Hanyir
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
“ Akak… kalau akak tak nak tolong saya tak apa… ada banyak NGO yang simpati dengan saya…yir NGO hak asasi manusia, NGO hak wanita, NGO anti-keganasan, NGO kesamarataan… semua tu di belakang saya. Kalau akak nak tahu pertolongan yang saya nak pinta dari akak ini teramatlah kecil…” balas adiknya mengupil tahi kuku.
“ Baiklah, biar NGO-NGO ni tolong kau… biar terlepas kau dari sebat, kau boleh rebrand diri kau lepas ni jadi orang yang alim dan insaf kerana kantoi minum… bukan kerana ‘cahaya nur’ datang dari tidur…“
“Kakak jangan lupa… kakak sendiri pun dulu macam saya juga… bila balik rumah malam-malam bau kakak lagi masam, hapak… semua itu bau apa akak? Saya ada bersama akak waktu itu… berapa jantan yang akak rasa masin kulit mereka? Jacob, Ash, Ryan? Akak tak rasa hanyir ka? Akak sebenarnya lebih hanyir dari saya… lebih hanyir dari adik-adik yang lain… Sekali dengan masin kulit mat salleh pun kakak telan, lepas tu kakak pasang angan-angan nak keluar negara, bermaustatin sana sebab undang-undang di negeri kita menyekat full-potential diri kakak… apa akak sudah lupa azam tu? Akak mengada-gada kan? Betul tak… mengakulah akak ni mengada-gada…. “ tersinggung juga Jamilah mendengar kenyataan demikian.
Adik-adik Jamilah seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak diduga dan agak mengharukan. Mereka ingin melihat dulu perubahan yang dilaksanakan oleh Jamilah. Dalam dunia moden ini bagi mereka persepsi itu penting. Ingat! Persepsi itu penting! Bila perubahan mereka itu disedari orang ramai, barulah dikira perubahan itu sukses, kalau orang tak nampak, maka gagalkan segala wacana perubahan mereka. Buat masa ini adik-adiknya masih berkiblatkan dunia fana, dipacu oleh perhatian. Yang penting adalah respons orang sekeliling mereka. Mereka ingin hingar bingar kenyataan seperti: “Awak dah pakai tudung?” “Awak nampak comel bila pakai tudung!” “Saya syukur bila awak dah berubah” Sekali lagi perubahan Jamilah diperhati setiap inci oleh adik-adiknya, salah seorang adik mengaku mereka sedang mengarang sebuah teks The Transition of Jamilah Shahilah dimana bakal menjadi rujukan kepada adik-adik yang lain jika terdetik hati mereka hendak kembali kepada tuhan. Kembali kepada tuhan secara ‘gracefully’
“ Macam Britney Spears, I bangga kalau jatuh naik hidup I disaksikan orang ramai seperti sebuah filem… “ kata salah seorang adik “Britney pernah masuk rehab, pernah jadi kaki minum, pernah kahwin dan bercerai… yet, she’s appears cool and maintain, she’s my idol” namun kerana Britney bukan dari keturunan Melayu, Minang atau Jawa dan tinggal di tanah air ini maka mereka memerhati fasa-fasa pemulihan Jamilah Shahilah sebagai alternatif.
Jamilah menyifatkan perlakuan adik-adiknya jijik dan tidak ikhlas. Statement macam tadi layak bergelar BS. Lebih-lebih lagi mereka menjadikan dirinya sebagai guinea pig memerhatikan dari jauh dan mengenalpasti hipotesis apa akan terjadi kalau seorang party girl melayu yang mahsyur menukar haluan hidupnya menjadi hamba Ilahi sepenuh masa . Namun dalam kemelut itu, Jamilah tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa kerana seperti yang disebut awal tadi, Jamilah juga diperhati oleh segelintir lain yang juga bergelar hamba Allah tapi ingin melihatnya kembali terjebak dalam kelalaian dunia fana. Yang mulut capui sudah terketar-ketar mahu menghambur pada setiap telinga yang Jamilah seorang munafik atau dalam bahasa modennya hipokrit pada tuhan, maka Jamilah amatlah berhati-hati dalam setiap pergerakan, pertuturan dan penglihatan sehariannya tak mahu melahirkan generasi musuh baru dalam hidupnya.
Sehinggalah Mustakeem, seorang rakan lamabersua kembali. Dengan persefahaman, Jamilah berterus terang dengan Mustakeem akan gaya hidupnya muda mudinya yang hu-ha sana sini. Pada awalnya Jamilah menyimpan semua kisahnya sebagai rahsia, mahu ditanam dalam tanah atau humban dalam laut berserta kotak besi berkunci bersepal dengan rantai, namun Mustakeem seolah-olah mendengar setiap rintihan Jamilah dan mengerti betapa gerunnya bayang-bayang dosa silam itu. Maka Mustakeem seolah mempelawa Jamilah kedalam satu skim; skim ini tidak bertulis mahupun ada tandatangan yang perlu diturun dan syarat diturti namun dapat dirasa oleh Jamilah, rancangan pemulihan (RP)
Mustakeem berkebolehan merancang dan melakukan perkara dengan baik dan teliti. Dahulu Mustakeem amat bersemangat hendak menjadi seorang jurutera, dan cita-cita itu tercapai kini. Dia ingin mengusahakan sebuah perpustakaan di kampungnya dan kini terbina jua sebuah perpustakaan dengan ribuan buku untuk rujukan budak mahupun dewasa bahkan orang tua. Dahulu Mustakeem menzahirkan hasrat untuk menghadiahkan orang tuanya mesin dialysis, tak berapa lama kata-kata lelaki itu menjadi kenyataan dan mesin dialysis itu kini diguna bapanya. Mustakeem adalah orang yang mampu melaksanakan, dan apabila Mustakeenm ingin melaksanakan rancangan perubahan terhadap Jamilah, bekas party girl itu yakin bahawa dalam waktu sempit itu sentuhan perancangan Mustakeem adalah penting dalam hasrat meniti jalan lurus yang dirahmati.
“ Benda pertama, I rasa elok you tukar cara pemakaian you “ terang Mustakeem, maka Jamilah tidak menlengahkan masa lagi. Satu demi satu cadangan dilontarkan Mustakeem disambut oleh Jamilah. Salah satu cadangan adalah mewajibkan Jamilah memakai baju kurung pada hari Jumaat sebagai menghormati penghulu segala hari itu, “ you pakai baju kurung untuk full day, I belanja makan” hari lain Jamilah bebas memakai apa jua pakaian, asalkan yang sesuai. Namun koleksi baju sendat dan menayang lurah dan mengenggam daging punggung masih bertimbun dalam almari. Kerana difikir balik membazir itu saudara syaitan, pakaian lama yang serba seksi itu diberikan kepada salah seorang adiknya. Agak mahal juga pakaian-pakaian blouse, tunic dan dress. Jenama pun bukan calang-calang, material pun nipis-nipis sesedap mata.
“ Haaa… kan manis berbaju kurung” maka Mustakeem tersenyum dan Jamilah juga selesa kesana-kemari berbaju kurung. Persepsi terhadap Jamilah makin positif, tiada lagi suara-suara kedengaran bahawa dia hanya hipokrit untuk kembali ke jalan lurus. Dengan RP yang dicanangkan oleh Mustakeem, seorang progresif yang membuatkan Jamilah melihat dirinya melontar jauh imej hu-ha suatu ketika dahulu dan memperagakan diri dengan cara yang lebih konvensional. Jamilah tidak langsung melihat perkataan konvensional sebagai sesuatu yang negatif. Alangkah bagusnya kalau semua orang di dunia ini berfikiran seperti Mustakeem. Bukanlah profesyennya seorang ustaz tapi sudah lengkap tugasnya sebagai khalifah menasihati dan membimbing. Tidak menghukum atau mencerca malah mendampingi dan meyakinkan.
Sejurus pemakaian baju kurung menjadi habit tatkala hari Jumaat, perlahan baju kurung moden yang lebih menampakkan susuk tubuh, pinggul dan buah dada itu di phased-out digantikan oleh yang lebih longgar, lebih labuh “ha! Kan makin sweet” kata-kata pujian itu dilemparkan, namun Mustakeem punya perancangan tidak saja meliputi pemakaian Jamilah. Jamilah dahulunya yang party girl sering kali dikenali kupu-kupu malam, aktif diwaktu malam dan siang harinya dipenuh dengan tidur. Namun, Mustakeem merancang pelbagai macam aktiviti demi Jamilah agar waktu tidurnya di tune pada waktu yang sepatutnya.
Bagi adik-adiknya perkembangan itu adalah sesuatu yang mereka gemar mendengar. Seboleh-bolehnya mereka boleh berpaut pada hidup serba laju mereka untuk jangka waktu yang lebih lama sebelum melakar perubahan ke jalan lurus menerusi kitab The transition of Jamilah Shahilah. Kitab rujukan mereka berdasarkan hidup Jamilah sendiri “ I kan dah cakap, biarlah I insaf bukan kerana kantoi melakukan kesilapan, itu malu. I tak prefer insaf kalau I terpaksa keluar air mata, I nak orang tengok I ni insaf bagaikan ada nur cahaya yang menyusup dari waktu tidur-tidur malam” “ Kau cakap pasal nur cahaya menyusup waktu malam kepala hotak engkau! Malam-malam kau asyik melewar sana sini macam tak ada rumah” namun tidaklah terkeluar ayat itu nescaya Jamilah belum dapat berdiri pada landasan yang kukuh “Kakak ada lagi baju-baju nak buat pakai malam… pergi dinner? Pergi party? ball? gala? Bagilah sini” kata adik itu sambil jari lentik mengedik-gedik meluruhkan abu dari bara batang rokok.
Mata-mata mahu melihat Jamilah tersungkur kembali ke lembah dosa dan keasyikan dunia fana tersentak sebentar, namun ada juga yang berpatah niat mereka melihatkan Jamilah itu seorang gadis yang kuat prinsipnya walaupun dosa lepasnya itu masih belum hilang bau hapaknya. Jamilah mengakui bahawa begitu sukar untuk dia berjalan di atas jalan lurus. Kadang kala rasa mahu berpatah balik. “ Bila kakak jumpa orang, semua macam masih belum yakin kakak dah berubah…” terang Jamilah kepada adiknya “Kakak nak rokok?” adiknya yang duduk berdengkol atas sofa itu menghulur sekotak rokok yang siap dibuka “Isk…” Jamilah menolak pelawaan “kawan baru semua macam prejudis dengan akak, mereka semua kenal akak ni dulu party girl…. Macam ada 'database di luar sana' yang masih simpan data… data-data yang mengambarkan akak ni dulu…hmmm…ommm….entahlah” “I thought akak dah move on?” “Ya! Akak dah move on…tapi database ‘di luar sana’ tak mampu delete… orang tak kenal akak, mula-mula jumpa akak dah ada impression akak ni party girl…scandal sana-sini… ni semua sebab database tu” Jamilah menarik nafas dalam dan merenung pada lantai apartmen sewa adiknya yang berselerakan dengan majalah hiburan yang dibeli khas dari kedai pengimport majalah barat.
“ Akak rasa Mustakeem tahu?” “Akak berharap dia tak tahu” “Aku pasti??” “Macam mana nak tahu? Takkan akak nak admit yang akak pernah tidur dengan Ryan? Ash? Jacob? “ (nama glamour mereka, nama sebenar boleh jadi Rajoli, Abu Bakar dan Yaakob). “Eee…. I thought akak dah bare it all dengan Mustakeem tu?” “ Ya, berapa kali akak nak cakap… sejauh mana akak berubah, ada database di luar sana yang merekod segala jadah yang akak buat dulu” terangnya. Adik itu bingung kenapa kakak Jamilah asyik merujuk pasal ‘database di luar sana’
“Ya… akak dah bare it all…tapi taklah sampai kes tidur dengan jantan-jantan tu… detail sangat, karang muntah cair laki tu” jawab Jamilah. “ Lambat laun, Mustakeem dapat juga database akak… tahu juga cerita yang akak tidur dengan sapa, berapa lama, dimana….ughh…” tambah Jamilah lagi “Agak-agak kakak lah kan…. Mustakeem meletup tak?” “Meletup? Masalahnya akak sendiri tak tahu dia sudah selongkar atau belum selongkar , laki tu nampak rileks saja” kata Jamilah lagi. Adiknya mendengar khusyuk. Walaupun keluhan itu boleh saja dibuat bualan kosong, namun mencatit keluhan itu untuk karangan kitab The Transition of Jamilah Shahilah dalam sub-topik how to avoid past bad memories lingering into our present. Itu penting! Gaya hidup yang serba fana itu seperti tompok simen kering atau gula getah yang degil melekat dalam perilaku sehari-harian, memang mengambil masa untuk diluputkan.
Namun, Mustakeem membuat suatu pengumuman yang mengejutkan. “I rasa tak elok kita rapat begini tapi tak ada tali perhubungan… kita bertunang? “ Jamilah pada awalnya terkejut. Demam juga dia untuk tiga hari berturut-turut. Namun dia akhirnya menerima dan bergembira dengan hakikak bahawa dia sudah bertunang dan bakal meniti alam perkahwinan. Mustakeem meneruskan rancangan pemulihannya dengan lontaran cadangan. “I rasa lebih elok you pakai baju kurung tiap-tiap hari…dengan tudung labuh…tudung-tudung ikat, bawal, waheeda, yuna, siti ni semua I tak mau tengok” Jamilah terkejut, mak ai! Macam mana dia mahu maintain baju kurung yang begitu banyak dalam seminggu? “Lebih sopan sikit” demikian penjelasan Mustakeem. Jamilah tidak meragui perancangan Mustakeem kerana itu untuk kebaikannya juga. Mustakeem jurutera itu bagaikan dikurniakan kemahiran merancang dengan teliti, dan apa jua perbuatan kecil nya mesti merujuk kepada satu perancangan besarnya. “Untuk hari jumaat, you bolehlah hormati dengan pakai purdah”
Ryan, Ash, Jacob. Semua lelaki yang membuatkan muka Jamilah merah menyala. Lebih-lebih lagi mereka memanggilnya Jammy. “Hello Jemmy, you dah tak…em…” Jamilah lantas memberi isyarat agar perbualan itu tidak diteruskan. “Jangan panggil aku Jemmy” pelik muka Jacob melihatkan perwatakan Jamilah, walhal dialah dahulu yang galak memperkenalkan diri dengan nama glamour itu dan menyuruh orang memanggilnya Jemmy. Ya, masa dah berubah. “ Serius… I rasa Jamilah sekarang bukan Jamilah yang kami selalu damping” “ Kerana agama, saya tak kisah berubah… biarlah kalau tak secocok dengan hati korang semua” tengking Jamilah kepada Jacob. “Aku bercakap sebagai kawan…. Bukan lawan. Walaupun kami tak lengkap sembahyang lima waktu atau agak keliru hukum-hakam agama, jangan anggap kami musuh” pinta Jacob dengan suara lembut, tiada niat untuk memula pertengkaran. “Tengok engkau dah berpurdah…” “ Ya… aku pakai purdah… kenapa? Ada masalahkah?” kebetulan itu hari Jumaat dan Mustakeem mensyaratkan begitu. Namun, pemakaian itu sudah meresap dalam diri Jamilah hingga tunangnya Mustakeem tidak perlu belanja makan.
“ Jamilah, you berubah dengan cepat? Kami pun ada niat nak berubah tapi bukan overnight. Wahyu diturun pada Nabi pun bukan overnight….tapi you’ve changed overnight!??” terang Jacob “ Masa sudah suntuk… tanda-tanda akhirat dah makin terang… Orang macam kau ni niat tinggal niat sampai ke tua! “ terus Jamilah mengalihkan pandangan dan beredar. Belum sempat dia pergi jauh, Jamilah rebah ke bumi
Sedar sahaja, Jamilah sudah terlentang di atas katil sakit. Seorang doktor benggali berada disisinya. Dia menghulurkan segelas air kepada Jamilah. Purdah sudah tiada lagi diatas kepala Jamilah, dia panik sebentar, kemudian baru Mustakeem berjalan masuk kedalam bilik berkenaan.
“ Sayang okay… sayang okay…” sejurus Jamilah memakai kembali purdahnya itu, doktor benggali berkenaan menjemput kedua-dua mereka duduk. Doktor itu mencatit sesuatu pada kad sebelum seorang misi mengambilnya dan beredar. “ Miss Jamilah, you had just fainted just now” “ What causes her to faint doctor?” lantas dengan penuh rasa ambil berat, Mustakeem menyampuk “heat” jawab doktor “she nearly had heat stroke, luckily she fainted before any stroke occur… “ tambah doktor “the weather nowadays is very hot… I suggest if Miss could put off her …emm…you call those…” doktor benggali itu menunjuk-nunjuk pada purdah yang dikenakan oleh Jamilah “ its wiser to let more air in contact with the skin, this helps to cool down the body overall temperature” tambah doktor “wearing the normal tudung would be sufficient, since its compulsory for women of your religion to wear those……” “it’s purdah” sahut Jamilah
Sebaik masuk kedalam kereta muka Mustakeem menjadi masam dan merah padam. “Kenapa bang?” Jamilah lantas bertanya tunangnya itu apakah yang membuatkan dia menjadi sebegitu muram “ Abang mahu Milah pakai saja purdah, doktor tu mana tahu batas-batas aurat dalam agama kita… dia cuma tahu kitab perubatan yang dikarang Negara barat” terus jurutera bujang itu menghidupkan enjin “Tapi, Milah betul-betul rasa bahang atas kepala tadi” “Milah jangan layan sangat perasaan… biar bahang atas kepala, bukan bahang dalam neraka!“ “tapi Milah sesak juga nafas tadi…” “Milah… muka perempuan itu boleh mengundang fitnah… tutup, jangan tak tutup…tutup muka tertutup pintu fitnah!” tengking Mustakeem “Sudah! Jangan layan sangat perasaan tu…” Jamilah tak mampu berkata apa lagi.
“ Lepas isyak nanti, kita ziarah rumah Pak Su saya…”
Disana, Jamilah dan Mustakeem disambut dengan baik, mereka dijamu secara ala-kadar saja.Teh gula dan biskut kering beserta agar-agar merah yang dibuat baru petang tadi. Namun, warak itu cara hidup sanak saudara Mustakeem, dan hidup secara sederhana itu salah cara hidup para sufi. Pak Su dan Mak Su Mustakeem adalah antara orang yang paling mesra yang pernah Jamilah dekati. Mereka bertanya hal keluarga dan kesihatan hingga ke tarikh perkahwinan yang masih dirahsiakan.
“ Pernah melancong” “Pernah…” “ke mana?” “Saya pernah ke Bali dahulu” “Waw….” “dengan siapa?” “kawan-kawan…. Kawan sepejabat dahulu….” Maka saat itu, Jamilah terhumban kembali ke memori zaman lama yang diselebungi dosa. Jamilah tersenyum nipis, namun tawar. Hatta, Jamilah cuba untuk berfikiran positif mengenai lawatan ke Bali sekian lama itu “seronok?” “Ya… seronok, saya seronok tengok laut yang perlahan beralun disana…terasa tenang. Begitu tenang… “
“ Bodoh!” angin Mustakeem hari itu agak tidak bagus atau Jamilah yang tidak menyusun katanya dengan baik “Awak ni bodoh! Apa awak kata pergi Bali itu seronok dan tengok laut beralun tu tenang!!??! “ Mustakeem berseloroh, sebaik masuk kedalam ruang kereta “Ya Rabbi, Milah tak tahu apa yang abang maksudkan ni?” “Tadi! Masa Milah berbual dengan Mak Su! Milah menjatuhkan air muka ana ka! Mereka tu warak! Awak patut kata melihat Kaabah atau Masjidil Haram itu pemandangan yang menenangkan! Bukan laut beralun di pulau maksiat tu! Bodoh! “ Mustakeem menghempas kedua-dua tangan pada stereng kenderaannya lantas seluruh kenderaan itu sedikit terhinjut. Itulah kali pertama Jamilah menjatuhkan air mata sepanjang berada di sisi Mustakeem.
Mungkin esok angin Mustakeem baik semula. Jamilah menaruh harapan yang baik-baik belaka. Kekuatan dirinya untuk berubah jelas ada dalam tangan Mustakeem dan RP-nya.
Jamilah melawat adiknya. Disitulah dia mencerita dan mengadu domba tatkala Mustakeem diberi ruang untuk cool down. “Agaknya abang Mustakeem itu naik baran sebab dia dah selongkar perbuatan kau dulu-dulu kot” “Entahlah dik, aku tengok abang Mustakeem itu cool saja…aku tak mampu duga laki tu” terang Jamilah yang hari itu bertudung bawal saja. Adiknya yang berserabut belum mandi pagi duduk berdengkol di sofa bersebelahan dengan hanya ber hotpants itu bertanya “ rokok kak?” tangan kurus itu menghulur sekotak rokok yang siap terbuka. Lantas, Jamilah terkaku “Kak nampak stress jer…ambiklah satu” “tak mau lah…” lantas Jamilah mengambil salah satu majalah gossip barat yang tersadai atas lantai, menyelak sehelai demi sehelai. “ Adik tak ada rancangan berhenti rokok ka?” “dah cuba…” “habis tu?” “tahan dua hari” “dua hari?” “ya, dua hari…”
Sesungguhnya berhenti merokok juga antara perkara yang termaktub dalam kitab The transition of Jamilah Shahilah buat masa ini, ketagihan tembakau masuk dalam sub topik curbing obsessions. “Dalam tidur-tidur kau, ‘nur cahaya’ dah datang ?” “belum lagilah kak…” “kau tak ikhtiar kot…” “saya perlahan-lahan ikhtiar…” kepulan asap rokok perlahan naik dan hilang bercampur udara.”Akak tak ada baju lagi nak sedekah dengan adik…. Ada birthday party adik minggu depan, akak datanglah…kalau akak tak ada dress, adik boleh pinjamkan” namun Jamilah duduk senyap membelek majalah. Walhal, majalah itu tidak dibacapun, hanya dibelek muka demi muka.
“ Akak risau pasal abang Mustakeem ya?” Tanya adik. Perlahan-lahan Jamilah mengangguk “Kalau akak nak tahu, akak kena bagi dia meletup saja…. Buat abang Mustakeem berang, sampai terkeluar segala apa yang dia tahu tentang akak…time tu baru akak tahu apa yang terbuku dalam hati” “ Ya Rabbi, teruklah engkau ni, dia tunang akak kot?! “ balas Jamilah “akak… kalau abang Mustakeem tu tak tau, terkejut besar kalau dia tahu nanti. Tungggang terbalik hidup akak…” pernyataan itu membuatkan Jamilah terhenti membelek majalah gossip impot itu. Ada benarnya juga, apa Mustakeem boleh menerima sepenuhnya masa silamnya yang penuh dengan bara fana? Perlukah dia duduk, bertentang mata dengan Mustakeem dan memaksa lelaki itu ‘menerima dirinya seadanya’, tanpa bercerita panjang lebar apa itu seadanya?Atau Mustakeem sudah tahu siapa Jamilah seadanya melalui ‘database diluar sana’. Cuma mamat itu berlagak cool saja.
“Akak buat saja Mustakeem tu meletup…. Biar dia berang, alahai, kita perempuan mana orang macam Mustakeem nak kasar dengan kita….busuk namanya nanti ” tambah adiknya. “….Mustakeem, saya mahu awal terima kisah silam saya – wau, you’re soo straightforward akak” adiknya menyindir dengan suara kecil. “ Sebelum dia terima, sudah tentu dia suruh kakak cerita… ulas, seketul-seketul , sebiji-sebiji jantan mana, dimana dan tahun apa… adik rasa dia belum tahu… dia nampak cool sebab dia tak tahu hal sebenar…”
“…atau dia sengaja tak nak ambil tahu?”
“agaknya dia tahu tapi dia redha dengan keadaan akak”
“Whatever is past, is past lah katakana…”
“ Whatever with the past has gone, the best has yet to come” Jamilah mengigit-gigit kukunya.
Seminggu sudah berlalu dari kejadian Mustakeem mengherdik Jamilah, nampaknya angin Mustakeem sudah reda. “ Ana minta maaf” jelas jurutera muda berkenaan. “ Jom kita keluar…” “kemana?” “ adalah… jom, siap-siap diri…pakai purdah” “Ishk…. Abang cakap hari jumaat saja pakai purdah?” “Alaa… apa salahnya pakai macam isteri rasul… sopan kan?” Jamilah mengeluh. Dia kini sedar akan RP yang dicanangkan oleh Mustakeem adalah rancangan meng’arab’kan perlakuan, percakapan dan pemikirannya. Tak hairanlah sejak akhir-akhir ini diet Jamilah terdiri dari makanan Arab. Minyak attar yang dicalit pada kulit itu dari tanah Arab. Mustakeem makin berbauk seperti pemuda Arab. Segala acuan itu adalah cara arab, dan tak risaulah satu hari nanti anak-anak mereka akan memanggilnya ‘ummi’ dan Mustakeem ‘walid’.
“ Abang, saya perasan kita makin hari makin ke arah Arab? Apa ini kebetulan?” Jamilah bertanya “ Tak salah kita mengarabkan diri… menghayati cara hidup dimana tempat Islam, agama kita, mula tersebar” “Itu bukan caranya Abang” “Okay… Milah tahu caranya? Terangkan pada ana…” “ Milah tak tahu caranya…tapi ini bukan cara yang kita… makin hari makin seperti arab, bukan makin dekat dengan tuhan…” Mustakeem kelihatan tidak sebegitu berminat untuk bercerita panjang lebar. Namun, dia haram sedikit tidak melihat Jamilah, dia seolah tidak berminat untuk melayan Jamilah. “ Saya sudah enam bulan apply kerja sana-sini…. Dan kelayakan saya ini memerlukan saya jumpa orang” Jamilah mengacum dengan tunangnya “saya harap awak fahamlah, kerja saya memerlukan saya berimej terbuka…” “terbuka aurat?” sampuk Mustakeem “ Bukan terbuka aurat… ini ha, purdah yang saya pakai ini, majikan terang-terangan tidak mahu saya pakai ini “ “Orang Melayu… suka memberi alasan! Meletakkan kekangan sana-sini” “ Abang! Kalau saya letak kekangan pada diri saya, dah lama saya tak kerja! Dah lama saya duduk rumah atas alasan jantina saya perempuan…” “ Ikut suka kamulah Jamilah… kamu jawablah dengan tuhan… saya nak tunjuk awak ke jalan lurus, awak tak mau…” kata-kata itu pedih sekali menusuk telinga Jamilah.
Jamilah tahu pertelingkahan antara dia dan Mustakeem adalah berkenaan krisis identiti, bukan soal iman siapa yang lebih teguh. Kalau hendak dikatakan gaya Arab itu warak, tidaklah juga. Cuba pergi ke negara mereka dan McDonald itu berada tidak jauh dari masjidil haram walaupun ustaz di Malaysia ni tak putus-putus nafas mengutuk rapat francais itu sebagai penyokong utama keganasan rejim zionis terhadap Palestin. Hendak mengata puak Arab ini warak, tidaklah mereka membaca kitab tanda akhirat adalah kewujudan bangunan pencakar langit yang tinggi belaka hingga hampir mencecah awan, tengoklah dimana bangunan tertinggi kini? Dimiliki pula oleh orang yang miskin, cuba renung sejenak dimana Dubai 20 tahun lalu dan dari mana duit itu datang hingga bandar itu menjadi glamour sekelip mata? Tidaklah mustahil mereka meminjam duit untuk melakar sejarah sebegitu rupa.
Sekali lagi Jamilah dan Mustakeem bermasam muka. Cuma adiknya saja yang menjadi bahu menyokong kepalanya. Namun, adiknya itu dikhabarkan sudah tertangkap oleh pihak berkuasa. Kesalahan yang dilakukan adiknya adalah meminum arak dikhalayak ramai. Aiseh! Dia sudah tegur adiknya itu agar jangan terlampau mempublisitikan gaya hidupnya itu. Pergi berpeleseran saja, gambar harus diupload kedalam laman facebook. Gambar meneguk arak itu pun ditayang pada orang ramai, nescaya, telanjang bulat adiknya itu melakukan kesilapan silap branding dirinya.
“ Adik ingat nak insaf lepas birthday party tu… adik just want to let it off for the last time…” demikian kata adiknya sesudah diikat jamin. Hidupnya makin bercelaru. Dia akan dirotan dan perkara itu menjadi bualan satu negara kalau tidak satu dunia.
“ Sekarang dia nak sebat adik, sebat depan orang ramai… akak tolonglah adik…”
Naik bosan dengan leteran adik yang tak henti-henti itu, Jamilah dengan selamba menjawab “ Macam mana kakak nak tolong, kakak dah tegur… tapi kau asyik nak tunggu ‘cahaya nur’ datang dari tidur baru nak insaf…. Sabarlah adik, Britney Spears dulu pun kena masuk rehab, sampai botak kepala, lepas tu dia reemerge lagi popular… rasanya macam tulah adik mahu rebrand diri adik… bagi orang nampak naik turun”
“ Akak biar betul, saya dah tolong akak, saya sentiasa ada bila akak nak cakap dengan saya…”
“Itupun sebab kau nak kikis baju aku!”
“ Akak… kalau akak tak nak tolong saya tak apa… ada banyak NGO yang simpati dengan saya…NGO hak asasi manusia, NGO hak wanita, NGO anti-keganasan, NGO kesamarataan… semua tu di belakang saya. Kalau akak nak tahu pertolongan yang saya nak pinta dari akak ini teramatlah kecil…” balas adiknya mengupil tahi kuku.

“Kakak jangan lupa… kakak sendiri pun dulu macam saya juga… bila balik rumah malam-malam bau kakak lagi masam, hapak… semua itu bau apa akak? Saya ada bersama akak waktu itu… berapa jantan yang akak rasa masin kulit mereka? Jacob, Ash, Ryan? Akak tak rasa hanyir ka? Akak sebenarnya lebih hanyir dari saya… lebih hanyir dari adik-adik yang lain… Sekali dengan masin kulit mat salleh pun kakak telan, lepas tu kakak pasang angan-angan nak keluar negara, bermaustatin sana sebab undang-undang di negeri kita menyekat full-potential diri kakak… apa akak sudah lupa azam tu? Akak mengada-gada kan? Betul tak… mengakulah akak ni mengada-gada…. “
Disitu, Jamilah berada di pertengahan jalan. Umur semakin meningkat tua, rancangan pemulihan yang dicanang tunang pula tidak mampu dicerna dek akalnya. Jika benar adiknya masih mengarang kitab The Transition of Jamilah Shahilah, maka tulislah disitu bahawa pulang ke sisi Allah s.w.t bukanlah sebarang rebranding yang semata-mata harus diuar-uarkan pada sekalian manusia atau ‘cahaya nur’ yang datang dari tidur, ikhtiar itu penting. Jatuh, rebah, bangkit, bangun semua atas kudrat sendiri.

0 comments:
Post a Comment