingat kalau bermain di lapangan kenalan, yuran sewa lapangan murah; seringgit diskaun pun tak dapat. Sebab itulah Nazlisham jarang berada disitu kerana takut dikerumun budak-budak disana yang meminta diskaun (ada yang selamber minta percuma terus) tatkala membuat Nazlisham terasa serba salah. Maka, Nazlisham siap-siap cabut merayau-rayau di kotaraya mencari kenalan baru untuk bisnesnya.
Huzaimir kagum dengan Nazlisyam, bisnesnya bukan sahaja menjalankan operasi lapangan futsal (yang sebenarnya bisnes kecilnya, kata mat salleh side income), dia turut menjalankan pernigaan lain yang lebih besar dan lebih utama. Nazlisyam diantara rakannya lebih dikenali sebagai Nazli Ferrari, dalam umur 25 dia sudah memiliki Ferrari, kereta yang mengaum seperti dentuman guruh itu menjadi kegilaan setiap lelaki di lapangan futsal itu. Bagi Huzaimir, Satria yang dekat sedekad itu sudah memadai untuk urusan hariannya.
“ Nazli nak dapat Datuk kau tahu tak?” demikian kata Jalal. “Datuk dari negeri Gading Gadja” teriak Jalal mencerita pada pemain yang sibuk duduk di sepanjang bench. Mereka bertungkus mengikat tali kasut mengetatkan, adanya baru hendak menyarung kasut, ada yang mengambil semangat menghisap hembus rokok dan ada yang mengambil dua tiga teguk air dari botol sebelum masuk ke gelanggang. “Aku respeklah mamat tu” tambah Jalal.
Huzaimir antara yang duduk di bench itu tersenyum. “Kenapa la kau tersenyum?” Tanya Suresh. Huzaimir menoleh kepada Suresh dan berkata “You ada dengar apa Jalal kata?”. Suresh mengangguk. Lalu Huzaimir menyambung: “banyak best kan jadi itu Nazlisyam, kedekut tapi ada juga orang puji sama dia, sekarang negeri Gading Gadja mau bagi dia Dato’ ” rezeki orang siapa tahu” balas Suresh.
Selesai bermain futsal, dalam keadaan termengah-mengah dan basah lencun segerombolan rakan-rakan duduk di bench. Duduk untuk meredakan letih. Jalal tidak habis bercerita lagi “Aku dengar Nazli nak bawak masuk Audi SUV. Enjin V8. Aku serius respek mamat tu”” hari tu aku masuk tengok wardrobe Nazli, paling koman pun baju tidur dia Tobshop”, Huzaimir dapat menghidu kekaguman Jalal terhadap sudah ke tahap membabi buta. Cukup cukuplah, Huzaimir sendiri kagum juga dengan Nazli Ferrari, tapi tak usahlah menjunjung dia hingga lupa dunia. “Tapi yang aku paling respek sekali Nazli boleh dapat Datuk “
“ Datuk negeri Gading Gadja mana boleh pakai” Huzaimir menyampuk “Kenapa pula tak boleh pakai?” jawab Jalal. Huzaimir ada hujahnya, hujahnya panjang lebar hingga boleh membuat semua kawan-kawan disitu bagai terpaku di bench namun dia diam tidak menjawab . Dia cuma tersengih melihat karenah Jalal yang umpama dipanah petir akan kejayaan taukeh lapangan futsal mendapat gelaran-gelaran yang bunyinya seperti mahsyur. “Asalkan Datuk okeylah.. orang respek…temasya mana pun orang jemput “ kata Jalal sambil melambung-lambung kunci keretanya. Kemudian dia melambai tangannya tinggi hingga menampakkan ketiak. Lambaian itu ditujukan kepada Nawel, adik kepada Nazli Ferrari. Lantas Jalal bergegas ke Nawel seperti seorang penyewa menyambut tuan tanah. Mesra dan tersenyum lebar, mulut manis menggula.
Dari lapangan futsal, Huzaimir, Suresh dan beberapa rakan yang lain singgah di sebuah gerai untuk minum ringan. Seolah tidak luput dalam fikiran mereka, ada yang membuka semula topik mengapa Dato’ yang bakal dikurniakan pada Nazli Ferrari tidak laku. Huzaimir tersenyum, namun dia tidak ada niat untuk berahsia “ Disitu orang bayar untuk dapat Dato’ , yang tak berjasa pada negeri pun boleh beli gelaran tu” tambahnya “ tapi aku rasa Nazli takkan buat macam tu kot. Aku pun respect dengan semangat berniaga Nazli Ferrari” terang Huzaimi. Semua yang memasang telinga disitu mengenal Nazli dan lambat laun ini akan sampai ke telinga Nazli sendiri.
Huzaimir tidak risau sangat, dia tahu Nazli adalah seorang yang highly-educated dan sudah tahu bahawa negeri yang mengurniakannya Datuk itu digembar gemburkan menjual gelaran dengan satu harga. Nazli tidak menolak gelaran dari negeri Gading Gadja itu untuk menjaga contact perniagaannya disana. Malah, dalam ramai-ramai termengah main futsal tadi, Huzaimir yang paling lama mengenali Nazli.
Kasar sungguh tuduhan Huzaimir itu. Namun, mereka pun orang muda yang tidak hairan dengan gelaran Datuk yang bakal dikurniakan pada Nazli Ferrari. Golongan muda masakini sudah muak dengan datuk yang bercambah-cambah merata negeri, baik negeri Gading Gadja mahupun negeri lain. Mungkin Jalal seorang yang terkinja akan ke’sakti’an gelaran Datuk kepada seorang 25tahun. Itu bukan Jalal sendiri dapat Datuk. Jalal ni pun satu, bercakap tentang keistimewaan orang lain, dirinya entah kemana.
“ Minta maaf kawan-kawan, saya kena beredar dulu…” jelas Huzaimir. Lantas yang lain mula mengejek Huzaimir atas ‘disiplin’ ketat yang dikenakan pada dirinya semenjak berkapel. Ya, memang esok pagi dia mempunyai temu janji yang penting; bersarapan dengan Illi.
“ Good morning “ kata Illi menyambut Huzaimir dari pintu rumah “Assalamualaikum-lah “ sinis Huzaimir memberi salam, namun dijawab baik oleh Illi “ Waalaikumussalam “, semua ahli keluarga Illi ada ketika itu dan mereka menjemput Huzaimir terus ke meja makan. Kata mereka, makanan sudah dijamu.
Sebaik selesai bersarapan, Huzaimir menoleh sepintas untuk melihat Illi, al-maklum dalam keadaan mata keluarga memerhati, Huxaimir tidak mampu merenung Illi secara terang terangan. “ Huzaimir, bila semester di universiti tu mula balik? “ Tanya ibu Illi sambil mencedok sesedu sambal ikan bilis kedalam pinggan teruna itu. “Minggu depan auntie “ balasnya “Oh, lambat lagi…”
Bapa Illi baru selesai bersarapan di meja yang sama, menyapu mulutnya dengan tisu sebelum berkata: “Kalau Huzaimir tak keberatan, boleh tak jadi tutor pada anak uncle ni” tersenyum bapa Illi sambil mengusap misai kalau-kalau ada butir nasi lemak tersangkut. “Err…” Huzaimir menoleh ke Illi dan menoleh pula pada wajah ibu Illi, dia sedai maklum tahun ini Illi akan menduduki SPM. “ Err… ya…boleh “
“ Semalam I jumpa Nawel… kekasih ideal you” sinis Huzaimir berkata merujuk kepada aktiviti futsal semalam, terhenti langkah Illi yang mahu duduk manja bersebelahan tutor yang ditauliah ayahnya sebentar tadi “Tsk… you ni kenapa cakap macam tu?” Illi mengambil dan memeluk sebiji bantal montel diatas sofa “ Yelah… kan dia diura-urakan sebagai pinang dibelah dua untuk you, secocok, sebulu, sebanta….” “Eii… I gelilah dengan budak tu…” lantas Illi menghempas bantal yang dipeluk tadi kepada muka Huzaimir, ketawa berdekah-dekah dia “Abang dia ada Ferrari wooo….” “So?” Illi menempelak “ Laju tu…” “takde maknanya…” kata Illi dengan gaya meluat sambil mengikat rambutnya yang terurai hasil hempasan bantal yang agak ganas tadi.
“ Humaida macam mana? Dia hendak pada Nawel? “ Huzaimir mengubah subjek “ Entahlah, I tak tahu pasal Humaida, semenjak dua mendak ni dia dah macam distance diri dia dengan I “ “Alahai, kenapa pulaknya?” “I rasa lah kan…” Illi mula berbicara dengan serius, dia merenung mata Huzaimir membuatkan dia menundukkan kepala mendekali Illi “I rasa macam semua orang pun macam tu… semua macam nak elak I “ “eh, takkan macam tu, dah bertahun you berkawan kenapa tahun ni ada yang ubah hati? “ Huzaimir menduga.
“ Aku bukan apa… aku bukan loyar buruk selepas bertahun berkawan dengan Illi, lepas tu nak tinggal dia” terang Adilla “tapi aku rasa dia tak sesuai dengan Huzaimir tu “ selamber anak dara itu memaksa falsafahnya terhadap rakan-rakan yang berkumpul disitu. “Aku rasa macam ada tanggungjawab…opsss… bukan tanggungjawab, tapi urgency untuk diri aku ni memisahkan Illi dengan balak tua dia tu “ yang lain disitu mengangguk. Humaida turut berada disitu, dia mengerti rata-rata kawan Illi meluat dengan Huzaimir yang dipanggil ‘balak tua’
Pelbagai alasan mereka bercerita disitu kenapa mereka meluat dengan Huzaimir. Ada mengatakan Huzaimir itu tua, Huzaimir itu kedekut tahi hidung masin, Huzaimir itu control freak. Namun sejak akhir-akhir in mereka cuba tone down kerana aura negatif yang melampau-lampau mengutuk Huzaimir sedangkan Illi makin sayang dengannya. Jadi, mereka mengubah strategi dengan menggula-gula memberi gambaran Illi itu secocok, sehati, sejiwa bersama Nawel.
“Eh! Apa yang kau temenung ni Humaida? Kau setuju tak dengan aku?” “Setuju apa?” “Illi lebih bahagia dengan Nawel?” Masyallah, macam Tuhan pula Adilla pada petang itu mengatur hak siapa kebahagiaan tu. “Humaida, kau pun kena bagitahu Illi yang dia punyai pilihan yang lebih baik… kita ni kawan-kawan teramatlah concern…” terang Adilla perlahan-lahan menepuk bahu Humeida.
“ Aku dengar, bukan main kerek kau tegur abang aku… Aku tak suka cara kau ‘cakap belakang’ dengan abang aku” Nawel datang menerjah sedang jantung Huzaimir masih kencang berdengup sejurus keluar dari lapangan futsal yang dipagar dengan jaring. “ Apa kau ni macam orang Melayu lain… kuat cemburu dengan kejayaan saudara se-Melayu sendiri?” rakan-rakan yang lain disitu turut terdiam dan mendengar. Huzaimir memerhati, masih termengah-mengah.
Jalal berdiri di belakang Nawel. Sah, haram jadah ni yang membatu api kenyataan Huzaimir yang Datuk dari negeri Gading Gadja tak boleh pakai. Huzaimir tak berkata apa-apa. Sungguh hebiar mulut anak muda itu, sedangkan Huzaimir itu jauh lebih senior. Namun, senior tara mana pun Huzaimir, budak Nawel itu tetap berani macam sekawan anjing jalanan. Semua orang disitu digaji oleh abangnya. Dari penjaga kaunter, pencuci lantai, penjual air dan pencatit masa. Silap-silap Jalal pun kena suap, itulah dia naik eksyen berdiri belakang Nawel macam power rangers hijau yang sering berdiri di belakang jubur power rangers merah. Huzaimir masih terdiam.
“ Aku tak mau tengok muka kau disini, lagi sekali aku nampak muka terhegeh-hegeh kau, minta maafkan kalau aku terkasar “ amaran Nawel kepada Huzaimir. Perlahan-lahan Huzaimir berdiri dari bench untuk beredar. Suresh menggalas beg Huzaimir: “biar aku tolong” diikuti kawan-kawan lain. Yang pilih untuk terus bermain tinggal disitu.
Pagi itu bermula Huzaimir menjadi tutor kepada Illi buat kali pertama. Subjek kegemaran Huzaimir, matematik tambahan. Ironinya, itulah subjek yang dibenci Illi. “ you kalau sayang I, kena sayang addmaths” “kenapa?” Illi tersenyum, “I cuma sayang you, I tak mau sayang addmaths boleh?” Illi menjeling pada Huzaimir sambil memerhati pintu dapur, takut-takut orang gaji keluar melulu sedang mereka mabuk cinta. “Tak boleh… wajib you sayang addmaths, kami kembar - bercantum di kepala” jawab Huzaimir tersengih sambil jari telunjuk terlekat pada dahinya.
Lantas, Embak Yemm keluar dari pintu dapur dengan dulang, dua biji cawan dan seteko teh susu. Perlahan Illi menjauhkan mukanya dari Huzaimir. Embak Yemm ni tak mengerti perasaan orang bercinta, kalau iya pun berilah signal. Berdehem sikit pun sudah jadi.Selesai menjamu sepasang kekasih itu teh susu dia beredar menyelesaikan urusan di dapur.
“I rasa, you patut letak loceng dekat kaki embak Yemm tu, biar kemana dia berjalan kita tahu” bisik Huzaimir sambil menyelak buku teks. Illi cuma tersenyum. “I rasa Embak Yemm patut dapat cuti hari ni sebab hari ni hari ahad, bagi dia lepak di KLCC dengan rakan senegeri” cadang Huzaimir lagi.“Haaa… idea menarik!” tetiba Illi menjawab “Tapi…kalau Embak Yemm dapat cuti hari ni, kita tak tutor dekat sinilah…”
“Ehem!” berdehem sakan Huzaimir. Nauzubillah, harap-harap dia tidak terlanjur kata. Huzaimir cuba mengubah topik pada pagi itu yang seolah-olah menghala ke arah itu. “Murid murid, buka mukasurat 12! ” Baik cikgu…” lantas Illi pun turut melayan apa jua ego yang terkandung dalam arahan kekasihnya tadi.
Kemudian telefon bimbit Illi berbunyi, ada mesej masuk. Illi mengambil masa sebentar untuk membaca mesej berkenaan. “Sayang, Adilla ajak I pergi barbeque night dekat Bukit Mahawangsa malam minggu depan…” “Ooo…” “Its like a girls only, boleh I pergi” “Sure… pergilah, lagipun you need to spend time dengan kawan you juga. You asyik berkapit dengan I saja, its time to get back with your friends, catch up with them” balas Huzaimir “Sorrylah, I cepat sangat rindu dengan you” “ Sure I tak boleh ikut? Tolong kipaskan arang, guling-guling ayam atas barbeque pit?” “Host requirement, I don’t dare to say anything, kalau boleh dah berzaman I bawa you” “Okey…”
“ Kau tak nak bercakap dengan Nazlisyam ke?” Suresh bertanya “kurang ajar betul budak tu aku tengok malam tu” tambah Suresh.
“ Nazli ada di Copenhagen… business trip kalau tak silap aku… “ ringkas Huzaimir menjawab “Biarlah budak tu, dia mana tahu hal ehwal kurniaan Datuk ni. Naif lagi”, Suresh menggaru-garu kepala, kelihatan keberatan dan segan untuk bertanya sesuatu sebelum pertanyaan itu keluar juga: “Malam ni kau join kitaorang main futsal? Di tempat biasa? “
“ Hehe, adik taukeh futsal dah halau aku… dia tu refree dan aku ni kena kad merah, buang padang atas masalah disiplin. Banned tiga match…” tegak tiga jari Huzaimir menunjukkan pada Suresh. “Jadi kau main tak malam ni?” “ Tak, aku ada benda lain yang aku nak buat…“
Sesungguhnya malam itu dia tak ada benda yang berguna untuk dibuat. Huzaimir termenggung atas katil melihat lantai, dinding dan siling. Malam itu juga Illi ke barbeque party anjuran rakan-rakannya. Ah! Huzaimir mati kutu. Maka, dia memakai seluar pendek, mengambil kasut futsal, menghidupkan enjin motokar dan menuju ke lapangan futsal milik Nazli Ferrari. Dia tidak hirau kalau adik Nazli Ferrari, Nawel, berada disitu. Urusannya berada disitu bukan untuk melihat muka budak hingusan itu, tapi untuk menyepak bola kedalam gawang gol. Itu saja niatnya, bukan untuk buat kacau.
Sebaik sampai disitu, dia duduk di bench dan bersama-sama rakan lain bermain futsal. “Kau cakap tak mau datang tadi…” “Aku boring duduk rumah, baik datang sini pecah peluh” sebaik dia keluar gelanggang untuk berehat, Jalal turut kelihatan berada disitu termengah-mengah. “Mana Nawel, boss engkau “ Tanya Huzaimir dengan sedikit loghat mat rempit. Pada mulanya Jalal buat-buat tak dengar, selepas pertanyaan itu diulang kali kedua, barulah dia terhegeh-hegeh mau jawab “Dia ada barbeque malam ni” “dekat mana?” “entah, rumah awek mana entah dekat Bukit Mahawangsa” “Ooo…”
“ Huz…. Huzzz!!!!” pekik Suresh dari dalam gelanggang, Huzaimir menoleh “kawan kita sorang panchit, tolong substitute…” Huzaimir mengangguk dan bergegas masuk kedalam gelanggang. Jalal bingung sebentar.
Siri kedua tutor bersama Illi. Huzaimir melihat kekasihnya masih letih dan lesu selepas barbeque party yang dianjurkan Adilla malam semalam. “You makan banyak daging ke?” “ Tak ” “Habis tu, kenapa you nampak letih saja?” “ I tak makan apa-apa… I cuma minum” “ minum apa?” “ minuman yang ada disitu…then this red Ferrari came dekat depan rumah Adilla, oh my god, Nawel ada disitu entah apa budak tu datang buat dekat situ” “oh…kay” “ Dia datang chat dengan I, but he’s such a funny guy” “then…” “ dia bawa I naik Ferrari dia, oh my god, that car is such a beast” “ronda-ronda?” “then he brought me to his house, oh my god, ada dedicated jamming studio kot dalam rumah dia, I tried his electric guitar and felt like a rockstar” “he brought you alone?” kemudian teledon bimbit Illi berbunyi, mesej masuk. Illi mengambil telefon itu dan membalas mesej dengan penuh semangat. Huzaimir terdiam, dia memerhati Illi
“Nolah, dia tak bawa I alone. Gila you. Adilla ada sekali” jawab Illi menyambung perbualan “ Humeida ada sekali?” “ Dia tak ada” “kenapa Humeida tak ada?” “Dia tak ikut” kemudian lagi sekali telefon Illi berbunyi. Illi beredar dari situ, masuk ke biliknya kemungkinan. Tinggal Huzaimir seorang di meja makan dengan buku Fizik tingkatan 5 depan matanya.
Keesokan harinya tersebar berita tentang sindiket penjualan Datuk. Sindiket yang menjual gelaran itu dengan harga RM30ribu dikaitkan dengan kerabat di-raja negeri Gading Gadja. Namun, pihak istana negeri menolak sekeras-kerasnya kaitan mereka dengan apa jua sindiket penjualan Datuk. Huzaimir terkejut kerana esok lusa sepatutnya Nazli Ferrari pulang dari Copenhagen untuk menerima darjah kebesaran Datuknya dari negeri Gading Gadja. Lantas, Nazli menelefon Huzaimir langsung dari Copenhagen “Hello Huz… aku tension, aku kena jerat dengan sindiket ni… astagfirullah, aku malu dengan family aku dan engkau dan kawan kawan” Nazli berterus terang. “ Sabar Nazli ” terang Huzaimir, dia sendiri tidak percaya rakannya itu sanggup melabur puluhan ribu demi mengejar Datuk selama ini.
“Aku kenal dengan orang istana Gading Gadja, merekalah buat bisnes dengan aku, mereka confirm kata aku dapat Datuk” nada kesal Nazli tidak dapat dibendung “tapi orang tengah sudah pecah temberang… “ tambah Nazli Benarlah cakap orang di kedai kopi bahawa ada ura-ura negeri Gading Gadja menjual Datuk. Sebelum mengakhiri perbualan, Nazli berpesan: “minta maaf, aku balik lewat dari Copanhagen… lepas scandal ni settle, kita jumpa di tanah air nanti ya”
“ Jom main futsal “ kata Suresh “ dimana? ” “ ada…tempat baru ” Suresh membawa Huzaimir ke sebuah gudang perabut yang bankrap tidak lama dulu, kini ditukar fungsinya menjadi lapangan futsal. Lebih selesa, luas dan cantik dari lapangan futsal Nazli Ferrari. Diskaun turut disediakan kepada mereka yang regular. Beberapa orang rakan-rakan sudah tunggu disana. Mereka menyalam dan memeluk Huzaimir, salah seorang berkata: “Betullah Datuk dari Gading Gadja tak boleh pakai” Huzaimir yang duduk di bench baru hendak menyarung kasut tidak berkata apa-apa. Dia hanya tersenyum.
“ Sekarang apa jadi dengan lapangan futsal Nawel dan Nazli tu? ” Tanya Huzaimir yang sekian lama tidak bermain futsal. “Bankrap” jawab Suresh “Semua orang rasa sia-sia bayar yuran main futsal, taukeh guna duit kutipan beli darjah Datuk” demikian ulasannya. Huzaimir lagi sekali tersenyum sambil mengikat tali kasut futsalnya. “Jalal main futsal dimana?” soal Huzaimir “ Jalal budak tumpang sekaki glamour tu? Dia sekarang tukar hobi, main kote” berdekah-dekah mereka ketawa.
“Huz.. kau join team aku” kata salah seorang rakan-rakan “Eh… aku dah chop Huz dalam team aku” Suresh menempelak “Bagus kalau ada Huz dalam team aku, dia ada itu ‘vision’, boleh predict future, dia cakap Datuk Gading Gadja tu boleh beli, memang hari ni dah terbongkar benar belaka!” berdekah-dekah rakan-rakan disitu ketawa. Jelas Huzaimir telah memenangi friends opinion terhadap dirinya.
Malam berkenaan Huzaimir, Suresh dan rakan-rakan seperti biasa duduk melepak di gerai menikmati minum malam dan berborak kosong, al-maklum, bujang senang. Salah seorang rakan disitu bertanyakan: “Huz…kenapa kau tak sibuk mesej macam dulu? Lagipun dah lewat… awek nanti marah balik lewat-lewat”
“ Aku dah single” terang Huzaimir “Bila!!?” terjegil mata Suresh “Dah seminggu…” “Kenapa!!?” Tanya seorang rakan dari hujung meja “Orang ketiga…” respon Huzaimir. Didalam hati Huzaimir dia mendoakan yang terbaik dan berbahagia selalu untuk Illi. Dalam hidup mana boleh selalu menang. Kaut satu, cicir satu.
0 comments:
Post a Comment