gemparre!
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanyaSatu petang angin berderu mengoncang dedaunan pokok hingga luruh dengan banyak sekali, berhamburan di atas jalan, ada yang jatuh atas kereta yang berbaris di parking lot dan menampar pejalan kaki disitu. Di satu gerai berbumbung tarpan biru duduk sekawan pekerja berkolar putih ketawa terbahak-bahak dengan tali leher dilonggar. Apakah yang membuat mereka ketawa dengan bersungguh sangat? Mestilah topik perbualan petang itu. Warga Malaysia tidak pernah haus topik perbualan, cakap saja, politik, seks, skandal paling ditagih gossip tempat kerja. Siapa main dengan siapa? Siapa mahu bercerai dengan siapa? Siapa yang mengurat siapa? Siapa keluar dengan siapa?
Tapi tiba masa bahan perbualan warga Malaysia sepi dengan kisah pembunuhan bersiri. Satu masa dulu, pernahlah ada berita hangat. Cakap saja Mona Fandey, ada saja hamba Allah yang mengaku si dukun itu hidup lagi sedang mencabut sayur pucuk paku di halamannya. Cuba tanya kisah tragik seorang Datuk dikapak dan tubuhnya yang dilapah dihumban kedalam lubang dan ditimbus, dihabiskan pula dengan selapis simen segar. Sejak terbongkar lubang itu, mulut orang ramai tidak pernah tertutup bercerita tentang kegiatan mistik dan tujuan sebenar Datuk yang berpelajaran dari Amerika itu hendak berurusan dengan dukun. Hinggalah Mona dihukum gantung sampai mati, orang ramai mula beransur senyap dan bahan bualan kembali kepada seks, skandal dan politik.
Siur angin petang itu bukan saja menggoncang pokok di laluan pejalan kaki tapi membawa kisah pembunuhan seorang lelaki berusia 30an. Pembunuhannya agak tragik dimana mayatnya dijumpai tanpa bahu kanan, badannya dijumpai dibawah timbunan batang pokok reput di ceruk sebuah ladang durian dengan pihak penyiasat belum menjumpai bahu yang hilang itu.
“Aku rasa ini punca dari berhutang, aku dengar dia ni berniaga “ Ghani berkata, sambil tangan kanan bergesel dengan tapak tangan kiri.
“ Engkau ni… kalau Ah Long aku rasa diaorang lebih suka malukan orang yang liat nak bayar “ cadang seorang rakan.
“ Mamat ni muda lagi, dia mesti nak melawan ni… kira Ah Long ni tak ada cara, melainkan menetak mamat ni, kasihan dia sampai tertetak bahu… ini semua kerajaan punya pasal lah, harga barang semua naik… Mamat ni baru kahwin, anak dua orang kecil-kecil lagi, dia nak ikhtiar cara mana lagi? “
“ Eh, rileks lah, apa kena mengena dengan kerajaan. Di mana-mana pun serata dunia harga barang naik, nak buat macam mana? “ balas seorang lagi.
“ Itulah engkau, asyik baca surat khabar kerajaan, sempitlah jadi kepala otak tu. Percaya bulat-bulat harga naik di negara depa. Tapi kau tak siasat berapa gaji pegawai tadbir macam kita ni… Tinggi, tidaklah sampai tinggi melambung, tapi tinggilah “ kata Wahab, dengan lain-lain mengangguk. Situasi agak tegang juga, tapi biasalah kalau warga Malaysia kita berbual, semangat itu mengalahkan ahli Parlimen. Secawan teh-o mujarab mengendurkan urat leher yang tegang dikalangan pegawai tadbir.
Keesokannya seorang lelaki tua berusia pertengahan 60an direman bersama dua pembantu kebun masing-masing berasal dari Bangladesh dan Indonesia. Wajah Pak Majid terpapar di dada akhbar setelah dia diminta memberi keterangan berkenaan kes pembunuhan itu. Akhbar tidak memberi apa-apa ulasan melainkan penangkapan mereka bertiga.
“ Ishk, kalau kau lihat wajah Pak Majid ni, bercelak semacam… cuba kau lihat, meremang bulu roma “ akhbar itu dibentang atas meja plastik mudah-dilipat, Ghani dan beberapa kawannya memanjangkan leher memerhati. “ Kau tengok dahi orang tua ni, dia kuat sembahyang orang ni, cuba perhatikan, dia cuma orang tua yang hendak menjaga kebun durian “
“ Eh orang orang lamalah yang kuat ilmu mistik ni. Adalah dia punya keperluan ajaran dia untuk tulang bahu… “ “Cammonlah! Kalau minyak dagu atau janin gugur aku percayalah… ini ilmu mana yang hendak tulang bahu?” “Hah! Mesti ilmu agama kau cetek, percaya juga minyak dagu dengan janin gugur “ kata Rushdy “ Eh, bukan kau yang mahu kirim minyak pengasih Bomoh Siam, kau mahu dicalit pada Melissa, office girl yang duduk sebelah mesin fotostat dalam ofis kita? “ Rushdy ditempelak. Dia tersengih dengan muka merah padam, yang lain memerhati dengan perasaan kurang percaya.
“ Kebunnya luas,dalam kampong tu, tanah berekar-ekar Pak Majid ni, dia ni tak perlu bunuh sesiapa, kehidupan dia cukup tenang… Cuma kes pembunuhan ni saja yang buat hidup dia tak tenteram “
“ Memanglah dia tak pelu bunuh siapa-siapa. Dia dah terbongkok-bongkok macam tu, tulang penuh dengan atritis, ayam yang nak kena sembelih pun boleh loncat keluar dari tangan dia “ tambah Wahab, diikuti dengan tawaan berdekah-dekah oleh rakan yang lain. “ Kalau sudah kaya, dia tak payah kotor kotor tangan mahu bunuh orang. Cukup syarat duit dihulur, nyawa siapa saja kau boleh tarik … “
“ Ishk, kau bercakap macam tak ada kuasa Tuhan “
“ Memang aku bercakap agak kasar, tapi tahu-tahulah kita dunia ni di akhir zaman, orang tua ni dah 60 kalau dia tak puas hati dengan siapa-siapa, mesti dia boleh upah saja … “jawab Wahab, dia belum sempat menghabiskan buah bicaranya tatkala “ Kan aku dah cakap, kerajaan punya pasal kos sara diri naik, siapa-siapa pun mau jadi pembunuh upahan… cakap saja lima ribu ringgit? Dua ribu setengah? Lima ratus ringgit ada orang sanggup memnbunuh tau tak! “ tempik Ghani “Astagfirullah!” “ Teruknya! “ “ tapi kalau kau diupah untuk bunuh orang kau terima tak? “ tiba-tiba salah seorang mencelah.
Keadaan senyap sebentar. Pak Jaris yang mengurus gerai bertarpan biru itu berhenti mengacau gula dalam kopi mahu mencuri-curi dengar.
“ Aku masih waras, aku takkan buat benda tu “ jawab Ghani tersenyum. Diikuti dengan tawaan berdekah dekah oleh rakan sekerja mereka.
“ Tapi apa sebenar-benar motif Pak Majid mahu membunuh? “ terang Wahab.
“ Itu kerja penyiasat, esok sudah tentu ada benda yang sudah dikorek, mesti Pak Majid dengan dua orang upahan dia bercakap punya! “ “ Apalah korang ni pening-pening? Pak Majid dengan dua orang pekerja dusun upahan tu cuba direman untuk bagi keterangan… esok percayalah tiga-tiga mereka keluar dan boleh terus hidup macam biasa; Ingat, direman tak semestinya dituduh “ terang Pak Jaris menyusun sudu garfu didalam bekasnya.
Keesokannya, selepas solat Jumaat, sekawan pekerja kolat putih itu berkumpul sekejap dibawah tarpan biru itu dan kenyataan media pihak mendapati Pak Majid bersama dua pekerja dusun bawah upahannya bersih dari sebarang tuduhan atau pembabitan dalam kes bunuh tragik itu. Sementara menunggu panas terik itu kurang, mereka mendapatkan teh-o-ais gelas besar Pak Majid yang terkenal di ibu kota.
Mereka malu malu melihat Pak Jaris dengan muka tersorok. Benar kata Pak Jaris, Pak Majid cuma mangsa keadaan dimana mayat itu dicampak di dusunnya. Apa bodohnya dia mahu mencampak mayat di kebunnya sendiri. “ Ha! Sebab dugaan Pak Jaris betul belaka, bayar dua kali ganda untuk teh-o-ais ni! “ meja itu terhinjut sedikit setelah empat gelas besar itu terhidang depan mata sekawan pegawai tadbir. “ Silakan minum, tunggu apa lagi, bila dah habis sila bayar di kaunter ya “ jelas Pak Jaris sambil menunjuk ke arah meja kaunter gerainya.
Pak Jaris menghidupkan TV. Terpampang wajah sugul seorang wanita diapit oleh dua kanak-kanak. Dia kelihatan trauma, sedih, risau dan penat. Berduyun reporter yang mengelilinginya masing masing panjang tangan menghulurkan mikrofon dan perakam suara. Mulutnya terketar-ketar sebak “ saya ingin memohon kepada semua orang awam diluar sana yang mempunyai maklumat tentang pembunuhan suami saya… “ dia terhenti dan memegang erat anak-anaknya . Pemberita dengan penuh intuition menghabiskan berita dengan seruan untuk mereka yang mengetahui tentang kes itu agar membantu pihak penyiasat merungkai kes ini.
Nota Tugas #55
Hari Ketiga saya menemani Cik Farah, balu kepada mangsa bunuh HC9/33367. Saya mendapati balu masih tidak stabil emosinya dalam aktiviti sehari hariannya. Dia lebih gemar mendiamkan diri. Dia tidak membenarkan anaknya keluar dari rumah untuk bermain di taman permainan mahupun ketika waktu makan walaupun saya dah cuba meyakinkan dia bahawa saya dan korporal Shahab anda menjaga keselamatannya sewaktu pergerakan mereka.
Saya kini bersama keluarga mereka didalam kediaman tanpa unifom. Kata Cik Farah jikalau saya berunifom, anaknya berasa cemas. Di rumahnya, saya sentiasa berjaga-jaga. Korporal Shahab, kerana jantina lelakinya, dibiarkan berkawal di seberang jalan kediaman Cik Farah untuk menjaga privasi, dia juga turut berpakaian biasa. Saya yakin dengan Korporal Shahab, dia menjalankan tuga dengan baik. Tapi saya lebih khuatir Cik Farah melakukan sesuatu yang tidak diduga dalam emosinya tidak stabil.
Nasib baik kehadiran Ustazah Rogayah lewat petang hari ini serba sedikit memberi sokongan kepada Cik Farah. Dia kini lebih positif dan mahu bercakap dengan anak-anaknya yang sekian lama bagai terbiar. Untuk Hari Sabtu dan Ahad, Cik Farah akan menerima ramai pelawat, saya dan Korporal Shahab akan memastikan semua pelawat diperiksa dan benar-benar dikenali Cik Farah.
Laporan Tamat
Korporal Siti Suzanna; #76890
Di Taman Tasik Permata, dua orang pelawat disatukan di pagi Ahad yang sedikit berjerubu. Pak Samad dan Uncle Ronnie kedua-duanya pencen dan tidak punyai masa dikejar kecuali menunggu anak dara mereka disunting menantu kaya raya atau mengupas isu-isu terhangat di tanah air. Termengah mengah mereka berjalan dipintas satu persatu muda mudi yang beriadah disitu. Namun mereka berada di litar jogging pada petang itu bukan untuk tujuan kompetitif.
Seorang lagi sudah menjadi korban kes pembunuhan yang serupa seperti lima hari lepas. Pihak penyiasat bertungkus lumus mahu menyelesaikan kes ini.
Pak Samad dan Uncle Ronnie amat khuatir dengan keselamatan mereka tetapi berasa lega sedikit apabila dikhabarkan yang dibunuh itu merupakan kenalan rapat seorang aktivis gay di tanah air. Michael Omo membuat kenyataan akhbar pembunuhan ini merupakan provokasi terhadap perjuangan hak sama rata bagi golongan yang mengamalkan hubungan sejenis, tidak banyak akhbar yang menyiarkan kisahnya kecuali yang beraliran kiri yang selalunya beroperasi di kota raya besar. Michael Omo ingin merancakkan lagi perjuangan hak sama-rata golongan songsang.
“ That Michael Omo just wants leverage from this situation “ terang Pak Samad seorang pencen guru bahasa Inggeris. “ Oh! Definitely, what else he needs? His like minded lefties would applaud his action “ tambah Uncle Ronnie; pencen polis.
Apa-apapun publisti yang ditagih Michael Omo sudah tercapai, melalui bual bicara dua orang pencen di pagi Ahad itu. Namun, Michael Omo cuma setompok latar belakang pada kanvas besar yang subjeknya berkaitan pembunuhan kejam dan misteri mangsa kedua dalam minggu yang sama. Sesiapapun boleh nampak persamaan antara kedua-dua kes ini. Kedua-dua mereka dijumpai dengan bahu mereka ditetak hingga putus.
Tapi minda warga Malaysia ingin menjenguk setapak kehadapan. Mereka cuba merungkai persamaan yang kedua. Dan pelbagai lagi garis dilukis untuk menunjukkan persamaan antara dua pembunuhan yang hangat dibincangkan.
“ Eh, that first fella is gay ka? “ Tanya Uncle Ronnie, bukan dengan nada menuduh, tapi dengan nada ingin tahu.
“ How should I know? You are ex-cop, you should have known your kakis inside the force “ jawab Pak Samad tersengih.
“ Of course I have my kakis, but wrong kakis; Im in commercial crime “ terang Uncle Ronnie membalas tawaan.
“ I guess that fella want to be gay ka, homo ka, bi ka, its his business… most importantly now, they must catch the bad guys! “ tambah Pak Samad, nada tegas orang pencen.
Nota Tugas #58
Hari Keenam menemankan Cik Farah, keadaan tiba-tiba menjadi teruk. Ini gara-gara khabar angin mengatakan arwah suaminya menjalinkan hubungan sejenis sebaik kes kedua dihebahkan. Ramai yang bercakap bahawa suaminya menjadi mangsa korban akibat cemburu atau hubungan cinta tiga segi pasangan songsang. Ini mengeruhkan keadaan lagi.
Saya pernah juga menegur Cik Farah agar tabah berhadapan dengan buah mulut orang ini. Walaupun menjangkau dari tugasan saya untuk memberi nasihat sebegitu, tapi saya merasakan keperluan melihatkan emosi Cik Farah yang kembali tidak stabil. Setakat ini tiada kekacauan di luar rumah dan Korporal Shahab menjalankan tugasnya dengan baik dari semasa ke semasa.
Cik Farah ingin membuat kenyaaan media. Saya tetap menghalang dia kerana siasatan masih dijalankan. Cik Farah merayu dia cuma mahu menidakkan tuduhan orang ramai. Namun, siasatan yang menjangkau waktu yang lama ini menunjukkan Cik Farah silap tentang apa yang dilaksanakan oleh suaminya. Siasatan membuktikan disebaliknya, buah mulut orang nampaknya benar belaka, tapi saya enggan menyentuh masalah domestik Cik Farah. Saya cuma menjalankan tugas untuk menjamin keselamatan Cik Farah beserta anak-anaknya.
Laporan Tamat
Korporal Siti Suzanna; #76890
Bolehkah golongan gay membunuh? Gerai mamak di belakang The Mall itu tidak sesak, melainkan asap mee mamak dan bunyi tung-tang-tung-tang kuali belanga. Bisingnya tidak menghalang sekumpulan pekerja gedung beli belah The Mall yang sedang menunggu shift mereka berceloteh sakan.
“ Cemburu ni. Kalau pasangan biasa pun boleh bunuh disebabkan cemburu, mereka pun boleh “
“ Apa masalahnya bunuh sampai mahu kelar bahu? Bunuh sahaja tidak boleh kah? “
“ Itulah namanya pembunuhan tak berhati perut, kejam… “ kata Mala. “ A’ah, kata perhubungan diluar tabii’ “
“ Cuba bayangkan, aku terlanyak anak kucing pun aku boleh menangis tiga malam, tidak boleh tidur. Inikan pembunuh ni, bunuh dua hamba Allah selang lima hari, kelar bahu sampai putus! “ kata Syuhada. Yang lain menggeleng kepala sakan.
“ Tak bolehkah semua gay dikepung, dibuat ujian DNA? “
“ Eh, sengal, Kau ingat gay di Malaysia ni boleh bilang dengan jari ke? “
“ Shhhuh…. “ Syuhada menunjukkan isyarat jari pada bibirnya. Ekor matanya jelas memandang seorang lelaki tinggi lampai berpakaian kemas tanpa kedut, rambutnya mencacak hitam likat diperkukuhkan gaya oleh gel kilat. Masing masing gadis berada di meja itu memerhatikan Gary. Bukan nama sebenarnya, tetapi sudah menjadi kebiasaan untuk warga pekerja The Mall memanggil rakan dengan nama jolokan.
“ Kenapa dengan Gary? “
“ Hish, perlahan suara kau! Karang dia siat bahu kau! “ Mala berdecit, masing-masing berpura-pura melakukan aktiviti lazim seperti menekan punat di alat peranti Blackberry, namun haram tak kemana kerana mereka cuma scroll pada menunya. Hendak BBM, kredit sudah habis.
Gary tidak memberi sebarang reaksi terhadap jelingan gadis gadis itu, sekali sekala dia membalas senyuman itu, bukannya satu jenayah untuk senyum? dan gadis gadis di meja berkenaan makin galak tersenyum terkerisin, apabila ada peluang gadis itu akan melihat sesama sendiri dan berasa jengkel dengan perlakuan saling lempar melempar senyuman itu.
Di kota besar macam Kuala Lumpur, Gary berasa orang sepertinya seperti van ambulans, adapun kisah dirinya menangkap perhatian orang tapi tak lama kemudian malap bunyi bising itu beserta ingatan orang terhadapnya malar tanpa meninggalkan tapak kaki atau kesan kotoran. Namun, dia tidak pinta menjadi van ambulans, dia merasakan terlampau hina jika menjadi sedimikian. Jadi dia enggan mengaku secara terbuka yang dia sebenarnya berorientasi songsang.
Pernah sekali si-Mala itu hendak mengorek rahsianya dengan cuba menggoda Gary. Sudah pasti Gary itu adalah antara lelaki paling jambu di The Mall. Dengan wajah yang sama tengah, kulit bersih mulus tanpa misai dan kumis, ditambah dengan gaya percakapan lemah lembut berserta petah menyusun ayat berpuitis tapi tak berbunga, sah, pada pengamatan kasar sudah tentu dia menjadi kegilaan sejenak warga wanita. Gary melayan karenah Mala, dan hampir meyakinkan semua warga sekerja bahawa Gary sudah berubah. Sungguh cekap Gary bermain perasaan, sehinggakan Mala tertipu dengan kesungguhan watak yang dibawa Gary.
Tawaran berlakon pernah ditawarkan kepadanya oleh syarikat produksi drama swasta. Namun Gary menolak, dia fikir bahawa dia takkan dapat pergi jauh dengan menjadi pelakon. Biar saja hidupnya sebagai promoter di pusat beli belah, sedangkan yang lain tergila-gila hendak mengecap populariti sebagai pelakon.
Tapi itulah Gary, dia bersungguh sungguh melindungi identitinya kerana khuatir dipandang jijik. Perbuatannya terang terang ditegah oleh agama dan masih taboo di negara ini. Gary menggunakan fahaman blend with the crowd. Dia hanya perlu bergaul dengan seramai orang agar tidak timbul syak wasangka terhadap orientasi seksualnya. Walaupun agak umum diketahui.
Sejak kes pembunuhan itu, Gary agak kurang selesa untuk bergaul sana sini, dia sedar kes itu mencuri perhatian terhadap dirinya kerana orientasinya yang songsang. Acap kali, dia akan berlepak dengan rakan-rakan lain sebaik habis waktu berkerja untuk release stress. Kadang-kala minum di kedai mamak atau snek ringan di kotaraya sampai awal pagi. Kali ini dia hanya pulang ke rumah sewanya.
Dia berkongsi rumah sewanya dengan Ricky. Namun Ricky tiada buat minggu itu atas sebab outstation. Dia keseorangan. Sebaik malam menjelma, dia bersedia untuk tidur, sebelum itu, sempat lagi Gary melakukan ritual menyapu minyak tea tree pada bahagian wajahnya yang berjerawat. Al-maklum, stress kerja membuatkan parasit tumbuh merata-rata diwajahnya. Sebaik bebola kapas itu mencecah pipi Gary, dia menyedari bau yang amat kuat menusuk hidungnya.
Dia meletakkan kapas itu dan menghidu minyak tea tree dalam botol kecil itu. Dia terhidu sesuatu yang lebih kuat lantas dia berdiri dan perlahan-lahan memerhati keliling biliknya. Terkenyit-kenyit lubang hidung Gary dengan matanya meliar mencari di segenap penjuru bilik. Dia kemudian pasti bahawa bau itu dating dari luar kamarnya. Dia mengambil Blackberrynya dan meletakkannya rapat di dada.
Gary mula dilanda rasa gentar. Dia menghampiri bilik Ricky. Yang pasti Ricky sudah seminggu tiada di biliknya. Mengapa boleh ada bau yang pelik menusuk hidungnya. Blackberry itu digenggam lebih rapat ke dadanya. Gary memulas tombol pintu. Disangkakan berkunci, rupanya tidak. Gary terkejut lantas blackberry itu terhempas ke lantai hingga tercabut bateri dari ruangnya.
Ricky mengenggam tangan Gary, bukan sebelah, kedua-dua belah dan dalam keadaan bertentang mata Ricky berkata ini adalah satu kejutan bagi rakannya itu. Bilik itu merah menyala, begitu banyak lilin aroma diletakkan merata tempat. Ricky berbisik “its our third anniversary “
Mala tinggal serumah dengan Syuhada dan mereka bergelimpangan di hadapan televisyen melonggarkan urat mereka setelah sehari suntuk berkerja. Kemudian Dalilah tiba, membuka pintu dan tidak bertegur sapa, pantas dengan muka muncung masuk ke biliknya, mencampakkan tas tangan keatas katil and menghempas rapat pintu biliknya. Mala dan Syuhada sudah masak dengan fiil rakan serumahnya. Eksekutif pemasaran itu mempunyai beban kerja yang lebih dahsyat berbanding mereka berdua.
“ Mala! Syuhada! Air kena potong ke? “ pekik Dalilah dari bilik airnya. Dua orang rakan itu memandang sesama sendiri dan menyelak dicelahan majalah URTV dan Galaxie untuk mencari bil terakhir.
“ Mala! Cuba kau tengok dekat meter, ada budak-budak nakal pergi tutup paip kot“ pekik Dalilah kini tidak sabar untuk mencuci mukanya dari bahan kosmetik. Mala dengan mundar mandir memakai tudung dengan longgar, dia kemudian mengajak Syuhada juga “ aku takut, bilik meter tu gelap… “
Mereka masuk ke situ dan memulas tombol itu hingga tidak boleh dipulas lagi. Dalilah memekik: “ tak boleh lagi! “. Cuba kau buka tangki! Budak-budak ni suka buat prank “ Mala menoleh pada Syuhada dengan muka pelik “ demand gila minah ni.. dia ingat kita plumber ke? “ “Biasalah… sales executive. Its my way or highway “ jawab Syuhada. Mala membuka penutup tangki PVC berwarna hitam itu dan menyuruh Syuhada menghalakan lampunya kedalam tangki itu.
“ Nampak tak? “ Tanya Mala. Dari pengamatan Syuhada ada jari menutup lubang, berserta tangan bercantum lengan dan bahu, tanpa badan empunya. Muka mereka bertukar menjadi pucat.
0 comments:
Post a Comment