REALIS
Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya
Kehadapan Nailufar,
Kehadapan Nailufar,
Terlebih dahulu I nak mengucapkan selamat hari raya dan selamat hari lahir ke 20.Moga-moga sayang sekeluarga berada dalam keadaan sihat walafiat.
I memilih untuk mengutus surat kali ini kerana kita terlampau kerap bercakap melalui telefon sampaikan naik merah telinga ini. Tak salah mengimbau balik zaman posmen karat,biasa-biasakanlah jari itu dengan pen dan kertas. Zaman dahulu, kaum hawa berjuang untuk bangsa dengan mengutus surat walaupun mereka jarang keluar di medan perang menghunus keris kesana sini.
Minggu lalu sayang ada bercerita tentang Nazatul Afifah yang tidak putus-putus bercerita tentang perkenalannya dengan Tengku Mua’l.Sayang bersabarlah dan layanlah buah mulut itu sedaya mungkin.Kita orang Melayu memang lama hidup dalam tatacara mahu menjaga hati kawan. Sedia maklum, I sendiri tidak suka menjaja nama orang bila berbual berbicara. Jika mahu bercerita tentang orang cukuplah sekadar sihat-sakit dan perkhabaran biasa.Jika lebih dari itu masakan hanya membuang masa.Jika mahu bercakap tentang harta, mahsyur dan popular atau tidak, lebih baik beredar pulang dan elakkan dari membazir masa.Maklum, I sendiri berkawan dengan Tengku Mua’l.Benar kata Nazatul Afifah itu yang Tengku Mua’l menghadiri temasya muda mudi di hotel hotel dan menaiki kenderaan berkuasa kuda tinggi, menduduki banglo dan mewarisi harta bergantang-gantang hasil keringat orang tua.Kalau demikianlah yang menjadi bawaan mulut orang tentang Tengku Mua’l lebih baik kita menonton drama di televisyen atau membaca akhbar picisan. Lainlah kalau mereka ini ada berjasa kepada bangsa, ugama dan tanah air maka layaklah kisah hidup mereka ini diperdengarkan telinga sayang yang kecil itu.
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.Sayang sendiri faham yang I bukannya mahu rapat dengan Tengku Mua’l. Biarlah orang lain berpusu-pusu mahu mengenali Tengku dan kita berdiri di tepian melihat tanpa berkata sepatah apa pun.Apa juga alasan yang tersirat dalam benak orang yang mengerumun Tengku macam lalat pada bangkai ni, takkan kita tahu.Sesungguhnya tak salah berkawan dengan Tengku ni, tapi kita memilih duduk di tepian. Kalau benar ada orang yang mahu berkawan dengan kita, maka, kita dengan hati terbuka mahu berbuat kawan dengan mereka juga.Tidaklah perlu nama kita bersabit sebagai kuncu Tengku, barulah berduyun hendak menerpa kita.
Bila tak ada orang menyebut-yebut nama kita bukan beerti kita disisih, dipulau atau tidak popular. Sayang pun tahu, biarlah kita menjadi sebut-sebutan kerana jasa kita.Dinegeri ini ada pepatah berbunyi ‘biar jasa jadi kenangan’. Tidak ada sebarang erti kalau nama kita dijaja kehulu kehilir hanya kerana kita berkawan rapat dengan Tengku, berketerunan bangsawan, menaiki kenderaan berkuasa tinggi, menghadiri temasya golongan elit atau menghuni banglo atas bukit. Namun, sayang layan-layankan saja Nazatul Afifah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Pernah juga sayang mengomel bahawa tiada sesiapa yang menjemput sayang ke temasya berbuka puasa.Ambil sahaja perkara ini sebagai perkara remeh.Lagipun sayang sudah ada kakak, adik, ayah dan emak untuk berbuka puasa.Bukannya lama kedua orang tua kita hendak boleh ketawa dan berleter dengan kita. Sebelum mereka pergi kedalam alam kubur, semestinya tuhan akan menarik nikmat mereka untuk ketawa, melihat, mengunyah dan bercakap lancar. Sayang, kita selalu tenggelam dalam riak ketawa kik kuk bersama rakan dan terlupa bahawa mak-ayah kita adalah peneman kita yang takkan lama menemani kita.Tidak lupa juga bukan ramai mak-ayah dizaman kita ini masih bersatu, ramai yang hiruk pikuk sudah bercerai.Diakhir solat, sayang akan berdoa untuk kesihatan dan kebahgiaan mereka. Janganlah mengharapkan Tuhan sahaja yang memikul tanggungjawab itu.Kehadiran kita di meja makan sudah cukup menjadi penawar sakit mereka. Insyallah.
Jika benar ketiadaan jemputan itu membuat sayang gelisah, mungkin sayang tidak penting di mata dan hati kawan-kawan. Mungkin apa yang berlegar dalam kotak fikiran kawan-kawan sebelum menghantar SMS menjemput berbuka puasa itu adalah wajah-wajah mereka yang mempunyai rupa menawan, pengaruh kuat, harta yang banyak dan pendapat sebulu. Mungkin inilah nasib kita dibuat macam ‘kain buruk’, bila ada air gula tertumpah di lantai khidmat kita dicari dan kewujudan kita dijulang-julang penting.Sudah selesai masalah air gula tertumpah itu disapu bersih, kita tersidai tanpa hirau. Dalam umur 20tahun ini sayang tak terlalu muda untuk tahu yang dunia ini datang dengan double standard, segelintir kawan kita diluar sana ada wawasan. Wawasan untuk melihat diri mereka dikelilingi oleh orang yang disukai mereka.Bagaimana untuk menjadi orang yang ‘disukai’?Kenalah sentiasa menjuah-juah memuji ,membuta tuli bersetuju dan sebulu.Tidak hairanlah dalam temasya keramaian, orang seperti kita ini ditapis keluar kerana tidak secocok dengan wawasan mereka. Tidak hairanlah kita berdiri di hadapan mata 'mereka' tidak diundang walaupun hendak ke surau dimana agama mengajar kita untuk bersaudara. Kita boleh berdiri di depan mata 'mereka' dan tidak dijemput makan tengahari tatkala jam tangan menunjukkan waktu makan. Kita gagal melakonkan watak yang secocok dengan wawasan mereka.
Sesungguhnya, perhatian manusia itu boleh dibeli. Kalau I bertungkus berkerja dengan keras dan mampu berbakti sekaligus dikurniakan darjat Datuk (sekaligus sayang jadi datin), maka tiap-tiap sehari dalam 30hari berpuasa itu akan diundang oleh sebilangan hamba Allah untuk berbuka puasa. Pada ketika itu mungkin sayang boleh bertanya pula apakah mereka itu datang menjemput berbuka tanpa ‘kepentingan’? Apakah ramai orang bergerumun sekeliling dan menjemput kita berbuka itu tanda perangai kita ditahap molek dan kita ini bulat-bulat diterima masyarakat?
Buang yang keruh, ambil yang jernih. ‘Tapis’ ini sentiasa berlaku disekeliling kita. Pendek kata, tapis yang berperangai buruk dan tolak jauh-jauh.Tapi orang sekarang berbeza cara tapisnya.Menapis ikut harta benda, keturunan, rupa dan pengaruh.Jika sayang berasa ada orang menapis sayang keluar dari lingkungan persahabatan, jangan bersedih.Bukan beerti sayang berperangai buruk, cuma sayang itu tidak secocok dengan wawasan mereka.Mungkin sayang tidak mampu berlakon membawa ‘watak’ orang yang dikehendaki dalam hidup mereka. Tidak mengapa. Lupakan saja dan jangan terkinja-kinja mahu memperhambakan diri memperlakonkan‘watak-watak’ sampingan dalam hidup mereka.
Jika mereka ada urusan, berurusanlah dengan mereka.Habis urusan, sampai situ saja.Sayang, kita pun ada hak memperkain-burukkan sesiapa saja diluar sana. Namun, dalam orang sibuk mengutamakan kepentingan mereka, jika ada yang bersua ketika mereka senang lapang, maka ikhlas niat mereka ingin berkawan. Terimalah mereka sebaik-baiknya.
Nescaya, kalau diluah pendapat kita pada orang, orang diluar akan beranggap sayang seorang yang manja mahu dijulang sampai ke langit mengalahkan permaisuri dalam Istana. Tidak perlu. Sayang pun dah berumur 20tahun dan sedar bahawa dunia ini tidak pernah berlaku adil dan tidak memerlukan sebuah tugu dibuat semata-mata untuk berasa dihargai.Apa yang sayang mahukan adalah sedikit rasa dihormati oleh orang disekeliling kita. I pun berasa begitu dan sudah letih menunjukkan rasa hormat kepada orang disekeliling kita. Apakah adil kalau kita berharap untuk ditimbal semula rasa hormat?Atau kita ini tergolong dalam orang yang ‘buruk siku’ kalau berharap agar perbuatan kita dibalas?
Fikir masak-masak
Kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa.I belajar mengenali pepetah itu sejak berumur belasan tahun dan tak dapat dinafikan itu pengalaman yang amat buruk untuk diceritakan. Tapi, datangnya dalam umur belasan tahun lebih bagus berbanding dari datangnya tatkala umur sudah lanjut ( 30? 40? 50?) Sayang seorang yang teramat petah bercakap, I suka mendengar dan sering tersenyum dengan kisah-kisah yang dibawa. Tapi tidak salah kalau sayang pilih untuk duduk diam tatkala majlis keramaian. Simpan suara sayang.Apabila orang bertanyakan pendapat barulah bercakap. Kerana sifat sombong itu tidak berbangkit dan beranak pinak. Orang tak henti bercakap pula boleh bersimpul kepada mulut murai, mulut hebiar, mulut tempayan, mulut busuk dan mulut mengumpat.Tatkala sombong itu wabak yang tidak berjangkit (mungkin ada juga bodoh sombong), setelah sombong, tak ada lagi sambungannya.Cukup sekadar sombong.
Bukan hendak melihat sayang jadi kera sumbang duduk di ceruk tidak bertegur sesiapa, mahupun menyuruh sayang berbuat demikian untuk menagih simpati. Kalau benar dunia ini berpaksi kepada simpati, sudah lama tiada orang yang putus kaki berjalan tempang. Sudah lama mereka gembira berjalan dengan prostetik. Tapi sayang, lihat sekeliling dan berfikir dahulu. Mungkin ada hikmahnya mata itu lebih tinggi kedudukannya dari bibir mulut dan benak otak lebih tinggi berbanding biji mata.
Terpulanglah pada sayang ingin menerima atau menolak nasihat I. Nak anggap sebagai leteran orang tak siuman pun tak kisah. Usia muda ni kita pun ada keinginan ingin berkawan seramai mungkin. Mahu dijemput ke temasya sana-sini dan dikenali oleh segenap lapisan masyarakat dan disebut-sebut semua kelompok manusia.
Tapi pilih akal dari hati, pilih mata dari perasaan.I tahu sayang seronok dimanjakan, pada waktu yang sama, haruslah juga sayang selesa dibenci.Bukanlah I nak memupuk nilai ego dalam benak sayang, tapi sayang kena tahu dalam hidup ini, kita takkan terlepas dibenci orang.Perasaan orang amatlah sensetif dan diluar kawalan kita.Hikmah semua benda dijadikan berpasangan, serupa juga dengan rasa sayang, ada juga rasa benci.Jadi janganlah serba duduk tidak disenang kalau sesekali ada suara-suara yang berlegar ada orang benci kita.
Bercakap dengan mereka. Tanya mengapa mereka benci dengan kita. Telinga kita harus bersedia untuk mendengar hentaman orang yang ‘memeram’ segala keburukan kita. Kalau mereka enggan bercakap, biarkanlah. Sedangkan kita rela membuka pintu untuk merapatkan silaturahim itu sampai ke liang lahad. Kalau mereka mampu memendam dendam dan terasa diri dianiaya dengan niat mahu menebus pahala di padang mahsyar nanti, mereka boleh terus memendam kerana Tuhan Maha Adil.
Apabila ada dua kawan yang bertelagah di luar sana, janganlah berpihak antara salah satu. I mengaku, ada thrill bila dua pihak bertelagah, kita akan bertenggek dan berpihak pada mana-mana yang kuat. Lagi-lagilah bahagian yang kita ambil itu bertegang urat dengan musuh kita. Seboleh-bolehnya jangan berbuat demikian. Berdirilah kita di tepian dan lihat saja perlakuan itu.Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu.Ada kalanya yang lemah boleh bangun dan membuktikan mereka berada dalam landasan benar.Ada kalanya yang diam itu tetap pendiriannya.Ada kalanya yang disisihkan itu rupanya tidak berniat buruk.
Setakat ini saja tulisan I kali ini, dalam umur muda lela 20tahun ini, insyallah, jika dipanjangkan umur oleh Allah S.W.T, banyak lagi ragam manusia dan kejadian baik-buruk akan ditempuhi sayang. Kalau hubungan kita diberkati dan berlanjut sampai jinjang pelamin, maka, bersama-sama kita melihat telatah dunia yang serba tidak menentu. Sambil itu jangan asyik mengadili orang diluar, sama-samalah kita cerminkan sesama sendiri kerana adat Melayu tidak suka bercakap terus terang, jadi lebih afdhal orang yang rapat menegur agar nasihat itu menjadi halus lembut.
Bila segala ragam manusia kita lihat ini kita jadikan iktibar, kita perturun pula kepada anak cucu dan cicit agar menjadi pedoman untuk difikir-fikirkan mereka nanti.
Diharap sayang senantiasa menjaga kesihatan dan harap kita masih berbahagia bila umur sayang sampai 21.
Sekian wassalam.
0 comments:
Post a Comment