0 com

Bikin Kuota



Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu, organisasi atau pertubuhan dahulu, kini dan selamanya




Lagu ‘kita’ tak ada staying power. Kalau meletup pun sekejap saja, seminggu ,dua… lepas tu, lesap menghilang, sukar dicari.

Lagu ‘Hinan’ boleh melekat dalam kepala, mampu bertahan dalam carta dan boleh menjadi evergreen!

Semenjak dua menjak ini lanskap industri muzik tanah air digegarkan dengan pertikaman lidah dan protes agar dilaksanakan liberisasi. Liberisasi yang dimaksudkan termasuklah pemansuhan kuota waktu siaran lagu tempatan berbanding lagu luar. Atas dasar persaingan bebas, segelintir tokoh dalam industri menyelar langkah pemerintah yang setelah sekian lama mengenakan kuota terhadap waktu siaran. Bagi mereka, ini adalah satu bentuk penindasan ala-aperteid dan diskriminasi ala-fasis. Bagi mereka perlaksanaan kuota ini sudah tidak relevan dan bersifat mahu menghakis populariti hebat muzik Hinan.

“ Dee, dah masuk suratkhabar dah isu hangat ni dowh…Dee kita kena bersaing dengan band-band Hinan, aku rasa kita kena ada vokalis Hinan juga lah “ terang Hussein selaku gitaris, sibuk membetulkan tiun gitarnya di penjuru bilik menyandar pada dinding yang dicemari daki. Surat khabar itu lantas dilipat dan dilibas campak untuk tantapan Dee.

“ Mampuslah band-band kecil macam ‘kita’ ni nak lawan dengan band-band besar Hinan? “ terang Dee, matanya yang cengkung penat akibat siang-malam berkarya mencari not gitar dan lirik itu merenung akhbar berkenaan. Matanya mengutip satu per satu ayat dan cuba memahaminya.

“ Makin hari makin ramai melekat dengan rentak muzik Hinan…. Catchy kah muzik mereka? Apa X-factor muzik Hinan ni sampai berduyun orang download muzik mereka? Apa muzik ‘kita’ tak cukup power melekat dalam kepala warga kita kah?“

“ Wa rasa kita kena pakai gam UHU, baru boleh melekat kuat dalam kepala warga kita…. “ kata Awus yang bermain dram dalam kugiran. Dia memang gemar berloyar buruk.

Sejak kebelakangan ini kemunculan muzik Hinan makin menjadi-jadi. Lagu-lagu mereka sering digandingkan dengan tempo yang rancak menjadi kegilaan anak muda warga jelata. Vokal mereka adalah yang terbaik di nusantara mahupun Asia. Tidak hairan artis mereka menjadi artis asia dengan jualan tertinggi di dunia barat. Lambakan lagu mereka yang masuk ke tanah air kita mewujudkan sebuah konflik kepentingan. Dengan penggiat irama masing-masing bertelagah. Semua ini terpulang kepada pentadbir yang berpihak kepada muzik ‘kita’ yang jauh lebih ketinggalan berbanding Hinan.

Ada segelintir penggiat irama ‘kita’ seperti Azwar sering melaung-laungkan kesamarataan, dengan renungannya yang tajam dan pasaknya tercengang, dia mengolah kata-katanya sehingga orang mendengarnya seolah terkena hipnosis retoriknya: “Kalau kita masing-masing menoreh lengan kita, semua darah pun berwarna merah! Sama juga dengan muzik! Muzik itu terdiri daripada not-not sahaja “

“ Muzik itu seumpama bahasa antarabangsa… tak kisah lagu ‘kita’ka…, lagu ‘Hinan’ka…, lagu ‘Seppoto’ka… kita angkat martabat semua……! “ demikian jerit Azwar, seorang orator yang berkebolehan memukau pendengarnya.

“ Siapa kata muzik ‘kita’ akan tersisih? Ini adalah ura-ura yang ditanam oleh golongan pemerintah untuk menakut-nakutkan kita semua… itu modal lamalah! Kita tak pakai lagi yang lama! Sudah basi! Saya yakin, muzik ‘kita’ akan lebih terbela selepas kita laksana pemansuhan kuota waktu siaran!“ sungguh hairan, dahulunya Azwar sendiri mendokong perlaksanaan kuota waktu siaran lagu ‘kita’, kini dia bermati-matian menentang.

Berkeceramuk landskap industri muzik waktu ini. Saban hari, saban tenat.

Tidak ada yang lebih gembira dalam kebuntuan kuota waktu siaran selain syarikat pengendali radio tempatan. Bagi mereka jika terhapus kuota itu, mereka bakal merebut keuntungan berlipat kali ganda. Malah mereka akan menubuhkan sebuah stesen radio khas untuk memainkan lagu lagu Hinan (Jika frekuensi radio sudah penuh, mereka rela menanam modal menaiktaraf kemudahan dan menambah frekuensi )Namun, tidak dizahirkan harapan pemansuhan kuota itu kerana mereka masih tertakluk kepada syarat pemerintah. Mereka harus berperangai seolah-olah menjilat celahan tumit kaki pemerintah.

“ Kita berharap pemerintah melonggarkan sikit kuota ni” walaupun dalam lubuk hati itu ada bau bau najis untuk melihat kemusnahan kuota keramat itu.

Bak kata pengurus syarikat radio itu lagi: Lagu ‘kita’ tak ada staying power… apatah lagi popular dan naik ke posisi nombor1 dalam carta top10? Malah Top10 dikuasi oleh muzik Hinan saja! Sia-sia mainkan lagu kita kerana rating nya teramatlah rendah, permintaanpun tidak memberangsangkan. Berbanding dengan lagu Hinan dimana rating nya naik mendadak sebaik saja lagu mereka diputarkan.

Untuk makluman, pemerintah telah menetapkan kepada semua radio dan media akan kuota dengan nisbah 70:20:10.

Ini bermakna, dalam 24jam siaran radio, 70peratus dari waktu siaran itu wajib menampilkan lagu ‘kita’. Diperuntukan lagu ‘Hinan’ ,20peratus dan selebihnya lagu Seppoto,Lubas dan Fikrow-Krow. Polisi kuota ini dilaksanakan demi menyelamatkan bilangan penggiat muzik ‘kita’ yang semakin pupus. Polisi ini juga dilaksanakan untuk mengelak pasaran muzik kita dibanjiri lambakan muzik ‘Hinan’ yang tidak dapat dinafikan populariti mereka.

Pemerintah juga memainkan peranan secara campur tangan berprinsipkan affirmative action. Mereka sedar akan kemunduran industri muzik ‘kita’ berbanding muzik ‘Hinan’. Ketinggalan muzik ‘kita’ dalam industri muzik beerti kematian sebuah identiti dan punahnya keberlangsungan sebuah budaya.

Penggiat lagu ‘kita’ yang mengeluarkan album layak menerima bantuan dari segi recording facility dan recording fees. Kugiran tempatan diberikan kemudahan jamming studio dan peralatan muzik bertaraf antarabangsa dari jenama yang boleh dipercayai. Zildjan, Korg, Yamaha…sebut sahaja, pemerintah ada. Peminat muzik kita pula layak mendapat ‘rebat’ bagi setiap album yang dibeli. Di pasaran kini, album ‘kita’ dijual jauh lebih mampu dimiliki berbanding album ‘Hinan’. Semua ini adalah langkah pemerintah untuk menaikkan martabat muzik ‘kita’. Namun, hampir separuh abad polisi ini dilaksanakan, nasib muzik kita hambar dan bakal ditelan oleh populariti muzik ‘Hinan’

Ada segelintir yang mengecam dasar pemerintah ini. Mereka akan secara sinis berkata “penggiat muzik ‘kita’ walaupun terang-terangan produce lagu macam taik, tapi boleh dapat siaran radio… sakit telinga! “

“ Jikalau kita hadkan airtime lagu Hinan… warga jelata boleh download ikut internet…. Apa susahnya?” Demikian ulasan seorang lagi tokoh muzik ‘kita’ dalam sebuah wawancara. Berbeza dengan ulasan Azwar yang lebih radikal, tokoh ini menunjuk air muka tidak pasti untuk berpihak kepada nostalgik mempertahan muzik ‘kita’ atau berserah sahaja dengan persaingan bebas.

“ Pemerintah kini dalam keadaan tersepit jika tidak terlaksana pemansuhan kuota ini… boleh mengundang rasa tidak senang semua warga secara am“ komen tokoh ini menunjukkan pendirian non-partisan.Dia juga ada rasa tertekan.

“ Pada masa yang sama, pemerintah harus menjaga hal ehwal muzik ‘kita’ kerana sudah termaktub selaku dasar perjuangan mereka selama ini “ terang Haji Ghairudon.

“ Jangan sampai satu masa, penggiat lagu ‘Hinan’ mengungkit bahawa merekalah yang membawa keuntungan untuk pemerintah, merekalah yang membentuk industri muzik dan merekalah simbol citarasa muzik majoriti walaupun bilangan mereka kecil”

Mengapa pemerintah harus untung dengan kehadiran Hinan? Kerana setiap lagu Hinan yang dimainkan harus dibayar yuran. Yuran itu masuk ke Biro Perbendaharaan Pemerintah. Walaupun lagu Hinan kurang dimainkan, namun jualan album mereka amatlah memberangsangkan, dan setiap jualan album, kerajaan akan mengenakan cukai. Sanggup warga jelata membelinya pada harga premium untuk menikmati muzik berkualiti.

Bukan setakat muzik Hinan mempunyai kualiti, bahkan fan group mereka juga hebat. Bukankah kualiti artis itu diukur mengikut kualiti peminat mereka?

Fan group muzik Hinan bergerak aktif sekitar bandar bandar besar dan mereka sering menganjurkan aktiviti kemasarakatan termasuklah gotong royong, melawat rumah orang tua dan anak-anak yatim. Ini sekaligus menarik minat golongan muda untuk menyertai mereka. Setiap cawangan fan group akan berkomunikasi antara cawangan lain dan sentiasa bertukar-tukar pendapat. Berbanding fan group muzik ‘kita’ yang bercambah hanya dibandar-bandar kecil dengan status hidup-tak-mau-mati-segan. Ini membuatkan setiap permintaan mereka sentiasa berdengung dengan kuat dalam telinga pemerintah. Terbaharu; permintaan yang dianggap sebagai pinnacle of success, penghapusan kuota airtime lagu-lagu Hinan.

“ Dee… kemana band kita tiga tahun lagi? “ soal Awus. Dee menjawab: “sejauh mana yang kita mampu pergi ” dan dia merenung ke kepulan awan diluar jendela. Ya, kesitu. Jauh melepasi awan!

“ Lepas album kita nombor2, aku nak kahwin dan ada anak. Aku nak ajar anak-anak aku main muzik… aku akan tubuhkan band untuk anak-anak aku… seawal umur mereka 5~6 tahun”

“ Awus?”, Awus lantas menoleh pada Dee. “Album nombor satu pun belum keluar, kau melalut lalut apa ni? “. Dee yakin kugirannya boleh membukti kemampuan mereka dalam arena indie namun terasa begitu kerdil hingga band Hinan yang lebih lewat ditubuhkan bakal memintas mereka seolah mereka kugiran hingusan. Dee dapat menduga akhirnya cuma girlfriendnya, rakan karib dan sanak saudara sahaja yang bersemangat memberi feedback sedangkan jauh dari lingkungan itu, fikiran mereka berlatar belakangkan muzik Hinan.

Dee merenung ke luar jendela, melihat langit biru dan menanam harapan untuk pergi jauh. Untuk pergi jauh dengan lekas kerana baki usia remaja itu tidaklah lama. Dia perlukan bantuan/sokongan. Siapa yang boleh memberi bantuan/sokongan? Eh? Bukankah kita ni indie which stood for independent?

Pada waktu malam, langit itu ditembusi oleh cahaya spotlight. Konsert kugiran Hinan sedang berlangsung dan ramai muda mudi warga jelata terloncat-loncat, menjerit dalam histeria menyaksikan artis Hinan kesayangan mereka beraksi. Mereka menangis, mereka ketawa ,mereka menjerit, mereka menangis kembali berulang-ulang hingga terhinggut mahu roboh pagar pemisah antara ruang penonton dan pentas.

Penampilan mereka amat mengagumkan. Persembahan artis Hinan memberikan kepuasan maksima kepada pembeli tiket yang setia beratur sepanjang hari sampai berpeluh masam ketiak. Semua semata-mata untuk mendapat tiket tercorot. Yang perempuan begitu lincah, bertenaga dan seksi, apabila mereka berawww…..awww dalam lagu seolah mereka sedang menari dicelahan peha penonton. Yang lelaki punyai suara serak-serak basah yang mampu membuat satu stadium bersorak terpegun terlopong tergamam. Apa-jua konsert yang menampilkan artis Hinan akan senantiasa dibanjiri penonton dari awal hingga akhir.


Sifu pernah berkata pada Dee, melihat kepada persembahan mereka, mereka punyai kualiti yang boleh menandingi kugiran muzik ‘Hinan’.

“ Bakat memang ada, semangat pun ada, azam dah lengkap…tapi peluang belum terbuka” kata sifu tatkala dia melawat Dee dan kugirannya sesudah gig kecil yang diadakan di sebuah studio di ibu kota.

“ Sifu, kenapa saya berasa begitu kerdil? Saya rasa kugiran saya ini bila-bila masa boleh ditiup sampai jatuh tersembam oleh kugiran Hinan? “

Sifu menepuk bahu Dee dan berkata “sabarlah Dee, perah otak tu sampai kering dan terus cari rentak dan tempo yang sesuai… rahsia kugiran Hinan jadi kegilaan sekarang adalah mereka sanggup menunggu walau ditekan dan disekat “

“ Tengok sekarang…. Mereka sudah mahu ‘menekan’ pemerintah kerana merekalah kepala kuasa industri muzik kita“ tambah sifu lagi “ Sabarlah Dee, terus mencari idea baru… kalau mampu jangan berpecah…pemerintah ada niat nak bantu kugiran anda, tapi mereka ni memilih siapa yang mereka bantu”

“ Oh… begitu”

Akhirnya pemerintah akur dan berjanji akan melaksanakan rujukan semula atas polisi kuota. Ada penggiat muzik ‘kita’ yang menitiskan air mata sambil berkata “dahulunya kita kuat sampai tak ada yang berani menyanggah, sekarang kemana kita?”, ada pula penggiat muzik Hinan menarik nafas lega dan menyambut baik keputusan berkenaan. Tidak kurang juga yang kurang ajar meracun seolah keputusan itu adalah untuk menyejuk telinga pendengar sahaja.

Dee terduduk sambil merenung gitar kesayangannya itu. Sudah sampai era pemerintah sudah sulit memberi bantuan untuk kugiran sepertinya. Apatah nasib beratus-ratus kugiran yang masih merangkak berdarah-darah dan bernanah-nanah mahu menghasil album tunggal yang akhirnya disambut dingin. Semua sudah disapu Hinan.